Hanya pandangan lemah dilemparkan merenung kayuhan basikal Saef. Lelaki keturunan Pakistan yang menjual karpet dari rumah ke rumah itu entah mahu ke mana.
Nadhira melepaskan nafas lemah yang panjang. Baru sebentar tadi lelaki itu mengutip hutangnya. Arwah Hafizan ada berhutang dengan Saef membeli dua keping permaidani. Dan setiap bulan perlu membayar RM 50. Ada berbaki sepuluh bulan hutang arwah Hafizan.
Tapi, tadi Saef memintanya membayar umtuk dua bulan. Alasannya, dia mahu ke Pahang selama sebulan. Nak tak nak, terpaksa dia menghulurkan wang sumbangan yang diterimanya buat membayar hutang.
Setelah menutup pintu, dia mengambi tempat di kerusi ruang tamu. Baki wang ihsan yang diterima dikira. Sesudah mengira, dia termenung. Dalam menungan itu, dia mencongak-congak.
Semalam, Fatimah menemuinya dan memberitahu tentang duit kutu arwah Hafizan. Walaupun giliran arwah ibunya sudah lepas, bayaran bulanan tetap perlu dijelaskan. Arwah Hafizan pernah memberitahunya bahawa duit kutu itu digunakan untuk keperluan dia dan adik-adik untuk ke sekolah. Uniform, yuran, buku, alatan menulis, kasut... semuanya dibeli dengan duit itu.
Pagi tadi dia ke kedai runcit Pak Ahmad. Pak Ahmad memberitahu yang arwah abahnya ada berhutang beli barang di kedai itu. Oleh kerana tidak membawa duit lebih, dia berjanji mahu menjelaskan hutang itu keesokkan hari. Dia tahu, selepas ini, dia perlu membayar bil air, elektrik dan telefon. Mujur ansuran kereta kancil yang remuk teruk ketika kemalangan sudah dilangsaikan oleh pihak insurans.
Mengenangkan semua itu, semena-mena air matanya berguguran ke pipi. Lekas-lekas disekanya. Nafas panjang dihela agar dia kembali bertenang. Ini semua ketuntuan ALLAH. Dia harus tabah dan menerima tanggungjawab menyara hidupnya adik-beradik dengan hati yang redha. Apatah lagi apabila dipandang Naufal yang sedang menonton televisyen. Demi adiknya itu, dia tetap akan bertahan.
MOTOSIKAL yang ditunggang Akram berhenti di bawah pokok berhampiran pangkin rumah Samsul. Faiz yang membonceng, melompat turun. Terus dia mendekati kawan-kawan yang sudah lama menunggu.
Hampir setiap malam mereka melepak di situ sambil berborak. Iqmal memetik gitar dan yang lain-lain mengalunkan lagu walaupun sedar suara masing-masing hanya sekadar memanggil hujan turun.
"Woi, Akram! Datang lenggang kangkung ke? Lain kali bawalah apa-apa yang boleh dimakan." Samsul menyapa Akram yang sudah mematikan enjin motosikalnya.
"Aku dah kenyang makan angin. Erkk..." sendawa Akram, dibuat-buat.
Mereka ketawa.
"Kau kan tuan rumah. Kaulah yang kena jamu kita orang makan. Apa lagi, suruhlah mak kau goreng mi. Boleh kita orang melantak," sakat Akram.
"Banyaklah kau punya mi goreng. Baik aku buka warung kat sini. Ada jugak untung." Samsul beralih ke papan dam. "Hui... nah ambil ni. Aku makan. Satu, dua!" Dia tersengih gembira merenung lawannya, Fadhil.
Fadhil turut tersengih. "Kau makan aku, aku makan kau balik.." Dia memegang sebiji buah damnya sambil terangkat-angkat kening.
"Erkk..." Fadhil membuat aksi perut kenyang, disambut ketawa yang lain-lain.
"Dahlah! Malas aku nak main. Kau main kotorlah, Dil." Samsul beralih tempat duduk. Sakit hatinya melihat buah dam Fadhil masih banyak.
"Hah, tepi! Bagi aku main pulak. Ni..." Faiz menepuk dada sendiri. "Ni jaguh main dam tau. Kejap lagi kau meraunglah, Dil." Dia yang sudah duduk menghadap Fadhil, menyusun buah-buah dam dan tak sabar-sabar.
Fadhil tergelak. "Hah... kita tengok siapa yang meraung kejap lagi. Aku tak sabar nak ambil gambar orang menangis. Boleh masuk dalam FB."
"Kau belum kenal aku lagi," kata Faiz.
"Kau pun tak kenal aku." Fadhil tidak mahu kalah.
"Siapa yang dapat kalahkan si Dil ni, aku berani hidangkan dia mi goreng mak aku."
Mereka ketawa menyambut kata-kata Samsul.
"Tiap-tiap malam melepak sini, jangan kata mi goreng, air kosong pun tak merasa." Iqmal mencebik.
"Yalah, yalah.. aku belanja makan burger. Tapi tunggu minggu depanlah bila aku dah kerja kedai burger."
"Kau kerja kedai burger, Sul?" Faiz tertarik.
"Daripada aku melepak kat rumah kena bebel dengan mak aku, baik aku kerja. Kenapa? Nak join?" Samsul mengangkat kening.
Faiz tersengih. "Aku malas nak kerja. Tapi tengoklah nanti. Bosan jugak duduk rumah je. Mak aku pun bising jugak suruh cari kerja. Tapi tak ingin aku nak kerja kedai burger. Aku nak kerja kat ofis."
Akram mencebik. Dia tahu Faiz agak berada berbanding mereka. Hidup tidak pernah susah.
Samsul menjeling Faiz. Hina ke kerja kedai burger? Dia merungut di dalam hati.
"Dah... jalan." Fadhil sudah memulakan buahnya.
Faiz berfikir seketika sebelum memulakan langkah.
"Kau tak kerja ke? Samsul berbual dengan Akram."
"Bapak aku suruh aku tolong dia kat kedai."
"Kedai runcit Pak Ahmad kan dah ada pekerja. Buat apa kau nak kerja kat situ pulak? Leceh dowh..."
Akram tersenyum. "Bapak aku nak aku belajar uruskan kedai. Aku ni anak harapan dia. Pewaris kedai runcit tu."
"Untunglah kau. Tak payah susah-susah, kedai runcit bapak kau dah menunggu." Samsul mengeluh. "Kawan-kawan kita ramai yang dah kerja. Result SPM lama lagi nak keluar. Tak sabar aku nak blah dari kampung ni. Bosan!"
"Amboi... tak sedar diri anak kampung! selar Akram."
"Woi, woi.. tengok ni. Aku nak 'makan' si Fadhil ni." Tiba-tiba Faiz bersuara.
Semua mata beralih ke papan dam. Faiz dengan bangga memakan dua biji buah dam Fadhil sebelum buahnya mendapat 'haji'.
"Sekejap je aku 'belasah' Fadhil." Faiz terhenti ketawa apabila telefon bimbitnya berbunyi.
Mereka memandang Faiz mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluarnya.
"Ah... ni nombor public phone rasanya. Malas aku nak angkat. Tak lain tak bukan ni mesti orang yang nak menyusahkan hidup aku." Faiz tidak menghiraukan bunyi deringan telefon bimbitnya sehingga ia terdiam sendiri.
Iqmal tersentak. Berdasarkan kata-kata Faiz itu, pasti Nadhira yang dimaksudkan. Terkilan betul dia dengan sikap sahabatnya itu. Takkan Faiz langsung tidak terkesan dengan apa yang dialami Nadhira? Dulu masa masih bersekolah, bukan main rapat lagi Faiz dengan Nadhira. Malah, Faiz pernah mengaku betapa cintanya dia pada gadis itu. Tapi sekarang, apa dah jadi? Sekelip mata Faiz berubah.
"Nad apa khabar, Iz?" tanya Akram tiba-tiba.
"Mana aku tahu." Ada nada jengkel pada suara Faiz. Matanya tidak lekang menghadap papan dam.
"Hai.. takkan buah hati sendiri tak tahu?" Fadhil menokok. Dia menyindir sebenarnya.
"Kenapa pulak aku nak ambil tahu pasal dia?" sanggah Faiz. "Aku tak ada kena-mengena dengan dia. Sorry sikit."
Mereka terdiam mendengar kata-kata Faiz itu. Apatah lagi ada unsur-unsur kecaman.
Fadhil yang tidak tahu apa-apa bersuara lagi. "Aku kesian tengok Nad tu. Tiba-tiba je mak bapak dengan adik-adik dia meninggal. Tinggal dia dengan adik bongsu dia tu. Si Bal pulak dah duduk KL. Dah tak ada kawan baik dia tu. Sekarang ni harapkan kau jelah, Iz."
Serta-merta Faiz menghentak meja dengan kuat. "Kan aku dah cakap, aku tak ada kena-mengena dengan dia! Kau tak faham bahasa ke? Lantak dialah nak kesian ke, nak mati ke, nak sedih ke... peduli apa aku! Yang kau sibuk-sibuk apasal? Kalau kau kesian sangat, hah.. pergilah hambakan diri kau pada dia. Nak tunjuk baik konon. Dia susah, dengan kau sekali melingkup susah!" Nyaring suaranya melingking.
"Memang saya orang susah!"
Faiz tersentak. perlahan-lahan dia menoleh ke belakang. Nadhira sudah terpacak di belakangnya.
"Memang saya orang susah. Tapi saya tak pernah menyusahkan sesiapa. Termasuk awak, Faiz!" Berombak dada Nadhira menahan jiwa yang terhiris. Dia sudah dengar apa yang Faiz katakan tadi. Hatinya sakit bagai dilibas mendengar kata-kata Faiz. Patutlah selama ini lelaki itu tidak pernah ambil tahu tentangnya. Rupa-rupanya Faiz fikir yang dia hanya akan menyusahkan.
Nadhira memandang Faiz tajam dengan mata yang bergenangan. "Jangan fikir saya orang susah, tak ada mak bapak, awak boleh hina saya sesuka hati. Awak tak layak nak hina saya! Kalau pun saya susah hidup merempat, saya takkan mengemis pada awak. Bukan pada awak je, dengan sesiapa pun saya takkan meminta-minta."
"Baguslah. Aman hidup aku." sinis Faiz membalas.
"Sudahlah, Iz.." Iqmal cuba meleraikan. Tidak sampai hati dia melihat Nadhira disakiti. Hatinya turut berasa sakit.
"Kau diam, Mal! Ni antara aku dengan dia." Faiz memberi amaran. "Kau siapa nak manyibuk pulak ni? Kau boyfriend baru dia ke?" Dia tertawa mengejek. "Bersedialah nak menyusahkan diri kau menyara hidup dia dengan adik dia."
"Biarlah Iqmal bersuara. Dia kawan saya. Sekurang-kurangnya, saya tahu dia masih kawan saya." Nadhira membela Iqmal. "Bukan macam awak! Bila saya susah, barulah saya kenal siapa awak yang sebenarnya. Baru saya tahu bagaimana rupa hati awak. Betapa hitamnya hati awak, Iz. Sangat hitam!" Dia mengeraskan nadanya walau setitis air mata tumpah tanpa dapat ditahan lagi.
Faiz rasa terpukul dengan kata-kata Nadhira.
Air matanya makin banyak menumpah ke pipi. Dia benar-benar terluka dengan Faiz. Sangat terluka. Menyesal dia selama ini menyimpan perasaan cinta buat jejaka itu. Cinta Faiz langsung tidak sejati!
Share this novel