WALAUPUN sudah dua minggu bekerja di rumah banglo itu, Nadhira belum pernah bertemu dengan anak lelaki Datin Ros yang bernama Nish secara berdepan.
Dalam hati memang memberontak hendak tahu ke mana lelaki itu pergi. Mengenangkan diri hanya pembantu rumah, dibiarkan tanda tanyanya tidak berjawab. Cukuplah dia dapat melihat wajah Nish di bingkai gambar yang tergantung di satu sudut di tingkat dua rumah itu.
Di situlah terdapat pelbagai koleksi gambar keluarga Datin Ros. Gambar Nish dari bayi hinggalah belajar di universiti sampailah sekarang. Wajah arwah suami Datin Ros dalam gambar dilihat seperti orang cina. Mungkin mualaf. Patutlah wajah Nish kelihatan seperti lelaki cina campuran Melayu.
Dan bagaikan sudah menjadi kemestian, setiap hari dia akan ke sudut itu. Seronok melihat gambar Nish dengan macam-macam aksi ketika belajar. Alangkah bahagianya dia kalau dapat belajar di universiti. Sekarang, keputusan SPMnya hanya buat tatapan diri sendiri. Lupakan sahaja niat hendak menyambung pelajaran di mana-mana.
Di dapur, Mak Ida sedang tekun memasak. Baunya memang meliurkan. Ada sahaja yang orang tua itu masak. Makanan tengah hari belum hadam dalam perut, dia memasak lagi. Rajin betul!
"Mak Ida, masak apa tu?" tegur Nadhira.
Mak Ida menoleh. "Mak Ida masak puding jagung, Nad." Dia mengacau tepung lembik berwarna kuning pekat di dalam periuk.
"Mari sini Nad tolong."
"Nad kuat ke? Nak mengacau tepung ni tak boleh berhenti. Makin lama tepung ni makin likat."
"Nad ni kuat lagi, Mak Ida. Orang muda kalau tak kuat, buat malu je. Tengok ni!" Nadhira menyelak lengan bajunya tinggi-tinggi. Ditunjukkan otot yang langsung tidak kelihatan di lengannya itu. "Walaupun tak ada otot, tapi kuat tau. Mak Ida mesti terkejut tengok Nad." Lalu dia mencapai senduk kayu dari tangan Mak Ida dan mengacaunya. Berkerut-kerut dahinya memerah tenaga.
"Hai... macam tak kuat je." Mak Ida tertawa.
"Eh, tak adalah. Nad kuat ni," kata Nadhira. Malulah dia. Tadi bukan main lagi dia berlagak.
Mak Ida ketawa lagi. "Mari sini, biar Mak Ida yang kacau."
Senduk bertukat tangan. Nadhira melihat Mak Ida begitu selamba mengacau. Lebih kuat berbanding dia. Kagumnya!
"Mak Ida pandai masak. Semuanya sedap-sedap. Nanti Mak Ida ajar Nad buat puding jagung ni ya?"
"Senang je, Nad. Nanti Mak Ida ajar. Tadi masa Mak Ida nak buat, Nad tak ada. Mak Ida tak naklah kacau Nad dalam bilik. Puding jagung ni kegemaran Danish."
"Danish?" Dahi Nadhira berkerut.
"Anak Datin. Danish namanya. Dia ke Shanghai. Malam ni, insya-ALLAH dia sampai ke sini."
Oh... nama dia Danish. Comel jugak nama tu kan? Nadhira tidak perasan senyumnya meleret.
"Kenapa? Nad tak pernah Nish ke?" Mak Ida sedikit pelik. Seolah-olah Nadhira tidak tahu apa-apa.
Nadhira menggeleng.
"Oh... masa Nish naik flight, Nad pergi daftar sekolah Naufal. Malam ni Nad bolehlah jumpa dia. Nish pun baik orangnya. Macam Datin. "
Hanya senyuman mampu diukirkan di bibir. Nadhira berdebar-debar. Belum pernah dia 'admirer' dengan seseorang sebelum ini. Inilah kali pertama.
NAUFAL menyudahkan suapan terakhirnya. Sesudah itu, dia membasuh tangan.
"Tambah lagi, Naufal. Sikit sangat makan." Datin Ros risau melihat Naufal bagai tidak lalu makan.
Naufal menggeleng.
Nadhira yang duduk di sebelah adiknya mengusap bahu Naufal. "Adik penat sangat agaknya ni. Petang tadi ada latihan bola. Dah, adik pergi masuk bilik buat kerja sekolah dulu sementara masuk waktu isyak. Dah sembahyang baru tidur."
Lambat-lambat Naufal bangun dan beredar dari situ.
"Macam mana sekolah Naufal? Dia suka ke?" tanya Datin Ros setelah kelibat Naufal hilang daripada pandangan.
"Alhamdulillah, Datin. Dia suka sekolah tu. Nad pun tak risau bila dia dapat kelas pertama."
"Naufal tu budak bijak. Sayang kalau disia-siakan," komen Datin Ros.
"Insya-ALLAH... Nad kalau boleh tak nak Naufal main bola lagi. Nad nak dia fokus pada UPSR je. Tapi dia minat sangat main bola." Nadhira meluahkan rasa risaulah.
"Nanti saya panggilkan guru tuisyen datang ke rumah. kalau belajar kat sekolah saja tak cukup."
Terbeliak mata Nadhira. "Eh... tak apa, Datin. Nad boleh ajar dia kat rumah." sudah banyak Datin Ros menabur budi untuk mereka adik-beradik. Naik malu pulak.
"Betul ni?"
"Betul, Datin. Insya-ALLAH, Nad boleh ajar dia."
"Nad dah ambil SPM, kan? Apa keputusan Nad?"
Nadhira menelan liur. "Bolehlah, Datin. Lulus."
"Berapa A?" Datin Ros merenung wajah Nadhira tajam.
"Err..." Nadhira tertelan liur. "7A Datin."
Serta-merta Datin Ros meletakkan sudu dan garpunya. "7A? bagus. Nad tak nak sambung belajar?"
Nadhira menunduk, tidak tahu bagaimana hendak membalas pertanyaan Datin Ros.
"Tak apalah. Saya harap satu hari nanti Nad dapat sambung belajar." Datin Ros menyambung makan semula. Dia faham apa yang dirasai gadis itu.
"Datin nak tambah lauk lagi ke?" Mak Ida berura-ura hendak menyendukkan seketul ayam masak merah apabila terkesan garis duka di wajah Nadhira.
"Tak apa, Mak Ida. Saya tak nak makan banyak."
Selesai makan, seperti biasa Mak Ida membantu Datin Ros duduk di kerusi roda semula.
"Mak Ida, biar Nad yang kemas meja dan basuh pinggan. Mak Ida berehatlah dengan Datin," beritahu Nadhira. kasihan dia melihat wanita tua itu yang tidak henti-henti membuat kerja.
Mak Ida tersenyum. "Yalah." Dia menolak kerusi roda Datin Ros ke rumah tamu.
Nadhira menyudahkan kerja-kerja di dapur secepat mungkin. Usai semuanya, dia menyediakan puding jagung koktel buat pencuci mulut. Dibawa ke ruang tamu untuk Datin Ros dan Mak Ida.
"Bila masa kak Ida buat puding jagung ni?" Datin Ros menyambut mangkuk yang dihulurkan Nadhira.
"Petang tadi, Datin. Nish kan nak balik malam ni. Dia suka sangat puding jagung. Bila Kak Ida tahu dia balik malam ni, terus teringat nak buat puding jagung. Rindu betul kat dia, Datin." Mak Ida tertawa.
Datin Ros tersenyum sambil menyuap puding jagung itu ke mulut. Memang sedap. "Patutnya Nish dah sampai sekarang ni. Jalan jam agaknya. Nad tak makan sekali?"
"Nantilah, Datin. Nad masih rasa kenyang lagi."
Tatkala itu, kedengaran bunyi enjin kendengaran di luar rumah. Wajah Datin Ros semerta berubah ceria.
"Panjang umur dia, Datin." Mak Ida segera membuka pintu.
Dada Nadhira tidak semena-mena berdebar. Dia hilang arah ketika itu. Rasa macam hendak berlari-lari masuk ke dalam bilik. Malu! Tapi dalam masa yang sama dia hendak malihat sendiri rupa paras Danish secara 'live'.
"Assalamualaikum..." suara itu garau, membuatkan Nadhira dan Datin Ros berpaling.
"Waalaikumusalam..." Datin Ros menyahut penuh nada rindu.
Nadhira tidak berkelip memandang sesusuk tubuh yang kini sedang berdiri di muka pintu. Ya ALLAH... indahnya ciptaan TUHAN. Danish jauh lebih tampan berbanding dalam gambar yang dilihatnya setiap hari. Wajah Danish putih kuning. Rambutnya lurus tapi bagaikan tidak bersikat. Keningnya hitam dan agak tebal. Mata tidak teralu sepet, tidak begitu bulat. Gayanya walaupun santai dengan baju-T berkolar bulat dan seluar jean, tetapi kelihatan tampan dan bergaya.
Danish menghampiri mummynya yang tersenyum. Dicium tangan Datin Ros, lalu mereka berpelukan melepaskan rindu.
Mata Nadhira masih tidak berkelip. Dia dapat lihat dengan mata hati betapa kasih sayang Danish amat utuh untuk Datin Ros. Terkenang betapa dia tidak sempat menunggu arwah ibunya tua untuk buat sebagaimana Danish memandikan Datin Ros.
"Duduklah dulu, Nish. Nish mesti penat lagi." Datin Ros mempersilakan Danish duduk di sebelahnya. "Tahir tak masuk sekali, Kak Ida?"
Mak Ida menutup pintu. "Tak, Datin. Lepas hantar Nish, dia terus balik. Nampak dia macam penat je."
"Tak apalah. Dah larut malam ni," kata Datin Ros.
"Mak Ida ambilkan puding jagung untuk Nish ya?" Mak Ida sudah hendak ke dapur, namun ditahan Nadhira.
"Biar Nad yang ambil, Mak Ida." Nadhira terus ke dapur tanpa menunggu jawapan Mak Ida.
Mak Ida tersenyum. Dia duduk di hadapan Danish.
"Puding jagung? Ni yang buat Nish makin sayang dengan Mak Ida." Nish ketawa sambil memicit-micit lengan Datin Ros.
Mak Ida hanya tersenyum.
"Macam mana Shanghai?" tanya Datin Ros.
"Alhamdulillah, mummy... Nish dah tengok lokasi kat sana. memang strategik tempat tu. Ramai orang Islam. Tak ada masalah nak buka restoran. Duta Malaysia kat sana memang nak tolong Nish. kalau tak ada apa-apa halangan, bulan depan kita dah boleh buka restoran." Wajah Danish kelihatan gembira kala bercerita.
"Bagus idea Nish nak buka restoran makanan Cina Muslim kat sana. Walaupun makanan Cina, tapi Nish sediakan jugak makanan orang melayu ya? jadi, orang China yang makan kat restoran tu boleh cuba masakan orang Melayu." Datin Ros mengulas dengan bangga.
"Nish pun dah terfikir macam tu jugak. Sekarang ni Nish akan aturkan staf yang boleh handle restoran kat sana. Nish akan ambil staf orang sana jugak. Yang tu ada orang yang boleh tolong Nish. Mummy doakan rancangan Nish ni berjaya, ya?"
Datin Ros menyentuh wajah Danish sambil tersenyum. "Mestilah mummy doakan anak mummy yang tampan ni. Betul tak, kak Ida? Ibu manalah yang tak pernah doakan yang baik-baik untuk anak dia."
Nadhira muncul di situ sambil menatang semangkuk besar puding jagung koktel di dalam dulang.
Danish merenung penuh tanda tanya. Sebenarnya, sejak tadi lagi dia terperasankan gadis itu. "Siapa ni, mummy?"
Nadhira yang tersentak, cepat-cepat membalas. "Saya orang gaji baru."
Wajah Danish beriak selamba sambil mengangguk. Namun, ada elemen tidak senang di wajah itu. Nadhira perasan, namun cuba beriak selamba walau dada bergemuruh bagaikan hendak pecah. Setelah menghidangkan, dia lantas beredar dari situ bersama yang sukar diungkap.
Share this novel