MENTANG-MENTANGLAH sudah ada pembantu, sejak akhir-akhir ini ada sahaja Danish di rumah itu. Rajin pula pulang ke rumah waktu tengah hari semata-mata hendak makan sebelum kembali ke pejabat.
Nadhira tidak peduli sama ada Danish ada di rumah atau tidak. Mereka tidak pernah bertegur sapa. Kalau Danish berada di hadapannya, dia cuba berbuat baik sambil melemparkan senyuman. 'Haram' tidak dibalas Danish. Dia tidak pernah ambil hati pun. Bukan rugi pun kalau senyum pada orang tapi tidak dibalas.
"Apa yang terfikir sampai tangan tak bergerak tu?"
Nadhira sedikit tersentak. Dia menoleh ke kiri sekilas. "Mak Ida..." segera dia menyambung kerja mencuci pinggan mangkuk kotor. "Err... Mak Ida tak temankan Datin ke?"
"Nish dengan Datin kat tepi taman. Mari sini Mak Ida tolong." Mak Ida sudah bersedia untuk membilas pinggan yang sudah disabun.
"Eh, Mak Ida... tak apa, Nad boleh buat sendiri. Mak Ida duduklah berehat. Mak Ida dah banyak buat kerja," larang Nadhira. Sebenarnya, dia tidak senang hati melihat Mak Ida buat kerja. Dia mudah kasihan. Orang tua mana ada kudrat sangat.
"Mak Ida dah biasa, Nad. Setakat basuh pinggan mangkuk ni apalah sangat." Laju tangan Mak Ida membuat kerja di singki sebelah Nadhira.
Nadhira tidak mampu menghalang lagi. Mak Ida memang kelihatan bersungguh-sungguh.
"Kalau Nish temankan Datin, Mak Ida tak naklah ganggu anak-beranak tu. Biarlah mereka berdua berbual-bual."
Nadhira mengganguk. Ketara sangat sejak Danish ada banyak masa di rumah, Datin Ros lebih ceria. Dan layanan Danish pada Datin Ros memang kelas pertama. Belum pernah dia jumpa anak lelaki yang tidak teragak-agak menunjukkan kasih sayang pada seorang ibu.
"Mak Ida, Abang Nish tu memang tak mesra alam ya?" Nadhira terfikir hendak bertanya tentang Danish.
"Mesra alam yang macam mana?" Mak Ida kelihatan terpinga-pinga. "Orang yang suka pokok-pokok, bunga-bunga ke?"
Nadhira spontan ketawa. Mak Ida tak faham istilah kiasan rupanya. "Bukan itulah, Mak Ida. Maksud Nad, Abang Nish tu tak peramah ke? Dia sombong ke?"
Senyuman Mak Ida meleret, Mentertawakan diri sendiri. "Oh... ingatkan apa tadi. Tak adalah, Nad. Danish tu baik. Cuma dia pendiam sikit. Orang yang pendiam ni, kita kena tahu cara nak berkomunikasi dengan dia. Tapi kalau orang yang dia dah biasa, hilang sikap pendiam dia tu."
Kalau dengan aku, tentu sampai bila-bila takkan jadi 'orang yang dia dah biasa'. Aku kalau orang tak nak bercakap dengan aku, jangan harap aku layan orang macam ni. Tapi aku sukakan dia. Entahlah... Kadang-kadang aku rasa macam dah suka kat dia. Err... suka tak bermakna cinta, kan?
"Nanti lama-lama dia dah biasa dengan Nad, tak terlarat pulak Nad nak layan dia." Mak Ida menyambut semula. "Lagipun dia jadi macam tu sebab..." Dia spontan menghentikan kata-katanya, bagai terlepas kata.
"Sebab apa, Mak Ida?"
"Tak ada apa-apalah, Nad. Perkara dah lepas. Bila Nad nak ambil cuti balik kampung? Sejak duduk kat sini, Nad belum pernah ambil cuti balik kampung, kan?"
"Nad dengan Naufal dah rancang nak balik kampung lepas Naufal habis exam UPSR bulan depan. Nak ziarah kubur arwah abah, ibu dan adik-adik. Nad tak nak ganggu pelajaran Naufal. Mak Ida doa-doakan Naufal dapat 5A ya? Nad teringin sangat nak adik Nad tu masuk sekolah berasrama, MRSM." Nadhira sudah berangan-angan.
"Insya-ALLAH... Mak Ida doakan yang terbaik untuk Naufal dan Nad."
Nadhira gembira sangat dapat menumpang kasih Mak Ida. Pudar sedikit rasa rindu buat arwah ibunya. Kalau arwah Hafizan ada, tentu dia turut sibuk membantu Naufal mengulangkaji pelajaran.
"Mak Ida tak balik kampung?" Nadhira memulangkan soalan itu kepada Mak Ida.
"Mak Ida balik kampung pun bukan ada sesiapa. Mak bapak dah lama tak ada. Adik-beradik semua dah ada keluarga masing-masing. Mak Ida ni saja yang jadi anak dara tua. Dah tua-tua tak ada orang nak. Orang tua-tua kata, berat jodoh." Mak Ida tertawa.
"Jodoh dan maut kan urusan ALLAH? Dah ditakdirkan Mak Ida belum ada jodoh lagi. Nad ni pun entah-entah senasib dengan Mak Ida."
"Takkanlah tak ada orang nak dengan Nad? Nad ni comel sangat. Mesti ramai lelaki yang suka. Dari mula-mula Nad datang sini, Mak Ida tengok muka Nad macam pelakon. Siapa nama pelakon drama yang petang-petang tu? Cerita tentang Dhia tu. Emma? Apa, Nad? Mak Ida lupalah."
"Emma maembong?"
"Haa... Emma maembong. Muka Nad Mak Ida tengok ada iras-iras dia. Cuma Nad tak mekap. kalau mekap mesti lagi comel daripada Emma maembong."
Muka Nadhira berkerut tidak percaya. "Macam Emma maembong? Merepeklah, Mak Ida." Dia tergelak. Terasa lucu pula jenaka Mak Ida.
"Ya... mata Mak Ida ni tak tipu. Nad comel macam dia. Entah-entah Nad dah ada buah hati," giat Mak Ida.
"Dulu, masa zaman sekolah ada jugak. Tapi cinta monyet, Mak Ida. Sebab dia tu perangai macam monyet." Nadhira ketawa lagi. "Habis je sekolah, cinta pun habis. Tak ada faedah langsung. Lebih baik Nad bela kambing. Boleh disembelih bila dah sampai masa."
"Biasalah. Budak-budak sekolah tak pernah serius."
Akhirnya, selesai kerja membasuh pinggan mangkuk.
"Nad minta diri naik ke atas dulu, Mak Ida. Nak sembahyang zuhur."
"Yalah... Mak Ida pun nak sembahyang jugak. Naufal balik sekolah pukul berapa hari ni? Biasanya waktu begini dia dah sampai kat rumah." Mak Ida mengiringi Nadhira berlalu dari ruang dapur. Dia tertinjau-tinjau.
"Kejap lagi sampailah tu."
"Mak Ida... " kedengaran suara Datin Ros memanggil.
Nadhira turut sama menoleh. Kelihatan Datin Ros dan Danish berada di ruang tamu.
"Sini, Mak Ida," panggil Datin Ros.
Kerana Datin Ros hanya memanggil Mak Ida sahaja, Nadhira mahu terus ke bilik dan segera sembahyang.
"Nad, mari sini sekejap."
Tidak jadi Nadhira hendak melangkah apabila namanya pula yang diseru oleh Datin Ros.
"Nad, Mak Ida... Ada perkara yang saya nak cakapkan."
Nadhira dan Mak Ida saling berpandangan. Nadhira berasa gabra. Hatinya terdetik sesuatu yang meresahkan. Danish yang duduk di sebelah Datin Ros hanya memandang. Jangan-jangan lelaki itu mengadu tentangnya yang buruk pada Datin Ros.
Oh, tidak! Dia tidak mahu disingkir keluar dari rumah itu. Dia masih mahu kerja dengan gigih demi menyekolahkan Naufal. Berlumba-lumba persoalan demi persoalan menumbuk benaknya sehinggalah dia duduk di sebelah Mak Ida. Rasa selamat di sisi orang tua itu.
"Naufal tak balik sekolah lagi, Nad?" Datin Ros memulakan perbualan.
Baru sahaja Nadhira hendak membuka mulut, kedengaran bunyi enjin kereta di halaman rumah. Dia amat pasti itu bunyi enjin kereta yang dibawa Tahir. Tahir tidak pernah cuai menghantar Naufal pergi dan balik sekolah. Itu memang arahan dari Datin Ros.
"Naufal dah balik." Datin Ros tersenyum. "Nad tolong panggil Tahir masuk sekali. Beritahu saya nak jumpa dia dulu sebelum dia ke ofis semula."
Nadhira terus bertindak mengikut arahan, sedangkan dalam jiwa bergelodak perasaan tertanya-tanya. Macam besar sahaja perkara yang hendak Datin Ros sampaikan. Mereka bertiga duduk menghadap Datin Ros dan Danish.
Nadhira memeluk bahu Naufal yang duduk di sebelahnya. Dia risau. Namun, apabila memandang wajah Datin Ros yang beriak ceria, tidak mungkin ada yang tidak kena.
Datin Ros tidak lekang dengan senyuman. Dia memandang satu demi satu wajah-wajah yang berada di hadapannya.
"Mummy, hal apa yang mummy nak bincang?" Danish yang sejak tadi diam membuka mulut bertanya.
Aik? Takkan Danish tak tahu Datin Ros nak bincang tentang apa? Pelik! Nadhira merenung Danish yang dilihat makin hari makin tampan. Maknanya, tiada sesiapa yang tahu apa yang Datin Ros mahu katakan.
Datin Ros mencapai tangan Danish. "Mummy gembira sangat bila anak mummy ni dah ada banyak masa untuk mummy. Sekarang Nish dah boleh temankan mummy pergi hospital buat check up, buat fisiologi... Alhamdulillah."
Danish meleretkan senyumannya. Manis sekali. Nadhira terpesona dalam diam. Dia bagaikan dibius. Pandangannya tidak beralih menatap wajah lelaki itu. Dia jadi leka. Seketika kemudian dia menggeleng perlahan, membuang perasaan yang bertandang di hati. Memanglah dia sudah lama 'admire' pada Danish. Tapi apabila mengenangkan sikap dingin lelaki itu, membuatkan dia mahu melupakan perasaannya. Lupakan saja, Nad oii. Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.
"Nad dan Naufal dah tinggal dengan kita hampir tiga bulan. Saya rasa seronok sangat sejak ada Nad dan Naufal. Macam ada sesuatu yang dapat mengisi kekosongan yang ada dalam rumah ni. Sukar saya nak ungkakan dengan kata-kata. Tapi saya dapat rasakan," sambung Datin Ros lagi.
Hati Nadhira berasa kembang. Tersengih dia di dalam hati. Dengar tu Abang Danish. Dengar! Kalau Datin Ros dah memuji Nad, apa maksudnya? Mestilah sebab dia sukakan Nad. Abang Nish je yang tak suka Nad. Tak macam Datin. Dia membebel di dalam hati. Sempat dia menjeling Danish, seolah-olah lelaki itu mendengar apa kata hatinya itu.
"Jadi..." Datin Ros terdiam seketika. "Jadi, mulai hari ini Nad dan Naufal saya ambil sebagai anak angkat."
Serta-merta Nadhira ternganga. Bagaikan dunia berhenti berputar. Lama di renung wajah Datin Ros, mengharapkan ulang tayang adegan tadi.
"Alhamdulillah, Nad." Mak Ida tidak sedar hujung matanya mengalirkan air jernih. Dia terlalu gembira.
Nadhira masih tidak yakin. Dia memandang Naufal yang tersenyum gembira. Mana mungkin orang sekaya Datin Ros dah ada kelas tersendiri serta bertaraf tinggi mahu mengambil dia dan Naufal sebagai anak angkat. Padahal dia sebenarnya orang gaji di rumah itu. Datin Ros tersilap cakap barangkali.
"Mummy nak Nad sambung belajar semula. Nad pilih course yang Nad suka."
Sekali lagi Nadhira terlopong. Datin Ros membahasakan dirinya mummy? Malah, menyuruhnya belajar di universiti. Ya ALLAH, aku tak bermimpi ke? Dia terkebil-kebil. Masih sukar percaya apa yang telah Datin Ros ucapkan.
"Err... Datin, saya sebenarnya..."
"Panggil mummy, sayang," Datin Ros tergelak perlahan. "Tak apalah kalau Nad dan Naufal masih kekok. Pergilah berehat. Naufal mesti penat baru balik dari sekolah. Tapi jangan lupa makan, ya?"
"Tapi..."
"Mummy harap Nad dan Naufal sudi jadi anak angkat mummy." Datin Ros memintas kata-kata Nadhira.
Nadhira hanya mengganguk, tidak mampu berfikir. Dia masih terkejut menerima khabar yang tidak disangka-sangka. Datin Ros sangat baik. Betul kata Mak Ida dulu. Dia memandang Mak Ida yang jelas di riak orang tua itu kegembiraan bagi pihaknya. Dipandang Tahir yang turut meleretkan senyuman.
Kala hendak berdiri, tidak semena-mena dia terpandang Danish. Lelaki itu memandangnya dengan riak tidak puas hati. Dadanya terus bergemuruh. Cepat-cepat dia berlalu bersama Naufal ke tingkat atas. Danish tak suka ke aku jadi adik angkat dia?
Share this novel