Bab 7

Romance Series 97025

PULANG dari pejabat setelah selesai bekerja, Idayu yang dalam perjalanan untuk ke rumahnya sempat singgah di sebuah kedai emas. Wanita itu melihat ke arah susunan cincin perak yang terlihat indah. Dia sebenarnya ingin membeli sebentuk cincin sebagai balasan kepada Adam. Di sebabkan mereka berkahwin secara tergesa-gesa dan di lakukan secara rahsia, masing-masing terlupa untuk mendapatkan cincin perkahwinan mereka. Setelah diberikan cincin oleh Adam, barulah Idayu mula terfikir mengenai cincin yang menjadi ikatan kepada perhubungan mereka itu. Walaupun mereka bernikah secara rahsia, namun hubungan mereka tetap sah di sisi syarak dan berdaftar di jabatan agama. Setelah meninjau seketika, Idayu akhirnya memilih sebentuk cincin perak yang lengkap dengan sebiji permata nilam biru kegelapan.

'lupa pula nak tanya saiz jari dia.. lantak la.. kalau besar, nanti pandai la dia kecilkan sendiri..' Idayu mula tertanya-tanya mengenai saiz jari Adam. Dia terpaksa memilih cincin yang bersaiz sedikit besar berbanding saiz anggaran. Selesai membeli cincin untuk suaminya, Idayu segera pulang ke rumah. Ibunya yang lumpuh hanya ditinggalkan sendirian ketika Idayu keluar bekerja. Disebabkan itu, dia perlu kembali secepat mungkin untuk menemani dan menguruskan ibunya itu.

Sekembalinya Idayu ke rumah, dia segera melakukan pekerjaan rutinnya iaitu memasak dan memberi makan kepada ibunya. Walaupun kepenatan, namun Idayu tetap berbakti kepada orang tuanya itu. Bahkan, gadis itu bukan sahaja bekerja di pejabat. Dia turut melakukan pekerjaan sampingan untuk menambah pendapatan. Ketika menyuapkan makanan kepada ibunya, Idayu turut berbual-bual.

"Mak.. kalau Ayu kahwin.. macam mana?"

"Macam mana apa? baguslah kalau kau nak kahwin.. Mak pun senang hati.. takde la kau susah sorang diri nak kena buat semua kerja.. nak cari duit lagi, kemas rumah lagi, jaga mak lagi.." Zaiton membalas setelah menelan nasi goreng disuap oleh anaknya itu.

"Tapi.. Ayu takut.. macam mana kalau orang tu nanti tak dapat terima keadaan mak?" Idayu meluahkan kegusaran yang melanda hatinya.

"Apa yang nak takutnya? Mak tahu, kau akan cari lelaki yang betul-betul layak untuk jadi suami kau.. lagipun, hidup kita ni, kita takkan tahu entah apa akan jadi hari esok.. kita cuma mampu berusaha untuk menuju ke arah yang lebih baik. Kalau terjadi kemudaratan, itulah namanya ujian.. takde orang dalam dunia ni nak hidup susah.. tapi ujian dalam hidup ni pasti ada.. macam mak sekarang ni.. mak pun tak pernah terfikir akan jadi macam ni.. mak pun taknak jadi macam ni.. tapi yakinlah, setiap musibah yang melanda, pasti ada hikmahnya. Keadaan mak macam ni, mungkin tak baik untuk mak, pada anggapan mak.. tapi Allah lebih tahu.. mungkin Allah tak nak mak tambah dosa dengan pergi sana sini.. mengumpat orang, dengar orang mengumpat.. mungkin juga Allah buat mak macam ni, sebab nak tambah pahala kat Ayu.. Ayu dapat jadi anak yang berbakti.. kita takkan pernah tahu.. hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui." Zaiton memberikan nasihat yang panjang kepada anak gadisnya. Idayu hanya terdiam mendengar ucapan ibunya itu. Seketika kemudian, Idayu mula terperasan, terdapat kelainan pada ibunya. Ibu tua itu terlihat seakan lemah dan sedikit termengah-mengah.

"Mak.. mak tak apa-apa ke? Ayu tengok mak macam susah je nak bernafas.. mak okay tak ni?" Idayu meluahkan kegusaran.

"Hmm.. entahlah.. mak rasa macam berat je dada ni nak bernafas.. rasa macam nak demam pun ada.." Zaiton menjawab pertanyaan anaknya.

"Kalau macam tu, kita pergi ke klinik je la.."

"Eh, tak payah la.. mungkin sebab mak penat kot.. nanti mak tidur lama sikit, elok la tu.."

"Ish, mak ni.. degil betul la.." Idayu mencebikkan bibir sambil mengacau nasi di dalam mangkuk yang dipegangnya. Zaiton mula terperasan pada cincin di jari manis anaknya itu.

"Eh, sejak bila kau ada cincin emas tu Ayu? Baru beli ke?" Zaiton segera bertanya.

"Ah.. ini.. cincin ni.. emm.. ah.. Ayu beli tadi.." Idayu berbohong kepada ibunya. Dia tidak ingin mengatakan hal yang sebenarnya memandangkan kesihatan ibunya itu terlihat dalam kondisi yang tidak stabil. Idayu tidak ingin ibunya terkejut dengan berita perkahwinannya. Zaiton mungkin akan jatuh lebih sakit jika mengetahui anak gadisnya itu telah berkahwin tergesa-gesa malah secara rahsia. Disebabkan itu, Idayu memilih untuk merahsiakan terlebih dahulu mengenai perkahwinannya itu.

"Hmm.. ye ke kau ni Ayu? entah-entah kau dah kahwin senyap-senyap, taknak bagitahu kat mak.." Zaiton cuba menduga sambil berseloroh. Namun kata-kata ibunya itu membuatkan Idayu tersentak dan terpana. Mungkin benar kata orang, naluri seorang ibu sangat kuat. Walaupun sekadar ingin berjenaka, namun Zaiton tidak sedar bahawa dugaannya itu adalah benar.

"Ish, mak ni.. kalau Ayu kahwin betul-betul macam mana?" Idayu cuba berlagak dengan nada gurauan. Dia tidak ingin lakonannya di saat itu ketahuan.

"Baguslah kalau macam tu.. kenalkan kat mak cepat-cepat suami kau tu."

"Bencilah mak ni.. Ayu bawa balik suami betul-betul baru tahu.."

"Bawalah jumpa mak kalau dah ada.."

"Makk... "

"Jangan duk tangguh-tangguh Ayu.. nanti jadi anak dara tua, baru tahu.. kalau dah ada calon, kahwin je cepat-cepat." Zaiton terus menasihati anak daranya itu. Idayu mendiamkan diri. Gadis itu merasa sedikit bersalah kerana telah berbohong kepada ibunya. Namun Idayu cuba meyakinkan dirinya sendiri bahawa dirinya masih belum bernikah dengan sempurna. Dia dan Adam masih belum tinggal bersama dan tidak pernah terjadi apa-apa diantara mereka berdua. Perkahwinannya hanyalah sekadar di atas kertas dan bukan ikatan suami isteri yang sesungguhnya.

KEESOKAN harinya, setelah masuk ke pejabat, Idayu sudah pun beralih tempat kerjanya. Kini dia hanya duduk di meja yang terletak di hadapan pintu bilik Adam. Menjadi seorang pembantu peribadi tanpa mengetahui bidang tugas yang harus dia laksanakan, dirasakan sangat membosankan bagi Idayu. Wanita itu hanya termenung di meja kerja. Adam juga masih belum tiba di tempat kerja. Idayu yang kebosanan mula mengambil pen dan membuat contengan pada helaian kertas putih.

"Nak buat apa la aku duk kat sini.. takkan la nak makan gaji buta je.. jadi bini pun tak buat apa.. jadi pembantu pun tak tahu nak buat kerja.. hmmm.. bertuah la kau ayu, dapat kerja senang, gaji ribu riban.." Idayu berceloteh sendirian sambil tangannya bergerak menconteng kertas.

'Hmm.. apa kata kalau aku bagi design yang aku buat tu kat Adam je? dia bos paling besar.. kalau dia terima, takde siapa pun boleh sangkal dah..' Idayu bermonolog di dalam hatinya. Dia masih berfikir cara untuk menyerahkan rekaan fesyen yang dia hasilkan dan mengejar cita-citanya. Kini dia mula terfikir untuk menyerahkan terus hasil rekaannya kepada Adam, selaku Ketua Pegawai Eksekutif di syarikat tersebut.

'Eh, tak boleh.. nanti Adam kata aku nak pergunakan dia pula.. aku pun bukannya designer.. setakat kerani je.. sekarang dah jadi pembantu dia.. Mat kunyit tu pasti takkan terima kalau aku serahkan kat dia..' Idayu terus berbicara di dalam hatinya.

'Macam mana kalau aku pergi serahkan sendiri kat bahagian design? kalau diorang taknak terima, aku cakap je la itu arahan daripada Encik Adam.. Aku kan pembantu peribadi dia.. Ishh.. tak boleh.. kalau tahu kat Adam, mampus aku kena maki nanti.. pandai-pandai gunakan nama dia untuk ambil kesempatan.. Hmm..' Idayu tidak berhenti berfikir.

'Tapi.. Adam kan suami aku? apa kata kalau aku goda dia sikit.. lepas tu pujuk untuk dia terima design aku tu? benda tak salah pun.. kami kan dah menikah... Ishh.. nampak macam aku ni perempuan murahan pula nak merayu kat lelaki.. lagipun, Adam tu kan geng kunyit.. mana la dia layan orang perempuan.. menikah pun sebab nak tutup mulut orang." Idayu melepaskan satu nafas yang berbaur keluhan. Tiba-tiba Adam muncul di hadapan Idayu. Lelaki itu baru sahaja tiba di pejabat pada pagi tersebut. Adam berdiri tegak menatap ke arah Idayu.

"Buatkan saya kopi.." Adam memberikan arahan sebelum melangkah masuk ke dalam biliknya. Idayu hanya mengangguk tanpa mengeluarkan sebarang suara.  Kertas yang dicontengnya tadi lekas di gumpal dan di buang ke dalam tong sampah. Sejenak kemudian, Idayu cuba mengintai Adam dari arah luar melalui dinding cermin. Gadis itu kemudian tersenyum sendirian sebelum bangkit berdiri dan menuju ke pantri untuk membuatkan minuman kepada majikannya.

Di dalam bilik pejabat, Adam baru sahaja melabuhkan punggungnya ke kerusi. Mata lelaki itu kemudian tertancap ke arah sebuah kotak baldu merah di atas mejanya. Di bawah kota berbentuk hati itu terdapat sehelai kertas kecil yang tertulis nota. Adam segera mencapai kotak kecil tersebut bersama kertas yang terdapat di sana. Matanya laju membaca tulisan di atas kerta.

Untuk suamiku..
Maaf sebab terlupa belikan cincin perkahwinan untuk awak baru ni..
ini cincinnya.. silalah pakai.

daripada isterimu.

Selesai membaca nota tersebut, Adam melihat pula kotak kecil yang sedang berada di tangannya. Kotak tersebut segera dibuka. Adam melihat sebentuk cincin perak yang disematkan permata nilam yang gelap. Bekas cincin tersebut lantas ditutup kembali. Adam kemudian mencampakkan kotak yang mengandungi cincin tersebut. Kertas nota yang ditinggalkan juga segera dironyokkan oleh Adam. Lelaki dingin itu menghembus satu nafas kuat sambil menggelengkan kepalanya.

Tidak lama kemudian, Idayu masuk ke dalam bilik Adam sambil membawa secawan kopi. Gadis itu tersenyum manis di saat membawakan minuman yang diminta oleh majikannya itu sebentar tadi. Idayu kemudian meletakkan cawan di tangannya ke atas meja Adam. Hatinya berbunga-bunga untuk melihat Adam memakai cincin pemberiannya. Namun senyuman pada bibir gadis itu perlahan-lahan mulai sirna apabila dia menyedari cincin pemberiannya tidak tersemat di jari Adam. Malah kotak cincin tersebut juga sudah tiada di atas meja. Jadi dia yakin Adam sudah melihat cincin pemberiannya itu. Namun Idayu tiba-tiba merasa gundah apabila tidak melihat cincin yang dibelinya tidak dipakai oleh suaminya itu. Mungkinkah suaminya itu tidak menghargai cincin perkahwinan mereka yang diberikan olehnya. Idayu kemudian langsung berpaling badan dan keluar dari bilik Adam.

'Hmm.. mungkin tak muat dengan jari dia kot.. ke cincin tu besar sangat? ahh.. pandai-pandai la dia pergi resize sendiri.' Getus hati Idayu. Gadis itu segera menempatkan punggungnya di kerusi, seraya menyambung kembali aktiviti termenungnya yang tergendala sebentar tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience