Bab 34

Romance Series 97025

IDAYU baru selesai menunaikan solat zohor. Di dalam doanya, dia berulang kali memohon agar diberi kekuatan dan tidak terus bersedih. Kini, hanya Tuhan sahaja yang mampu menjadi tempat dia mengadu. Selama ini, selain ahli keluarga terdekat dan Shakir yang menjadi setiausaha Adam, tiada sesiapa yang tahu mengenai hubungannya dengan Adam. Disebabkan itu, Idayu tiada tempat untuk dia meluahkan perasaan. Kesakitannya terpaksa dipendam sendiri. Selesai berdoa, Idayu menitiskan air matanya sekali lagi.

Walaupun sedar perkahwinannya hanyalah bersandarkan satu perjanjian, namun Idayu kini tak mampu menafikan perasaan cinta yang sudah tumbuh dihatinya. Dia sudah menerima Adam dengan sepenuh hatinya. Padahal dia sudah yakin cinta Adam terhadapnya. Namun setelah melihat sendiri perlakuan Adam dan Fairuz, keyakinannya mula goyah. Hatinya sakit dan terasa seolah sudah hancur berkeping-keping. Selama ini, dia tidak pernah merasakan kesakitan sebegitu. Ternyata, kekecewaan dalam pengkhianatan cinta adalah kekecewaan terbesar dan paling menyakitkan.

Kini Idayu bingung. Dia tidak ingin cintanya dikhianati. Namun pada masa yang sama, dia juga tidak ingin kehilangan Adam. Perasaan marah, sedih, dan sayang bergelumang disanubari. Idayu kemudian menghembuskan satu nafas keluhan. Air matanya diseka. Matanya kemudian melihat ke arah jam yang tergantung di dinding surau. Wanita itu perlahan-lahan bangkit dari sejadah dan melipat tikar yang menjadi alas untuk bersolat itu. Selepas membuka telekung dan merapikan diri, Idayu keluar dari surau untuk meneruskan kerjanya di pejabat. Sambil melangkah menuju ke arah pejabat, Idayu berharap agar dia tidak bertemu dengan Adam. Dia tidak ingin suaminya itu terus mengganggu dan merayu di hadapan pekerja lain. Idayu sama sekali tidak ingin hubungannya dengan Adam selama ini terbongkar dan menjadi buah mulut rakan-rakan di pejabat.

Dalam keadaan bingung dan fikiran yang berkecamuk, Idayu tanpa sedar telah menuju ke arah ruang pejabat pentadbiran, dimana tempat yang menjadi ruang pertama kali dia bekerja di syarikat. Setibanya dia di sana, Nadia yang merupakan teman baik Idayu mula menyedari kehadiran wanita tersebut. Tanpa berlengah, Nadia segera mendekati Idayu untuk menyapa sahabatnya itu.

"Ayu, kenapa kau ke sini?"

"Eh, Nadia.. aku.. aku.. ah, aku dah salah jalan.." Idayu mula menyedari dia sedang berada di bahagian pentadbiran. Melihat keadaan Idayu yang kebingungan, Nadia mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan sahabatnya itu.

"Ayu, kau ni dah kenapa? kau ada masalah ke?" Nadia cuba menyelidiki keadaan Idayu.

"Aku..takde apa-apa.."

"Kau jangan nak tipu aku.. aku tahu kau ada masalah.. hmm.. kalau kau taknak bagitahu pun, suka hati kau la.. tapi aku taknak kau terus bersedih, okay?" Nadia sedar Idayu tidak ingin berkongsi masalah dengannya. Disebabkan itu, Nadia tidak ingin terus mendesak. Dia tahu sahabatnya itu suka berahsia dan jarang berkongsi masalah.

MANAKALA di tempat lain, Adam baru selesai menghadiri pertemuan yang melibatkan syarikatnya. Sepanjang pertemuan dan perbincangan, Adam langsung tidak fokus. Fikirannya sangat terganggu. Sepanjang masa, dia hanya memikirkan keadaan Idayu. Adam benar-benar berasa bersalah kerana menyebabkan isterinya itu tersalah sangka dan bersedih. Dia tahu Idayu sangat kecewa kepadanya.

Sepanjang perjalanan, fikiran Adam masih terganggu. Dia tidak fokus kepada pemanduannya yang sedang menuju kembali ke pejabat. Kakinya pula menekan pedal minyak dengan kuat agar keretanya meluncur lebih laju. Adam ingin kembali ke pejabat dan menemui Idayu secepat mungkin. Dia tidak ingin isterinya itu terus kecewa dan bersedih lebih lama. Membayangkan keadaan Idayu yang sedih, Adam turut merasa terluka dihatinya. Dalam keadaan fikiranya yang sedang melayang, Adam tiba-tiba dikejutkan dengan kereta dihadapannya yang telah berhenti secara mengejut. Untuk mengelakkan pertembungan dan melanggar belakang kereta tersebut, Adam dengan pantas memusingkan stereng keretanya. Kereta Adam langsung membelok ke kiri dan terus melanggar sebatang pohon yang besar.

DI pejabat, Idayu masih bersama Nadia. Nadia berusaha untuk menghiburkan temannya itu walaupun Idayu enggan menceritakan masalah yang sedang dihadapi olehnya. Pelbagai topik perbualan terpaksa diucapkan oleh Nadia agar Idayu tidak terus memikirkan masalah yang sedang membelenggu. Perlahan-lahan, Idayu semakin terubat. Wajahnya mulai beransur menjadi ceria apabila dapat berbual-bual dengan Nadia.

Tidak jauh dari mereka, di ruang pentadbiran yang sama, Shakir turut berada di sana. Setelah menerima satu panggilan telefon, Shakir mula bergegas berlari. Nadia yang sedang bersembang dengan Idayu pula telah mengundurkan kerusi beroda yang didudukinya sambil tertawa. Dalam keadaan kelam-kabut, Shakir telah melanggar kerusi Nadia sehingga menyebabkan mereka berdua hampir jatuh ke lantai.

"Maaf.. saya nak kena cepat ni.." Shakir membetulkan langkahnya untuk berdiri dengan stabil.

"Kenapa kelam-kabut ni Encik Shakir?" Nadia bertanya. Shakir ketika itu langsung menyedari keberadaan Idayu di situ. Tanpa membuang masa, Shakir segera mendekati Idayu dan menyampaikan khabar yang dia baru terima sebentar tadi.

"Puan.. Encik Adam.. dia.. kemalangan.. kereta dia terbabas dalam perjalanan nak balik ke pejabat." Shakir terpaksa berterus-terang kepada Idayu. Baginya, Idayu sebagai isteri Adam, berhak untuk mengetahui keadaan majikannya itu. Nadia yang mendengar ucapan Shakir itu terkejut dengan berita mengenai majikan mereka. Namun dia lebih pelik, kenapa Shakir perlu melaporkan hal tersebut kepada Idayu. Manakala Idayu pula terpempan. Lidahnya kelu. Dia yang menerima berita daripada Shakir itu langsung berdiri dari kerusi.

"Adam.. tidak.. tidak!!" Idayu tiba-tiba menjerit dengan kuat sehingga mengejutkan semua orang di dalam pejabat. Fikiran Idayu kini mula teringat tragedi yang pernah menimpa keluarganya. Ayah dan Adik lelakinya meninggal dunia di dalam kemalangan. Disebabkan kemalangan tersebut juga ibunya menjadi lumpuh. Idayu benar-benar trauma apabila mendengar atau melihat kejadian kemalangan di jalan raya. Dia tidak ingin kejadian serupa yang telah mengambil nyawa ahli keluarganya berulang kembali. Namun kini suaminya pula terlibat. Idayu mula hilang akal. Perasaan sedih, marah dan kecewanya tadi sudah hilang sama sekali. Kini Idayu mulai kesal dengan dirinya sendiri. Dia tidak sanggup untuk kehilangan Adam. Setelah menjerit, pandangan idayu mulai kabur dan bertukar menjadi gelap. Wanita itu segera jatuh ke lantai dan tidak sedarkan diri.

"Ayu!" Nadia dan Shakir menggelabah apabila melihat Idayu telah rebah dan pengsan. Shakir semakin bingung. Padahal dia perlu bergegas untuk melihat keadaan Adam yang telah kemalangan. Namun kini Idayu pula tidak sedarkan diri. Lelaki itu mula serba salah dan tidak tahu apa yang harus dia lakukan dan perlu diselesaikan terlebih dahulu.

"Kenapa.. Ayu.. apa hubungan dia dengan Encik Adam?" Nadia bingung dan cuba bertanya kepada Shakir.

"Tak usah peduli soal tu.. sekarang yang penting, bantu dia dulu.. hubungi ambulans dan bawa dia ke hospital. Saya perlu tengok keadaan Encik Adam terlebih dahulu." Shakir enggan mendedahkan hubungan diantara Idayu dan Adam. Dia terpaksa mengarahkan Nadia agar fokus kepada masalah yang sedang dihadapi oleh mereka terlebih dahulu. Nadia kemudiannya mengangguk. Para pekerja lain dipejabat berkenaan juga turut mula merapati untuk menghulurkan bantuan.

"Nanti kalau sudah sampai ke hospital, sila maklumkan kepada saya.. saya perlu pergi ke tempat Encik Adam terlebih dahulu.." Shakir kemudian bergegas meninggalkan ruangan tersebut. Dia berharap, Nadia dan para pekerja di sana dapat memberikan bantuan dan menghantar Idayu ke hospital secepat mungkin.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience