Bab 13

Romance Series 9311

NADHIRA duduk di perhentian bas bersendirian. Penat dia berjalan mencari kerja. Fikirannya pula berselirat mengenangkan Naufal. Kesian adiknya itu. Selama ini, Naufal memendam rasa dengan kawan-kawan yang membuli dan mengejeknya kerana tidak mahu dia susah hati.
Teringatkan Naufal, membuatkan dia bersemangat untuk mencari kerja semula. Dia mengatur langkah dari satu kedai ke satu kedai. Semuanya menggeleng apabila dia bertanya jawatan kosong. Penat berjalan, dia berhenti di sebuah kedai makan. Hanya dia seorang pelanggan di situ. Dia memesan segelas air sirap.
Ketika pelayan perempuan menghantar air yang dipesan, dia sempat bertanya. "Maaf kak, tumpang tanya. Kat sini ada kerja kosong tak?"
Perempuan itu menggeleng. "Tak adalah, dik."
Nadhira mengangguk kecewe. "Tak apalah. Terima kasih, kak." Dia menyedut minumannya setelah pelayan itu berlalu.
"Assalamualaikum...."
Nadhira tersentak. Dia berpaling. Seorang lelaki duduk di sebelahnya. Berusia 30-an. Dijawab salam lelaki itu perlahan.
"Maaf mengganggu. Tadi abang dengar adik tanya kerja kosong kat pelayan tu. Adik tengah cari kerja, ye?"
Dahi Nadhira berkerut. Tiba-tiba sahaja lelaki itu menegur. Dipandang wajah lelaki itu dalam-dalam, kurang percaya.
"Nama abang, Tahir. Kalau nak kerja, ada kerja pembantu rumah. Nak?"
Sekali lagi pertanyaan lelaki itu membuatkan Nadhira kelu untuk bereaksi. Diperhatikan Tahir dengan riak curiga. Lelaki sekarang tak boleh boleh dipercayai! Ramai yang jadi bapa ayam. Ramai juga yang menjadikan perempuan sebagai kerdai dadah.
"Abang tak pernah jual orang. Nak jual dadah? Lagilah mati. Sia-sia je hidup. Sebab tu abang tak kaya-kaya sampai sekarang. Kerja jadi driver je." Tahir tersenyum.
Nadhira menoleh ke arah lain. Alamak! Macam mana dia boleh tahu apa yang aku fikir? Pandai baca fikiran orang pulak tu. Lelaki ni ada ilmu hitam kot. Dia memandang Tahir semula. "Saya tak perlukan kerja yang haram. Maaf.... saya tak berminat."
"Kerja pembantu rumah bukan kerja haram. Lainlah kalau abang cakap kerja GRO. Tu memang haram," balas Tahir sambil tersenyum.
"Orang kalau nak menipu, banyak kaedahnya. Zaman sekarangni macam-macam hal boleh berlaku. Sebenarnya nak offer jadi GRO, tapi kononnya kerja pembantu rumah. Saya dah tahu taktik tu. Dah banyak sangat orang guna. Berlambak-lambak. Tapi yang peliknya, ada juga perempuan yang kena tipu. Sebab tu, ramai perempuan yang jadi pelacur. Ya ALLAH..... takunya saya. Mudah-mudahan saya tak jadi macam tu. Risau jugak saya. Lelaki yang baik dalam dunia ni ada beberapa kerat je," perli Nadhira.
Tahir tersenyum. "Amboi...banyaknya cakap. Siapa nama adik?"
Nadhira menjengilkan matanya. Eh, eh... makin melampau pulak lelaki ini. Dah berani tanya nama. "Kenapa nak tahu nama orang? Jangan nak lebih-lebih, eh? Nanti saya jerit, beritahu semua orang yang abang ni perogol bersiri."
"Eh... jangan salah faham, dik. Tahir mula cuak. Risau juga dia kalau gadis itu menjerit. Kedua-dua tangannya diangkat tinggi-tinggi."
"Pergi berambus sebelum saya menjerit!" ugut Nadhira dengan wajah garang.
"Dik... sabar, dik. Jangan bertindak melulu. Abang tanya nama sebab senang nak panggil, bukan nak buat apa-apa pun."
Nadhira menjeling Tahir. Disedut air sirapnya semula sehingga hampir habis tanpa menghiraukan lelaki itu.
"Okeylah, dik... tak nak bagitahu nama pun tak apa. Abang panggil adik ajelah. Ni nombor telefon abang. Kalau adik setuju nak kerja, call abang. Bos abang memang nak cari pembantu rumah. Abang ni driver dia. Rumah dia kat KL. Hari ni abang cuti, balik kampung. Alang-alang balik kampung, abang tolong cari kalau ada sesiapa yang berminat nak jadi pembantu rumah."
Kali ini, Nadhira menaruh sedikit kepercayaan pada kata-kata Tahir. Kertas yang dihulur Tahir disambut. Dia baca sekali imbas. "KL?"
"Kalau nak, cepat-cepat call. Ramai yang dah tanya abang. Ni kira siapa cepat dia dapat. macam pertandingan pulak, kan?" Tahir tersenyum.
"Kalau kerja mengemas, bolehlah. Tapi kalau masak, saya tak berapa pandai sangat. Masak yang simple setakat goreng-goreng, bolehlah."
"Okeylah tu." Tahir terseyum. "Kat rumah tu dah ada orang gaji, Adik cuma tolong dia buat kerja je."
"Boleh ke kalau saya bawa adik saya?"
"Kenapa?"
Nadhira teragak-agak, namun membalas jua. "Saya anak yatim piatu. Saya tinggal dengan adik saya je. Saya takkan tinggalkan adik saya kat kampung semata-mata nak kerja kat KL tu."
"Oh..." Tahir mengangguk. "Rasanya tak ada masalah. Majikan abang ni, dik... baik orangnya walaupun bergelar Datin. Kalau dah duduk KL, adik si adik ni boleh sekolah kat sana. Tak ada masalah."
Nadhira diam. Fikirannya keras bekerja. "Nanti saya fikirkan balik, ya?"
"Oh, baik..." jawab Tahir.

"ADIK dah ngantuklah, kaklong..." Naufal menenyeh-nenyeh matanya.
"Homework adik dah siap ke?" Nadhira yang sedang melipat pakaian menoleh ke arah Naufal yang sedang meniarap membuat kerja sekolah di tengah-tengah ruang tamu itu.
"Belum."
"Siapkanlah dulu."
Naufal sudah baring terlentang.
"Adik..." seru Nadhira kala melihat Naufal sudah memejamkan matanya. Adiknya itu langsung tidak berkutik. "Adik..." serunya lagi. Dia bangun menghampiri Naufal.
"Mari sini kaklong tolong adik siapkan homework." Dia meneliti buku latihan Naufal. "Adik, bangunlah. Sikit lagi nak siap ni." Bahu Naufal digoncang.
"Adik mengantuk..." Dengan mata terpejam, Naufal bersuara lemah.
Nadhira melihat jam dinding. Hampir pukul 11.00 malam. Patutlah Naufal mengantuk. Biasanya pukul 10.00 Naufal dah masuk tidur.
"Adik, sikit lagi ni. Kaklong tolong adik buat. Tapi adik bangun dulu."
Naufal tetap tidak berkutik, sudah tertidur.
Nadhira menggeleng-geleng. Lalu dia menyiapkan kerja sekolah Naufal sehingga selesai. Tidak banyak, hanya tiga soalan Matematik. Sesudah siap, dia mengemas buku-buku adiknya itu dan memasukkannya ke dalam beg.
"Adik... bangun, dik. Tidur dalam bilik."
Nadhira membawa beg Naufal masuk ke bilik. Pakaian yang belum dilipat disudahkan segera. Selesai semuanya, dia mengejutkan Naufal semula. Sudahnya, dia merenung wajah Naufal yang polos.
Esok pagi Naufal akan ke sekolah dan berhadapan dengan kawan-kawannya yang suka mengejek dan membuli. Mengenangkan itu hatinya resah. Kesihan Naufal. Dia melepaskan nafas panjang.
Apa yang harus dia lakukan? Pindahkan Naufal dari sekolah itu? Kalau pindah, sama jugak. Masih di Teluk Intan. Mungkin kawan-kawan yang membuli Naufal tinggal sekampung. Jadi, dia kena pindah keluar dari kampung. Tapi, hendak ke mana?
Otaknya terasa tepu hendak berfikir. Kerja pun tak dapat lagi. Nak fikir Naufal pula. Naufal panjang dilepaskan perlahan-lahan. Tiba-tiba ingatannya terimbas wajah Tahir. Apa yang dikatakan lelaki itu bermain-main di kepala.
Kalau dia terima tawaran Tahir, dia dan Naufal tidak perlu menetap di kampung ini lagi. Naufal akan bersekolah di Kuala Lumpur. Tak ada sesiapa yang akan membuli Naufal lagi. Dia pula akan mendapat kerja. Jadi pembantu rumah pun tidak mengapa. Makan, minum dan tempat tinggal terjamin. Dia tersenyum.
Tapi betul ke si Tahir tu? Macam menipu je. Sudahlah tidak kenal. Takkan nak percaya bulat-bulat? Buatnya Tahir tu penjenayah, habis hidup aku!
Macam mana kalau apa yang Tahir cakap tu betul? Fikirannya berselirat. Dia mencium dahi Naufal sebelum menutup lampu dan beredar dari situ. Dia mahu mengerjakan solat istikharah. Mudah-mudahan ALLAH memberinya petunjuk.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience