Bab 9

Romance Series 66682

FARHAN merupakan seorang doktor pakar di jabatan kardiologi dan juga merupakan sahabat lama Idayu sejak dari bangku sekolah. Setelah mengetahui keadaan ibu Idayu, lelaki itu memberikan janji untuk memantau dan merawat ibu Idayu dengan sebaik mungkin. Setiap perincian mengenai masalah kesihatan yang dihadapi oleh Zaiton di sampaikan Farhan kepada Idayu. Idayu amat bersyukur kerana sahabatnya itu sanggup memberikan perhatian yang lebih kepada ibunya.

Pada masa yang sama, Adam turut pergi ke hospital kerana melawat sahabatnya yang kemalangan. Setelah selesai melawat, Adam bergegas untuk pulang. Namun di pertengahan jalan, lelaki itu menghentikan langkah kakinya apabila melihat Idayu sedang berbicara dengan seorang lelaki di satu sudut bangunan hospital. Adam berdiri kaku sambil terus menatap Idayu dari kejauhan. Percikan api cemburu mula menyala di dalam hatinya. Adam tidak suka untuk menyaksikan keadaan tersebut. Adam menggenggam erat kedua belah tangannya. Dia sudah tidak dapat menahan sabar. Walaupun meyakini dirinya tidak mencintai Idayu, namun sebagai seorang suami, Adam tidak ingin terus membiarkan keadaan tersebut terus berlangsung. Lelaki itu terus menuju ke arah Idayu yang sedang berbual dengan Farhan.

"Ayu, apa yang awak buat kat sini? siapa lelaki ni?" Adam segera bertanya setelah menghampiri Idayu dan Farhan. Idayu langsung terkejut dengan kehadiran suaminya yang muncul secara tiba-tiba.

"Encik Adam? buat apa kat sini?" Idayu yang terkejut kembali menyoal Adam tanpa menjawab pertanyaan suaminya.

"Jawab yang saya tanya dulu.. siapa lelaki ni?" Adam mengeraskan suaranya disaat mengulangi pertanyaannya.

"Ini.. Ini Doktor Farhan.. kawan saya.." Idayu langsung memperkenalkan Farhan kepada Adam.

"Saya Farhan.." Farhan pula memperkenalkan diri sambil menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Adam. Namun salam lelaki itu tidak bersambut. Adam lekas menarik tangan Idayu dan melangkah pergi dari situ.

"Encik Adam.. kenapa ni? Encik Adam nak bawa saya ke mana?" Idayu kebingungan namun tetap mengikut arah langkah Adam yang sedang menuntun tangannya. Seketika kemudian, Adam menghentikan langkah kakinya. Lelaki itu memegang kedua belah bahu Idayu, langsung badan menolak gadis itu sehingga tersudut di dinding. Adam menatap Idayu dengan pandangan mata yang tajam. Idayu pula terus kebingungan.

"Ayu..ingat, saya ni suami awak. Walaupun perhubungan kita adalah satu perjanjian, namun awak tetap isteri saya.. walaupun kita tak tinggal bersama, tapi saya tak suka awak bersama lelaki lain.. faham?!" Adam meluahkan rasa hatinya.

"Tapi.. saya.."

"Sudah! tak payah nak bagi alasan. Apa pun alasannya, saya taknak awak dekat dengan mana-mana lelaki.. ingat sikit, awak tetap isteri saya." Adam memberikan peringatan. Idayu langsung terbungkam. Dia tidak berani untuk terus membantah kata-kata lelaki dingin tersebut. Sejenak kemudian, Adam melepaskan pegangan tangannya di bahu Idayu.

"Petang ni ibu saya akan datang ke rumah.. awak kena tinggal di rumah saya bermula hari ni." Adam memberi perkhabaran.

"Eh, tapi.. perjanjian kita kan takkan tinggal bersama?"

"Untuk kali ni je.. selagi ibu saya ada kat rumah, awak kena tinggal kat rumah saya.. nanti dia tahu pula kita tak tinggal bersama.. saya taknak perkahwinan lakonan kita ni terbongkar. Ingat, saya berkahwin dengan awak hanyalah untuk memenuhi permintaan ibu saya. Jadi selama berada di depan ibu saya, awak kena berlakon jadi isteri saya dan tunjuk seolah kita berdua hidup bahagia.. faham?" Adam memberi penjelasan. Idayu kemudian mengangguk.

"Baiklah.. nanti saya pergi rumah Encik Adam." Idayu akur.

"Jangan panggil saya Encik Adam. lagi-lagi depan ibu saya.. jangan sesekali panggil macam tu."

"Habis tu, saya nak panggil apa?" Idayu semakin bingung.

"Suka hati awaklah nak panggil saya apa.. tapi jangan duk berencik-encik dengan saya.. saya dah jadi suami awak.. panggil apa yang sesuai."

"Baiklah.." Idayu menundukkan wajah sambil menganggukkan kepala.

"Saya pergi dulu.. nanti balik ke rumah saya.. ibu saya mungkin akan tinggal beberapa hari.. jadi selama masa tu, awak akan tetap tinggal di rumah saya." Adam segera melangkah pergi selepas selesai berucap. Idayu pula termangu-mangu sendirian.

'Kena tinggal kat rumah dia pula.. huh.. nasib baik mak duk dalam wad sekarang. takde la aku kena tinggal mak kat rumah sorang-sorang..' Idayu bermonolog.

'Tapi.. nanti aku nak kena panggil apa kat dia? masalah betul.. sayang? bi? abang? intan payung? haiishh.. tapi.. tadi.. kenapa dia tak suka aku bercakap dengan Farhan? takkan la dia cemburu? aku dengan dia, bukan ada perasaan pun.. takkan dia nak cemburu? takkan la mat kunyit tu suka kat aku?' Idayu masih berteka teki. Idayu terus kebingungan dengan sikap Adam. Padahal tadi dia hanya membincangkan masalah ibunya bersama Farhan. Idayu sendiri tidak sempat menjelaskan keadaan yang terjadi terhadap ibunya kerana Adam yang menekan dengan pelbagai soalan. Gadis itu kemudian melepaskan satu nafas keluhan.

Idayu kemudian kembali melihat keadaan ibunya yang sudah ditempatkan di dalam wad. Ibunya itu masih tidak sedarkan diri dan terpaksa bergantung dengan alat bantuan pernafasan. Sebagai anak, hati Idayu dirundung pilu apabila menyaksikan keadaan ibunya itu. Setelah menemani ibunya, Idayu terpaksa pulang ke rumah untuk mengemas pakaiannya dan pergi ke rumah Adam pula. Dia hanya membawa beberapa helai pakaian dan menjangkakan dirinya hanya akan tinggal selama dua atau tiga hari sahaja di rumah suaminya itu.

Setelah tiba di rumah Adam, ibu suaminya itu sudah pun tiba di sana. Idayu segera bersalaman dengan ibu mentuanya itu.

"Cik Jah dah lama sampai?" Idayu menyapa.

"Apa pula Cik Jah.. Ayu kan dah kahwin dengan Adam.. dah jadi menantu Ibu.. panggil Ibu je la.." Khadijah menegur menantunya.

"Maaf Ibu.."Idayu tersipu malu dengan kekhilafan dirinya.

"Haa.. Ayu ni dari mana? dengan beg pakaian lagi ni? takkan baru nak tinggal kat sini?" Khadijah bertanya setelah melihat Idayu yang masuk ke rumah dengan membawa beg pakaian.

"Aa.. ini.. bukan.. tadi Ayu pergi dobi untuk keringkan pakaian ni.." Idayu cuba berbohong agar perkahwinan palsunya dengan Adam tidak ketahuan.

"Hmm.. Adam, nanti kau beli je mesin pengering tu.. letak kat rumah.. kata tauke kedai pakaian.. tapi nak keringkan baju pun kena pergi kedai. Orang sekarang ni semuanya sibuk.. nak jemur kain pun tak sempat. Bini kau pun sama la.. jangan duk susahkan dia.. kena ulang alik ke kedai dobi hanya untuk keringkan pakaian. Kan baik masa yang duk terbuang kat dobi tu guna untuk bersama je kat rumah." Khadijah menegur Adam. Adam hanya mengembus nafas kasar sambil menggaru kepala setelah mendengar kata-kata ibunya itu. Namun pada masa yang sama lelaki itu turut bersyukur kerana Idayu pandai berhelah untuk menutup kebohongan mengenai hubungan mereka.

"Ayu, duduklah dulu.. Ibu nak ajak berbual sekejap." Khadijah bersuara lagi. Ayu hanya akur dan cuba menempatkan dirinya di sofa. Namun tiba-tiba Adam menarik lengan Idayu, sepertinya ingin isterinya itu duduk di sampingnya. Idayu hanya menurut. Wanita itu segera melabuhkan punggungnya di sisi Adam dan tersenyum ke arah ibu mentuanya. Sejenak kemudian, Idayu lebih terkejut apabila Adam merangkul bahunya. Lelaki itu sengaja ingin mempamerkan hubungan mesra mereka di hadapan Khadijah. Idayu pula hanya membiarkan tindakan suaminya itu walaupun agak tidak selesa.

Setelah bersembang seketika, Idayu yang sudah menahan dirinya untuk membuang air kecil ingin meminta diri. Namun gadis itu menjadi serba salah dan tidak berani menyuarakan keinginannya. Ini kerana dia sendiri tidak tahu di mana letaknya tandas di rumah tersebut dan di mana bilik yang harus dia gunakan untuk tidur dan menyalin pakaian.

"Ibu.. Ayu nak pergi bilik air sekejap.." Idayu terpaksa meluahkan hasratnya.

"Pergilah." Khadijah membalas.

"Sayang.. jom ikut saya sekejap.." Idayu terpaksa mengajak Adam untuk bertanyakan mengenai kedudukan tandas di rumah lelaki tersebut dengan menarik tangan suaminya itu.

"Ada apa? Kalau nak cakap apa, cakap je la kat sini.." Adam tidak memahami isyarat yang diberikan oleh isterinya. Idayu yang geram dengan balasan Adam itu segera mencubit lengan suaminya. Setelah mendapat cubitan, Adam baru mengerti dan segera bangkit untuk mengikuti Idayu berjalan menjauhi ibunya. Setelah mereka berada agak jauh daripada Khadijah, Adam segera memegang bahu Idayu dan mengarahkan pandangan isterinya itu untuk menghadap, bertentangan dengan dirinya.

"Ada apa?" Adam bertanya.

"Kat mana tandas? Mana la saya tahu tandas kat rumah ni kat mana.. kalau saya sendiri, nanti ibu tahu la saya cari tandas tak jumpa." Idayu terpaksa memberitahu masalahnya. Adam pula segera tersenyum, seraya tertawa kecil.

"Oh.. tu, kat sebelah tu je tandas.. saya ingatkan awak nak ajak saya temankan awak kat tandas." Adam menjawab sambil menunjukkan pintu tandas kepada Idayu.

"Kalau nak saya temankan, bagitau je.." Adam cuba berseloroh.

"Hmm.. ke tepilah.." Idayu menolak tangan Adam yang memegang bahunya. Dia sudah tidak dapat menahan diri untuk membuang air kecil. Namun tiba-tiba Adam menyambar pergelangan tangan Idayu dan menarik gadis itu kembali berhadapan dengannya.

"Ingat, kalau perlukan teman ke mana-mana, bagitau je saya.. saya taknak tengok atau dengar awak bersama lelaki lain macam tadi.. faham? saya bagi amaran penghabisan." Adam menekan suaranya untuk memberi ancaman sambil jari telunjuknya diacungkan ke arah Idayu.

Pada masa yang sama, Idayu pula mula terperasan Khadijah yang berjalan menuju ke arah mereka. Adam yang membelakangi ibunya itu langsung tidak menyedari kehadiran ibunya di sana. Idayu menjadi cemas dengan tiba-tiba. Dia tidak ingin ibu mentuanya itu melihat keadaan sebenar hubungan dirinya dengan Adam. Idayu tiada pilihan dan segera merangkul leher Adam dan mencium suaminya itu. Adam tersentak dengan perlakuan isterinya itu.

"Ahh..maaf.. ibu tak nampak apa-apa.." Khadijah bersuara dan segera berpusing badan untuk menjauhi pasangan anak dan menantunya itu yang sedang bermesraan. Idayu segera menghentikan ciumannya. Adam semakin terkejut setelah menyedari kehadiran ibunya di sana. Adam baru mengerti tindakan Idayu sebentar tadi adalah untuk menyelamatkan dirinya daripada membongkarkan penipuan pernikahan mereka. Namun kini, Adam dan Idayu masing-masing tersipu malu. Idayu mula terasa sangat malu dengan tindakannya sebentar tadi. Namun dia tiada pilihan lain. Hanya itulah cara yang sempat terfikir oleh otaknya dalam masa yang singkat itu.

"Maaf.." Idayu meminta maaf kerana telah bersikap ceroboh mencium suaminya. Wanita itu kemudian segera membuka langkah kakinya dan menuju ke tandas. Adam pula masih terdiam kaku di tempatnya berdiri. Kucupan dari bibir Idayu sebentar tadi telah mengusik jiwanya. Sensasi yang dia rasakan tadi masih bermain di mindanya walaupun kejadian tersebut hanya berlaku cuma dalam sedetik masa. Pada masa yang sama, dia bersyukur dan ingin berterima kasih kepada Idayu kerana telah bertindak untuk menyelamatkan pembohongan mereka kepada ibunya. Adam kemudian tersenyum sendirian lalu berjalan semula menuju ke arah ruang tamu, dimana ibunya berada.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience