SENYUMAN terukir pada bibir Adam. Lelaki itu asyik menatap skrin komputer di meja kerjanya. Dia sedang melihat beberapa rekaan fesyen terbaru daripada syarikatnya yang telah dilancarkan di dalam talian. Kebanyakan fesyen yang diperkenalkan kali ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan komen yang positif daripada orang ramai. Paling mengembirakannya, hasil rekaan isterinya menjadi antara topik hangat yang diperkatakan. Dalam masa tiga hari, syarikatnya sudah menerima lebih daripada 10 ribu pesanan secara dalam talian untuk fesyen rekaan Idayu. Kini Adam semakin yakin, isterinya itu akan menempa nama dalam masa yang lebih singkat sebagai seorang pereka fesyen. Pada masa yang sama, diluar bilik Adam, Shahkir dengan wajah yang cemas tergesa-gesa berjalan. Lelaki itu mempercepatkan langkah kakinya untuk menuju ke bilik Adam. Tiba di bilik Adam, Shakir langsung menemui majikannya itu sambil menghulurkan satu envelop. Melihat keadaan setiausahanya itu, Adam mula berasa pelik.
"Kenapa Shakir? surat apa ni? Macam mana dengan pelancaran fesyen terbaru? Jangan kata ada masalah pulak.." Adam langsung bersuara.
"Emm.. dipihak kita, tak timbul masalah pasal lauching tu.. tapi.." Shakir sedikit tergagap untuk menjawab. Dahinya yang dibasahi oleh manik peluh segera diseka. Nafas lelaki itu masih tercungap-cungap namun dia cuba menahan kelelahannya itu disaat berhadapan dengan Adam.
"Tapi apa pulak?" Adam bersuara keras sambil membuka envelop yang diterimanya daripada Shakir.
"Pihak Purnama Tekstil dah hantar LOD kepada kita.. mereka minta kita tarik semula design yang dah dibuat oleh Idayu. Kalau tak, mereka akan meneruskan proses untuk saman Kencana Tekstil.."
"Hah, kenapa pulak? Itukan design kita.. karya asli milik Idayu." Adam terkejut. Matanya segera membaca surat yang terdapat di dalam sampul surat yang baru dibukanya.
"Pihak Purnama Tektil kata, design tu milik mereka.. katanya kita dah tiru design mereka.. jadi mereka akan saman kita sebab dah buat karya plagiat." Shakir memberi penerangan.
"Mustahil! itu karya asli Ayu.. saya sendiri tengok macam mana Ayu hasilkan design tu, dari fasa awal draft lagi.. takkan mungkin Ayu plagiat!" Adam mula beremosi dan bersuara dalam nada yang tinggi.
"Tapi.. saya dah tengok design dari Purnama Tekstil.. memang sama.. lagipun, diorang dah lauch design tu minggu lepas lagi.. lima hari lebih awal dari kita." Shakir tetap memberikan penjelasan walaupun sedang takut untuk menghadapi kemarahan Adam. Dia tahu Adam pasti akan mengamuk besar setelah mengetahui berita tersebut.
"Mustahil sama sekali!" Adam menengking sambil menghentak keras meja kerjanya. Isu plagiat adalah satu kesalahan besar dan bakal menjatuhkan reputasi syarikatnya. Namun Adam sama sekali tidak percaya jika isterinya telah melakukan kesalahan tersebut. Adam dengan yakin telah melihat sendiri setiap langkah Idayu dalam menghasilkan karya tersebut. Namun Adam bingung dan tidak tahu bagaimana hasil rekaan isterinya itu boleh menjadi sama persis dengan karya yang dihasilkan oleh syarikat pesaing. Malah tindakan daripada pihak Purnama Tekstil yang lebih awal melancarkan rekaan tersebut dan menuduh Syarikatnya yang melakukan plagiat semakin membingungkan.
Adam kemudian memejamkan matanya sambil menundukkan pandangan wajah. Tangan kanannya pula diletakkan di dahi dan jari jemarinya mula memicit dahi berulang kali. Beberapa kali nafasnya disedut sedalam mungkin dan di hembuskan perlahan-lahan bagi menenangkan diri. Malah dada lelaki tersebut berombak kencang kerana menahan emosi yang sedang meluap-luap. Shakir pula berdiri kaku sambil melihat majikannya yang sedang terpuruk di dalam emosinya sendiri. Dia tidak berani bersuara dan hanya memberi ruang kepada Adam untuk berfikir langkah selanjutnya yang harus diambil oleh syarikat mereka. Shahkir sedar majikannya itu sedang kebingungan malah kejadian seperti ini sama sekali belum pernah terjadi. Jika berita ini tersebar kepada umum, sudah pasti syarikat mereka akan menerima cemuhan dan kejian daripada orang ramai. Malah syarikat pesaing pasti akan mengambil langkah untuk menjatuhkan mereka berdasarkan situasi yang berlaku.
"Shakir.. hubungi pihak Purnama Tekstil.. buatkan satu janji temu antara saya dengan CEO mereka.. saya sendiri yang akan jumpa dan bincang dengan pihak mereka mengenai isu ni.. dan jangan lupa untuk siasat perkara ni secara dalaman.. saya yakin Idayu tak lakukan plagiat sebab saya sendiri saksi yang tengok Idayu hasilkan design tu.. Kalau nak katakan pihak Purnama dapat hasilkan satu design yang sama setiap details dengan design Idayu, itu sangat mustahil.. kemungkinan untuk design dihasilkan sama 90% dalam masa yang sama pun dah mustahil.. inikan pula sama hampir 100%.."
"Kalau itu kata Encik Adam, maknanya pihak Purnama Tekstil la yang buat plagiat..tapi mereka lebih cepat lauch design tu untuk buktikan design tu milik mereka kepada masyarakat.."
"Kita masih tak tahu pasal tu.. sebab tu saya kena jumpa dan bincang dengan mereka.. macam mana, bila dan siapa designer mereka yang dah hasilkan design tu.." Adam menyatakan pendapatnya.
"Hmm.. tak mungkin la Idayu sendiri yang jual design tu kat mereka kan.." Shakir berbicara sambil melurutkan dagunya menggunakan jari jemarinya.
"Ayu tak gila macam tu.. takkan dia nak jahanamkan syarikat suami dia sendiri.. malah dia sendiri pun baru je menjadi designer.. itu impian dia selama ni.. takkan la dia bodoh sangat nak buat benda macam tu, yang boleh menghancurkan karier dia seumur hidup.."
"Tapi.. dulu pun dia pernah jual design dia kat ELBY kan?" Shakir meluahkan keraguannya. Adam segera memandang tajam ke arah setiausahanya itu.
"Kau nak tuduh bini aku jadi pengkhianat?!" Adam geram dengan kata-katanya lalu melemparkan pen ke arah setiausahanya itu.
"Bu..bukan macam tu.. maaf, saya tersalah cakap." Shakir segera menepuk beberapa kali mulutnya yang dirasakan terlalu lancang sebentar tadi. Lelaki itu kemudian tersengih sambil sedikit tertunduk melihat ke arah Adam.
"Itukan masa dia belum jadi designer kat sini.. masa tu dia buat freelance je, jadi designer sambilan.. lepas dia jadi designer, semua design dia dah dibuat untuk syarikat je.. takde dah dia jual." Adam memberikan penjelasan. Shakir pula terangguk perlahan.
"Dah, cepat arrange kan pertemuan saya dengan CEO Purnama.. Masalah ni perlu di siasat dengan cepat. Kalau boleh, hari ni jugak saya nak jumpa."
"Baiklah Encik Adam.." Shakir patuh pada arahan majikannya itu. Lelaki itu segera berbalik badan dan keluar dari bilik Adam. Seketika kemudian, Adam menyandarkan belakang badannya ke kerusi sambil mendongakkan kepala ke atas. Satu hembusan berat yang terkandung keluhan terluah dari mulut lelaki itu. Bagi Adam, kejadian kali ini adalah satu bencana kepada syarikatnya. Jika dia tersilap langkah dalam menyelesaikan masalah tersebut, syarikat yang dibinanya selama ini mungkin akan jatuh merudum malah mungkin sahaja akan berdepan dengan risiko untuk muflis.
SELANG beberapa ketika, Shakir kembali ke bilik Adam untuk menemui majikannya itu. Lelaki yang sudah menyelesaikan tugasan yang diberikan kepadanya tadi kini mempamerkan sedikit senyuman. Melihat Shakir datang menemuinya, Adam mula memberikan perhatian kepada setiausahanya itu.
"Macam mana?" Adam bertanya.
"Saya dah hubungi CEO Purnama Tekstil.. dia dah setuju untuk jumpa Encik Adam hari ni.. katanya, dia nak Encik Adam datang berjumpa kat pejabat dia sebelum pukul 2. Sekarang pun dah tengah hari ni.. sebaiknya Encik Adam pergi sekarang." Shakir menyampaikan berita.
"Baiklah.. kalau begitu, kita pergi sekarang."
"Saya pun kena pergi jugak ke?" Shakir sedikit kebingungan.
"Ye la.. dah tu siapa lagi nak temankan aku.. kau tu setiausaha aku.. Kalau Idayu ada takpe la, aku ajak dia je.. tapi Ayu masih bercuti."
"Baiklah.." Shakir menurut. Mereka berdua segera keluar dari bilik dan akan menuju ke syarikat Purnama Tekstil secepat mungkin bagi menyelesaikan isu yang sedang timbul. Keluar dari lif, Adam dan Shakir yang berada di lantai bawah bangunan bersedia untuk keluar menuju ke arah kereta. Namun setelah tiba di pintu masuk bangunan, beberapa orang wartawan yang sudah berada di sana sejak awal mula menyerbu ke arah Adam. Kamera mula dihalakan ke arah Adam dan beberapa orang wartawan turut mengarahkan mikrofon ke arah Adam.
"Encik Adam.. kami dapat tahu Syarikat Kencana Tekstil telah melakukan plagiat pada fesyen terbaru yang baru dilancarkan.. betul ke?" Salah seorang wartawan bertanya.
"Katanya, syarikat Purnama Tekstil dan mulakan proses untuk saman Kencana Tekstil kerana melakukan plagiat.. apa komen Encik Adam?" Wartawan lain pula bertanya. Adam mula rimas dengan keadaan tersebut. Shakir yang berada bersama Adam cuba menahan para wartawan daripada terus merapati Adam dan menggasak dengan pelbagai pertanyaan. Melihatkan situasi tersebut, seorang pengawal keselamatan yang bertugas di sana turut menghalang wartawan daripada menekan dan mengerumuni Adam.
"Encik Adam.. tolong bagi sedikit penjelasan.. benar ke dakwaan syarikat Kencana Tekstil dah plagiat dan di saman oleh Purnama Tekstil?" Wartawan masih terus bertanya. Adam menghentikan langkah kakinya seketika dan menatap ke arah salah seorang wartawan yang mengerumuninya itu.
"No comment." Adam menjawab ringkas.
"Tolong Encik Adam.. jawab pertanyaan saya.. macam mana Kencana Tekstil nak menghadapi masalah tuduhan plagiat ni?"
"Saya nak minta tolong.. beri saya ruang terlebih dahulu.. sekarang saya sibuk dan perlu mengejar masa.. nanti saya akan jawab semua soalan awak. Berikan saya masa dan ruang untuk selesaikan masalah saya dulu.. nanti bila ada masa yang sesuai, saya akan buat press conference dan jemput semua wartawan untuk ajukan soalan.. masa tu saya akan jawab semua pertanyaan.." Adam menjawab dengan tenang sambil mengangat kedua belah tapak tangannya di paras bahu. Dia perlu meladeni para wartawan itu sebaik mungkin terlebih dahulu agar mereka dapat bersabar sebelum membuat liputan berita. Kini tumpuan Adam hanyalah untuk menyelesaikan masalah syarikatnya yang sedang menghadapi tuntutan saman daripada syarikat pesaing. Mendengar permintaan baik daripada Adam, para wartawan mulai beransur tenang dan mengundurkan langkah kaki mereka daripada merapati Adam. Adam dan Shakir pula segera bergegas menuju ke arah kereta BMW milik Adam untuk pergi ke Syarikat Purnama Tekstil.
Share this novel