Bab 39

Romance Series 125055

ADAM membelek helaian kertas di atas meja kerjanya. Matanya terpaku melihat hasil rekaan fesyen terbaru yang dihasilkan oleh Idayu. Isterinya itu benar-benar berbakat besar dan selayaknya menjadi seorang pereka fesyen. Berdasarkan perkembangan Idayu, Adam yakin isterinya itu akan menempa nama sebagai salah seorang pereka fesyen tersohor suatu hari nanti. Sedang asyik menatap lembaran kertas yang mengandungi rekaan fesyen itu, Adam dikejutkan dengan panggilan telefon. Lelaki itu segera menjawab panggilan di telefon bimbitnya itu.

"Assalamualaikum.. abang masih kat pejabat lagi ke?" Suara Idayu bergema dari corong telefon.

"Waalaikumussalam.. ah, masih kat pejabat.. tunggu jap.. abang pergi sana sekarang." Adam membalas.

"Laa.. sayang dari tadi lagi duk tunggu.. hari ni mak dah boleh discharge.. cepat la jemput kami."

"Oh, okey.. abang datang sekarang.." Adam segera mematikan panggilan telefon. Meja kerjanya yang berselerakan mula dikemas dengan tergopoh gapah. Lelaki itu kemudian bergegas keluar dari biliknya dan ingin menuju ke hospital. Di sana, Idayu bersama ibu mentuanya sudah pun menunggu. Adam perlu tiba di sana secepat mungkin. Beberapa hari yang lalu, ibu mentuanya, Zaiton telah selesai menjalani pembedahan pada kakinya. Segala perancangan telah berjalan dengan lancar dan Zaiton nantinya akan dapat berjalan semula. Kini ibu kepada Idayu itu hanya perlu berlatih berdiri dan berjalan perlahan-lahan untuk memulihkan kekuatan pada kakinya. Hal ini sangat mengembirakan Idayu. Impiannya selama bertahun-tahun untuk merawat kaki ibunya kini berhasil. Malah tiada yang lebih membahagiakan bagi Adam apabila melihat isterinya itu gembira.

PADA waktu yang sama, di hospital, Idayu sedang bersama ibunya. Barang-barang ibunya selama berada di wad hospital di kemas dan dimasukkan ke dalam beg oleh Idayu. Mereka sudah bersiap-siap untuk keluar dari wad dan menunggu Adam datang menjemput mereka di sana. Zaiton yang duduk di birai katil cuba untuk bangun berdiri perlahan-lahan. Dia ingin berusaha agar kakinya itu kembali gagah secepat mungkin.

"Mak, jangan la terlalu paksa kaki tu.. mak baru je lepas operate.. tunggu la dulu kalau nak berjalan pun.." Idayu menegur ibunya yang sudah tidak sabar untuk berjalan.

"Mak nak biasakan diri je.. biar kaki mak ni cepat pulih.. kalau tak cuba berjalan perlahan-lahan, macam mana nak pulih.. doktor pun cakap benda yang sama.." Zaiton segera menjawab.

"Ye, Ayu tahu.. tapi nanti la.. jangan terlalu gopoh. Nanti makin sakit pulak.. sekarang ni mak gerak-gerakkan je dulu kaki tu.. tak perlu la sampai nak paksa berjalan terus." Idayu meletakkan beg dan segera memapah Zaiton agar ibunya itu tidak rebah kerana memaksa diri untuk berdiri sendiri. Zaiton pula hanya tersenyum melihat anak perempuannya yang kerisauan. Wanita itu kemudian melabuhkan kembali punggungnya di tilam katil sambil dibantu oleh Idayu.

"Mak dah tak sabar nak dapat berjalan balik.. Maafkan mak sebab dah banyak menyusahkan Ayu selama ni.. kesian anak mak ni, kena kerja keras sebab nak kumpul duit rawat mak." Zaiton menatap Idayu disisinya dengan penuh rasa sayu. Dia tahu Idayu banyak berkorban masa dan tenaga untuk bekerja mencari wang bagi nafkah mereka berdua selama ini bahkan anak perempuannya itu perlu mengumpulkan wang puluhan ribu hanya untuk merawat kakinya yang lumpuh selama ini.

"Mak, jangan cakap macam tu.. Ayu kan anak mak.. siapa lagi yang nak jaga mak kalau bukan Ayu.. lagipun kos rawatan mak kali ni bukan Ayu yang tanggung.. semuanya Adam yang bagi."

"Hmm, bertuah Ayu dapat suami macam Adam.. Mak tak tahu kenapa Ayu terburu-buru kahwin dengan dia. Tapi mak tahu, Adam tu baik orangnya.. sepadan dengan anak mak yang cantik ni.

"Ish, mak ni.. Ayu pun tak sangka akan kahwin dengan dia. Padahal masa tu baru sebulan Ayu kerja dengan dia. Dia pulak jenis yang tak bercakap banyak.. nampak garang je.. tiba-tiba dia ajak Ayu kahwin.. Fikirkan hantaran yang akan dia bagi, Ayu ingat boleh la guna duit hantaran tu untuk rawat mak."

"Hah, jadi Ayu kahwin dengan Adam hanya sebab mak? Ayu sengaja nak pergunakan Adam, nak guna duit dia?" Zaiton terkejut dan salah menafsir maksud anaknya.

"Mak! bukan macam tu la.. Ayu tak terfikir pun nak gunakan Adam dan ambil duit dia untuk rawat mak.. Ayu cuma nak gunakan duit hantaran kahwin tu je.. lagipun Adam tu garang la. Ayu takut.. mana berani nak pergunakan dia."

"Adam garang ke? Mak nampak dia baik je.. bercakap pun, bahasa lembut je."

"Kat rumah memang la dia lembut.. kat pejabat garang nak mampus." Idayu langsung ketawa.

"Maknanya, dia tahu bezakan antara urusan kerja dan urusan di rumah.." Zaiton memuji sikap menantunya.

"Dah la mak.. jom la kita keluar.. tunggu Adam kat luar." Idayu kemudian mendapatkan kerusi roda dan membantu ibunya itu untuk duduk di atas kerusi roda. Beg yang berisi barang dan pakaian ibunya disangkut pada kerusi roda dan Idayu segera menolak kerusi roda yang diduduki oleh ibunya itu untuk keluar dari wad.

Tiba di kawasan laluan ambulans, Idayu menghentikan kerusi roda yang ditolaknya tepat di tepi jalan bagi memudahkan ibunya untuk masuk ke dalam kereta setelah ketibaan Adam sebentar lagi. Mata gadis itu melilau ke sekeliling arah bagi melihat keberadaan Adam. Berdasarkan masa yang berlalu seketika tadi, Idayu yakin suaminya itu sudah hampir tiba di kawasan tersebut. Seketika kemudian, mata wanita itu terpaku ke satu sosok individu yang sedang berjalan. Idayu mengenali individu tersebut. Orang itu adalah Dato' Maizura, pemilik syarikat ELBY. Wanita yang berusia lebih separuh abad itu berjalan sambil bercakap menggunakan telefon bimbit.  Tiba-tiba sebuah ambulans meluncur laju dikawasan tersebut. Kenderaan yang dibawa secara terburu-buru untuk menyelamatkan pesakit itu bergerak laju menuju ke arah kawasan kecemasan.

Idayu pula secara tiba-tiba menjadi cemas apabila melihat Maizura melintasi jalan yang menjadi laluan ambulans itu tanpa melihat ke arah kiri dan kanan jalan. Wanita yang sedang berjalan itu terlalu fokus bercakap di telefon sehingga tidak memerhatikan keadaan sekeliling.

"Dato'!.." Idayu segera berlari menuju ke arah Maizura yang sedang melintas jalan bagi mengelakkan wanita itu dari dilanggar. Tanpa berfikir panjang, Idayu menolak Maizura dengan sekuat tenaga.

Dumm!!

Sebuah perlanggaran berlaku. Ambulans yang bergerak laju kini berhenti di tengah jalan. Maizura yang rebah di tepi jalan pula kaku apabila melihat kejadian yang berlaku di depan matanya. Idayu yang dilanggar oleh ambulans terpelanting dan bergolek di atas jalan raya beberapa kali.

"Ayu!!!" Zaiton yang terperanjat dengan situasi tersebut segera bangkit berdiri dari kerusi roda. Baru sahaja dia membuka langkah kakinya untuk menuju ke arah Idayu, wanita itu kemudian jatuh tersungkur ke lantai disebabkan kakinya yang masih lemah.

"Ayu!!.." Zaiton masih terus merintih memanggil anak perempuannya. Matanya menyaksikan, Idayu sudah pun lemah dan tidak sedarkan diri. Darah merah yang pekat sudah pun memenuhi pakaian anak perempuannya itu malah mengalir membasahi jalan raya. Orang ramai mula mengerumuni kawasan kejadian. Beberapa orang pula segera mendapatkan Idayu dan mengusung wanita itu ke unit kecemasan untuk diberikan rawatan secepat mungkin.

Adam, Zaiton dan Maizura duduk di bangku menunggu di wad kecemasan. Zaiton yang menangis tidak henti cuba ditenangkan oleh Adam beberapa kali. Maizura yang bersedih turut kesal dengan dirinya sendiri. Wanita yang menyandang gelar Dato' Seri itu tidak berhenti menyalahkan dirinya. Kecelakaan yang menimpa Idayu sekarang jelas disebabkan oleh kecuaian Maizura. Jika Idayu tidak membantunya, mungkin Maizuralah yang akan berada di dalam bilik rawatan sekarang.

"Maafkan mama.. kalau bukan sebab mama, Ayu takkan jadi macam ni.. sepatutnya mama yang berada dalam tu." Maizura meluahkan rasa kesalnya kepada Adam dan Zaiton. Wanita itu turut menangis mengenangkan kejadian yang berlaku tadi.

"Dah la mama.. jangan salahkan diri mama.. Walaupun Ayu jadi macam tu sebab selamatkan mama, tapi itu pilihan Ayu sendiri.. Dia sendiri yang sanggup ambil risiko untuk selamatkan mama.." Adam cuba memujuk agar Maizura terus tidak merasa bersalah. Walaupun hatinya pilu, namun Adam masih mampu untuk mengawal emosinya. Baginya, tiada keperluan untuk dia menyalahkan Maizura di atas apa yang telah berlaku. Jika ingin menyalahkan sesiapa sekalipun, keadaan Idayu kini tetap tidak akan berubah. Segalanya telah berlaku. Malah Adam sendiri turut menyalahkan dirinya. Bagi Adam, jika dia tiba lebih awal di sana, mungkin kejadian tersebut tidak akan berlaku.

"Mama yang cuai.. kalau mama tak lintas jalan tadi, Ayu pun takkan lari ke sana untuk tolong mama.." Maizura masih tetap merasa kesal sambil tersedu sedan menahan tangis. Seketika kemudian, seorang lelaki yang berperanan sebagai doktor yang merawat Idayu keluar dari bilik rawatan. Adam dan Maizura segera menuju ke arah doktor tersebut. Zaiton yang masih lemah pula hanya menatap kehadiran doktor tersebut dari kerusi rodanya.

"Macam mana dengan isteri saya doktor?" Adam segera bertanya dengan cemas.

"Kami dah berikan dia darah sebab dia dah kehilangan banyak darah.. sekarang keadaan pesakit dah stabil tapi masih tak sedarkan diri.. insyaallah takkan ada apa-apa.. walaupun kepala dia mengalami kecederaan akibat terhantuk kuat, namun tiada kecederaan dalaman berlaku.. mujurlah.. tiada gegaran otak atau darah beku kat kepala.." Doktor memberikan penjelasan. Adam dan Maizura segera menghela nafas lega.

"Oh, kandungan dia juga selamat.." Doktor tersebut melanjutkan ucapannya.

"Kan..kandungan?" Adam terkejut sambil matanya terbeliak luas.

"Ya.. isteri awak dah mengandung sebulan.. nasib baik janinnya selamat dan tidak terjejas akibat kemalangan tu." Doktor lelaki itu tersenyum sambil menepuk bahu Adam. Adam yang masih tergamam terus terdiam. Badannya perlahan-lahan berpaling dan Adam menatap Zaiton yang masih terduduk di kerusi roda sambil berteman air mata. Adam kemudian berlari ke arah Zaiton dan menggenggam erat tangan ibu mentuanya itu.

"Mak.. Ayu mengandung! Saya dan Ayu akan dapat anak.. Saya akan jadi ayah.. saya akan jadi ayah..." Adam tersenyum gembira. Berita yang mengembirakan itu seolah-olah menghapuskan kedukaan mereka tadi dalam sekelip mata. Mendengar kata-kata Adam, Zaiton juga segera mengesatkan air matanya. Namun air matanya tetap juga mengalir keluar. Bezanya, air matanya sekarang terkandung kegembiraan yang disertai senyuman lebar.

"Doktor, boleh kami masuk jumpa pesakit sekarang?" Adam bertanya kembali kepada doktor yang merawat.

"Sekarang pesakit masih tak sedarkan diri.. saya tak halang kalau ahli keluarga nak masuk tengok. tapi jangan buat bising je.."

"Terima kasih doktor.." Adam yang tidak lekang dengan senyuman sejak menerima perkhabaran mengenai kandungan isterinya sangat menghargai jasa doktor yang telah merawat isterinya itu.

Share this novel

Che Rohana
2025-01-04 23:13:33 

tak sabar... next

Noor Mimi
2025-01-04 11:40:00 

bestnye..x sabar next


NovelPlus Premium

The best ads free experience