Bab 12

Romance Series 97025

SEBUAH syarikat berminat untuk membeli rekaan fesyen yang dihasilkan oleh Idayu. Wanita itu sangat teruja dan gembira apabila iklan yang dia lakukan di atas talian telah berjaya menarik minat syarikat fesyen tersebut. Setelah berhubung melalui panggilan telefon, Idayu bersetuju untuk menemui wakil daripada syarikat tersebut bagi melakukan transaksi jual beli. Pulang dari pejabat, Idayu bergegas menuju ke sebuah restoran yang dijanjikan untuk menemui wakil syarikat yang ingin membeli rekaan fesyen miliknya.

Tiba di restoran, Idayu menemui seorang lelaki yang segak dan berpenampilan menarik. Setelah mereka duduk semeja, lelaki tersebut lantas memperkenalkan dirinya.

"Cik Ayu? Awak yang berhubung dengan Julia tadi kan? Saya Nizam.. Pengarah dari syarikat ELBY. Julia tak dapat hadir sebab ada hal kecemasan.. jadi saya yang gantikan dia."

"Oh, Ya saya.. tak kisah la siapa pun yang datang.. saya pun tak boleh lama sangat kat sini.. ini saya ada bawakan design yang saya hasilkan.. cubalah tengok, kalau Encik Nizam berkenan." Idayu menghulurkan fail yang mengandungi beberapa hasil fesyen yang direkanya.

Lelaki yang duduk berhadapan dengannya itu segera menyambut fail yang dihulurkan. Nizam lantas membuka fail tersebut dan melihat karya milik Idayu dengan teliti satu persatu. Idayu pula semakin berdebar dan menunggu dengan sabar. Dia sangat berharap, fesyen rekaannya akan mencuri tumpuan dan menambat hati pengarah dari syarikat fesyen tersebut.

Pada masa yang sama, tanpa Idayu sedari, Adam dan setiausahanya, Shakir turut berada di restoran berkenaan. Adam yang ingin menemui seseorang mengenai urusan syarikatnya itu kemudiannya menyedari keberadaan Idayu di sana. Shakir yang sedang bersama majikannya itu turut perasan hal yang sama apabila melihat reaksi Adam yang masam mencuka dan memakukan pandangannya ke arah Idayu.

"Encik Adam.. itu.. Ayu.. kenapa dia bersama Nizam? Nizam tu kan pengarah kat syarikat ELBY, syarikat saingan kita.." Shakir mula bersuara. Adam pula masih terdiam. Matanya terus terpaku ke arah isterinya. Dari kejauhan, mereka melihat Idayu menerima sekeping cek daripada lelaki yang sedang bersamanya itu.

"Ish.. kenapa Nizam bagi cek kat Ayu? Ayu tu kan... isteri Encik Adam.. tak mungkin la kalau dia jual maklumat atau rahsia syarikat kita.. Tapi.. dia dapat bayaran untuk apa?" Shakir tertanya-tanya. Lelaki itu merenung wajah Adam yang  semakin masam.

"Dia hanya pernah jadi kerani dan sekarang cuma jadi pembantu.. mana dia tahu pasal maklumat sulit syarikat.. dia bukan duduk kat bahagian design atau pemasaran.. Shakir, nanti cuba dapatkan maklumat akaun Idayu.." Adam memberikan pendapat dan arahan. Hatinya penuh dengan rasa curiga terhadap isterinya itu.

"Maklumat akaun? Ish, memang saya boleh cuba dapatkan..tapi itu satu kesalahan.. itu kan maklumat sulit peribadi orang.." Shakir berterus-terang.

"Alah.. aku bukan nak dedah, nak sebarkan benda tu.. cuma nak tahu je.. sebagai suami, aku nak juga tahu keadaan kewangan isteri aku." Adam membalas.

Shakir terdiam sambil menganggukkan kepala. Dia terpaksa akur terhadap kehendak majikannya itu. Tidak lama kemudian, Idayu mula bangkit berdiri dan segera meninggalkan ruangan di dalam restoran tersebut. Wanita itu langsung tidak menyedari keberadaan Adam yang sedang memerhatikannya. Keluar dari restoran, Idayu menuju pula ke hospital untuk menjenguk ibunya yang berada di sana. Kehidupan seharian gadis itu benar-benar sibuk dan meletihkan. Namun Idayu tidak pernah mengeluh sedikit pun. Malah wanita tabah itu tidak pernah bercerita mengenai masalahnya kepada sesiapa pun, termasuklah Adam yang sudah menjadi suaminya.

Keadaan Zaiton masih tiada sebarang perubahan walaupun telah beberapa hari ditempatkan di dalam wad di unit rawatan rapi. Idayu semakin resah apabila memikirkan keadaan ibunya itu. Setelah tamat waktu melawat, Idayu pulang ke rumahnya. Dia sudah tidak tinggal di rumah Adam memandangkan ibu mentuanya sudah tiada di sana. Khadijah yang sudah pulang ke rumahnya sedikit sebanyak telah memberi kelegaan kepada Idayu. Kini gadis itu bebas berada di rumahnya sendiri dan tidak perlu berlakon lagi sebagai pasangan suami isteri bersama Adam.

DUA hari kemudian, Idayu pergi ke pejabat seperti biasa. Setelah membuatkan air kopi kepada Adam, gadis itu duduk di meja kerjanya. Seketika kemudian, Shakir melintas di depan gadis tersebut sambil tersenyum. Shakir segera masuk ke dalam bilik untuk menemui Adam. Idayu yang sudah terbiasa dengan situasi seperti itu langsung tidak mempedulikan Shakir yang masuk menemui majikannya itu. Sebagai setiausaha kepada Adam, Shakir memang sering keluar masuk beberapa kali setiap hari ke bilik tersebut. Di dalam bilik, Shakir menyerahkan beberapa dokumen kepada Adam.

"Ini maklumat akaun Ayu.." Shakir bersuara perlahan agar tidak didengari oleh Idayu yang berada di luar bilik. Lelaki itu turut menjeling ke arah dinding cermin berhampiran pintu bilik dan melihat Idayu yang sedang ralit bekerja.

"Hmm.. simpanan dia dah hampir 45 ribu.. Padahal gaji dia tak sampai pun dua ribu ringgit.. kerja kat sini pun baru lagi.." Adam tekun meneliti penyata akaun yang diberikan oleh Shakir kepadanya. Lelaki itu kemudian teringat dengan upah yang dia berikan kepada Idayu sebanyak tiga ribu ringgit setiap bulan dan duit hantaran perkahwinan.

"Ah.. saya juga dapat tahu, dia sekarang tengah apply personal loan 20K.." Shakir memberikan maklumat tambahan. Adam mula berkerut dahinya.

"Dah ada simpanan 45K.. untuk apa lagi dia apply loan sampai 20K? Pelik.. Banyak juga transaksi yang masuk ke akaun dia.. dan dia konsisten membuat simpanan.. dia ada masalah kewangan ke? ke memang jenis mata duitan?" Adam mulai tertanya-tanya. Dia kemudian terkenangkan kejadian ketika Idayu segera menerima permintaannya untuk berkahwin. Wanita itu awalnya terlihat keberatan untuk menerima tawarannya. Namun setelah di sogokkan dengan wang, Idayu tanpa ragu-ragu bersetuju. Terlihat jelas wanita itu sangat menginginkan wang. Pada fikiran Adam, terbayang pula saat ketika Idayu bersama Farhan di hospital. Malah, dua hari lepas, dia melihat lagi isterinya itu bersama lelaki daripada syarikat pesaing perniagaannya. Dia melihat dengan jelas Idayu menerima cek daripada lelaki tersebut.

"Rasanya, lebih baik Encik Adam bertanyakan sendiri kepada dia.. Saya keluar dulu.." Shakir memberikan saran sambil meminta diri untuk keluar dari bilik Adam. Adam pula masih terbungkam. Fikirannya hanyut dibawa lamunan. Shakir tanpa berlengah, segera meninggalkan Adam sendirian di bilik pejabatnya itu.

'Adakah Ayu ni pemboros dan suka hidup bersenang lenang? Dengan gaji yang dia terima, mungkin sukar untuk penuhi keinginan dia.. sebab tu ke dia merayu lelaki dengan menggunakan kecantikan? minta duit daripada lelaki.. Lelaki yang bersama dengan dia pun, semuanya lelaki yang berkerjaya.. sorang tu doktor.. Nizam tu pula pengarah syarikat.. Nanti, dengan aku sekali kena kikis..' Terdetik keraguan di dalam hati Adam. Pandangan baik yang dia berikan kepada Idayu sejak beberapa hari yang lalu mula tergoyang.

'Ayu.. kenapa kau banyak nak berahsia dengan aku? Padahal, kalau kau perlukan wang, aku boleh bantu.. aku boleh beri berapa banyak wang yang kau nak.. Ahh, tidak! Aku takkan biarkan kau kikis duit aku sesuka hati.. dasar perempuan mata duitan.. hidup dengan menjadi pisau cukur.. betul-betul memalukan!' Adam terus membuat sangkaan.

Sedang lelaki itu mengelamun, tiba-tiba Idayu masuk ke dalam bilik Adam.

"Encik Adam.. saya.." Idayu tetap mengekalkan panggilan hormat kepada majikannya itu ketika berada di pejabat.

"Ayu.. untuk apa lagi awak apply personal loan?" Adam segera bertanya walaupun Idayu masih tidak menghabiskan ucapannya.

"Ah?" Idayu tersentak. Sebentar tadi, dia sebenarnya ada sesuatu yang ingin di sampaikan kepada Adam. Namun pertanyaan Adam kali ini tiba-tiba membuatkan Idayu tergamam. Lidahnya masih kelu untuk segera menjawab.

"Simpanan awak dah capai berpuluh ribu.. dari mana awak dapat duit tu semua? Padahal awak baru je kerja.. ni nak buat loan lagi.. untuk apa?" Adam meneruskan pertanyaan.

"Ma..macam mana Encik Adam tahu?" Idayu pula bertanya.

"Itu bukan masalahnya.. jawab dulu pertanyaan saya.. dari mana awak dapat duit tu semua?" Adam mula meninggikan sedikit suaranya.

"Itu hal peribadi saya.. Encik Adam tak perlu ambil tahu." Idayu cuba berkeras mempertahankan haknya.

"Saya ni suami awak.. saya pun ada hak untuk tahu keadaan kewangan awak.. " Adam terus bersuara. Idayu terkedu. Reaksi Adam menunjukkan seolah-olah lelaki itu benar-benar menganggap diri mereka adalah pasangan suami isteri. Adam sepertinya tidak menganggap hubungan mereka itu adalah hanya satu sandiwara semata-mata.

"Tapi.. Encik Adam.."

"Takde tapi-tapi.. dari mana awak dapat duit tu semua?"

"Itu.. duit tu.. sebenarnya..saya.."

"Awak dapat hasil daripada merayu kat lelaki kan? jadi pisau cukur.. kikis duit lelaki.. situ sikit, sini sikit.." Adam membuat petuduhan. Lelaki itu langsung tidak dapat mengawal emosi apabila terbayangkan isterinya itu bersama lelaki lain. Api cemburu telah membakar akal warasnya.

"Adam! Saya bukan macam tu.. duit tu semua saya kumpulkan sendiri.. dari hasil usaha saya sendiri.." Idayu ingin mempertahankan diri.

"Jadi, kenapa awak masih nak buat loan kalau dah ada simpanan? Bukan sebab gaji awak tak mampu nak tampung gaya hidup mewah awak?"

"Awak nampak saya ni hidup mewah, penuh bergaya ke? Apa yang ada kat badan saya sekarang? Seurat gelang pun takde.. yang ada cuma cincin yang awak bagi ni je. Macam ni awak katakan saya hidup mewah? hidup bergaya? Pakaian pun beli dari pasar malam.. ini awak kata mewah?" Idayu mula membantah. Seraya itu juga air mata bergenang di takungan matanya. Dia benar-benar kecewa apabila di tuduh sebagai mata duitan dan pisau cukur oleh suaminya sendiri.

Adam pula terdiam. Lelaki itu terpukul dengan kata-kata Idayu kepadanya. Sejurus itu juga, tiba-tiba pintu bilik Adam dibuka oleh seseorang dari luar.

"Adam..." Seorang wanita memanggil nama Adam dengan penuh manja. Menyedari kehadiran tetamu yang tak diundang, Idayu segera melangkah keluar dari bilik tersebut. Air matanya hampir tak terbendung lagi dan hampir tumpah. Gadis itu melajukan langkah kakinya agar tiada sesiapa yang akan melihat air matanya yang bakal mencurah keluar sebentar lagi. Adam terus terdiam sambil mengiringi pemergian Idayu dengan ekor matanya. Wanita yang baru tiba itu pula perlahan-lahan mendekati Adam.

"Dah lama kita tak jumpa.. awak ni, kalau saya yang tak cari, memang takkan berjumpa langsung." Fairuz menyapa Adam.

"Fairuz.. ada apa awak datang ke mari?" Adam bertanya.

"Saja.. nak jumpa awak.. tak kan tak boleh? Adam.. apa kata kita pergi lunch sama-sama?" Fairuz membalas sambil mempelawa Adam untuk makan bersamanya.

Di dalam tandas, Idayu mula menangis kencang. Gadis itu sangat kecewa dan sedih dengan pertuduhan yang dibuat ke atas dirinya. Tanpa usul periksa, Adam sanggup menuduh dirinya sebagai perempuan murahan yang suka merayu kepada lelaki bagi mendapatkan wang. Satu pertuduhan yang sangat kejam dari mulut seorang suami. Padahal wang itu semua itu sememangnya hasil daripada usaha dan kerja keras Idayu dalam masa dua tahun. Bahkan lebih separuh simpanannya itu adalah datangnya daripada Adam sendiri. Hasil wang hantaran perkahwinan dan upah yang diterima untuk berlakon menjadi isteri lelaki itu di simpan oleh Idayu di dalam akaun bank miliknya.

Selama ini, Idayu cuba mengumpulkan wang sebanyak 60 ribu ringgit untuk rawatan kaki ibunya. Namun dengan gaji yang diterimanya, pendapatan tersebut hanya cukup sekadar untuk menanggung kehidupan dia dan ibunya sahaja. Idayu terpaksa membuat pelbagai pekerjaan sampingan untuk menyimpan wang. Mendapat wang hantaran dan upah daripada Adam ibarat menjadi durian runtuh buat Idayu. Di sebabkan itu Idayu mengambil keputusan untuk membuat pinjaman peribadi bagi menyegerakan rawatan terhadap ibunya.

Seketika kemudian, Idayu turut menyalahkan dirinya sendiri. Dia mula bermuhasabah dan menganggap masalah kali ini sememangnya berpunca daripada dirinya sendiri. Idayu sendiri yang tidak ingin bercerita mengenai masalah diri dan keluarganya kepada Adam sejak dari awal. Di sebabkan ingin menjaga urusan peribadinya dan tidak ingin melibatkan Adam, hal tersebut telah menyebabkan Adam menjadi salah sangka. Namun Idayu juga tidak menyangka Adam bertindak sejauh itu. Entah mengapa Adam terlalu ingin mengambil tahu tentang diri dan latar belakangnya. Seolahnya, Adam tidak lagi berperanan sebagai seorang majikan, tetapi ibarat suaminya yang sebenar.Seorang suami yang terlalu menjaga dan ingin tahu mengenai segenap hal mengenai isterinya.

'Dia marah ketika aku bersama lelaki lain.. dia sampai ambil tahu mengenai akaun dan urusan kewangan aku.. kenapa? Padahal aku dan dia hanya sebatas pekerja dan majikan..' Idayu tertanya-tanya sambil menatap wajahnya pada cermin yang tergantung di dinding.

'Adam.. apa sebenarnya yang awak fikirkan? Jangan cakap, awak betul-betul dah anggap kita sebagai suami isteri yang sebenar..' Idayu terus bermonolog. Beberapa saat menatap wajahnya di cermin, Idayu kemudian membasuh mukanya. Beberapa helai tisu digunakan untuk mengelap wajahnya yang basah. Gadis itu turut menyeka air mata yang tersisa di celah matanya. Setelah itu, Idayu menghela nafas panjang sebelum menghembus kembali perlahan-lahan. Dia cuba mengumpulkan kekuatan untuk menstabilkan emosinya.

Tidak lama kemudian, Idayu keluar dari tandas dan menuju ke meja kerjanya. Baru sahaja dia hampir tiba di depan muka pintu bilik Adam, gadis itu berpapasan pula dengan Adam dan Fairuz yang baru keluar dari bilik. Idayu sempat mengerling ke arah tangan Fairuz yang memegang tangan Adam. Menyedari kehadiran Idayu, Adam segera menepis tangan Fairuz dan menarik tangannya dari terus dipegang oleh wanita tersebut. Mereka berdua berjalan beriringan meninggalkan kawasan pejabat. Idayu pula segera melabuhkan punggungnya dengan kasar ke kerusi. Matanya terus menatap Adam dan Fairuz yang berjalan bergandingan dan semakin menjauh sebelum hilang dari pandangan.

"Itukan Nurul Fairuz.. usahawan kosmetik dan produk kecantikan yang terkenal.. macam mana dia boleh kenal Adam? Eh.. lagi pelik, macam mana dia boleh rapat dengan Adam? bukan ke Adam ni tak suka duk dekat dengan perempuan? Ni siap pegang tangan bagai.. ke.. mereka tu saudara? ah, lantak mereka la.." Idayu berteka teki. Gadis itu kemudian meneruskan kata-katanya.

"Tapi.. Fairuz tu nampak macam nak goda Adam je.. dasar penyondol.. jantan lain ramai lagi yang bujang.. kenapa laki aku juga yang kau nak sondol? Yang si Adam pun, kemain melayan.. tu nasib baik aku nampak. baru lekas nak tarik tangan.. kalau tak, mesti suka la tu pegang-pegang tangan dengan perempuan.. kalau buat-buat tak nampak aku tadi, aku cucuk biji mata tu pakai garpu.. biar jadi macam kasim selamat.. baru padan muka." Idayu meluahkan rasa marahnya dengan makian. Dia sangat sakit hati apabila melihat Fairuz bersama suaminya sebentar tadi. Gadis itu tidak sedar jika dirinya sedang cemburu. Dia hanya tahu, dia tidak suka melihat kehadiran Fairuz yang bersama Adam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience