Bab 17

Romance Series 97025

DI pejabat, Adam semakin gelisah. Idayu masih belum muncul. Adam mundar mandir di dalam biliknya. Sesekali dia menjenguk ke luar bilik untuk melihat keberadaan Idayu namun terus merasa hampa. Gadis itu masih tidak hadir ke pejabat. Jam di dinding sudah menunjukkan pukul sepuluh pagi. Berkali-kali Adam cuba menghubungi isterinya itu menerusi panggilan telefon namun tidak berjawab. Tiba-tiba pintu biliknya diketuk dari luar. Adam tersenyum dan dengan pantas menuju ke arah pintu. Dia berharap Idayu yang baru tiba dan mengetuk pintu biliknya. Setelah pintu dibuka, Adam semakin hampa. Kelihatan Shakir menuju masuk ke dalam biliknya.

"Encik Adam kenapa? nampak macam tak senang duduk je?" Shakir bertanya setelah menyedari tingkah laku aneh majikannya itu.

"Takde.. takde apa-apa.. Kenapa? awak ada apa datang ke bilik saya?" Adam lantas menjawab.

"Ah, saya nak serahkan dokumen ni, untuk Encik Adam tanda tangan.. dan saya nak ingatkan, tengah hari nanti, Encik Adam ada meeting dengan wakil dari syarikat Batik Mas.." Shakir segera membalas. Adam menyambut dokumen yang dihulurkan oleh setiausahanya itu dengan pandangan mata yang kosong. Lelaki itu terdiam seketika, seolah sedang memikirkan sesuatu.

"Encik Adam ada apa-apa masalah?"

"Ah, takde.. hmm.. Shakir, batalkan meeting tengah hari ni.. tangguhkan lain kali."

"Baiklah.. tapi kenapa? Apa yang saya nak bagitahu kat pihak Batik Mas nanti."

"Cakap je la saya sibuk.." Adam membalas pendek. Shakir terdiam. Dia tahu ada sesuatu yang menggangu fikiran majikannya itu. Padahal perjumpaan dengan wakil syarikat usaha sama untuk projek mereka itu sudah di rancang sejak beberapa minggu yang lalu. Adam pasti tidak akan membatal atau menangguhkan perjumpaan tersebut dengan sesuka hati. Shakir yakin majikannya itu sedang di himpit oleh permasalahan yang mengganggu jiwanya berdasarkan tingkah laku aneh lelaki tersebut.

"Oh, ya.. tadi Puan Idayu ada call.. dia bagitahu dia perlukan cuti beberapa hari.." Shakir menyampaikan khabar daripada Idayu kepada Adam. Mendengar ucapan setiausahanya itu, Adam terus tersentak.

"Dia nak cuti? berapa hari? Kenapa dia nak cuti?" Bertalu-talu soalan yang muncul dari mulut Adam.

"Dia tak bagitahu berapa hari.. dan dia juga tak bagitahu kenapa... saya pun tak berani tanya sebab dia kan isteri Encik Adam.." Shakir sedikit tergagap untuk menjawab pertanyaan daripada Adam. Dia sudah menjangkakan pasangan tersebut sedang mengalami masalah dalam perhubungan mereka. Dia sama sekali tidak ingin masuk campur mengenai masalah rumah tangga majikannya itu. Disebabkan itu dia tidak berani banyak bertanya kepada Idayu sebelumnya. Walaupun jawatan Idayu lebih rendah berbanding dirinya, namun Shakir tetap tidak berani mempersoalkan wanita tersebut kerana Idayu tetap isteri kepada majikannya. Kedudukan gadis itu tetap lebih tinggi berbanding dirinya yang cuma seorang pekerja kepada Adam. Malah daripada tindak tanduk Adam selama ini, Shakir sedar, Idayu mempunyai kedudukan istimewa kepada lelaki tersebut. Majikannya itu selama ini terkenal sebagai lelaki yang dingin terhadap wanita. Namun entah kenapa Adam amat mengambil berat terhadap Idayu dan menjadikan perempuan itu sebagai isterinya. 

"Huh, tak boleh diharap langsung!" Adam mendengus kasar dan seakan tidak senang dengan tindakan Shakir. Dia sebenarnya sangat ingin tahu kenapa Idayu memerlukan cuti. Pada fikirannya, apakah gadis itu ditimpa sebarang masalah atau semata-mata ingin menjauhi dirinya. Dia sangat takut jika Idayu membuat pilihan untuk meninggalkan dirinya. Shakir pula terbungkam sambil menundukkan wajah. Kini dia sangat yakin, masalah mengenai Idayu adalah punca yang membuatkan fikiran Adam menjadi tidak tenang.

"Saya keluar dulu Encik Adam." Shakir meminta diri dan segera berundur. Dia dengan cepat melangkah meninggalkan Adam sendirian. Lelaki itu tidak ingin mengambil risiko untuk menerima makian daripada majikannya itu. Dia sangat faham jika emosi Adam sekarang tidak terkawal. Jika dia berterusan berada bersama majikannya itu, kemungkinan tinggi dia akan terus dipersalahkan dan dimaki oleh Adam yang ingin melampiaskan kemarahannya. Adam pula berjalan perlahan menuju ke arah sofa. Lelaki itu merebahkan punggungnya di sofa, seraya mencampakkan dokumen di tangannya tanpa membaca langsung helaian kertas yang diberikan oleh Shakir kepadanya itu. Adam kemudian menekup mukanya dengan kedua belah telapak tangan.

TIBA waktu tengah hari, matahari terik memancarkan sinarnya. Di hospital, Idayu duduk di samping katil ibunya. Zaiton yang lemah terlihat lena di pembaringan sambil dipakaikan topeng yang membekalkan oksigen kepadanya. Idayu menatap sayu wajah ibunya itu. Dia berharap agar keputusannya untuk tidak ditidurkan ibunya itu oleh pihak hospital menjadi satu pilihan yang tepat. Namun tatkala melihat wajah lesu ibunya itu, hati Idayu dirundung kesedihan. Gadis itu kini hanya berdiam diri, tidak ingin mengganggu tidur ibunya itu. Seketika kemudian, hatinya terasa lebih pilu apabila mengenangkan perbuatan Adam yang menuduh dirinya sebagai perempuan murahan. Dia mula ingin menanam rasa benci terhadap lelaki tersebut. Namun setiap kali ingin membenci suaminya itu, Idayu seakan tidak mampu untuk melakukannya. Dari awal dulu dia sudah sedia maklum jika lelaki itu bersikap dingin terhadap wanita. Namun Idayu berasa aneh dengan sikap Adam terhadap dirinya. Idayu sedar, Adam memperlakukan dirinya dengan berbeza. Kadang kala, lelaki itu sangat baik layanannya. Tetapi ada kalanya, lelaki tersebut mampu berubah menjadi beremosi.

'Jantan gila..' Idayu mengutuk Adam di dalam hatinya. Idayu kemudian memejamkan matanya. Satu demi satu kenangannya bersama Adam muncul di minda. Namun, apa yang peliknya, kenangan yang muncul itu semuanya bersifat baik. Idayu terbayangkan di saat Adam memberikan cincin perkahwinan kepadanya. Kemudian dia teringat pula ketika Adam menyelamatkannya daripada serangan Hafiz dan menjadikan dirinya sebagai pembantu peribadi untuk mengelakkan dirinya daripada terus dibuli di pejabat. Idayu tersenyum sendiri apabila teringat kejadian Adam menyambutnya ketika dirinya hampir rebah ketika mereka terlanggar di antara satu sama lain. Bahkan Idayu turut teringat ketika dirinya dengan terburu-buru mencium suaminya itu untuk mengelakkan lakonan mereka terbongkar. Malah dia juga terbayangkan saat mereka berduaan berjalan di mall dan Adam membelikannya barangan kemas yang bernilai puluhan ribu ringgit.

"Huh!" Idayu seakan mengeluh. Fikirannya seolah-olah tidak membenarkan dia untuk membenci lelaki tersebut. Di saat dia mecelikkan mata, Idayu terpandang pula gelang dan cincin emas di tangannya. Gelang yang besar dan berat itu bernilai puluhan ribu. Jika dia menggadaikannya, sudah pasti hasil daripada gadaian tersebut di campur dengan jumlah wang simpanannya selama ini, Idayu sudah mampu untuk merawat lumpuh ibunya. Idayu tidak dapat menafikan, sebahagian besar wang simpanannya juga adalah hasil pemberian daripada Adam. Kini perasaan benci yang ingin dipupuk oleh gadis tersebut sudah sirna sama sekali. Dia tidak mampu untuk membenci lelaki yang sudah banyak membantunya dalam diam selama ini. Hati Idayu mulai rawan. Dia kemudian tertundukkan dan kembali memejamkan mata.

'Kenapa kau kejam Adam? tapi dalam masa yang sama, kau terlalu baik padaku.. Apa sebenarnya yang kau fikirkan?' Idayu merintih di dalam hatinya. Dia benar-benar bingung dan tidak dapat memahami pemikiran suaminya itu. Tiba-tiba muncul seseorang dan sebelah tangannya menyentuh bahu Idayu dari arah belakang. Idayu terkejut apabila merasakan bahunya disentuh oleh seseorang. Dia yakin, orang yang mendatanginya itu adalah Farhan yang juga merupakan seorang doktor di hospital yang dia sedang berada sekarang. Tetapi, dia sedikit ragu, kerana selama ini, Farhan tidak pernah menyentuhnya. Masakan pula lelaki itu kini berani untuk memegang bahunya. Idayu segera mengangkat wajah dan mencelikkan mata. Dia segera berkalih memandang ke arah belakang untuk melihat pendatang yang menyentuh bahunya itu. Idayu tergamam. Adam berdiri tegak dibelakang Idayu sambil memegang bahu isterinya itu.

"Adam?" Idayu yang terkejut menyebutkan nama lelaki yang sedang dia fikirkan sebentar tadi. Lelaki itu kini muncul di depan matanya. Idayu berkalih pandangan kepada ibunya yang masih tertidur lena di katil hospital. Dengan pantas Idayu bangkit berdiri dari kerusi dan memegang tangan Adam. Perempuan itu lantas melangkah meninggalkan wad yang menempatkan ibunya itu sambil menuntun tangan Adam. Setelah keluar dari wad, Idayu segera melepaskan pegangan tangannya kepada Adam.

"Kenapa awak ke mari?" Idayu langsung bertanya.

"Saya cari awak.. Kenapa awak nak cuti tak bagitahu?" Adam menjawab dengan pantas sambil mengajukan kembali pertanyaan kepada Idayu. Idayu terdiam seketika sebelum menjawab pertanyaan majikannya itu.

"Tak payah cari saya.. kita bukannya ada apa-apa." Idayu membalas dengan nada suara yang dingin. Gadis itu turut mengalihkan pandangan wajahnya ke arah lain. Dia sama sekali tidak ingin melihat Adam yang sedang berhadapan dengannya.

"Saya juga datang sebab nak tengok mak.."

"Dia mak saya.. bukan mak awak.."

"Walau apa pun, dia tetap mak mentua saya.. dia dah jadi mak saya juga."

"Adam, ingat sikit.. perkahwinan kita hanyalah sekadar lakonan semata-mata.. kita bukan suami isteri yang betul." Idayu ingin memberi peringatan kepada lelaki di hadapannya itu sambil menuding jari telunjuknya ke arah Adam.

"Tapi kita tetap dah menikah dengan sah.. awak dah jadi isteri saya yang sah.. dia tetap dah jadi mak saya.." Adam segera membalas. Idayu terpempan seketika. Dia tidak mampu menafikan hakikat yang di ucapkan oleh Adam. Wanita itu kehilangan kata-kata untuk membalas.

"Selama ni awak tak pernah ceritakan masalah awak.. saya nak minta maaf, sebab saya sendiri tak pernah nak ambil tahu pasal latar belakang awak.. saya terlalu pentingkan diri.. pasal kejadian semalam pun, saya minta maaf.. saya tahu, saya yang salah." Adam terus bersuara. Kini Idayu terkesima dengan kata-kata suaminya itu. Dia langsung tidak menyangka lelaki dingin seperti Adam akan meminta maaf dan mengakui kesalahannya. Padahal bagi Idayu, lelaki sangat ego dalam mempertahankan maruah mereka. Lelaki pasti tidak akan mengakui kesalahan mereka lebih-lebih lagi lelaki yang dingin seperti Adam. Namun sangkaannya itu meleset sama sekali. Adam benar-benar bukan lelaki dalam sangkaannya.

"Untuk rawatan mak awak, biarlah saya tanggung semua kosnya.." Adam menawarkan bantuan untuk merawat ibu Idayu. Wanita itu semakin bingung.

"Tak payah nak susahkan diri.. awak tiada kaitan dengan saya dan mak saya.. masalah kami, biar kami selesaikan sendiri.. saya tak perlukan pertolongan awak." Idayu cuba untuk berkeras hati dan ingin menolak pertolongan yang ingin di sampaikan oleh Adam.

"Ayu.. tolong jangan buat macam tu.. saya betul-betul minta maaf.. saya nak kita.."

"Saya nak kita bercerai." Idayu memotong percakapan Adam dengan pantas. Adam terpukul dengan kejutan. Ucapan Idayu itu seolah-olah anak panah yang meluncur laju dan menembusi dadanya. Hati lelaki itu terasa sakit terluka walaupun tidak terlihat darahnya.

"Ayu.." Adam yang terkejut tidak mampu untuk meneruskan kalimatnya.

"Sudah.. kita dah takde apa-apa.. saya nak kita bercerai dan berpisah.. saya tak sanggup lagi hidup dengan hinaan dan kejian. Saya juga nak berhenti kerja. Saya takkan muncul lagi depan mata awak selepas ni." Idayu bersuara tegas. Wanita itu segera berpaling badan dan membuka langkah kakinya untuk meninggalkan Adam. Adam pula berdiri kaku di tempatnya. Lelaki itu benar-benar terpukul dan terkejut. Dia seakan tidak mempercayai perkataan daripada Idayu yang didengar olehnya sebentar tadi. Perasaan kesal dan bersalah terus menghantui lelaki tersebut.

Sementara itu, Idayu yang sudah menjauhi Adam kemudian menghentikan langkah kakinya. Belakang badannya di sandarkan pada dinding. Tapak tangan kanan gadis itu menekup mulutnya sendiri dan air mata turut mengalir laju membasahi pipi. Idayu sudah tidak mampu untuk menahan sebak di dalam dadanya. Dia kini menangis sekuat hati. Gadis itu tidak tahu ucapan yang dia luahkan kepada Adam tadi adalah satu keputusan yang pasti dari hatinya sendiri atau dia sekadar meluahkannya sesuka hati untuk mempertahankan ego yang bermain di dalam diri. Namun Idayu hanya sedar, keputusannya itu hanyalah akan menyakitkan hati. Sungguhpun dia tidak tahu Adam akan terkesan atau pun tidak dengan keputusan tersebut, namun Idayu tahu, dia sendiri yang tersakiti dan akan merana dengan keputusannya itu nanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience