Bab 1

Romance Series 66682

MENTARI memancarkan sinaran yang terik membahang. Permukaan bumi di kota raya yang dipenuhi oleh jalan tar dan lantai berbatu bata menambahkan lagi bahang yang terpantul. Di tambah lagi dengan kesesakan kenderaan yang sarat menyusuri jalan, hawa di kota semakin terasa panasnya. Suasana hingar bingar dengan bunyi deruan enjin pelbagai jenis kenderaan di susuli pula dengan bunyi hon yang membingitkan telinga. Asap yang keluar dari ekzos kenderaan pula berkepul-kepul di udara sebelum ditolak oleh angin yang mendatang. Angin semilir turut bertiup, menerbangkan debu-debu di jalanan. Hawa panas yang penuh dengan kotoran itu bagaimanapun tidak menerobos ke dalam bangunan yang berdiri megah dan tersusun rapi.

Di antara ratusan bangunan yang tersusun itu, salah satunya menjadi pejabat pengurusan kepada sebuah syarikat tekstil dan pakaian. Di dalam pejabat, udara terasa lebih nyaman dengan pendingin hawa yang terpasang. Para pekerja kelihatan sibuk dengan urusan masing-masing. Di salah satu sudut, seorang perempuan sedang tekun menaip di komputer. Matanya berselang seli berkalih di antara paparan monitor komputer dan dokumen yang berada di atas mejanya. Jari jemarinya laju menekan papan kekunci tanpa perlu penglihatannya mengarah ke sana. Idayu kemudian menyandarkan belakang badannya ke kerusi dan mendongakkan kepala sambil memejamkan mata. Seraya itu juga gadis tersebut menghembuskan satu nafas panjang.

Gadis itu merasa lega setelah berjaya menyelesaikan tugasnya. Idayu kemudiannya kembali menatap monitor komputer dan tangannya mengawal tetikus. Kerja yang baru disiapkannya sebentar tadi segera dicetak ke atas kertas. Setelah selesai proses mencetak semua dokumen yang dia kerjakan, Idayu tersenyum puas sambil membelek kertas hasil cetakan sehelai demi sehelai. Semua hasil kerjanya itu dimasukkan ke dalam sebuah fail.

Tanpa membuang masa, Idayu segera bangkit berdiri dari kerusi dan membawa fail yang mengandungi dokumen penting itu bersamanya. Gadis yang berusia lewat 20an itu berjalan dengan langkah yang teratur, melintasi beberapa meja karyawan lain yang turut bekerja di pejabat tersebut. Tidak lama kemudian, gadis itu tiba di hadapan pintu sebuah bilik. Di pintu tersebut, tertera perkataan Ketua Pegawai Eksekutif yang menandakan sebagai bilik kepada pegawai tertinggi di pejabat tersebut. Idayu kemudian mengetuk pintu bilik beberapa kali.

"Masuk." Kedengaran suara lelaki dari dalam bilik memberikan kebenaran untuk memasuki biliknya itu. Tanpa berlengah, Idayu segera memulas tombol pintu dan membuka pintu tersebut, seraya melangkah masuk.

"Encik Adam.. ini ada dokumen yang perlu Encik Adam tanda tangan." Idayu menyatakan kehadirannya untuk menyerahkan dokumen kepada majikannya itu. Di hadapan Idayu, seorang lelaki yang berusia lewat 30an sedang duduk dan meneliti beberapa lembaran kertas di atas mejanya. Lelaki yang digelar sebagai Encik Adam itu langsung tidak menoleh ke arah Idayu yang mendatanginya.

"Hmm.. letak kat situ." Adam bersuara tanpa memandang ke arah Idayu. Dia hanya mengisyaratkan melalui mulutnya agar Idayu meletakkan dokumen yang dibawa ke atas mejanya. Lelaki itu tetap fokus kepada kertas yang ditatapnya. Idayu pula meletakkan fail di tangannya itu perlahan-lahan ke atas meja. Mata gadis itu terpaku kepada majikannya yang sedang ralit membaca.

'Handsome juga bos aku ni.. tapi sayang.." Idayu bermonolog di dalam hatinya. Gadis itu terus terpegun menatap Adam.

"Ada apa lagi?" Adam bersuara lagi setelah menyedari Idayu masih berdiri di hadapannya setelah menyerahkan dokumen yang ingin dihantar. Adam kemudian menjeling ke arah Idayu melalui ekor mata.

"Tak..takde apa-apa.." Idayu langsung terpinga-pinga setelah disapa. Gadis itu kemudian menundukkan kepala sebelum berpaling punggung dan berjalan keluar dari bilik tersebut. Setelah keluar dari bilik, Idayu sempat mengintai sekejap ke dalam bilik melalui cermin. Gadis itu kemudian mencebikkan bibir seraya berjalan meninggalkan kawasan tersebut. Baginya, Adam adalah seorang lelaki yang dingin dan langsung tidak menarik. Namun pegawai tertinggi dan juga pemilik kepada syarikat itu sebenarnya menjadi kegilaan ramai wanita. Lelaki itu mempunyai rupa paras yang menarik dan berharta. Pada usia muda, Adam sudah memiliki empayar perniagaannya sendiri. Namun yang menjadi masalah kepada para wanita, Adam adalah seorang lelaki yang sukar di dekati dan bersikap dingin. Lelaki itu langsung tidak menegur mana-mana perempuan sekali pun. Jika ada perempuan yang ingin mendekat, Adam pasti akan segera menjauh dan menyisihkan perempuan tersebut.

Idayu kini sudah kembali ke meja kerjanya. Gadis itu segera menempatkan punggungnya di kerusi dan berdiam diri sambil termenung. Dia masih memikirkan, kenapa Adam bersikap dingin terhadap perempuan. Padahal, dengan rupa paras dan kekayaannya, lelaki itu mampu sahaja memiliki mana-mana wanita yang dia sukai. Bahkan Idayu juga tidak pernah mendengar khabar mengenai majikannya itu suka berfoya-foya dan bersama mana-mana wanita. Sungguh aneh sikap yang ditunjukkan oleh majikannya itu.

"Ayu.. kau ni kenapa? termenung je.." Rakan Idayu yang berada disebelah menegur.

"Takde apa la Nadia.. cuma aku pelik, kenapa dengan Encik Adam tu? Dia macam tak suka je orang dekat dengan dia.. lagi-lagi kalau orang perempuan.. Kau tak pelik ke?" Idayu meluahkan pertanyaan yang bermain di mindanya.

"Hmm.. kau baru sebulan kerja kat sini, dah tertanya-tanya.. orang lain dalam pejabat ni dah bertahun.. aku sendiri pun tak tahu kenapa perangai dia macam tu.. tapi ada orang cakap, Encik Adam tu geng kunyit." Nadia bersuara perlahan menjawab pertanyaan daripada Idayu.

"Geng kunyit? Ish, kau biar betul.." Idayu tidak mahu mempercayai akan hal yang baru dia dengar daripada temannya itu.

"Mana la aku tahu betul ke tak.. tapi itulah yang orang duk cakap, sebab dia tak suka layan perempuan.. jangankan nak bersembang, nak tengok perempuan pun susah dia tu.. tak ke pelik.. kalau lelaki normal, takkan la tak nak pandang langsung kat perempuan." Nadia cuba membuat andaian.

"Jangan tuduh sembarangan macam tu.. tapi kalau betul dia suka sesama lelaki, harap-harap dia bertaubat la lepas ni.. sayang, rupa dah kacak.."

"Itulah.. kalau la dia jadi suami aku.. uiihh.. dah la kacak, kaya pula tu.. aku pun tak nak dah kerja kat sini.. baik duduk rumah, goyang kaki je.." Nadia berseloroh sambil melepaskan tawa.

"Amboi.. Cik Nadia.. besar cita-cita kau.." Idayu turut tertawa. Idayu kemudian menggelengkan kepala sambil tersenyum. Gadis itu selanjutnya mendiamkan diri, seraya menatap monitor komputer di depannya dengan pandangan yang kosong. Bayangan wajah dingin Adam kembali menjelma di benak Idayu. Idayu kemudian dengan pantas menyingkirkan bayangan wajah lelaki yang dilihatnya sebentar tadi.

'Huh, geng kunyit.. buat goreng ikan boleh la.. baik layan geng serai ke, geng halia ke, geng daun pandan ke..' getus hati Idayu. Dia tersenyum sendiri apabila mengingatkan gelaran yang diberikan oleh masyarakat kepada golongan yang bernafsu songsang tersebut. Pada masa yang sama, hatinya masih ragu-ragu jika majikannya itu adalah benar seperti yang diperkatakan oleh orang.

Selesai waktu bekerja, Idayu segera mematikan komputer di mejanya. Gadis itu mengemas meja dengan cepat, lantas mencapai tas tanganya dan tergesa-gesa berjalan untuk keluar dari pejabat. Idayu berhenti seketika untuk mengambil kad perakam waktu bekerja dan segera memasukkan kad miliknya ke dalam mesin perakam waktu yang tergantung di dinding. Setelah selesai meletakkan kembali kad perakam waktu miliknya, Idayu terburu-buru bergerak sambil berpaling. Tanpa di duga, gadis itu telah terlanggar Adam yang sedang berjalan di sebelahnya. Perlanggaran tersebut telah membuatkan Idayu terkejut dan hilang keseimbangan badan. Kasut tumit tinggi yang dipakainya tergelincir dan Idayu mula rebah. Namun sebelum gadis itu sempat jatuh, Adam dengan pantas merangkul tubuh gadis tersebut dengan tangan kanannya bagi mengelakkan perempuan yang terburu-buru itu jatuh ke lantai. Tangan kiri Adam pula sempat memegang tangan kanan Idayu bagi menyokong berat badan gadis yang sedang ditampung dengan tangan kanannya itu.

Idayu langsung terbuntang matanya apabila melihat wajah Adam yang agak rapat dengan wajahnya. Malah tubuh mereka juga merapat apabila Adam menarik badan Idayu ke arahnya agar tidak terjatuh. Sejenak kemudian, Adam menarik dan mengangkat tubuh Idayu agar gadis itu dapat berdiri dengan seimbang. 

"Maaf.." Idayu bersuara perlahan sambil menjatuhkan pandangan wajahnya. Dia sebenarnya sangat malu setelah bersikap cuai dan melanggar majikannya itu. Untung sahaja dirinya di sambut oleh Adam daripada jatuh tergolek ke lantai. Untuk menyeimbangkan kembali kakinya, Idayu menompangkan tangannya ke dada Adam. Idayu kemudian menarik kembali tangannya apabila merasakan seolah dia sedang meraba dada bidang milik Adam. Namun kedua tangan gadis itu beralih pula memegang kedua belah tangan Adam dan berpaut kepada lengan lelaki tersebut. Setelah kakinya dapat berdiri dengan seimbang, Idayu melepaskan pegangan tangannya di lengan Adam yang terasa pejal dan berotot.

'wah, gagah dan berotot lengan dia.' Getus hati Idayu.

"Hati-hati.." Adam memberi nasihat yang ringkas.

"Ya.. maafkan saya Encik Adam.." Idayu bersuara perlahan seraya mengangguk dengan wajahnya yang tertunduk. Lelaki di hadapannya itu kemudian beralih dan membuka langkah kakinya untuk beredar dari situ. Idayu pula merasa dirinya dibalut oleh rasa malu. Gadis itu tidak sedar jika wajahnya sudah merona kemerahan.

'Badannya berotot dan gagah.. mesti selalu main gym.. hmm.. tapi ada je geng kunyit ni yang badan sado.. tapi muka dia macho.. bukan jenis jambu..' Idayu terus berbisik di dalam hatinya. Matanya pula masih terpaku ke arah Adam yang berjalan semakin menjauh. Idayu hanyut terbuai oleh lamunan. Dia langsung tidak menyangka diri mereka akan berada pada kedudukan yang dekat seperti tadi. Padahal selama ini, majikannya itu tidak suka berada berhampiran perempuan. Seketika kemudian, Idayu kembali teringat akan masa. Dia perlu bergegas untuk pulang ke rumah. Gadis itu kembali meneruskankan langkah kakinya untuk pulang kerana waktu kerjanya sudah pun selesai.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience