Bab 38

Romance Series 101562

JARUM jam menunjukkan hampir pukul empat pagi. Adam yang tidak tidur telah pun mandi dan siap dengan memakai pakaian yang kemas. Lelaki itu kemudian mengejutkan Idayu supaya bangkit dari tidurnya. Idayu yang masih mamai kemudian terpisat-pisat melihat Adam yang sudah lengkap berpakaian.

"Bangun cepat.. pergi mandi dan bersiap.." Adam bersuara seakan memberi arahan. Idayu yang kebingungan, menggosok matanya sambil melihat ke arah jam.

"Belum pukul empat.. subuh pun tak masuk lagi.. abang nak pergi mana ni?"

"Bersiap la cepat.. kita balik hari ni.. naik flight pagi ni.."

"Eh, bukan ke flight kita esok? kenapa nak balik hari ni?" Idayu terkejut.

"Emm.. ada emergency skit.. urusan penting.. kita terpaksa balik hari ni.."

"Ada urusan apa?" Idayu masih ingin tahu.

"Tak payah la ambil tahu.. dah, pergi mandi, bersiap cepat.." Adam menarik tangan Idayu untuk mendorong isterinya itu agar bangkit dari katil.

"Alaa.. sayang mengantuk lagi ni.." Idayu memuncungkan bibir sambil memejamkan mata, seakan ingin memprotes arahan suaminya.

"Sayang nak bangun dan mandi sendiri ke... atau nak abang yang bawak pergi bilik air, abang mandikan?" Adam cuba mengusik. Kedua belah tangannya dengan pantas merangkul tubuh Idayu.

"Taknak dua-dua.. taknak mandi." Idayu merengek seakan anak kecil.

"Nak mandi atau nak abang..." Adam meniup perlahan di telinga isterinya. Lelaki itu kemudian mengalihkan bibirnya ke leher Idayu dan mengucup leher yang putih itu. Idayu yang terkejut langsung membeliakkan matanya.

"Abang.." Abang menolak lembut Adam ke belakang sambil dirinya menggigit bibir.

"Dah, pergi mandi cepat.. busuk." Adam dengan pantas mencuit hidung Idayu sambil tersenyum.

"Oo..busuk ye.. meh sini, nak cium orang yang tak busuk tu.." Idayu segera merangkul Adam dan bertalu-talu mencium pipi suaminya itu. Adam pula hanya tertawa melayan karenah isterinya itu. Tangan lelaki itu memeluk erat pinggang isterinya sambil membiarkan wajahnya diserang ciuman yang berkali-kali.

"Dah..dah.. cepat la bersiap.. nanti terlambat pulak nak pergi airport."

"Abang.. i love you." Idayu kemudian memberikan ciuman terakhirnya di bibir Adam. Wanita itu kemudian bergegas mengambil tuala dan segera menuju ke bilik air. Adam pula terpaku. Dia sebenarnya bahagia apabila mendengar ucapan isterinya sebentar tadi. Semenjak hubungan mereka semakin rapat, Adam tidak mampu menafikan jika dia sudah sangat menyayangi isterinya itu. Walaupun Idayu telah menjadi isterinya dan sentiasa berada di sampingnya, namun kali ini Adam benar-benar merasakan cinta Idayu terhadapnya.

Kini Adam mempamerkan senyuman pada bibirnya. Dia bersumpah akan membahagiakan Idayu sebaik mungkin. Hatinya sudah pun ditanam tekad. Dia tidak akan membiarkan isterinya itu terluka walau sedikit. Dia tahu, selama ini isterinya hidup dalam kesusahan dan banyak berkorban demi ibunya. Kini sebagai suami, Adam ingin Idayu hidup bersamanya sebagai seorang permaisuri. Dia akan memberikan segala kasih sayang dan hartanya kepada Idayu.

Pandangan Adam kemudian beralih kepada beberapa helai pakaian yang masih tersidai di ruang bilik hotel. Lelaki itu kemudian mula bergerak untuk mengemas pakaian tersebut dan dimasukkan ke dalam bagasi. Dia perlu bergegas untuk mendapatkan penerbangan di awal pagi pada hari tersebut. Fikirannya kemudian melayang mengingatkan Farhan. Sebenarnya, lelaki itulah punca kenapa Adam ingin segera bertolak pulang. Dia sudah tidak mampu untuk menahan rasa cemburunya apabila melihat Farhan memandang ke arah isterinya. Bahkan apabila teringatkan kata-kata Farhan yang ingin bersarapan pagi dan berjalan-jalan bersama Idayu keesokan harinya, Adam menjadi semakin tertekan. Dia tidak mampu untuk terus menahan api cemburu yang kian bersemarak di dalam hati. Jadi Adam terpaksa mengambil keputusan untuk segera bertolak pulang ke Malaysia seawal mungkin. Dia tidak ingin Idayu bertemu lagi dengan Farhan di sana.

SETELAH segala urusan selesai, Adam dan Idayu mula menaiki pesawat yang akan berangkat ke Malaysia. Mereka segera mendapatkan tempat duduk yang telah ditentukan pada tiket masing-masing. Adam yang duduk ditepi tingkap kapal terbang mula menyandarkan tubuhnya pada kerusi empuk dan selesa. Lelaki itu memejamkan matanya dan berhasrat untuk tidur seketika, sepanjang perjalanan mereka memandangkan dirinya masih belum tidur semalaman. Idayu di sebelahnya pula mengeluarkan sebiji buku dari tasnya dan mula membaca.

"Eh, Ayu.. kenapa ada kat dalam kapal terbang ni? katanya nak balik sehari dua lagi." Tiba-tiba Farhan muncul dan duduk di kerusi yang bersebelahan dengan Idayu.

"Eh, Farhan.. ah, saya kena balik hari ni.. husband ada hal emergency pulak hari ni kat Malaysia.. terpaksa la balik awal.. awak pulak kenapa nak balik jugak? bukan ke masih ada conference?" Idayu segera membalas. Mendengarkan Idayu sedang berbicara dengan menyebut nama Farhan, Adam langsung mencelikkan mata dan memandang ke arah isterinya. Api cemburu sekali lagi menyala di dalam hatinya apabila melihat Farhan yang duduk dikerusi sebelah Idayu. Mujur sahaja kerusi mereka terpisah dengan lorong laluan ditengahnya.

"Oh, saya pun ada emergency.. terpaksa balik hari ni.. pasal conference tu, masih ada kawan saya yang jadi wakil kat sana.. lagipun tugas saya untuk buat presentation kat sana dah selesai.. tunggu lama pun takde guna dah.." Farhan menghamburkan tawa dalam nada yang perlahan. Dia terpaksa mengawal suara ketawanya agar tidak mengganggu penumpang lain yang berada di dalam pesawat tersebut.

"Maaf la tak boleh nak breakfast dan jalan-jalan bersama hari ni.. padahal malam tadi kita dah janji." Farhan meneruskan percakapannya.

"Saya pun sama nak minta maaf.. tak sempat nak bagitahu, kena balik awal pagi hari ni.." Idayu berbasa basi.

"Tapi, setidaknya kita sama-sama kat dalam flight ni.. tak dapat jalan sama-sama, tapi dapat pulang sama-sama.. nak breakfast sama-sama pun boleh atas flight ni." Farhan berseloroh. Idayu pula menyambut kata-kata temannya itu dengan gelak ketawa. Adam tiba-tiba bangkit dari kerusinya dan cuba beralih menuju ke arah lorong yang memisahkan Farhan dan Idayu.

"Sayang, kita tukar tempat duduk.. abang tak boleh la duduk tepi tingkap.. bila kapal terbang dah naik atas nanti, abang takut gayat.. tak nak la duduk tepi tingkap.. lagipun nanti sayang boleh la tengok pemandangan bandar jakarta dari atas kalau duk kat tepi tu.." Adam cuba memberi alasan agar Idayu bertukar tempat duduk dengannya. Idayu tanpa berlengah segera bangkit dan beralih tempat duduk di sebelah tingkap.

"Sejak bila pulak abang takut gayat.. masa datang Indonesia baru ni, elok je abang duduk kat tepi tingkap tu.." Idayu meluahkan kebingungannya melalui pertanyaan kepada Adam. Adam pula menempatkan punggungnya di kerusi yang diduduki oleh Idayu sebentar tadi.

"Baru ni lain.. hari ni tak boleh la sebab malam tadi abang langsung tak tido.. kepala pun dah pening ni.. kalau nampak pemandangan dari udara nanti, takut makin sakit kepala ni.." Adam cuba beralasan.

"Abang tido je la.. tak payah la tengok kat luar tingkap tu.."

"Abang nak tido la ni.."

"La, kalau nak tido, kenapa kena tukar seat pulak?"

"Abang ingat, sayang nak tengok pemandangan kat luar tu nanti.. ha, nanti tengok je la bandar Jakarta tu dari atas macam mana.."

"Hmm.. ye la.. abang tido je la dulu.. nanti dah sampai KL, sayang kejutkan."

"Okey.." Adam tersenyum simpul memandang ke arah isterinya itu. Sejenak kemudian, lelaki itu mengalihkan pula pandangannya ke arah Farhan.

"Maaf, tak mampu nak bersembang lama-lama.. aku tak tido lagi sejak semalam.. mengantuk sangat dah ni.. kepala pun dah pening.. aku tido dulu ye.." Adam menyapa Farhan yang duduk di sebelahnya sambil tersenyum sinis.

"Ah, takpe..takpe.. tido je.. " Farhan mengangguk sambil tersenyum tawar. Lelaki itu kemudian mengeluarkan telefon bimbitnya dan fokus menatap ke arah skrin telefonnya. Adam pula segera memejamkan matanya sambil tersenyum. Badan dan kepalanya disandarkan pada kerusi agar dirinya dapat terlelap seketika, sementara menunggu penerbang mereka tiba di Kuala Lumpur. Idayu pula menggelengkan kepala melihat karenah suaminya itu. Wanita itu kemudian kembali membuka halaman buku yang dibacanya tadi. Dia sangat mengerti, Adam yang terlihat berperangai kebudak-budakkan itu pasti kerana sifat cemburunya setelah melihat dirinya berbicara dengan Farhan. Walaupun dia tidak menyalahkan Adam, namun sikap yang ditunjukkan oleh lelaki itu dirasakan sangat memalukan. Padahal Adam dikenali sebagai seorang usahawan yang berjaya dan terkenal dengan sikap tegas dan dinginnya.  Namun lelaki yang berperwatakan hebat itu kini bertukar seolah menjadi anak manja yang suka mengada-ngada.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience