"EII... baju apa yang Puan Zabedah pakai? Macam pakai kain lebihan alas meja je. Tak up to date langsung!" Komen Izzwan sambil berbisik, betul-betul dekat dengan teliti Nadhira.
Sudah sejam kelas berlangsung. Namun, dia tidak boleh fokus pada subjek yang diajar pensyarahnya itu. Matanya asyik memandang blaus labuh corak kotak-kotak yang siap berkepak di kiri dan kanan dengan pandangan mengkritik.
Nadhira hanya diam. Matanya tajam merenung ke arah Puan Zabedah, tetapi fikirannya melayang-layang. Kegurasan sedang beraja di hati.
"Berselera pulak dia pakai macam tu. Keturunan berkepak agaknya. Sebab tu nampak bahagia pakai baju tu. Warna kuning pulak tu! Kau ada?" Tawa Izzwan terhambur perlahan. Ditutup mulutnya, bimbang pensyarah itu perasan.
Menyedari dia ketawa seorang tanpa dipedulikan Nadhira, senyumannya putus. Dilihat mata gadis itu tidak berkelip-kelip. Riak muka pula tawar sahaja. Dia lupa Nadhira tidak datang ke kelas semalam. Lupa pula dia hendak bertanya kenapa. Eriya di sebelah Nadhira pula sememangnya tekun mendengar. Nampak seolah-olah tidak mahu diganggu. Sudahnya, dia memaksa diri memandang Puan Zabedah tanpa menghiraukan pakaian pensyarahnya itu.
Sehingga kelas tamat, Nadhira masih dengan aksi tadi. Pegun tegak menongkat dagu sambil memandang ke papan putih tanpa berkelip mata.
Izzwan menyenggol bahu Nadhira, sehingga tangan yang menongkat dagu 'patah' tersentak.
Nadhira memandang sekeliling kelas dengan riak terpinga-pinga. Semua pelajar sedang bersiap-siap mahu keluar dari kelas. Ada yang sudah menyandang beg hendak berlalu dari situ. "Kenapa bising sangat ni? Nak belajar ke tak nak?"
"Amboi, amboi... sedapnya mengata orang nak belajar ke tak. Kelas dah habis. Dah nak balik pun. Nampak sangat dalam kelas berangan," sindir Izzwan.
Nadhira melihat jam tangannya. Sudah hampir pukul 11.00 pagi. Cepat-cepat dia mengemas buku dan peralatan menulis. Pasti Tahir sudah menunggunya. Dia mahu segera ke hospital. Terburu-buru dia keluar dari kelas.
"Eh, mak cik tu menonong tinggalkan kita!" Izzwan memandang Nadhira yang sudah keluar dari kelas.
"Dia nak pergi hospital. Mak angkat dia sakit. Sebab tu dia tak datang kelas semalam. Petang ni pun dia tak datang kelas. Dia dah beritahu lecturer," jawab Eriya sambil memasukkan buku-buku ke dalam beg.
"Sampai hati dia tak beritahu aku." Izzwan memuncung.
Eriya tergelak di dalam hati. Lelaki 'patah' kalau merajuk buruk sangat. "Janganlah merajuk, sayang. Jom temankan aku pergi kafe. Kita makan nak?"
Izzwan tersenyum semula. "Gila tak nak? Kalau kau yang ajak, memang aku takkan tolak."
"Tapi kau kena 'keraskan' diri. Kalau tak, aku tak jadi nak ajak kau pergi kafe."
"Okey, okeylah... banyak songeh kau ni."
Eriya ketawa.
Share this novel