Bab 19

Romance Series 97025

ADAM yang terbaring di katil membuka matanya perlahan-lahan. Cahaya lampu kalimantang yang terpasang pada siling sedikit menyilaukan pandangan. Lelaki itu cuba untuk menggerakkan tangan kanannya namun tidak berdaya. Sejurus itu, baru dia menyedari tangannya dipegang oleh seseorang. Seorang wanita sedang duduk dan tertunduk kepalanya di sisi katil sambil memegang tangannya. Idayu yang setia menunggu suaminya itu tertidur dalam keadaan terduduk di kerusi.

"Ayu.." Terpacul nama wanita itu pada mulut Adam. Hatinya berbunga-bunga apabila melihat wanita kesayangannya itu berada di samping. Mendengar namanya disebut, Idayu segera mengangkat pandangan wajahnya.

"Adam.. awak dah sedar? Syukurlah.." Idayu terlihat gembira apabila menyedari Adam yang sudah sedar daripada pengsannya. Kedua tangannya kemas menggenggam tangan kanan suaminya itu.

"Ke..kenapa dengan saya? kita.. kita kat mana sekarang?" Adam mula terpinga-pinga. Dia baru menyedari keadaan sekelilingnya yang terlihat asing. Lelaki yang dihujani pelbagai persoalan itu cuba untuk bangkit dari pembaringannya namun segera dihalang oleh Idayu. Wanita itu menolak dada suaminya agar lelaki tersebut tetap berbaring di tempatnya.

"Kita kat hospital.. Awak pengsan kat rumah. Nasib baik ibu datang dan nampak awak terbaring kat lantai. Ibu yang bawa awak ke hospital." Idayu lantas memberi penjelasan bagi menghuraikan kekusutan yang sedang bermain di minda suaminya itu. Adam terdiam seketika. Benaknya mula ligat memikirkan situasi yang dialaminya sebelum ini. Dia tidak tahu entah bila dirinya pengsan. Dia mengingati semula keadaan dirinya yang terpuruk kesedihan setelah Idayu meminta cerai daripadanya. Dalam dirundung kesedihan itu, entah kenapa dirinya terasa tiba-tiba sesak nafas. Pada fikiran Adam, mungkin itulah punca kenapa dirinya tidak sedarkan diri. Dia langsung tidak mengetahui apa yang telah berlaku selepas dia tiba-tiba mengalami kesesakan nafas.

"Boleh tolong tinggikan sikit katil ni? tinggikan kat bahagian kepala saya.." Adam meminta pertolongan daripada Idayu. Wanita itu pula segera membungkukkan badan dan melihat ke bahagian bawah katil. Satu butang ditekan oleh Idayu dan hujung katil di bahagian kepala Adam beransur meninggi secara perlahan-lahan.

"Kalau setakat tu, okey tak?" Idayu bertanya setelah berhenti menekan butang pada katil. Katil yang menempatkan Adam itu juga turut berhenti bergerak. Adam kemudiannya membalas dengan satu anggukan kepala sebagai menjawab pertanyaan isterinya. Kini kedudukan kepalanya sedikit lebih tinggi berbanding tadi dan dia turut merasa lebih selesa dengan keadaannya sekarang. Setelah menatap wajah Idayu buat seketika, Adam menghembuskan satu nafas yang panjang.

"Ayu.. saya minta maaf.. saya tahu, saya salah.. tolong.. jangan bercerai lagi.. saya masih perlukan awak.. demi ibu.. please.." Adam bersuara tersekat-sekat sebelum memejamkan matanya sesaat. Setelah matanya kembali tercelik, dia memandang  ke arah Idayu dengan pandangan yang sayu. Dia sangat berharap isteri upahannya itu mendengar permohonannya.

Idayu pula hanya tersenyum ketika melihat ke arah Adam. Dia yang mengetahui keadaan suaminya itu daripada Khadijah tidak memberikan sebarang jawapan. Kata-kata ibu mentuanya sebelum ini masih terngiang-ngiang di telinganya. Tiada pasangan yang sempurna. Setiap orang pasti mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Idayu tidak mampu menafikan jika Adam adalah seorang lelaki yang baik walaupun sering bersikap dingin. Lelaki itu suka bertindak dan menggunakan kata-kata yang kasar, namun Idayu terpaksa mengakui jika dirinya juga terkadang merasa selesa apabila di dampingi Adam. Lelaki itu pernah menyelamatkan dirinya. Malah ketika Idayu menangis di dakapan Adam selepas di selamatkan daripada Hafiz, gadis itu benar-benar merasakan dirinya tenang dan dilindungi. Sisi baik Adam satu persatu menerjah di ingatan Idayu.

Perlahan-lahan Idayu mengangkat punggungnya dari kerusi. Pegangan tangannya pada tangan Adam dilepaskan. Idayu kemudian mendekatkan kepalanya ke arah wajah Adam. Satu kucupan daripada Idayu singgah di pipi suaminya itu. Bagi Idayu, mungkin tindakannya itu sudah mampu menjadi jawapan kepada permintaan Adam sebentar tadi. Dia tahu suaminya itu sudah hidup terseksa selama ini kerana cintanya dihancurkan oleh seorang wanita. Idayu tidak ingin peristiwa hitam itu berulang kembali dalam hidup suaminnya itu. Walaupun dia hanya seorang isteri upahan, namun mereka tetap sudah menjadi suami isteri yang sah. Dia sedar, tempatnya kini adalah berada di sisi suaminya. Dia akan berusaha untuk menjadi seorang isteri yang taat dan baik terhadap suami.

"Awak dah maafkan saya?" Adam bertanya lagi untuk memastikan jawapan yang tepat daripada Idayu. Namun sekali lagi Idayu mencium pipi suaminya itu sambil tersenyum.

"Ehemm.. ahh, Adam dah sedar?" Khadijah tiba-tiba muncul dan menyapa. Dia berdeham perlahan apabila melihat anak dan menantunya itu sedang bermesraan. Di fikiran wanita tua itu, dia bingung dengan hubungan di antara Adam dan Idayu. Terkadang mereka terlihat mesra namun kadang kala bergaduh sehingga anaknya itu terpaksa ditempatkan ke hospital.

Menyedari kehadiran ibu mentuanya di situ, Idayu lantas menjarakkan dirinya daripada Adam dan berundur beberapa tapak ke belakang. Idayu dan Adam masing-masing tersipu malu apabila keadaan mereka dilihat oleh Khadijah. Namun pada masa yang sama, Adam sebenarnya sangat senang dengan perbuatan isterinya sebentar tadi. Perempuan itu sering bersikap ceroboh dan terburu-buru. Namun kadang-kala, disebabkan sikap Idayu itulah yang membuatkan Adam semakin tertarik.

"Ibu dari mana?" Adam mula menyapa ibunya untuk menghilangkan rasa malu yang bersarang di hati.

"Ibu pergi surau, solat.." Khadijah menjawab.

"Ah, Ayu pun tak solat lagi.. Ayu pergi solat dulu.." Idayu yang ingin menyembunyikan perasaan malunya segera ingin meminta diri dan beredar dari wad sambil tertunduk melihat lantai. Gadis itu segera membuka langkah kakinya dan meninggalkan Adam dan ibu mentuanya di situ. Adam hanya memandang isterinya itu dengan pandangan yang terkebil-kebil. Manakala Khadijah pula tersenyum kecil sambil menggelengkan kepala. Dia tahu menantunya itu merasa malu apabila perbuatan gadis itu yang mencium Adam dilihat olehnya. Khadijah sendiri tidak menyangka akan melihat adegan seperti itu. Jika dia tahu anak dan menantunya sedang bermesraan, dia pasti tidak akan masuk terlebih dahulu ke bilik wad tersebut.

Setelah Idayu hilang daripada pandangan, Khadijah menempatkan punggungnya di kerusi, di samping katil Adam. Hatinya sedikit kesal dengan gangguan yang dia berikan kepada pasangan suami isteri itu tadi. Sedikit sebanyak, dia menyalahkan dirinya yang terlalu cepat muncul di sana. Kini jari-jemarinya bergerak perlahan, melurut lengan anak lelakinya yang sedang terbaring. Satu senyuman terukir pada bibir wanita yang sudah berumur itu.

"Kenapa Adam sampai jadi macam ni? Sampai pengsan, tak sedarkan diri.. Nasib baik Ibu pergi ke rumah Adam. Kalau tak, entah macam mana keadaan Adam sekarang.. Hmm.. Adam bergaduh dengan Ayu ke?" Khadijah mula bersuara dan bertanya kepada anaknya. Adam pula mendiamkan diri dan menundukkan pandangan matanya.

"Huh, dah la.. tak perlu bagitahu ibu apa puncanya.. tapi Ibu tahu, Adam sebelum ni ada masalah dengan Ayu. Sekarang ibu tengok korang dah berbaik semula tu.. sampai tak menyempat balik ke rumah.." Khadijah sengaja ingin mengusik anaknya. Adam pula terus mendiamkan diri dan menundukkan kepala. Rasa malu kembali membuak sehingga lelaki itu merasakan kulit wajahnya seakan menebal berlapis-lapis. Khadijah kemudian melanjutkan lagi ucapannya.

"Apa pun, Ibu bahagia bila tengok Adam dan Ayu bahagia.. Ibu nak Adam jaga hubungan dengan Ayu elok-elok. Lupakan kisah yang dah berlalu. Mulai sekarang, Adam fokus je untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga Adam dengan Ayu. Hidup berpasangan ni, kena la ada sikap toleransi yang tinggi. Kena saling nasihat-menasihati, hormat-menghormati, sayang-menyayangi. Ingat Adam, berkahwin ni adalah membawa orang lain dalam hidup kita dan kita pun akan masuk ke dalam hidup orang lain..jadi, macam mana kita nak orang layan kita, macam tu la kita kena layan orang terlebih dahulu.. nak orang hormati kita, kita kena hormatkan orang dulu.. nak orang sayang kita, kita yang kena sayangkan orang dulu.. berkahwin bukan hanya mengenai diri kita sahaja.. tapi kena fikir dan lebihkan kepentingan pasangan melebihi kepentingan diri kita sendiri.. itulah namanya pengorbanan.. tanpa pengorbanan, macam mana nak dapat kebahagiaan.." Khadijah memberikan nasihat yang panjang lebar kepada anak lelakinya.

Adam hanya diam dan tekun mendengar. Kata-kata ibunya itu kedengaran biasa namun sangat menusuk hati Adam. Dia terpaksan menelan kebenaran yang diluahkan oleh ibunya sebentar tadi.

"Adam terlalu bodoh ibu.. Adam terlambat untuk sedar kebaikan Ayu selama ni.. Sekarang.. Adam.. Adam betul-betul dah cintakan dia. Tapi Adam takut jika Ayu tak maafkan kebodohan Adam sebelum ni.. Adam takut kehilangan Ayu.." Adam mula meluahkan rasa kesal dirinya kepada Khadijah.

"Tak ada istilah terlambat selagi kita masih bernafas Adam.. Selagi nyawa dikandung badan, sentiasalah berusaha untuk memperbaiki diri. Kita sebagai manusia ni, takde pun yang sempurna. Semua orang ada buat salah dan silap.. Tapi paling penting, jangan biarkan diri kita terus mengulangi kesilapan yang sama.. belajarlah dari kesalahan kita selama ni dan cubalah perbaiki diri untuk menjadi lebih baik. Jadikanlah hari ini lebih baik dari hari semalam dan jadikan esok lebih baik daripada hari ini.. Sedar diri itu yang utama.. sedar kalau kita dah buat silap.. jangan ego dan cuba pertahankan kesilapan kita.." Khadijah tersenyum sambil terus memberikan nasihat. Telapak tangannya mengelus lembut pipi Adam, penuh dengan kasih sayang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience