ZAITON termangu sendirian di ruang tamu rumah menantunya. Walaupun televisyen terpasang di depannya, namun mata wanita itu terlihat kosong sambil menatap lantai. Seolah fikirannya sedang mengelamun jauh. Tanpa disangka, tiba-tiba air mata mengalir perlahan membasahi pipi tuanya setelah jenuh bergenang ditakungan kelopak mata. Disebabkan asyik melayan perasaan, Zaiton tidak sedar jika air matanya sudah tumpah dan langsung tidak menyekanya. Tidak lama kemudian, Idayu muncul di ruang tamu dengan kepalanya masih berbalut dan langkah kakinya yang terhinjut-hinjut. Setelah sedarkan diri dari pengsan, Idayu sudah dibenarkan pulang ke rumah memandangkan dirinya tidak mengalami kecederaan yang serius. Namun akibat kemalangan yang berlaku, kakinya masih terasa sakit dan tidak dapat berjalan dengan baik. Melihat ibunya yang sedang termenung sendirian, Idayu segera menghampiri.
"Mak.. apa yang mak duk menungkan tu? jauh betul mengelamun.." Idayu menyapa ibunya. Suara Idayu yang kedengaran dicuping telinganya segera mematikan lamunan Zaiton. Mendengar dirinya disapa, Zaiton segera berkalih melihat ke arah Idayu yang sedang mendatanginya. Melihatkan wajah ibunya, Idayu tersentak.
"Mak.. kenapa mak menangis? apa yang dah berlaku?" Idayu lantas duduk di sofa, rapat di sisi ibunya.
"Emm..takde apa lah.." Zaiton seolah ingin menyembunyikan keresahan dihatinya. Wanita itu segera menyeka air mata yang tersisa di pipi dan kelopak matanya sambil mempamerkan senyuman yang tawar.
"Mak.. kalau ada apa-apa masalah, mak bagitau je kat Ayu.. Mak jangan duk pendam sorang-sorang.."
"Takde.. mak okey je.."
"Dah tu, kenapa mak menangis?"
"Mak bukan menangis.."
"Mak... jangan la buat Ayu susah hati.."
"Ayu.. mak okey.. mak takde masalah pun.. mak cuma terkenangkan keadaan keluarga kita je.."
"Keadaan keluarga kita? Maksud mak?" Idayu semakin penasaran.
"Ye la.. selama ni, keluarga kita dah hidup susah.. lagi-lagi selepas kemalangan lima tahun lalu.. mak dah kehilangan suami dan anak lelaki.. mak cuma ada Ayu seorang je.. Tapi Ayu pulak menjadi semakin susah sebab kena jaga mak yang lumpuh.. Sekarang Ayu pun dah kahwin, dah ada suami.. nanti akan ada anak sendiri.. Mak takut.. mak dah takde orang lain dalam hidup mak ni.. Bila Ayu kemalangan kelmarin, mak dah risau.. mak takut jadi apa-apa kat Ayu.." Zaiton mula meluahkan perasaannya. Kini air jernih kembali bertakung dimatanya. Melihatkan keadaan ibunya, Idayu segera memegang kedua belah tangan ibunya itu.
"Mak.. kan Ayu takde apa-apa.. Ayu okey je kan.. mak tak payah la risau.. Ayu akan selalu temankan mak.."
"Ayu.. janji dengan mak, Ayu takkan tinggalkan mak. Jangan biarkan mak sendirian.. " Zaiton mula menangis kembali sambil memeluk anak perempuannya itu. Idayu menjadi bingung seketika terhadap tindakan ibunya itu. Entah kenapa ibunya tiba-tiba bersikap sedemikian.
"Ayu kan anak mak.. takkan la Ayu nak tinggalkan mak.. Ayu janji, Ayu akan sentiasa temankan mak selamanya.." Idayu membalas pelukan ibunya. Namun Zaiton pula memeluk Idayu dengan semakin erat dan mengencangkan tangisannya.
"Mak dah takde orang lain.. Mak ada Ayu sorang je.." Zaiton bersuara perlahan, seolah merintih. Idayu pula masih kebingungan dan tetap ingin memujuk ibunya itu. Tangan Idayu perlahan-lahan menggosok belakang tubuh ibunya untuk meredakan emosi ibunya yang sudah tua itu. Ayu mula berfikir, mungkin kemalangan ke atas dirinya kelmarin telah menggoncangkan jiwa ibunya itu. Malah Ayu tak dapat menafikan, dia dan ibunya sangat trauma terhadap kemalangan memandangkan ayah dan adik lelakinya dahulu meninggal dunia disebabkan kemalangan jalan raya. Di hatinya, Idayu berharap agar dirinya diberi kesihatan dan kekuatan untuk terus mendampingi ibunya sehingga akhir hayat. Dia tidak mahu jika dirinya menemui ajal terlebih dahulu sebelum ibunya. Mungkin itulah yang turut dirasakan oleh ibunya. Zaiton pasti tidak mampu menghadapi kenyataan jika Idayu yang satu-satunya anaknya itu meninggalkan dirinya yang sudah tua.
PADA waktu yang sama, di pejabat, Shakir mengetuk pintu bilik Adam dan segera masuk ke dalam bilik majikannya itu. Di tangannya, terdapat satu fail berwarna biru, dipegang kemas oleh Shakir. Lelaki yang menjadi setiausaha Adam itu kemudian menghulurkan fail ditangannya kepada Adam yang sedang duduk di meja.
"Ini senarai design terbaru yang dah dipersetujui oleh ahli lembaga pada mesyuarat semalam.. dalam dua hari lagi kita akan mula launch kepada umum dan terima booking.. Encik Adam boleh check dan tandatangan kalau setuju.." Shakir menyampaikan khabar terbaru kepada Adam. Tanpa menunggu lama, Adam segera menerima dan membuka fail yang diberikan oleh setiausahanya itu. Satu persatu lembaran kertas di dalam fail tersebut dibelek dan diperhatikan.
"Hmm.. suruh team marketing buat boost lebih sikit untuk design ni.." Adam menunjukkan salah satu rekaan fesyen yang terdapat di dalam fail kepada Shahkir.
"Baik Encik Adam.. hmm.. itu kan design Ayu?"
"Habis tu kenapa? Adam menyoal kembali sambil menjeling ke arah Shakir.
"Eh, takde apa-apa.." Shakir tersengih sambil menggaru-garukan kepalanya yang tak gatal. Jelingan tajam daripada majikannya itu membuatkan Shakir menelan liur.
"Saya bukan pilih design Ayu ni sebagai design utama sebab dia isteri saya.. awak pun boleh tengok sendiri. Jelas, design dia paling menarik dan unik. Awak pun tahu, dia menjadi designer dan dipilih menjadi ketua jabatan sebab kemampuan dia.. bukan sebab dia isteri saya atau nepotisme.. kita ni dalam dunia bisnes.. bukan dunia politik.. kalau buat bisnes pun nak pakai nepotisme, nanti melingkup la syarikat kalau duk ambil orang yang tak berkualiti dan tiada kemampuan.." Adam memberikan penjelasan.
"Betul tu Encik Adam.."
"Kalau Ayu tu takde bakat dan kemampuan dalam design, memang saya akan letak dia jadi pembantu saya je sampai sekarang. Dia sendiri tak pernah nak minta atau gunakan saya untuk capai tujuan dia walaupun dia sangat minat dan ada bakat dalam design. Nasib baik saya nampak design yang dia duk buat selama ni.. kalau tak, tak tahu la sampai bila dia nak pendamkan bakat dia tu.." Adam menggelengkan kepalanya perlahan sambil tersenyum. Lelaki itu kemudian menyambung lagi kata-katanya.
"Saya tak sangka, masih ada perempuan macam Ayu tu dan saya berpeluang kenal dengan dia.. walaupun selalu tergopoh-gapah dan cuai, tapi hati dia bersih.. polos.. jujur.. Walaupun suami dia seorang CEO, tapi dia langsung taknak ambil kesempatan.. takde meminta-minta.. malah sampai sekarang pun masih lagi nak sembunyikan hubungan kami kat pejabat ni.."
"Mungkin dia tak selesa kot kalau orang kat pejabat ni tahu Encik Adam suami dia.. mungkin nak elakkan dari orang mengampu, menjilat dia lebih-lebih kalau tahu dia tu isteri CEO.." Shakir memberikan pendapat.
"Hmm.. mungkin begitu la kot.. tapi saya sendiri lagi suka kalau semua orang tahu pasal kami.."
"Hal macam tu, kena Encik Adam sendiri la yang umumkan.. kalau nak harapkan Ayu sendiri yang bagitau kat orang lain, mana ada orang percaya.."
"Kenapa pulak?" Adam masih tidak mengerti.
"Ye la.. Encik Adam ni menjadi impian ramai perempuan.. tapi ramai yang tak berani nak dekat sebab takut. Encik Adam selalu serius dan nampak garang.. Kalau Ayu cakap dia dekat dengan Encik Adam dan jadi isteri, siapa la yang nak percaya.. mesti orang akan cakap Ayu tu kuat berangan je. Tapi kalau Encik Adam sendiri yang cakap, Ayu tu isteri Encik Adam, siapa yang berani nak sangkal?" Shakir memberikan penjelasan. Adam hanya terangguk kecil mendengar ucapan setiausahanya itu.
"Teruk sangat ke penampilan saya kat syarikat ni? Sampai orang takut, tak berani dengan saya? Apa yang selalu orang cakap kat saya? Saya garang? sombong?" Adam bertanya kepada setiausahanya. Shakir sekali lagi tersengih sambil menggarukan kepalanya.
"Entahlah Encik Adam.. saya pun tak berapa tahu.." Shahkir menjawab. Namun dalam hatinya, tiba-tiba terpacul monolog.
'Kalau aku cakap, orang kata dia gay, tak suka perempuan, mampus aku.. silap-silap, satu pejabat diamuknya kalau tahu orang panggil dia geng kunyit.' Shakir tersenyum sambil menggosok hidungnya dengan pandangan matanya jatuh ke lantai.
"Ah, dah la.. segerakan progress kita untuk lauch design terbaru ni.. pastikan jangan ada apa-apa kesilapan.. push team marketing untuk buat yang terbaik.." Adam kembali bersuara. Tangan lelaki itu segera mencapai pen di atas mejanya dan menurunkan tandatangan pada helaian kertas yang terdapat di dalam fail, yang dikepilkan bersama rekaan fesyen terbaru syarikat. Selesai menurunkan tandatangan, Adam kembali menyerahkan fail kepada Shakir.
Share this novel