Bab 22

Romance Series 9311

"JOMLAH, kaklong. Jomlah..." Naufal merengek-rengek. Di hadapan Nadhira ditayangkan wajah memohon dikasihi. Matanya berkerlip-kerlip banyak kali. "Jomlah temankan adik."
"Malaslah."
"Alah, jomlah..." Naufal menggoyangkan-goyangkan tangan Nadhira yang beriak selamba. Acuh tak acuh sahaja, leka mengangkat jemuran.
"Kaklong banyak kerjalah nak buat," kata Nadhira tanpa memandang Naufal, ralit mengasingkan penyangkut baju dengan pakaian sebelum memasukkannya ke dalam bakul.
"Sekejap saja takkan tak boleh?" rengek Naufal lagi.
Nadhira mencebik. "Adik kata adik dah besar, tapi manja lagi. Asyik nak merengek je." Dia mengusik.
Naufal mencekak pinggang. Geram betul kalau kakaknya mengungkit hal itu. Biarlah dia manja ke apa. Dia belum akil baligh lagi. "Kalau kaklong tak nak ikut adik, adik cakap kat mummy."
Nadhira tertawa. "Main ugut-ugut pulak dia. Adik, adik..." Dia mengangkut bakul pakaian masuk ke dalam rumah. Dibiarkan Naufal mengekorinya.
Ketika melalui ruang santai, mereka terserempak dengan Datin Ros dan Mak ida yang sedang membelek-belek album gambar lama.
Naufal terus mengadu. "mummy... kaklong tak nak ikut adik pergi pasar." Dia menayang wajah kasihan.
Mak Ida menyembunyikan tawa kala terpandang riak Nadhira yang memberi isyarat yang dia sekadar mengusik adiknya itu. Datin Ros turut perasan hal yang sama.
"Pujuklah kaklong, mummy. Dah lama adik tak pergi pasar," adu Naufal lagi.
Datin Ros ketawa tanpa ditahan-tahan. Begitu juga Mak Ida dan Nadhira.
"Minggu lepas kan adik pergi pasar?" Datin Ros mengeyitkan pada Nadhira yang meletakkan bakul pakaian ke lantai dan duduk di tepi Mak Ida.
"Minggu lepas pun kira lamalah jugak, mummy." Naufal tersengih-sengih. Dia menghampiri Datin Ros dan melihat apa yang dipengang wanita itu. "Mummy tengok apa tu?"
Datin Ros membelai rambut Naufal. "Mummy tenok gambar mummy dengan arwah daddy masa muda dulu."
Naufal terlopong melihat gambar ketika majlis kenduri kahwin Datin Ros. Warnanya sedikit kabur. "Cantiknya mummy! Kaklong, tengoklah gambar mummy ni. Mummy cantik sangat."
Datin Ros tertawa. Terhibur hatinya dengan tingkah Naufal.
Nadhira kelam-kabut menghampiri Datin Ros sehingga terlanggar kaki sofa. Nyaris-nyaris dia hendak terjatuh kerana sempat berpaut pada sofa itu. Aksinya itu mengundang gelak ketawa semua,
Nadhira sekadar tersengih-sengih sambil menyeringai sakit. Dia tidak sabar mahu melihat gambar yang ditunjuk oleh Datin Ros itu.
"Kaklong ni menggelabahlah!" Naufal mentertawakan kakaknya lagi.
"Tak naklah ikut adik pergi pasar macam ni." Nadhira pula menggugut Naufal.
"Okeylah, okeylah... Jangan kat pasar nanti kaklong menggelabah macam ni."
Nadhira tidak memperdulikan Naufal. Dia melihat gambar yang dipegang Datin Ros dengan riak teruja. "Betullah. Cantiknya mummy. Arwah daddy pun bukan main tampan lagi."
Bibir Datin Ros tersenyum, terbayang betapa bahagiannya dia pada hari persandingannya itu.
Menyedari keadaan akan jadi melankolik, Mak Ida mencelah. "Eh, kata nak pergi pasar. Tahir dah tunggu kat luar tu. Pergi cepat. Kesihan dia menunggu."
"Jom., kaklong." Naufal menarik tangan Nadhira agar berlalu dari situ.
Sambil ditarik Naufal, Nadhira sempat melaung pada Datin Ros. "Mummy nak apa? Nanti Nad belikan."
"Belikan mummy apam balik."
"Okey,, okey!"
Datin Ros ketawa setelah melihat Nadhira dan Naufal sudah tiada di situ. Seronok sangat melayan karenah kedua-dua beradik itu. Bahagia rasanya.

"NAD dan Naufal pergilah. Abang tunggu dalam kereta." Tahir memberhentikan kereta tidak jauh dari pasar malam. Jam sudah menunjukkan pukul 6.30 petang.
"Duduk dalam kereta?" Nadhira yang duduk di sebelah Tahir mencebik. "Apa barang duduk dalam kereta. Jomlah, Abang Tahir. Seronok tau jalan-jalan tengok orang menjual."
"Entah, Abang Tahir ni. Tak K-pop betullah." Naufal pulak galak mengasak.
Tahir ketawa. "Kalau abang K-pop, Wonders Girl tak lakulah lepas tu."
"Nad nak join grup abanglah," Nadhira berpura-pura teruja, tersengih melayan Tahir. "Apa nama grup Abang Tahir? Nok letup?"
Berdekah-dekah Tahir dan Naufal ketawa. Sampai Tahir terbatuk-batuk, lalu keluar dari kereta. Nadhira tersengih kerana lawaknya menjadi. Mereka bertiga keluar dari kereta.
"Apa punya namalah yang Nad bagi. Selekeh betul!" Tahir melangkah ke arah pasar setelah mengunci kereta.
"Nok tu nama manja golongan mak nyah. Letup tu maksudnya 'power'. So, Abang Tahir jadilah mak nyah yang power." sakat Nadhira tergelak-gelak, dapat membayangkan wajah Tahir yang bertukar jadi bapuk.
"Auww..." Naufal membuat gaya lembut kaum pondan yang 'patah' tangan.
Meledak lagi ketawa Tahir. Dia memaut bahu Naufal agar beriringan dengannya.
Mereka menyusuri lorong pasar yang menjual bermacam-macam barang, makanan dan minuman. Tidak banyak yang dibeli, sekadar mencuci mata melihat gelagat manusia. Apam balik kegemaran Datin Ros tidak dilupakan. Selain itu dibeli jagung bakar, yong tau fu, air kedondong dan rangka ayam goreng.
Sudah penat berjalan, mereka berpatah jalan semula. Tiba di gerai paling hujung, Naufal terliur pula melihat aiskrim yang dijual dalam cawan kertas dan kemudian ditaburkan kacang kisar di atasnya.
"Kak long, adik nak aiskrim tu."
Nadira tidak membantah. Dia mendekati lelaki separuh usia yang menjual aiskrim itu dan memesan tiga cawan untuk mereka bertiga. Sedang menunggu aiskrim yang diminta siap, Nadhira tertarik pada seekor kucing yang sedang merengkot tidur di atas salah sebuah motosikal yang berderet tidak jauh dari situ. Bukan main comel lagi. Dengan badannya yang agak gempal, berwarna oren berbelang hitam, memang buat dia rasa geram. Datang tuan punya motosikal itu, dihalau kucing tersebut agar menjauh. Liat betul kucing itu beralih. Fikirnya, kucing itu akan berlalu dari situ. Rupa-rupanya kucing itu beralih ke motorsikal lain.
"Adik, tengok kucing tu. Dia tidur atas motor orang." Nadhira tergelak sambil menuding ke arah yang dimaksudkan.
Saat mata Naufal terarah pada kucing tersebut, dia rasa teruja. "Kaklong, comelnya! kita bela nak?"
"Hisy, kucing orang tu. Mana boleh ambil."
"Kalau orang punya, kenapa dia ada kat sini?" Naufal berkeras.
"Habis, kalau orang punya macam mana?"
"Bukan orang punya kan, Abang Tahir?" Naufal mengharap Tahir menyebelahinya.
Tahir tersenyum. "Entah. Bukan orang punya kot."
"Hah... adik dah agak dah. Kita bawa balik kucing tu ya, Abang Tahir? Bolehlah... Please..."
Melihat Tahir mengangguk, terus Naufal mendapatkan kucing yang asyik betul tidur merengkok di atas sebuah motosikal.
Setelah membayar harga aiskrim, mereka beredar pulang.
Di dalam kereta, Naufal ralit dengan kucing itu, sudah tidak peduli pada aiskrim yang membuatkan dia terliur tadi. Elok pula kucing itu menyambung tidur di atas riba Naufal.
Nadhira menggeleng-geleng melihat gelagat Naufal di tempat duduk belakang.
"Kaklong, adik nak namakan kucing ni. Nama apa ek?"
"Nok letup!" Tahir menyahut sambil tersengih.
"Tu nama grup K-pop Abang Tahir," celah Nadhira dengan tawa. "Mana boleh."
"Disebabkan kucing tu suka tidur atas motor, kaklong nak namakan dia... Motor!"
Tahir dan Naufal memprotes. Suara mereka saling bertingkah kerana tidak puas hati.
"Eh, biarlah! Nad yang mula-mula nampak kucing tu. So, Nad yang boleh bagi dia nama." Nadhira lega apabila masing-masing terpaksa menerima cadangannya. Dia tersenyum kemenangan. Ditoleh ke belakang, memandang kucing yang dipangku Naufal.
"Kakong ni, suka bagi nama yang merepek-repek!" Naufal masih merungut-rungut.
Nadhira buat-buat tidak dengar. Wajah kucing itu dipandang sayang. "Motor..." serunya manja.
Tiba-tiba kucing itu membuka sedikit matanya dan mengiau sebelum menyambung tidur.
Nadhira dan Naufal saling berpandangan dengan riak terkejut. Kemudian mereka ketawa, tidak menyangka kucing itu betul-betul sukakan 'motor'.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience