TUDUNG berwarna biru uniform pengawas disarungkan ke kepala setelah menyapu bedak muka dan mencalit pelembab di bibir agar tidak kering. Sambil bercermin, Nadhira melipat kiri dan kanan tudungnya itu serta merapikan bahagian atasnya.
"Kak long... mari makan!" Laung Hafizan dari dapur.
"Kejap, ibu," kata Nadhira. Cepat-cepat dia memakai tag nama di dada kiri tudungnya. Kemudian dia tersenyum memandang biasan diri di cermin meja solek itu. "Okey, cun!" Pantas dia menyandang beg sekolah di bahu dan terus keluar dari biliknya itu.
"Kak long, sarapan dulu. Ibu dah hidang ni." Hafizan masih memanggil.
"Okey, okey... Kak long dah siap ni, ibu." Secepat kilat Nadhira menuju ke meja makan. Dilihat Hafizan sudah menanti bersama Hisyam dan Naufal. Naufal kelihatan lemah lembik sambil menongkat dagu di meja.
"YA ALLAH... apa yang lama sangat bersiap tu? Kak long kan nak exam hari ni? Dah... duduk makan. Nanti lambat pulak pergi sekolah." Hafizan lantas menyedokkan nasi goreng ke dalam pinggan untuk anak gadinya itu.
Nadhira tersenyum. "Awal lagilah, bu. Kak long dah set jam. Kak long dah janji dengan Bal nak pergi sama-sama. Ibu janganlah risau." Dia memandang sepinggan nasi goreng yang diletakkan Hafizan di hadapannya. "Wah... sedapnya! Nasi goreng ikan masin. Ibu ni suka tau masak makanan yang kak long suka. Nak suruh Kaklong gemuk, ya?"
"Eh, ni nasi goreng yang abah sukalah. Ibu buatkan untuk abah," celah Hisyam, mahu mengusik.
"Abah tu, semua yang ibu masak abah suka." Nadhira pula mengusik abahnya.
"Mana angah dengan alang, bu? Tak sarapan sekali ke?" Sesudu nasi goreng mula disuap ke mulut. Nadhira sempat menjeling Naufal yang kini melentokkan kepala di atas meja.
Tiba-tiba Azira muncul di ruang dapur itu.
"hah... panjang pun umur angah. Alang mana, ngah?" Hafizan meninjau-ninjau Syamel yang masih tidak kelihatan di situ.
Azira mengambil tempat duduk di sisi Nadhira. "Entah. Tidur lagi agaknya tu. Dia kan suka tidur lepas subuh." Dia merungut.
"Hai, anak bujang abah tu. Mentang-mentang cuti sekolah, asyik tidur aje." Hisyam yang baru menghabiskan sarapannya, membasuh tangan. "Nanti kejutkan dia, angah. Kita nak pergi pekan leps ni."
"Balik dari sekolah, Kak long ambil adik kat rumah Mak Ida, ya?" Hafizan berpesan. "Dia demam. kalau tak, boleh ikut sekali pergi shopping."
"Demam?" Nadhira ketawa. "Patutlah macam orang tak ada tulang je kak long tengok."
Azira turut tergelak.
Naufal merengek-rengek bagaikan hendak menangis kerana dipersendakan. Dipeluk Hafizan erat-erat. Anak bongsulah katakan.
"Sabar, dik. Sabar... Nanti ibu bagi susu. Susu cap gantung," usik Azira.
Nadhira tergeleng-geleng. Naufal sudah darjah 5, tetapi manja bukan main lagi.
Share this novel