Bab 18

Romance Series 97025

BULAN terlihat suram dan terlindung di sebalik awan, menjadikan suasana pada malam itu gelap dan kelam. Di dalam sebuah bilik, persekitaran kelihatan berbalam tanpa lampu yang terpasang. Dalam keadaan gelap tersebut, kedengaran suara esak tangisan yang tersedu sedan. Adam yang terduduk di lantai memeluk kedua belah kakinya yang dibengkokkan. Mukanya pula dibenam antara celah kedua belah kakinya pada bahagian lutut. Lelaki itu benar-benar menyesal dan tidak dapat menerima hakikat jika Idayu ingin berpisah dengannya. Lafaz cerai yang dikemukakan oleh isterinya itu seakan membunuh jiwa. Adam tidak sanggup jika keadaan itu benar-benar berlaku. Dia baru sahaja mengakui cintanya terhadap Idayu. Namun cinta yang baru tumbuh menjalar itu pula seperti ingin menjerut lehernya.

Keesokan harinya, Shakir yang berada di pejabat kebingungan. Adam dan Idayu sama-sama tidak hadir. Lelaki yang menjawat sebagai setiausaha kepada Adam itu berkali-kali cuba untuk menghubungi majikannya itu namun tidak berjaya. Shakir turut menghubungi Idayu namun gagal juga. Shakir menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

"Aduh.. takkan la pasal masalah peribadi, dua-dua, laki bini taknak datang kerja.. dua-dua tak jawab call.. masalah betul.." Shakir merungut.

Khadijah pula baru selesai membeli barang di pasar borong. Wanita itu turut gusar apabila panggilan telefon kepada Adam tidak terjawab. Selama ini, Adam tidak pernah mengabaikan panggilan daripada ibunya itu. Jika terlambat atau sibuk untuk menerima panggilan ibunya, Adam pasti akan menelefon semula kepada Khadijah. Namun sejak pagi tadi, sudah berkali-kali Khadijah cuba menghubungi Adam tetapi gagal. Di sebabkan itu, wanita tersebut mengambil keputusan untuk pergi ke rumah anaknya itu. Dia khawatir jika berlaku apa-apa terhadap anak tunggalnya itu. Setelah mendapatkan teksi, Khadijah segera menuju ke rumah Adam.

Sampai di hadapan rumah, Khadijah semakin pelik apabila melihat kereta milik Adam masih berada di pekarangan rumah. Dia mula yakin jika anaknya itu masih berada di rumah dan tidak ke pejabat seperti sepatutnya.

"Tapi.. kereta Ayu takde pula.. takkan mereka pergi kerja naik satu kereta..Hmm.." Khadijah tertanya-tanya sendirian. Setelah masuk ke pekarangan rumah, Khadijah segera mengetuk pintu rumah anaknya itu.

"Assalamualaikum.. Adam.. Adam ada kat rumah ke?" Khadijah memanggil anaknya beberapa kali. Setelah ketukan pintu dan panggilannya tidak bersahut, Khadijah mengeluarkan kunci pendua rumah anaknya itu dari tas yang disandang olehnya.

"Adam?!" Khadijah masih memanggil nama anaknya setelah masuk ke dalam rumah. Langsung tiada sebarang sahutan yang kedengaran.

"Mana pula budak ni? ke memang dah keluar dengan Ayu?" Khadijah masih tertanya-tanya sambil berjalan di dalam rumah. Setiap ruang dijengah dan dilihat oleh Khadijah. Dia cuba mencari keberadaan anaknya. Setelah mendapati Adam tiada di ruang tamu mahupun dapur, Khadijah menuju pula ke bilik tidur anaknya.

"Adam?" Khadijah membuka pintu bilik perlahan-lahan sambil mengintai melalui celahan daun pintu. Setelah pintu bilik dibuka luas, wanita itu segera melangkah masuk ke dalam bilik tidur anaknya. Seketika kemudian, Khadijah tersentak.

"Ya Allah.. Adam! Apa dah jadi ni? Mana Ayu?" Khadijah menjerit apabila melihat tubuh Adam terbaring layu di lantai, tidak sedarkan diri. Wanita tersebut segera mendapatkan Adam dan memeluk erat tubuh anaknya itu. Badan Adam di goncang sekuat hati sambil air mata mula bercucuran di pipinya yang sudah berkedut.

"Adam.. bangun Adam.." Khadijah terus merintih dan menangis. Hatinya dicengkam rasa pilu tatkala melihat anak tunggalnya terbaring layu dengan mata yang terpejam. Wajah Adam diusap perlahan. Pandangan wanita itu mulai kabur akibat genangan air yang memenuhi ruang matanya.

"Adam.. jangan tinggalkan ibu.. bangunlah nak.."

Tidak lama kemudian, Khadijah membuat panggilan kecemasan dan mendapatkan bantuan ambulans untuk membawa Adam ke hospital. Wanita itu turut membuat panggilan kepada menantunya. Namun panggilan kepada Idayu gagal. Khadijah tidak berhenti untuk terus mencuba menghubungi isteri kepada anaknya itu.

Pada masa yang sama, Idayu menatap skrin telefon bimbitnya. Dia sengaja mengabaikan dan tidak menjawab panggilan telefon daripada mentuanya itu walau sudah beberapa kali panggilan masuk ke telefonnya. 

'Ni mesti Adam dah bagitau ibu dia pasal kes kami nak bercerai.. Ibu call nak pujuk la ni..' Idayu bermonolog. Dia kemudiannya mencampakkan telefonnya ke atas tilam. Wanita itu masih berada di rumahnya dan baru bersiap untuk pergi ke hospital bagi menjenguk ibunya. Seketika kemudian, panggilan daripada Khadijah diterima lagi. Idayu dengan berat hati mencapai kembali telefon bimbitnya. Dia mula berfikiran, tiada guna jika dia terus mengelak dan tidak menjawab panggilan daripada ibu mentuanya itu. Apa pun yang akan terjadi, dia harus berani menghadapi. Jika perlu, Idayu tidak akan teragak-agak untuk menceritakan semua hal yang sebenarnya telah terjadi antara dia dan Adam kepada ibu mentuanya itu. Idayu menghela nafas panjang lalu ibu jarinya yang sedang memegang telefon lantas menerima panggilan yang masuk tersebut.

"Ayu.. kamu kat mana? cepat datang hospital.." Kedengaran suara Khadijah di sebalik panggilan. Idayu lantas tersentak.

"Ibu.. kenapa ni? Ibu kenapa menangis?" Idayu mula berubah menjadi risau apabila mendengar suara tangisan ibu mentuanya.

"Datang hospital cepat.. Adam.. dia.. dia tak sedarkan diri.." Khadijah meneruskan tangisan sambil menyampaikan khabar kepada menantunya. Idayu terkejut.

"Adam kenapa? Adam kenapa bu?" Idayu mulai cemas.

"Ibu tak tahu.. Ibu call dari pagi tadi dia tak jawab.. jadi ibu pergi ke rumah.. Ibu tengok kereta Ayu dah tiada.. tapi kereta Adam masih ada di rumah. Bila ibu masuk ke dalam rumah, Ibu tengok Adam dah terbaring kat lantai, tak sedarkan diri.. sekarang ibu dah bawa dia ke hospital.. kamu juga cepat datang ke sini.." Khadijah memberikan penjelasan secara ringkas. Idayu pula masih dalam kejutan. Jantungnya terasa seakan ingin luruh. Idayu mula menyalahkan dirinya sendiri. Dia yakin Adam menjadi sebegitu adalah di sebabkan oleh dirinya. Gadis itu risau jika Adam berbuat perkara bodoh dan mengambil keputusan untuk menamatkan riwayat hidupnya setelah Idayu berkeras ingin bercerai dan berpisah dengannya. Idayu kemudian tergesa-gesa menuju ke arah keretanya. Dia perlu bergegas ke hospital bagi mengetahui keadaan Adam dan menemani ibu mentuanya di sana. 

Idayu memandu dengan penuh berhati-hati. Walaupun gadis tersebut sering bersikap ceroboh dan terburu-buru, namun dalam hal pemanduan, dia sangat berhati-hati dan cermat. Ini adalah kerana dia sentiasa dibayangi oleh insiden kemalangan yang telah meragut nyawa ayah dan adik lelakinya lebih dua tahun yang lalu. Malah disebabkan kemalangan tersebut juga ibunya kini menjadi lumpuh dan tidak mampu untuk berjalan. Mengenangkan tragedi hitam yang pernah ditempuhi oleh keluarganya, Idayu sering berjaga-jaga apabila berada di jalan raya. Dia tidak ingin kejadian serupa berulang dan menimpa dirinya. Jika dia terlibat dalam kecelakaan, Idayu risau jika kehidupan ibunya nanti tidak terurus. Setelah tiba di pekarangan hospital, Idayu kembali kelam kabut dan mencari keberadaan ibu mentuanya. Setelah menuju ke arah lokasi yang dinyatakan oleh Khadijah, Idayu langsung menemui ibu mentuanya itu.

"Ibu.. macam mana dengan Adam? Apa yang dah berlaku?" Idayu segera bertanya kepada mentuanya.

"Doktor baru selesai periksa.. katanya, Adam tak apa-apa.. cuma.." Khadijah seakan berat hati untuk melanjutkan ucapannya.

"Cuma apa?" Idayu terlihat kalut dan risau dengan keadaan Adam. Melihat tingkah laku menantunya, Khadijah menghembuskan nafas panjang.

"Ayu ada masalah dengan Adam?" Khadijah pula menyoal kembali tanpa menjawab pertanyaan menantunya itu. Idayu tersentak. Terasa lidahnya agak kelu untuk berbicara.

"Kami.. kami.." Ayu tidak mampu menceritakan hal yang sudah berlaku di antara dirinya dan Adam. Dia tidak berani untuk mengungkapkan mengenai hal perceraian mereka kepada Khadijah.

"Hmm.. pergaduhan tu biasa la dalam rumah tangga.. sedangkan lidah lagi tergigit, apa lagi suami isteri.. Ibu taknak masuk campur dalam hal rumah tangga kalian.. kalau ada masalah, selesaikan dengan elok.. berbincang.. jangan terlalu ikutkan emosi." Khadijah memberikan nasihat kepada menantunya. Ayu pula mendiamkan diri. Dia langsung tidak menduga, ibu mentuanya itu mampu membaca situasi hubungannya dengan Adam.

"Kalian pun baru je berkahwin.. kalau goreng pisang, masih panas-panas lagi.. banyak lagi masalah yang akan timbul nanti dalam melayari hubungan suami isteri. Selesaikanlah dengan elok satu persatu.. tiada masalah yang tak dapat selesai melainkan mati.. ibu tahu, Adam berkahwin dengan Ayu pun sebab kehendak dan desakan daripada ibu.. tapi Ibu tahu, Adam dah mula sayangkan Ayu.. dan Ayu pun dah mula sayangkan Adam." Khadijah menguntumkan satu senyuman pada bibirnya. Idayu terkesima. Gadis itu menggelengkan kepalanya dengan perlahan, cuba untuk menafikan kata-kata ibu mentuanya.

"Ibu tak tahu macam mana Ayu boleh setuju untuk kahwin dengan Adam.. tapi ibu yakin, Adam dan Ayu sekarang dah saling sayang menyayangi.. kalau tak, Ayu takkan ada kat sini sekarang.. Ayu takkan risaukan keadaan Adam. Sebab apa Ayu datang kemari? Bukan sebab ibu suruh kan? tapi sebab Ayu risaukan Adam.. Ayu takut kalau terjadi apa-apa kat Adam.." Khadijah terus memberikan penjelasan agar Idayu sedar mengenai isi hatinya sendiri. Wanita yang berusia lebih separuh baya itu bijak dalam mengusik emosi menantunya. Sejurus kemudian, Idayu menggapai tangan ibu mentuanya itu.

"Tapi.. Adam.. dia tak sukakan Ayu.." Idayu bersuara perlahan. Sebenarnya dia sangat segan untuk membicarakan soal hati dan perasaan kepada mentuanya.

"Siapa kata? Adam sangat sayangkan Ayu.. kalau tak, dia takkan jadi macam ni.. dia jadi macam ni sekarang sebab dia terlalu sayangkan Ayu." Khadijah membalas. Idayu tersentak. Dia benar-benar terkejut dengan dakwaan ibu mentuanya itu.

"Ayu.. biarlah ibu berterus terang.. sebagai isteri Adam, Ayu ada hak untuk tahu kisah silam Adam. Sebenarnya, Adam tak sedarkan diri kerana panic attack.. dan ini bukan kali pertama berlaku." Khadijah terus mengatakan keadaan Adam kepada Idayu. Wanita itu kemudian melanjutkan lagi kata-katanya.

"Adam sebenarnya ada masalah kemurungan dulu.. Ibu pendekkan cerita, Adam dulu pernah bercinta dan bertunang dengan seorang perempuan.. mereka dah bertunang selama dua tahun.. Sepanjang masa tu, Adam bersungguh-sungguh bekerja, cari duit untuk pernikahan mereka. Masa tu, dia masih kerja makan gaji.. takde lagi syarikat sendiri.. tapi selepas wang untuk perkahwinan dah cukup dia kumpul, dah hampir hari pernikahan tu, tunang dia dah berkahwin dengan lelaki lain.. Adam sebenarnya sangat sayangkan tunang dia tu.. tapi disebabkan peristiwa tu, Adam yang kecewa mula jadi kemurungan.. dia sakit, sampai enam bulan terlantar atas katil.. lepas tu, baru dia dapat kumpulkan semula semangat untuk teruskan hidup. Dia gunakan wang simpanan untuk kahwin tu sebagai modal untuk buka syarikat sendiri.. Sejak tu juga la Adam jadi kurang bercakap dan tak nak dekat dengan mana-mana perempuan. Dia sebenarnya takut, peristiwa lama akan berulang.. sebab tu dia nak tutup hati dia daripada menerima mana-mana perempuan. Sepanjang masa tu, dia sibukkan diri dengan bekerja. Disebabkan itu la, kemurungan dia pun hilang.. tapi sebagai seorang ibu, ibu taknak la anak tunggal ibu tu membujang dan takde zuriat.. sebab tu ibu paksa dia kahwin dengan Ayu.. Ibu tahu, Ayu perempuan baik dan takkan mengecewakan Adam. Tapi, bila jadi macam ni, sakit dia kembali.. ibu tahu, Adam pasti ada masalah dengan Ayu.. dan Adam jadi macam ni, sebab dia dah mula terima dan sayangkan Ayu.." Panjang lebar Khadijah menceritakan kisah silam Adam. Idayu pula tercengang. Akhirnya dia mengetahui kisah sebenar mengapa majikannya itu bersikap dingin terhadap perempuan. Bahkan disebabkan sikapnya itu, Adam sampai dituduh sebagai pengamal homoseksual oleh para pekerja di syarikatnya. Idayu semakin rasa bersalah. Dia sendiri pernah turut memberikan gelaran yang menjelikkan kepada suaminya itu kerana sikap Adam yang tidak suka berinteraksi dan berdekatan dengan perempuan.

"Tak sangka, Adam sangat sayangkan tunangnya sampai jatuh sakit.." Idayu bersuara sambil merendahkan pandangan wajahnya.

"Yang lepas, biarkan berlalu.. tapi sekarang Adam dah sayangkan Ayu.. sebab tu sakit dia tu kembali macam dulu.. Sekarang pilihan di tangan Ayu.. Ayu nak Adam terus sakit macam tu, atau hidup bahagia bersama-sama?"

"Ibu..." Idayu sukar untuk meluahkan jawapannya. Wanita itu hanya menggenggam erat tangan ibu mentuanya.

"Ibu tak boleh paksa Ayu.. tapi Ayu buatlah keputusan untuk hidup Ayu sendiri.. Cuma ibu yakin, kalau Ayu biarkan Adam macam tu, pasti Ayu sendiri yang akan terseksa.. Ayu jangan nak nafikan cinta Ayu kat dia. Ayu sayangkan Adam kan?"

"Ibu.. Ayu janji takkan tinggalkan Adam. Selagi Adam mahu Ayu jadi isteri dia, Ayu akan tetap berada di sisi." Idayu mula meluahkan perasaan. Dia sedar, tiada gunanya jika dia terus menafikan perasaannya sendiri. Daripada kata-kata Khadijah, Idayu kini meyakini, hatinya sudah terisi oleh cintanya terhadap Adam. Bahkan dia harus mengakui jika Adam sering bermain di fikirannya.

"Ingat Ayu, setiap orang pasti ada kekurangan masing-masing.. jangan dilihat pada kekurangan pasangan kita.. lihatlah pada kelebihan yang ada. Kekurangan itu pula, menjadi tanggungjawab kita untuk disempurnakan. Allah dah jadikan, pasangan kita itu berlawanan sifatnya. Seorang pendiam, seorang lagi pasti bercakap banyak.. seorang suka marah, seorang lagi penyabar.. Cantik dah aturan Allah. Kalau dua-dua pendiam, sunyi sepi la rumah tangga.. Kalau dua-dua banyak bercakap, nanti riuh rendah, huru hara pula.. masing-masing nak bercakap, siapa yang nak mendengar?" Khadijah terus memberi nasihat mengenai rumah tangga kepada menantunya sambil tersenyum.

Share this novel

Ombak
2024-09-15 23:16:03 

bila update lagi....

Gina Seman
2024-09-09 16:58:55 

bila update lgi ye..x sabar mnanti


NovelPlus Premium

The best ads free experience