Bab 16

Romance Series 97025

KERETA perodua axia yang dipandu oleh Idayu meluncur laju, membelah kepekatan malam. Gadis yang bersikap ceroboh itu terburu-buru memandu keretanya untuk menuju ke hospital. Berita mengenai ibunya yang diterima daripada Farhan sebentar tadi sangat mengejutkan. Fikiran Idayu bercelaru. Dia sangat mengkhawatirkan keadaan ibunya. Pada masa yang sama, dia turut sedih dan kesal kerana terpaksa meninggalkan rumah ibu mentuanya dengan tergesa-gesa. Padahal dia baru sahaja tiba di sana beberapa jam yang lalu. Lebih malang, Idayu langsung tidak sempat untuk menyampaikan keadaan sebenar yang telah berlaku. Di sebabkan kelam-kabut setelah menerima khabar mengenai ibunya, Idayu sudah tidak mampu berfikir secara tenang lagi.

Tiba di pekarangan hospital, Idayu segera memarkirkan keretanya dan menuju ke arah wad yang menempatkan ibunya. Di Wad, Farhan yang sedang bertugas sudah sedia menanti kedatangan wanita tersebut.

"Macam mana dengan keadaan mak saya?" Idayu segera bertanya dengan kelam kabut.

"Keadaan dia semakin tenat.. cara terbaik yang ada hanyalah tidurkan dia.. itu lebih selamat.." Farhan memberikan jawapan.

"Apa risiko yang ada? Boleh tak kalau tak ditidurkan?" Idayu ingin tahu.

"Hmm.. peluangnya 50-50.. terserah kat awak.. awak boleh pilih untuk dia ditidurkan atau tak.."

"Jadi, tak mengapa kalau tak ditidurkan?"

"Kalau itu pilihan awak, kami akan terima. Cuma mungkin mak awak akan lebih menanggung kesukaran.. tapi kalau tak ditidurkan, nanti kami akan naikkan sedikit kadar oksigen yang harus dia terima." Farhan memberikan penjelasan sebagai seorang doktor.

"Saya tanya awak sebagai seorang kawan.. kalau awak di tempat saya.. apa pilihan yang awak akan buat?" Idayu terpaksa meminta pendapat Farhan memandangkan dirinya semakin bingung dan bercelaru. Mendengar pertanyaan Idayu, Farhan lantas menghembuskan sebuah nafas yang terkandung keluhan berat.

"Saya sendiri pun serba salah sebenarnya.. jalan yang terbaik sekarang sepatutnya hanya tidurkan saja.. itu lebih selamat. Tapi.. Huh, saya pun buntu Ayu.. kalau saya jadi awak pun, mungkin saya pilih untuk biarkan je.. tak perlu ditidurkan. Tapi kalau itu pilihan awak, awak kena berdoa, agar mak awak kuat untuk menghadapi keadaan dia sekarang ni." Farhan memberikan pendapatnya.

"Saya sebenarnya lagi susah hati kalau tengok mak saya tu tak sedarkan diri.. Kalau boleh buat pilihan, saya memang tak nak dia ditidurkan."

"Terpulanglah pada awak.. kalau itu pilihan awak, saya akan turutkan.. sebagai doktor, saya cuma sarankan je sebab tak nak pesakit lebih terseksa menanggung kesakitan. Tapi apa pun pilihan awak, saya akan cuba bantu buat yang terbaik demi sembuhkan mak awak." Farhan menyatakan pendiriannya demi membantu Idayu.

"Kalau begitu, saya rasa tak perlu la dia ditidurkan.. Setidaknya, mak saya masih dapat mencelikkan mata dan tengok saya.. saya pun nak tengok pandangan mata dia.. saya tak nak tengok dia terlantar tak sedarkan diri." Idayu mula membulatkan tekad dalam membuat keputusan. Walaupun agak berat hati dengan keputusannya, namun Idayu berasakan itulah pilihan terbaik bagi dirinya.

"Baiklah.. saya akan sokong dan turutkan kemahuan awak.. nanti saya akan pantau mak awak dengan lebih kerap dan teliti." Farhan menyampaikan kata sokongan terhadap keputusan Idayu.

"Terima kasih Farhan."

"Dah jadi tugas dan tanggung jawab saya untuk selamatkan pesakit.. tak perlu la awak nak berterima kasih."

"Tak jadi masalah pun kan kalau saya nak berterima kasih kat doktor yang dah cuba menyelamatkan mak saya?" Idayu tersenyum.

"Apa-apa je lah.. kalau betul awak nak berterima kasih, jom temankan saya minum kat cafe.. saya perlu minum kopi untuk oncall malam ni." Farhan ingin Idayu menemaninya. Dia sebenarnya sengaja ingin meluangkan mengambil peluang untuk bersama gadis di hadapannya itu.

"Emm.. ye lah.. jom." Idayu langsung bersetuju.

"Sekejap.. saya nak kemas barang dulu.. wait for me.." Farhan bergegas menuju ke sebuah bilik. Seketika kemudian, lelaki itu kembali mendapatkan Idayu dan mereka pun berjalan beriringan keluar dari kawasan wad tersebut.

Tiba di cafe hospital, Idayu dan Farhan berbual berdua-duaan di meja makan sambil mendapatkan minuman. Topik perbualan mereka hanya berkisar mengenai kenangan mereka ketika zaman persekolahan dan mengenai kesihatan ibu Idayu. Gadis itu akan mengelak dan sama sekali tidak ingin membincangkan mengenai kisah kehidupan peribadinya kepada Farhan. Bagi Idayu, urusan peribadinya tidak harus diperkatakan sewenangnya kepada sebarang orang. Wanita yang kurang bergaul itu sangat menjaga urusan peribadinya daripada sesiapa jua.

Tidak jauh dari tempat Idayu dan Farhan sedang berbual, seorang lelaki sedang berdiri sambil memerhatikan mereka. Individu tersebut adalah Shakir, setiausaha kepada Adam. Lelaki itu tadinya bergegas datang ke hospital setelah mendapat arahan daripada majikannya. Adam yang tahu Idayu akan menuju ke hospital setelah mengetahui panggilan daripada Farhan kepada isterinya itu segera mengarahkan Shakir untuk memantau. Shakir yang kini sedang memerhatikan Idayu dan Farhan dikejutkan dengan panggilan telefon. Lelaki itu segera menjawab panggilan yang masuk ke telefon bimbitnya.

"Macam mana Shakir? Dapat apa-apa info?" Kedengaran suara Adam disebalik corong telefon.

"Ya.. sekarang Idayu sedang berbual dan minum bersama lelaki yang bernama doktor Farhan kat cafe hospital." Shakir menyampaikan maklumat kepada majikannya.

"Baiklah.. terus perhatikan mereka.." Adam memberikan arahan.

"Baiklah Encik Adam.. nanti kalau terjadi apa-apa, saya akan bagitahu." Shakir memberi makluman. Panggilan di antara mereka kemudian dimatikan. Shakir melanjutkan pemerhatiannya terhadap Idayu yang sedang bersama Farhan di meja makan.

Manakala pada masa yang sama, Adam pula termenung jauh setelah panggilan telefonnya kepada Shakir ditamatkan. Mukanya terlihat tegang. Dahi lelaki itu terlihat berkerutan dengan matanya yang merenung tajam ke arah dinding. Adam mengepal kemas penumbuk di kedua belah tangannya. Hatinya penuh dengan perasaan geram. Rasa cemburu di hatinya telah menyalakan api kemarahan.

KEESOKAN hari, ketika matahari memancar terik di atas kepala, Idayu memandu keretanya. Pagi tadi, dia mendapat panggilan daripada Adam. Suaminya itu telah mengarahkan Idayu untuk datang ke rumahnya. Tanpa membantah, Idayu menurutkan permintaan suaminya itu. Kini dia dalam perjalanan untuk menuju ke rumah Adam. Pagi tadi, lelaki tersebut sudah pun pulang ke rumahnya setelah bermalam di rumah Khadijah. Dia tidak sabar untuk bersua muka dengan dengan Idayu dan mendengar alasan isterinya itu yang tergesa-gesa meninggalkan rumah ibunya malam tadi.

Sampai di rumah Adam, Idayu segera masuk ke dalam rumah. Suaminya itu sudah pun menunggu Idayu dan duduk di sofa pada ruang tamu rumahnya. Idayu terkedek-kedek mendekati Adam dan duduk di sofa yang bertentangan. Kini pandangan mereka saling bertatapan.

"Saya minta maaf pasal malam tadi.. saya terpaksa tinggalkan rumah Ibu.. ada hal kecemasan." Idayu memulakan bicara. Dia tahu suaminya itu pasti ingin membincangkan hal yang berlaku malam tadi. Idayu sedar dirinya telah bertindak terburu-buru dan meninggalkan Adam dan ibu mentuanya tanpa memberi penjelasan yang sepatutnya. Dia terlalu kelam kabut sehingga terlupa untuk menyampaikan hal mengenai ibunya yang berada di hospital.

"Kecemasan? Jumpa doktor lelaki tu satu kecemasan? Sanggup tinggalkan saya dan ibu, makan pun tak sempat habiskan.. hanya untuk berjumpa lelaki tu?" Adam yang dikuasai oleh emosi segera membalas. Padahal dia sendiri berencana untuk mengawal perasaannya dan mendengar penjelasan daripada Idayu terlebih dahulu. Namun Adam mulai kalah dengan emosinya apabila melihat wajah isterinya itu. Fikirannya tidak dapat dielakkan daripada terus memikirkan Idayu yang gembira ketika bersama Farhan.

"Adam.. bukan begitu.. saya pergi hospital sebenarnya untuk.."

"Untuk apa? Untuk jumpa doktor tu la kan? Ayu.. tak cukup ke apa yang saya dah bagi kat awak selama ni?" Adam mula membentak disaat mencelah percakapan Idayu.

"Adam.. saya bukan macam tu.." Idayu cuba membela diri.

"Bukan apa lagi? Memang awak ke hospital malam tadi untuk jumpa doktor lelaki tu kan? Ini bukan kali pertama.. saya tengok sendiri dengan mata kepala saya.." Emosi Adam semakin tidak terkawal. Dia hanyut di dalam perasaan cemburu.

"Ya.. saya memang jumpa doktor Farhan.. tapi ada sebabnya.."

"Sebab apa? sebab nak kikis duit dia?"

"Adam! Jangan tuduh saya macam tu." Idayu mula dipukul rasa kecewa. Hatinya terasa sakit setelah dituduh sebegitu oleh suaminya sendiri.

"Jadi untuk apa lagi? Awak berkali-kali jumpa doktor tu.. hari tu pun awak ada jumpa dengan pengarah dari syarikat ELBY.. untuk apa? Sampai terima duit lagi dari dia.. padahal dia tu dari syarikat pesaing.. apa urusan awak jumpa dia sampai diberi duit kalau bukan jual diri? Memang apa yang dah saya berikan, tak pernah cukup untuk awak?" Adam semakin memberontak. 

"Cukup Adam! Jangan tuduh saya dengan membabi buta! Ya, saya sering berjumpa Farhan.. hanya di hospital! Kami tak pernah keluar bersama walau sekali pun.. Saya jumpa dia pun sebab urusan kesihatan mak saya! Mak saya sekarang tenat, dah nazak kat dalam wad hospital tu. Saya cuma jumpa Farhan tu untuk bincang pasal keadaan mak saya je.. tak lebih daripada tu! Saya jadi senang berurusan dengan dia hanya kerana dia adalah kawan saya masa sekolah je. Mak saya selama ni pun lumpuh! Saya terpaksa buat macam-macam kerja sampingan untuk kumpul wang demi rawatan mak saya.. Sebab tu saya rela berkahwin dengan awak.. ikut syarat awak sebab saya nak kumpulkan wang untuk mak saya! Kalau awak nak tahu, simpanan saya yang awak duk tanya hari tu pun, sebahagian besarnya adalah pemberian awak! Duit hantaran yang awak bagi pun, saya simpan sekali dalam akaun tu.. saya nak buat loan pun, sebab nak dapatkan duit lebih cepat untuk rawatan mak saya. Saya jumpa wakil syarikat ELBY tu pun, sebab saya jual rekaan yang saya buat! Saya pernah cuba nak bagi design tu kat syarikat awak.. saya minta tolong daripada Hafiz sebab dia pegawai atasan saya. Tapi Hafiz tolak dan cuba ambil kesempatan kat saya! Kalau syarikat awak sanggup beli design tu, saya pun takkan jual kat syarikat ELBY.. Semua yang saya lakukan tu adalah demi mak saya.. saya nak mak saya sihat kembali dan dapat berjalan semula.. tapi awak.. awak sanggup... " Idayu tidak mampu menghabiskan kata-katanya. Hatinya terlalu sebak dan mula mengalirkan air mata. Sebentar tadi, dia sudah pun meninggikan suara dan membentak Adam buat pertama kalinya. Adam pula tersentak.

"Ayu.. awak.. kenapa awak tak bagitahu saya lebih awal selama ni?" Adam dihantui rasa bersalah. Dia mula kesal dengan dirinya setelah mendengar segala pengakuan daripada Idayu. Idayu pula menangis semakin kencang. Pandangan wajah gadis itu tertunduk ke bawah sambil menahan sedu sedan.

"Macam mana saya nak cakap?.. awak langsung tak bagi saya peluang.. awak asyik tuduh saya.." Idayu berkata sambil menekup mulutnya dengan telapak tangan.

"Saya.. saya minta maaf.. saya tak pernah tahu keadaan mak awak.. biar saya bantu.." Adam menawarkan diri untuk menghulurkan bantuan. Dia ingin menebus kesilapannya kerana terlalu cepat membuat pertuduhan kepada isterinya itu.

"Sudah! Awak tak perlu susahkan diri.. awak bukan siapa-siapa.. awak hanya majikan saya.. saya pun tak nak libatkan sesiapa dalam masalah saya. Tidak untuk Farhan, tidak juga untuk awak." Idayu bersuara tegas, seraya mengangkat punggungnya dari sofa. Dia bangkit berdiri dengan pantas sambil merenung tajam ke arah Adam.

"Tapi saya suami awak.." Adam membalas.

"Awak hanya majikan saya..bukan suami saya.. saya hanya bekerja untuk awak.. hubungan kita pun hanya sekadar lakonan. Cukuplah setakat di sini saja.." Idayu segera melangkah laju dan keluar dari rumah Adam. Adam terpempan seketika. Lelaki itu kemudian lekas mengejar Idayu yang sudah keluar dari rumahnya.

"Ayu.. tunggu.." Adam memanggil untuk menghentikan Idayu. Namun wanita itu seakan memekakkan telinganya dan segera masuk ke dalam kereta. Enjin keretanya segera dihidupkan.

"Ayu! tunggu! Jangan pergi dulu.." Adam memanggil sambil mengetuk cermin tingkap kereta isterinya. Namun Idayu yang diselubungi oleh kecewa itu tanpa menunggu, lantas memasukkan gear dan menggerakkan keretanya.

"Ayu!.." Adam hanya mampu menjerit sambil melihat kereta Idayu meluncur laju meninggalkan dirinya. Lelaki itu berdiri kaku ditempatnya. Hatinya terasa remuk dipukul oleh rasa kesal dan kecewa. Adam kecewa dengan dirinya sendiri. Dia sedar, dirinya sudah melakukan kesilapan besar. Wajar saja jika Idayu akan membencinya. Namun lelaki itu kini ketakutan. Dia takut jika kehilangan Idayu dari hidupnya. Ketika waktu ini, Adam baru sedar jika dirinya sudah menyayangi Idayu. Dia juga baru sedar jika selama ini dia sebenarnya dihambat oleh rasa cemburu ketika melihat Idayu bersama lelaki lain. Di sebabkan rasa cemburu itulah, dia bertindak terburu-buru dan menuduh isterinya itu berlaku curang.

"Ayu.. maafkan aku.. aku.. tak sedar.. selama ni.. aku dah cintakan kau.." Adam berwajah kesal. Dia terlalu lambat untuk menyedari cinta yang sudah tumbuh di dalam hatinya. Pada masa yang sama, hatinya bergementaran. Dia takut jika gadis itu membenci dirinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience