Bab 44

Romance Series 125055

Imbas kembali..

SETELAH mengalami kemalangan dengan ambulans, Idayu segera dibawa ke unit kecemasan bagi menerima rawatan secepat mungkin. Adam yang baru tiba juga sempat melihat kemalangan yang melibatkan isterinya itu. Zaiton yang rebah dilantai dengan tangisan yang kencang setelah melihat keadaan anak perempuannya pula segera diangkat oleh Adam dan diletakkan kembali ke kerusi roda. Tanpa berlengah, Adam segera mendorong kerusi roda ibu mentuanya itu ke bilik rawatan bagi menunggu dan mengetahui keadaan Idayu. Maizura yang berasa bersalah kerana menjadi punca kepada kemalangan tersebut turut mengikuti arah Adam dan Zaiton. Tambahan lagi, wanita berstatus itu sudah mengenali Idayu yang menyelamatkannya itu sebelum ini.

Setelah menunggu beberapa waktu di luar bilik rawatan, seorang doktor keluar daripada bilik rawatan yang menempatkan Idayu. Melihat kemunculan doktor tersebut, Adam dan Maizura segera mendekati.

"Doktor, macam mana keadaan isteri saya?" Adam dengan cemas bertanya.

"Ah, dia sekarang kekurangan darah akibat kecederaan yang dialami.. jadi kami perlu berikan dia darah secepat mungkin.. harap encik sabar menunggu.. kerana isteri encik berdarah A. Tapi hospital kami kekurangan bekalan darah A sekarang ni.. tapi masalah ni dapat di atasi.. bekalan darah sekarang sudah dalam perjalanan untuk dihantar ke sini.. di harap encik sabar menunggu.. sebelum bekalan darah sampai, kami pun tak boleh buat apa-apa.."

"Boleh ambil darah saya..?" Zaiton bersuara setelah mendengar ucapan doktor kepada Adam.

"Mak.. mak kan baru lepas operate.. mana boleh derma darah lagi.." Adam cuba menghalang niat ibu mentuanya. Lelaki itu kemudian meneruskan kata-katanya.

"Hmm.. saya pulak darah AB.. saya boleh menerima semua jenis darah.. tapi hanya dapat beri darah kat kumpulan darah AB jugak je.." Adam meluahkan keluhan.

"Kalau macam tu, ambil darah saya.. saya kumpulan darah A.. dia dah selamatkan saya tadi.. ambil je darah saya untuk selamatkan dia.." Maizura secara sukarela ingin mendermakan darahnya kepada Idayu.

"Baiklah.. kalau macam tu, sila ikut saya.." Doktor yang merawat Idayu itu bersetuju untuk mengambil darah daripada Maizura dan diberikan kepada Idayu yang sedang memerlukan darah tambahan. Maizura segera mengikuti arah yang dituju oleh doktor tersebut.

Setelah selesai menderma darah, Maizura, Adam dan Zaiton terus menunggu untuk mengetahui situasi semasa. Sekian lama menunggu, akhirnya doktor kembali menemui mereka yang sedang berada di ruang menunggu tersebut.

"Maaf, kami tak dapat gunakan darah Puan untuk diberikan kepada pesakit.. Pendermaan darah daripada ahli keluarga terdekat mempunyai risiko komplikasi penting yang berbahaya dan boleh mendatangkan maut. Komplikasi ini adalah Tranfusion-assosciated graft versus host disease. Keadaan ini terjadi apabila pesakit yang mempunyai human leucocyte antigen heterozigot menerima darah daripada penderma yang mempunya HLA homozigot dan berkongsi haplotype yang sama dengan pesakit. Ini akan mengakibatkan sel-sel pesakit akan diserang oleh sel darah penderma dan seterusnya boleh menyebabkan risiko kematian tehadap pesakit dengan kadar kematian melebihi 90 %. Oleh itu, pendermaan darah oleh ahli keluarga terdekat adalah tidak disarankan." Panjang lebar doktor tersebut memberikan penjelasan.

"Tapi.. saya bukan ahli keluarga pesakit." Maizura kehairanan setelah mendengar penjelasan doktor.

"Tolong jangan main-main dengan isu ni.. walaupun puan nak anak puan selamat, tapi jangan merisikokan nyawanya.. Kami dah check darah puan.. darah puan dan darah pesakit mempunyai HLA homozigot dan haplotype yang sama.."

"Tapi.. saya betul-betul bukan ahli keluarga dia.." Maizura berkeras. Hal itu membuatkan doktor tiba-tiba terdiam.

"Hmm.. Ujian darah tu takkan tersilap.. saya sarankan puan untuk buat ujian DNA dengan pesakit.. dari hasil ujian darah tu pun, saya yakin pesakit mempunyai hubungan yang sangat dekat dengan puan.. saya yakin itu hubungan ibu dan anak.."

"Mengenai keadaan pesakit sekarang, saya rasa dah takkan ada masalah.. sekejap lagi bekalan darah akan sampai.. jadi kami boleh gunakan bekalan darah tu nanti untuk transfusi kepada pesakit." Doktor itu meneruskan kata-katanya. Namun kini Maizura, Adam dan Zaiton masing-masing terpempan dengan kenyataan doktor itu sebentar tadi. Doktor dengan yakin mengatakan jika Idayu adalah anak kepada Maizura. Namun Maizura dengan yakin mengetahui jika dirinya sudah tidak memiliki anak. Malah Zaiton juga tidak mempercayai ucapan doktor sebentar tadi. Dia sendiri yakin yang dia sudah melahirkan dan membesarkan Idayu selama ini. Bagaimana mungkin jika Idayu itu menjadi anak kepada orang lain. Maizura kemudian perlahan-lahan mendekati Zaiton yang duduk dikerusi roda.

"Mama.. tak mungkin Ayu tu anak Mama yang tertukar dengan Lia kan? Kalau Lia masih ada, dia sepatutnya dah berumur 33 tahun.. Ayu pulak baru berusia 28 tahun.. Beza umur Ayu dan Lia lima tahun.. tak mungkin akan tertukar.." Adam bertanya untuk mendapatkan kepastian.

"28 tahun?" Maizura terkejut. Dia segera memandang ke arah Zaiton yang berada disebelahnya.

"Ayu lahir tujuh Julai, 28 tahun yang lalu? kat Hospital Berjaya Putra?" Maizura menyoal Zaiton.

"Ya.. Hospital tu, masa tu.." Zaiton mulai gugup.

"Macam mana Mama tahu tarikh lahir Ayu?" Adam semakin pelik.

"Sebenarnya.. Mama pernah ada dua orang anak.. Lia anak sulung mama.. anak kedua mama pulak lahir lima tahun selepas Lia.. 28 tahun yang lalu.. Tujuh Julai.. di Hospital Berjaya Putra.." Maizura mula bercerita.

"Tapi sebaik sahaja selepas Mama melahirkan anak kedua, Hospital Berjaya masa tu mengalami kebakaran.. Pesakit dan kakitangan hospital masa tu ramai yang terkorban.. yang terselamat pun, kelam-kabut melarikan diri dari kebakaran.. Masa tu, mama fikir, anak mama tu dah terperangkap, tertinggal kat hospital dan mati dalam kebakaran tu.."

"Ya.. itulah yang berlaku.. kebakaran tu bermula dari kawasan labor room.. Ayu masa tu sempat diselamatkan oleh ayah dia.. jadi.. jangan-jangan, dalam keadaan kelam kabut tu, suami saya dah terambil anak awak dan tertukar dengan anak saya.. Jadi bayi yang mati tu sebenarnya... anak saya?" Zaiton semakin sugul.

"Kalau betul terjadi macam tu.. jadi memang betul la.. Ayu tu anak saya.." Maizura tiba-tiba mengalirkan air mata. Dia terasa sangat bahagia. Anaknya yang disangka telah meninggal dalam kebakaran selepas dilahirkan pada 28 tahun yang lalu sebenarnya masih hidup. Manakala Zaiton pula semakin sebak. Semakin lama, tangisannya semakin kencang. Dia tidak menyangka Idayu sebenarnya bukan anak kandungnya. Padahal hanya Idayulah satu-satunya anak yang dia miliki. Kini, setelah mengetahui Idayu bukanlah anaknya yang sebenar, dunia Zaiton terasa seolah gelap dan tidak bermakna lagi. Dia sudah kehilangan seluruh ahli keluarganya. Malah dia sangat sedih apabila mengenangkan keadaan bayinya yang telah meninggal dunia di dalam kebakaran tidak lama selepas dilahirkan.

"Ya Allah.. apakah dosa yang telah aku lakukan.. sungguh berat sekali ujian yang Kau berikan kepadaku.." Zaiton merintih dalam keadaan yang tersedu sedan.

"Mak, sabarlah.. kita belum tahu lagi betul atau tak Idayu itu anak mak ke tidak.. setakat ujian darah, itu belum betul-betul pasti.. Lagipun, apa pun yang terjadi, Adam yakin, Ayu akan tetap menganggap mak sebagai ibu kandung dia.. Adam pun selamanya akan anggap mak sebagai mentua Adam.." Adam segera memujuk Zaiton untuk meredakan emosi ibu mentuanya itu.

"Ya, sebaiknya kita lakukan ujian DNA untuk membuktikan perkara ni.. tapi jangan risau.. Apa pun keputusannya, awak tetap akan jadi mak Ayu.. Awak tetap dah menyusukan Ayu dan membesarkan dia.. beri dia pendidikan dan ajaran yang sempurna.. Cuma saya nak tahu, jika benar anak kita tertukar dulu, setidaknya saya tahu, anak saya tu masih hidup.." Maizura turut bersetuju dengan Adam dan cuba menenangkan Zaiton.

"Tapi saya dah kehilangan semua ahli keluarga saya.. Ayu yang saya anggap satu-satunya waris dan ahli keluarga saya pun.. sebenarnya bukan anak kandung saya.. saya dah tiada zuriat.." Zaiton tetap menangis dengan kencang. Dia benar-benar tidak sanggup untuk menghadapi kenyataan.

"Mak.. walau apapun, Ayu tetap jugak anak mak.. susu dari badan mak dah mengalir dalam tubuh Ayu.. Kalau pun dia bukan anak kandung, tapi setidaknya Ayu tetap anak susuan mak.. taraf anak susuan tetap sama je dengan anak kandung.. Adam pun tetap menantu mak dan jadi mahram untuk selamanya.. Adam dan Ayu takkan biarkan mak sendirian.. kami tetap anak mak selamanya." Adam tetap terus memujuk ibu mentuanya itu agar lebih bertenang.

"Saya dah rasa macam mana yang awak rasa sekarang.. saya faham perasaan awak.. selepas saya dapat tahu kematian anak sulung saya, saya dah rasa dunia ni kelam, tak bermakna.. suami pun takde.. saya dah tiada sesiapa dalam hidup ni.. tapi rupa-rupanya Allah dah jaga anak kedua saya melalui pertolongan awak.. bersabarlah..setidaknya awak masih ada Ayu.. walaupun sekadar anak susuan, tapi dia tetap juga anak awak." Maizura turut ingin menenangkan Zaiton sambil mengusap belakang badan wanita yang berkerusi roda itu. Seketika kemudian, tangisan Zaiton semakin mereda. Adam pula termenung panjang. Dia langsung tidak menyangka jika Idayu yang menjadi isterinya itu sebenarnya adik kandung kepada bekas tunangannya. Maka hubungannya dengan Maizura tetaplah menjadi menantu dan ibu mentua walaupun suatu ketika dahulu, hubungan tersebut telah diputuskan sebelum berlaku.

'bekas calon mentua, dah jadi ibu mentua rupanya..' bisik hati Adam sambil ekor matanya melirik ke arah Maizura.

"Tapi.. boleh tak jangan bagitau lagi Ayu pasal ni? kita tunggu dulu waktu yang sesuai.. sekarang Ayu masih sakit. Kepala dia pun cedera.. bila dia dah pulih dan bersedia untuk tahu perkara ni, baru kita jelaskan.." Zaiton membuat permintaan. Maizura terdiam kaku manakala Adam hanya menganggukkan kepalanya perlahan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience