MATA yang terpejam lama itu perlahan-lahan terbuka. Seketika, Nadhira memejamkan matanya semula. Terasa seluruh tubunya sengal-sengal. Fikiran yang kosong mula memacu arah. Dia kebingungan. Entah di mana dia berada kini.
Mata yang tertutup rapat lambat-lambat dibuka semula. Siling putih menjadi halwa pandangan. Spontan dia bangun. Pandangannya perpinar-pinar dan mula berasa pening. Kala berasa sudah stabil, dia membuka matanya semula.
Kedudukannya yang di atas katil di dalam biliknya membuatkan dia kehairanan. Apa yang terjadi padanya? Kenapa dia terlantar di atas katil dengan uniform sekolah?
Dia masih hilang arah. Sedang dia berfikir dengan keras, sayup-sayup kedengaran alunan ayat-ayat suci. Dia menuruni katil menuju ke pintu. Sebaik sahaja tombol pintu dipulas, barulah bacaan itu kedenganran kuat. Hatinya bergetar apabila melihat ramai orang memenuhi ruang tamu rumahnya.
Lebih bergetar jiwanya tatkala memandang tubuh-tubuh berselubung putih yang terkujur di tengah-tengah ruang itu dan selilimuti kain batik lepas. Mereka yang sedang mengalunkan surah Yasin menoleh ke arahnya. Dia tidak peduli pada pandangan itu.
Langkah diatur begitu berat. Di sisi salah satu mayat yang terkujur itu, Naufal duduk di bahagian hujungnya. Adiknya itu sedang menangis.
Di sebelah Naufal, dia mengambil tempat. Dipeluk adiknya itu erat-erat. Naufal membalas pelukannnya bersama juraian air mata yang bagaikan tidak mahu berhenti. Dia masih kebingungan.
"Ibu dah tak ada, kak long..." raung Naufal.
"Ibu?" Nadhira benar-benar keliru. Dia tidak tahu siapa yang terlibat dengan kemalangan itu, Ingatannya bagaikan kabur. Air mata sudah bergenangan. Rasa sebak menyerbu ke dada. Dia menoleh ke arah mayat-mayat yang terkujur itu. Ada empat semuanya.
"Ibu tak ada, abah pun tak ada. Semua tak ada, kak long..." rintih Naufal lagi. Tidak henti-henti air matanya mengalir. Matanya sudah bengkak dan merah.
Nadhira kembali menatap wajah Naufal. Semua? Dadanya berdebar-debar. Deraian air mata laju menuruni pipinya. Dia melepaskan pelukan Naufal perlahan-lahan. Ketika itu, muncul Balqis di sisisnya. Dia mula ingat apa yang terjadi, yang membawa dia ke situ. Dia dikhabarkan berita kemalangan keluarganya oleh Cikgu Rahman. Berita duka itulah membuatkan dia pengsan.
Semakin laju air matanya. YA ALLAH... aku telah kehilangan ibu, abah dan adik-adik. Mereka pergi meninggalkan aku dan Naufal buat selama-lamanya. Aku tak kuat menempuh semua ini, ya ALLAH. Aku tak kuat.
"Sabar, Nad... banyakkan istighfar. Ingat ALLAH," pujuk Balqis.
Nadhira menyeka air matanya, lalu bangun menyentuh kain batik lepas yang menyelubungi mayat di sebelah mereka. Dengupan begitu rancak memukul dadanya.
Setelah menurunkan kain itu, wajah pucat Hafizan menyapa pandangan. Alangkah luluh hatinya. Dia terduduk kembali. Seluruh tubuhnya berasa lemah. Mencurah-curah air mata yang tumpah.
"Ibu... kenapa ibu pergi dulu? Kenapa? YA ALLAH.." mengigil tubuhnya, tidak yakin apa yang dilihatnya.
Naufal semakin kuat tangisannya. Teresak-esak dia merenung wajah Hafizan yang kaku itu.
Balqis memeluk Nadhira penuh rasa sayu. Matanya sudah kebasahan. "Kau kena tabahkan hati, Nad. Ini dugaan yang harus kau tempuhi. Aku nak kau sabar. Janji dengan aku, Nad. Jangan seksa mayat arwah dengan tangisan kau ni." Dia mengusap-usap belakang sahabatnya itu.
Barulah Nadhira boleh berfikir dengan waras. Dia tahu hukum dan adab berhadapan dengan mayat. Dipujuk hati agar tabah berhadapan dengan semua ini. Diseka pipinya sambil menenangkan hati. Kalimah istighfar diulang sebut.
Dia memeluk Naufal. Dalam pelukan itu dia menangis lagi. Tinggal mereka berdua sahaja kini. Laluan hidup mereka pastinya penuh berduri.
Share this novel