PERNIKAHAN Adam dan Idayu pun berlangsung. Namun tiada sanak saudara mahu pun sahabat handai yang hadir menemani. Mereka hanya melangsungkan perkahwinan secara rahsia. Adam cuma memaklumkan perkara tersebut kepada Khadijah sahaja memandangkan perkahwinan mereka hanyalah semata-mata untuk memenuhi keinginan ibunya itu. Mendapat perkhabaran daripada anaknya, Khadijah menjadi sangat gembira. Dia tidak menyangka anak tunggalnya itu akan menamatkan zaman bujang dengan wanita pilihannya. Selain ingin memiliki keturunan daripada anaknya, Khadijah juga ingin menutup mulut jiran tetangga dan sanak saudara yang sering bercakap mengenai Adam yang menjadi bujang lajang. Sebagai ibu, Khadijah tidak sanggup lagi untuk mendengar sebarang tomahan yang dilemparkan terhadap anak tunggalnya itu. Walaupun Adam seorang yang berkerjaya dan mempunyai syarikat serta gedung yang besar, namun anaknya itu masih tidak berkahwin walaupun sudah berusia. Kini semua tomahan orang akan tertutup dan terhenti apabila Adam sudah pun mempunyai isteri.
Di pejabat, Idayu tetap bekerja seperti biasa. Dia meneruskan tugasnya sebagai pembantu tadbir di syarikat milik Adam. Walaupun sudah bergelar isteri kepada majikannya, namun Idayu masih tidak merasakan apa-apa perbezaan. Mereka tidak tinggal bersama dan tidak pernah berjumpa melainkan waktu di pejabat, untuk melaksanakan urusan kerja. Adam tetap dengan sikap dinginnya dan Idayu pula terus fokus terhadap kerja. Setelah selesai tugasannya, Idayu yang duduk di meja kerjanya melihat ke arah satu fail. Itu adalah fail milik Idayu sendiri yang dibawanya ke pejabat. Tanpa membuang masa, Idayu mencapai fail tersebut dan melihat isinya. Di dalam fail tersebut, terkandung beberapa lukisan rekaan pakaian yang di lukis sendiri oleh Idayu.
Sambil menatap hasil rekaan baju yang dilukis olehnya, Idayu tersenyum puas. Idayu ingin mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang pereka pakaian. Itulah sebab mengapa dia berusaha mendapatkan kerja di syarikat tersebut. Walaupun hanya sekadar pembantu tadbir, Idayu tetap tidak ingin melepaskan peluang. Selama ini, Idayu sangat meminati bidang perekaan fesyen. Dia banyak menghasilkan rekaan fesyen dan corak pakaian, namun kebanyakan hasil ciptaannya itu hanya kekal di atas kertas dan menjadi koleksi simpanan peribadinya sendiri sahaja. Idayu tidak berpeluang untuk menceburi industri fesyen dalam bidang rekaan kerana dia tidak mempunyai kelulusan selayaknya di dalam bidang tersebut. Di sebabkan dirinya tidak mempunyai pendidikan atau latar belakang mengenai fesyen dan perekaan, gadis itu sering kali gagal untuk menawarkan diri kepada mana-mana syarikat. Oleh itu, Idayu mengambil keputusan untuk bekerja terlebih dahulu di dalam syarikat yang berkaitan rekaan dan peragaan fesyen walau apa pun jawatannya.
Nasibnya agak baik apabila dia diterima untuk bekerja di syarikat milik Adam sebagai pembantu tadbir. Walaupun berbeza jawatan, Idayu tetap optimis untuk memasuki industri fesyen. Jika sudah berada di dalam syarikat yang berkenaan, fikir gadis itu, pasti lebih mudah untuk dirinya mengejar cita-cita. Dia akan berjumpa dan menyerahkan hasil rekaannya kepada pegawai yang terlibat di bahagian perekaan fesyen. Dengan cara itu, pasti rekaannya akan diterima dan Idayu berkemungkinan akan diserap ke jabatan yang berkenaan.
Idayu yang hati penuh berbunga-bunga kemudian menutup fail di tangannya. Gadis itu kemudian bangkit berdiri dari kerusi dan melangkah pergi sambil membawa fail yang mengandungi rekaan fesyen yang dihasilkannya. Baru sahaja melangkah beberapa kali, Idayu melihat ke arah seorang lelaki yang berusia separuh umur. Lelaki itu adalah Hafiz, pengurus di pejabatnya. Idayu tanpa berlengah, segera menghampiri lelaki berkenaan yang juga merupakan pegawai atasannya.
"Encik Hafiz.. boleh saya nak minta tolong?" Idayu menyapa atasannya itu sambil tersenyum dan mendakap fail ke tubuhnya.
"Ya, ada apa?" Hafiz segera berkalih pandangan ke arah Idayu.
"Saya nak minta Encik Hafiz tengok hasil design yang saya buat ni.. dan saya nak minta Encik Hafiz tolong serahkan design ni kat bahagian design.. Ini semua saya buat sendiri." Idayu terus tersenyum sambil menghulurkan fail ditangannya kepada Hafiz. Hafiz menyambut fail yang diberikan seraya membuka fail tersebut. Hanya sesaat memandang, Hafiz lantas menutup semula fail yang diberikan oleh Idayu kepadanya sambil mecebik bibir.
"Awak tu kerani.. buat je la kerja sebagai kerani.. apa kejadah duk buat design pula.." Hafiz mencampakkan fail di tangannya ke muka Idayu. Idayu tergamam. Beberapa helaian kertas yang dilukis pelbagai fesyen berselerakan di lantai. Idayu benar-benar terpempan. Dia kehilangan kata-kata dengan sikap kurang ajar atasannya itu. Air jernih mula bergenang di takungan mata. Perlahan-lahan, Idayu menurunkan badannya untuk mengutip semula kertas lukisan yang berselerakan.
"Awak tak payah berangan nak buat design fesyen.. itu kerja budak-budak designer.. awak tu kerani, buat kerja sepatutnya yang awak kena buat. Faham?" Hafiz mengherdik. Idayu yang selesai mengutip hasil kerjanya yang bertebaran di lantai tadi kini bangkit berdiri semula. Gadis itu masih cuba menahan sebak di dada. Dia kemudian membalas ucapan pengurusnya itu.
"Saya dah buat tugas saya kat pejabat ni Encik Hafiz.. cuma.. saya nak cuba juga untuk buat design.. saya.."
"Dah! awak ni tak faham bahasa ke? kalau awak nak sangat buat design, baik awak resign je kerja awak sekarang.. lepas tu apply la kerja kat bahagian design.." Hafiz segera mencelah percakapan Idayu yang masih tergantung.
"Tapi.. saya.."
"Jangan sampai saya ulang sekali lagi.. saya dah cakap.. tolong reti bahasa sikit!" Hafiz menekan suaranya, seakan mengancam Idayu. Gadis itu pula terus terdiam. Pandangan wajahnya dijatuhnya ke bawah dan matanya memandang lantai. Air mata Idayu menitis keluar dan terus jatuh ke lantai.
"Dah.. pergi.. jangan ganggu saya lagi." Hafiz memberikan arahan. Idayu hanya mengangguk perlahan sebelum membalikkan badan dan berjalan semula menuju ke arah meja kerjanya. Hatinya penuh dengan rasa kecewa. Ingin sahaja dia menjerit dan menangis sekuat-kuatnya. Namun Idayu terpaksa menahan perasaan. Walaupun dia berjalan sambil menundukkan pandangan, namun dia sedar, ramai rakan kerja di dalam pejabat tersebut sedang menumpukan pandangan mereka ke arahnya. Wajar sahaja semua orang memandang ke arahnya kerana dia baru sahaja dimarahi dan ditengking oleh Hafiz di depan khalayak. Idayu terpaksa berpura-pura tiada apa pun yang sudah berlaku. Dirinya kini sedang menahan rasa malu dan kecewa.
Setelah duduk di kerusi yang menempatkan meja kerjanya, Idayu terbungkam sambil terus menundukkan wajahnya ke bawah. Rakannya, Nadia yang berada di meja sebelah segera menghampiri Idayu dengan menggerakkan roda pada kerusi yang menjadi tempat duduknya. Nadia segera menggengam tangan Idayu sebagai tanda memberi sokongan terhadap gadis tersebut.
"Kenapa Ayu? Kenapa Encik Hafiz marahkan kau?" Nadia bertanya dengan suara yang perlahan. Idayu yang tidak mampu menahan sebak dan rasa kecewanya akhirnya menangis. Air matanya tetap melimpah keluar walaupun Idayu sudah memejamkan matanya. Badannya turun naik dek sedu sedan menahan tangisan. Idayu benar-benar kecewa. Dirinya merasa sangat terhina malah hasil kerjanya selama ini yang dibuat dengan penuh rasa cinta akhirnya tidak dihargai malah dicerca oleh pegawai atasan. Melihatkan keadaan Idayu, Nadia segera memeluk tubuh sahabatnya itu.
"Dah la Ayu.. sabar okay.. tak payah peduli sangat dengan apa yang Encik Hafiz tu cakap.." Nadia cuba memujuk. Ayu pula menggelengkkan kepalanya dengan perlahan.
"Ini cita-cita aku Nadia.. aku dah berusaha keras untuk hasilkan ini semua.. aku cuma minta tolong dia sampaikan je.. tapi dia hina hasil kerja aku.. dia hina cita-cita aku.. dia hina diri aku.. Kalau dia taknak tolong pun, tak perlu hina hasil usaha aku selama ni.." Idayu bersuara serak dengan nada yang perlahan.
"Ya.. aku faham.. tapi kau sabar la.. jangan la menangis kat sini.. " Nadia terus memujuk supaya Idayu menghentikan tangisannya. Sambil memeluk Idayu, Nadia menggerakkan tangan kirinya dan telapak tangannya di letak pada belakang badan Idayu. Dia mengelus lembut belakang sahabatnya itu. Seketika kemudian, Idayu mula tenangkan diri. Tangisannya turut terhenti. Nadia melepaskan pelukannya dan mencapai tisu di atas meja Idayu. Tisu tersebut lantas digunakan oleh Nadia untuk mengelap air mata yang tersisa di pipi dan celahan mata Idayu.
"Dah.. kau sabar dulu okay.. aku percaya, nanti kau pasti akan berjaya Ayu.. jangan mudah patah semangat.. ini hanyalah ujian kecil untuk kau menemui kejayaan.. Ingat, bukan mudah untuk berjaya.. bukannya kita buat, semuanya akan terus dapat.. pasti akan ada halangannya.. kali ni, kau dah temui salah satu halangan.. percayalah Ayu.. kau pasti boleh.. lepasi semua halangan yang mendatang." Nadia cuba menyemangati Idayu dengan ucapannya. Mendengarkan kata-kata Nadia, Idayu mula tersedar. Ucapan sahabatnya itu ada benarnya. Bukan sahaja pada hari ini, bahkan dia sudah melepasi pelbagai rintangan dalam hidupnya selama ini untuk menuju, menjadi seorang pereka fesyen. Dia hanyalah seorang gadis yang mempunyai minat yang besar di dalam bidang rekaan fesyen. Latar belakang dan pendidikannya selama ini tidak dia jadikan sebagai penghalang untuk menguburkan cita-citanya. Dia tetap berusaha dan mencuba untuk menuju cita-citanya. Di sebabkan itulah kini dia berada di situ, di syarikat yang berkaitan dengan industri fesyen dan tekstil.
"Terima kasih Nadia.. aku akan ingat pesanan kau ni sampai bila-bila.." Idayu tersenyum walaupun masih terlihat sedikit hambar.
"Haa.. macam tu la.. jangan mudah patah semangat.. ingat juga, lain kali kau tak payah nak bergurindam di tengah rimba.. Encik Hafiz tu bagai jawi belang puntung.. didahulukan, dia menyepak.. dikemudiankan, dia menanduk.. Kau minta tolong je daripada orang lain.. tak payah nak libatkan dia dah.." Nadia menyampaikan pesanannya lagi. Idayu tercengang seketika.
"Kau ni.. nak berperibahasa pula.. cakap je la terus terang.." Idayu tersenyum.
"Susah aku pula nanti kalau dia dengar." Nadia berbisik kepada sahabatnya itu. Idayu lantas tertawa kecil dengan ulah Nadia. Sambil menatap Nadia yang berada di sampingnya, Idayu mula merasa bersyukur kerana dihadirkan sahabat sebaik Nadia di situ. Nadia sangat memahami serta suka memberi bantuan dan sokongan kepada Idayu.
Share this novel