SELEPAS menunaikan solat maghrib, Nadhira berkira-kira. Perlu ke aku hidangkan makan malam? Danish sudah pulang dari pejabat sebelum maghrib tadi. Sudah tentu Danish mahu makan di rumah. Mak Ida sudah tiga hari ke Terengganu. Tak nak pula Danish cari pembantu menggantikan Mak Ida buat sementara waktu. Dua hari sebelum ini, Danish pulang lewat malam. Jadi, dia berasa lega kerana tidak perlu melayan lelaki itu.
Mengenangkan pesanan Mak Ida yang mahu dia mengutamakan tanggungjawab, dia bergegas ke dapur. Pulang dari kelas tengah hari tadi, terus dia memasak. Tidaklah sesedap mana. Dan tidaklah teruk sangat. Ketika dia meletakkan semangkuk besar nasi di atas meja makan, Danish muncul dengan pakaian jersi futsal. Danish ke dapur dan mengambil segelas jus dari peti sejuk.
Nadhira teragak-agak hendak memanggil Danish. "Err... jom makan, Abang Nish. Hari ni panas, kan? Panas-panas macam ni perut mudah rasa lapar. Jomlah makan." Entah mana punya fakta yang dia guna. Main bantai sebut saja.
Danish meletakkan gelas yang sedang dipegang ke tepi peti sejuk. Dia menghampiri Nadhira perlahan-lahan. "Ada aku suruh kau hidangkan untuk aku?"
Nadhira terasa hati. Kecil hati pun ada juga. Ada ke patut suami cakap macam tu kat isteri. Kalau perempuan lain mesti dah menangis sampai dua tempayan. Tapi dia cepat-cepat menepis semua itu. Dia tidak suka menunjukkan pada orang lain betapa lemahnya dia.
"Eh, mana ada Nad hidangkan untuk abang. Nad nak makan sorang-sorang je. Dah alang-alang nampak abang, Nad pelawalah sekali. Alah... Nad ajak-ajak ayam je. Abang tak payahlah serius sangat." Selamba dia membuat muka tenang.
Danish terasa malu sendiri. Setiap kali dia hendak 'menyailang' Nadhira, ada sahaja yang gadis itu 'sailang' dia dulu. Itu yang membuatkan dia malas hendak bertekak dengan Nadhira. Ada sahaja jawapannya.
Nadhira menarik kerusi, lalu duduk dengan wajah yang diceriakan. Lagak seolah-olah sedang bahagia menghadap hidangan makan malam yang berlambak itu.
Danish menelan liur melihat Nadhira makan dengan penuh berselera. Padahal dia tidak tahu yang Nadhira pura-pura berselera. Diintai lauk-lauk yang dihidang di atas meja makan. Ada ayam masak sambal, sayur kobis masak lemak putih, ikan kering dan telur dada. Banyak juga. Dia terliur, namun ego meninggi sampai langit.
"Tengok lauk yang kau masak ni langsung tak menyelerakan. Sambal ayam tu macam... hmm... tak macam ayam. Sayur kobis tu pun nampak macam dua hari lepas punya. Hmm... confirm tak sedap."
Nadhira memandang Danish. Kunyahnya terhenti. "Ni bukan rancangan Masterchef, abang. Tak payah nak kritik bagai. Tak payah. Tak ada siapa pun yang tahu. Nak undi? Lagilah tak ada."
"Yalah, yalah... aku makan! Selagi tak makan, selagi tu kau membebel." Terus Danish duduk di hadapan Nadhira. Sengaja dia menyalahkan gadis itu. Padahal memang dia yang hendak makan.
Nadhira mencebik, tetapi di dalam hati dia ketawa. Dilihat Danish mengambil sesenduk nasi sahaja. Lauk yang diambil pun sedikit. Nadhira menjeling. Eleh... malu-malu konon. Padahal tengah lapar.
"Kau masak tak sedap macam Mak Ida."
"Tak tanya pun." Nadhira membuat muka 'duck face'. Selamba betul dia.
Terkejut Danish dibuatnya. Apahal tiba-tiba buat 'duck face' kat aku ni? Tapi comellah. Secara tidak sengaja dia terpuji Nadhira. Sekejap sahaja dia menghabiskan makanannya sebelum membasuh tangan.
"Takut gemuk ke?"
Danish mengerling Nadhira seketika sebelum menjeling. "Aku nak pergi main futsal. Buat apa makan banyak? Bukan sedap pun."
"Apa barang futsal, bang. Orang kaya patutnya main golf. Nad selalu tengok cerita kat TV macam tu. Orang kaya-kaya ni tak reti main benda lain. Entah-entah perkataan 'futsal' pun dia orang tak pernah dengar." Nadhira cuba mengejek secara halus.
"Orang gila pulak main kejar-kejar kat taman sambil tergelak macam polong," balas Danish sambil membeliakkan mata menekan perkataan 'polong'. Dia sengaja memerli Nadhira.
Nadhira rasa tersindir. Memang dia suka main kejar-kejar dengan Danish, tapi taklah sampai jadi polong. "Abang Nish pun polong jugak kan? Polong berkelubung putih dan pakai selipar Jepun jenama Tat sing." Haa... hambik! Nad takkan lupa rupa Abang Nish masa tu.
Danish bertambah sakit hati. Aku nak kenakan dia, dia kenakan aku balik. Tak guna! "Eh.... diamlah!"
Terkulat-kulat Nadhira diherdik. Dia diam tunduk menukur, tetapi hati menggaru-garu mahu kenakan Danish balik dengan loyar buruknya.
"Kenapa kau masuk bilik aku? Ada aku izinkan ke?" Danish tiba-tiba bersuara semula menukar topik.
"Mana ada Nad masuk bilik abang?" Nadhira takut dimarahi. Dia tahu Danish pantang kalau ada orang lain masuk dalam biliknya. Dia cuba berdolak-dalih sambil ketawa. "Pandai-pandai je abang bergurau."
Malas Danish hendak melayan Nadhira. Bukan dia tidak perasan ada perubahan dalam biliknya. Kemas semacam pulak tu. "Kau masuk bilik aku lagi, siap!"
Nadhira membasuh tangan setelah nasi di pinggannya habis. "Kalau Nad tak masuk, siapa nak kemas bilik abang tu? Siapa nak basuh baju abang? Baju besar, seluar besar, seluar kecik yang warna-warni... siapa yang nak basuh?" Sengaja dia sebut begitu. Konon-konon kelakarlah. "Nak upah orang gaji sementara, abang tu kedekut."
Serta-merta mata Danish terbeliak. "Nanti aku panggillah orang datang bersihkan rumah ni, basuh baju semua. Siap masak lagi. Dahlah! Malas layan kau. Aku dah lambat ni." Ditinggalkan meja makan dengan perasaan malu.
Nadhira tersenyum simpul.
Share this novel