DI unit rehabilitasi hospital, Zaiton kelihatan duduk sendirian disebuah bangku. Dia baru sahaja selesai menjalani rawatan terapi di bahagian fisioterapi bagi memulihkan kekuatan kakinya. Wanita berusia 50an itu sepertinya termenung memikirkan sesuatu. Sejak beberapa hari yang lalu, dia asyik bersendirian dan lebih gemar mendiamkan diri sambil mengelamun. Apalagi setelah dia mengetahui jika Idayu sudah pun tahu mengenai kejadian sebenar dan siapa ibu kandungnya. Fikiran Zaiton sering terganggu apabila memikirkan anak kandungnya yang sebenar sudah pun meninggal dunia, tidak lama selepas dilahirkan. Idayu yang dia besarkan sebagai anaknya sendiri, ternyata bukan anak kandungnya. Malah kini dia mula merasa bersalah kerana menjadi beban di dalam hidup Idayu. Padahal anaknya itu sepatutnya hidup mewah bersama ibu kandungnya dan tidak perlu bersusah payah menjaga Zaiton.
Tidak lama kemudian, Idayu muncul di ruang tersebut dan menghampiri ibunya itu. Pada hari tersebut, dia menemani Zaiton ke hospital untuk menjalani terapi sejak dari pagi. Sementara ibunya menjalani proses terapi bersama perawat, Idayu mengambil peluang untuk pergi ke kedai serbaneka untuk membeli sesuatu. Kini setelah dia kembali, Zaiton sudah pun selesai menjalani proses rawatan dan sedang menunggu Idayu di bangku.
"Eh, mak dah selesai buat rawatan fisioterapi? maaf la mak kena menunggu kat sini.. Ayu pergi beli barang jap kat kedai depan sana tu." Idayu segera menyapa ibunya.
"Takde la.. mak pun baru je selesai buat rawatan tu.. baru je mak duduk kat sini."
"Kalau macam tu, jom la kita balik." Idayu memapah ibunya supaya wanita berusia itu dapat berdiri dengan lebih mudah dari duduknya. Setelah Zaiton dapat berdiri dengan baik, Idayu segera memimpin tangan ibunya itu dan mereka mula membuka langkah perlahan-lahan.
"Ish, mak ni.. jangan la jalan laju-laju.. pelan-pelan sikit.. kaki mak tu bukannya betul-betul kuat lagi." Idayu sedikit menarik lengan ibunya setelah menyedari langkah kaki ibunya itu agak laju. Dia tidak ingin ibunya itu terburu-buru untuk berjalan bagi mengelakkan kecederaan.
"Mak tahu la.." Zaiton sedikit membantah. Padahal dia sudah sangat teruja apabila kakinya kini terasa semakin gagah dan dia sebolehnya ingin dapat berlari semula secepat mungkin.
"Mak hati-hati la sikit.. jangan sampai rebah, sakit semula.. nanti kalau mak sakit, siapa nak jaga mak? Ayu malas dah nak jaga." Idayu cuba bergurau dengan ibunya. Namun ucapan gurauan Idayu itu ditanggapi dengan serius oleh Zaiton. Hatinya mula sebak apabila mengenangkan dirinya sudah tidak mempunyai sesiapa bahkan Idayu juga ingin meninggalkan dirinya.
"Mak minta maaf sebab dah susahkan Ayu.. mak dah takde sesiapa dalam hidup ni.. tolong jangan tinggalkan mak.. mak taknak kehilangan kau Ayu.." Zaiton mula menangis secara tiba-tiba. Idayu pula tersentak dengan perubahan emosi ibunya itu. Dia langsung tidak menyangka gurauannya sebentar tadi telah mengguris perasaan wanita tersebut. Padahal sebelum ini, mereka sering sahaja bergurau sedemikian.
"Makk.. jangan la cakap macam tu.. Ayu sayang mak.. Ayu takkan tinggalkan mak.. Mak tak pernah pun susahkan Ayu.. Dalam hati Ayu, mak yang paling utama.. Ayu sayang mak lebih dari diri Ayu sendiri." Idayu terpaksa memeluk ibunya bagi menenangkan wanita tersebut. Idayu kesal dengan dirinya yang terlepas cakap semasa bergurau dengan ibunya tadi. Dia tidak terfikir jika ibunya itu akan menjadi terlebih sensitif semenjak mengetahui Idayu bukanlah anak kandungnya sendiri. Namun bagi Idayu, Zaiton itu tetaplah ibunya dan kasih sayangnya kepada Zaiton sedikit pun tidak berubah dan tetap menganggap ibu itu seperti ibu kandungnya sendiri.
"Tolong jangan tinggalkan mak.. Mak sayang Ayu.." Zaiton merintih sambil menangis di dakapan Idayu. Tubuh tua itu bergoncangan kuat kerana menahan tangisnya.
"Ya mak.. Ayu janji takkan tinggalkan mak.. Ayu akan jaga mak dan bersama mak seumur hidup.. Mak jangan la fikir bukan-bukan.. Selamanya Ayu ni tetap anak mak.."
"Tapi Ayu bukan anak kandung mak.. Ayu dah ada ibu Ayu.. Dia lebih berhak ke atas Ayu.. Mak minta maaf sebab dah pisahkan Ayu dengan ibu Ayu sendiri selama ni.. Kalau tak, tak perlu la Ayu hidup susah selama ni.."
"Mak jangan la mengarut macam ni.. sepatutnya Ayu la kena bersyukur dan berterima kasih kat mak sebab dah jaga dan besarkan Ayu dengan baik.. Terima kasih kat arwah abah sebab dah selamatkan Ayu.. Sebab arwah abah dan mak la Ayu masih hidup sampai sekarang.. Ayu sayang mak.. Ayu sayang sangat.. Mak jangan la menangis macam ni.." Idayu tetap memujuk ibunya itu. Semakin lama, tangisan Zaiton kian reda. Pelukan hangat daripada Idayu membuatkan wanita itu menjadi lebih tenang.
"Mak, walau apa pun yang terjadi, Ayu tetap akan bersama mak dan takkan tinggalkan mak.. Ayu sayang mak.. Ayu sayang mak selamanya.." Idayu bersuara perlahan seraya mengucup dahi ibunya dengan lembut. Idayu sedar ibunya yang semakin tua itu kini menjadi sangat sensitif dan mudah tersentuh, apatah lagi setelah dia mengetahui anak kesayangannya itu bukan anak kandungnya sendiri. Idayu tahu dia perlu berhati-hati di dalam berbicara terhadap ibunya itu di lain masa. Hal yang melibatkan hubungan mereka tidak perlu disebut dan dipersoalkan lagi sama sekali walaupun sekadar gurauan. Hati ibunya itu perlu dijaga sebaik mungkin agar tidak merasa tersisih.
"Dah la mak.. jom kita pergi kat kereta.." Idayu mengajak ibunya untuk kembali bergerak, menuju ke tempat parkir. Dengan langkah kaki yang perlahan, Idayu memaut lengan Zaiton dan berjalan beriringan dengan ibunya itu. Di pertengahan jalan, Idayu secara tak sengaja melihat kelibat Farhan yang sedang berurusan dengan seseorang di kaki lima bangunan hospital. Doktor yang menjadi kenalannya itu sepertinya sedang memberikan penerangan kepada seorang lelaki mengenai suatu rencana. Malah disekitar kawasan Farhan, terlihat beberapa bunting terpampang dan ada beberapa orang sedang membahagikan pamplet kepada orang yang lalu lalang di kawasan tersebut. Idayu langsung melihat ke arah banner dan bunting yang dipasang di sana.
"Majlis Hi Tea untuk kutip derma? Bantuan untuk rawatan penyakit jantung kongenital kanak-kanak?" Idayu membaca perkataan yang terpampang di salah satu bunting. Idayu dan Zaiton meneruskan langkah kaki mereka dan melalui kawasan yang ditempati oleh Farhan. Farhan yang berada di sana segera menyedari kehadiran Idayu apabila dia menoleh.
"Eh, Ayu.. makcik.. dari mana ni?" Farhan segera mendekat dan menyapa.
"Hari ni bawa mak pergi kat bahagian fisioterapi.." Idayu menjawab.
"Oh, patut la dah boleh berjalan sendiri ye.. macam mana makcik? makin sihat ke?" Farhan menegur Zaiton.
"Alhamdulillah.. dah boleh berjalan ni, rasa makin sihat je." Zaiton tersenyum.
"Jadi, dah selesai ke rawatan fisioterapi tu?"
"Ah, dah selesai..ni nak balik la ni.." Idayu pula menjawab. Melihatkan keadaan disudut kaki lima tersebut, Idayu mula tertanya-tanya dan segera ingin mendapat penjelasan daripada Farhan yang turut berada di sana.
"Ini ada apa?" Idayu menunjukkan ke arah banner dan pamplet yang berada di sana.
"Oh, ini.. saya datang jenguk je.. tengok mereka duk edar pamplet.. sebenarnya esok, Yayasan Kasih Budi ada buat majlis hi tea kat dewan sebelah hospital ni.. nak dapatkan derma dan kumpulkan dana bagi rawatan untuk kanak-kanak yang mengalami masalah jantung kongenital.. sekarang ni kan, banyak anak-anak dari keluarga yang tak berkemampuan tapi dah menghidap penyakit jantung berlubang la, Patent Ductus Arteriosus (PDA) la, Injap paru-paru sempit la.. saluran injap tersumbat la.. macam-macam lagi.. Jadi Yayasan Kasih Budi nak sediakan tabung khas untuk bantu anak-anak ni dapatkan rawatan.. sesiapa pun boleh menderma.." Farhan memberi penjelasan.
"Oh, macam tu.. baguslah.. kalau boleh, saya pun nak derma jugak.." Idayu teruja dengan tindakan yang dijalankan.
"Awak pun, jemput la datang.. petang esok.. sambil minum-minum petang, boleh dengar penerangan yang lebih details pasal ni.." Farhan menghulurkan pamplet kepada Idayu. Wanita itu menyambut pamplet yang diberikan dengan senang hati.
"Baiklah.. Insyaallah saya akan datang.. kalau macam tu, saya pergi dulu ya.. Kesian mak saya duk berdiri lama ni.. kaki dia bukan kuat sangat lagi.." Idayu melemparkan sebuah senyuman sebelum beredar bersama Zaiton dan meneruskan perjalanan mereka menuju ke arah kawasan parkir kereta.
Share this novel