NADHIRA mengiringi Naufal berbasikal seperti biasa. Laju benar adiknya itu mengayuh. Tidak terlarat di hendak mengejarnya. Apatah lagi fikirannya asyik menerawang. Peristiwa semalam terlalu sukar untuk diusir daripada firikannya.
Setelah dihalau keluar dari restoran Halim, dia tidak terus pulang ke rumah. Di hentian bas, dia duduk sendirian melepaskan sebak. Di situ juga dia menghamburkan tangisan. Pedihnya hati mengenangkan sikap Faiz terhadapnya. Faiz berubah 360 darjah dalam sekelip mata. Kata-kata Faiz itu terlalu mencalar-calarkan jiwanya.
Sedangkan ketika di bangku sekolah dahulu, mereka berdua sangat rapat. Ke mana sahaja bersama. Dia teringat detik pertama kali dia mendengar kata-kata cinta daripada Faiz . Berbunga hatinya. tetapi akhirnya jadi begini.
Kenapa begitu mudah Faiz berubah? kalau di hati Faiz sudah tiada cinta untuknya, dia boleh terima. Tapi jangan menghinanya. Air matanya yang tumpah diseka. Betapa luluh hatinya mengenangkan Faiz.
Naufal memarkir basikalnya sebaik tiba di bangsal. Tanpa menunggu, dia bersedia untuk menyeberangi jalan raya.
Cepat-cepat Nadhira mempercepatkan kayuhan. "Adik! Tunggu Kaklong!" Jeritnya.
Naufal langsung tidak menoleh.
"Adik, tunggu!" Laung Nadhira lagi. Kelam-kabut dia meletak basikal apabila melihat Naufal mula melintas. Berkejaran dia meyeberangi adiknya itu sebelum menarik Naufal ke tepi jalan semula agar tidak meninggalkannya.
"Apa kaklong ni? Adik nak pergi sekolahlah!" Naufal merentap tanggannya daripada genggaman Nadhira.
"Kaklong tahu. Tapi tunggulah kaklong."
"Kenapa pulak nak tunggu?" Naufal menunjuk riak wajah kurang senang.
"Adik tak nak salam Kaklong ke?" Nada suara Nadhira berubah sayu kala bertanya soalan itu. Biarlah kalau Faiz menjauhkan diri daripadanya, tetapi jangan Naufal. Dia tidak sanggup.
Mimik muka Naufal masih mencuka. Dia langsung tidak memandang Nadhira yang berdiri di hadapannya.
Tidak mahu menjadi tumpuan orang lain yang berada di situ, Nadhira menghulurkan salam.
Lambat-lambat Naufal menyambutnya. "Jangan nak cium adik!" Sempat dia berpesan dengan tegas.
Nadhira tidak peduli. Selepas Naufal mencium tangannya, dia menunduk mahu mengucup dahi Naufal.
Lekas-lekas Naufal mengelak. "Kan adik dah cakap jangan cium! Tak faham ke?"
Nadhira tersentak. Sejak akhir-akhir ini, Naufal makin kerap meninggikan suara padanya. Walau hati tercalar, dia mengukirkan senyuman jua. "Hati-hati tau. Duit yang kak long bagi, simpan elok-elok. Belajar rajin-rajin. Bekal roti dalam beg tu ada..."
Naufal tidak menunggu hingga Nadhira menyampaikan pesanan. Dia bosan! Hari-hari kakaknya itu ulang benda yang sama.
Hati Nadhira terusik melihat Naufal berlalu menyeberangi jalan tanpa memandangnya. Matanya berkaca-kaca. Sukarnya apabila hubungan mereka berdua tidak semesra seperti dahulu. Dulu, Naufal manja dengannya.
Diusir jauh-jauh bisikan yang membuatkan air matanya gugur. barangkali Naufal tidak selesa bermesra dengannya lagi kerana sudah meningkat remaja. Adiknya itu kini sudah darjah 6.
Sesudah bas yang dinaiki Naufal berlalu, barulah dia bersedia untuk ke Sitiawan. Dia perlu mencari kerja lain demi menyara hidup mereka.
Naufal langsung tidak tahu yang dia sudah diberhentikan kerja. tidak perlulah adiknya itu tahu. Bukan masalah besar pun. Insya-ALLAH.... dia akan dapat kerja yang sesuai semula.
Kala teringat hari ini keputusan SPM keluar, lemah keluhan yang terluah. Dia tidak sanggup ke sekolah. Tak sanggup berhadapan dengan Faiz lagi. Balqis juga tidak datang ke rumahnya.
Dia melepaskan nafas panjang. Apa jua keputusan yang diperolehinya, sudah tidak ada maknanya. Dia tetap kena kerja dan melupakan impiannya hendak menjejakkan kaki ke menara gading.
SELURUH pelosok Sitiawan sudah dijejaki Nadhira. Tiada satu pun jawatan kosong yang sesuai untuknya. Ada kilang yang memerlukan operator pengeluaran. Namun, apabila dikatakan waktu bekerja mengikut syif, dia menolak mentah-mentah. Dia harus memikirkan Naufal. Andai dia dikehendaki bekerja waktu malam, kasihan adiknya tinggal sendirian di rumah.
Sudahnya, dia pulang ke rumah dengan tangan kosong. Kala senja mula manginjak, barulah dia sampai di rumah. Dia meletakkan nasi bungkus yang dibeli di atas meja makan. Kedengaran bunyi jirusan air dalam bilik air.
Ditutup daun tingkap yang terbuka. Sesudah itu dia memasang ubat nyamuk. Satu di ruang tamu dan satu lagi di dapur. Diletakkan di atas dulang aluminium untuk menadah abunya.
Dia kembali ke dapur untuk membancuh air teh O panas. Tidak lama kemudian Naufak keluar dari bilik air.
"Adik.." sapanya lembut.
"Hmm..." Naufal sekadar mengguman.
"Adik sembahyang maghrib dulu, ya? Lepas tu kita makan sama-sama."
Naufal terus berlalu ke dalam bilik, langsung tidak memberi respons pada kata-kata kakaknya.
Baru saja dia hendak bangun dari meja makan itu, Naufal menghulurkan sepucuk surat. Dipandang Naufal dengan riak tertanya-tanya. "Surat apa ni?"
Soalan Nadhira tidak dijawab Naufal. lambat-lambat Nadhira menyambut huluran itu. Dibuka dan dibaca surat tersebut hingga ke noktah terakhir. "Cikgu nak jumpa kaklong esok?" Dahinya berkerut.
"kalau kaklong nak datang, datanglah. kalau tak, suka hati kak longlah," suara Naufal selamba. Dia terus masuk ke dalam bilik semula.
Nadhira tidak ambil hati. Dia mengambil minuman yang sudah dibancuh dan membawa ke ruang tamu.
Share this novel