ENAM hari sudah berlalu. Demam Naufal beransur kebah. Namun, dia lebih suka mendiamkan diri dan banyak termenung. Nadhira menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya, adiknya itu tidak lagi hanya terbaring di atas katil. Dia tahu Naufal sorok-sorok mengangis di belakangnya.
Kerana kesihatan Naufal, niat untuk mencari kerja ditangguhkan. Susah hatinya mahu meninggalkan Naufal di rumah Mak Ida. Buat masa sekarang, wang derma yang diberi pihak sekolah, orang kampung dan tempat kerja arwah Hisyam digunakan untuk menyara hidup. Tapi sampai bila hendak bergantumg pada wang ihsan itu semata-mata?
"Adik..." Panggilnya dari dapur. Makanan tengah hari sudah siap dihidang di atas meja.
"Adik!" laungnya lebih kuat.
Namun, Naufal masih tidak menyahut.
"Jom makan, dik."
Masih senyap.
Nadhira meninggalkan ruang dapur, lalu melangkah ke ruang tamu. Bayang Naufal dicari. Tiada di situ. Barangkali di dalam bilik. Dia menolak pintu bilik Naufal dan menjengah ke dalam. Kosong. Dahinya berkerut. Pintu ditutup semula.
Dia terpandang pintu bilik arwah ibu dan abahnya. Naufal berada di dalam bilik itukah? Dia dilanda ombak risau. Pintu bilik itu yang terletak di sebelah biliknya dibuka.
Kelihatan Naufal baring membelakanginya di atas katil. Dihampiri adiknya itu. Alangkah terkejutnya dia melihat Naufal memeluk baju arwah Hafizan dan Hisyam sambil menangis. YA ALLAH... sebaknya dada melihat Naufal teresak-esak. Luruh air matanya ke pipi tanpa dapat ditahan lagi. Dia duduk di birai katil. Bahu adiknya itu disentuh perlahan.
Naufal berpaling. Lantas dia bangun dan memeluk Nadhira. Esak tangisannya semakin kuat. "Adik rindu ibu, rindu abah..." terhinggut-hinggut bahunya teresak.
Nadhira membalas pelukan adiknya. Bagai hendak pecah dadanya dibadai sebak dan pilu. Apatah lagi kala melihat baju kurung arwah Hafizan dan baju Melayu arwah Hisyam sudah basah dek air mata Naufal.
"Adik rasa macam nak ikut ibu dan abah. Adik rindu sangat. kak long... kenapa ibu dan abah pergi dulu?"
Laju air mata Nadhira merembes. Dia tdak mampu menjawab soalan Naufal. Dipeluk Naufal erat-erat. "Adik.." serunya perlahan. Tangannya mengusap-usap belakang Naufal penuh kasih sayang. "Tak salah adik menangis, sayang. Memang kita sedih bila orang yang kita sayang dah tak ada dalam dunia ni. Tapi jangan sesekali meratap, meraung, mengeluh. Berdosa. Nanti roh arwah ibu, abah, kak ngah dan alang terseksa."
Naufal diam, tetapi masih terhinggut-hinggut bahunya.
"Kita tak boleh menangis je, dik. Walaupun menangis sampai keluar air mata darah sekalipun, mereka takkan hidup semula. Jadi, kita doakan mereka ya? Doakan dosa-dosa mereka diampunkan dan mereka dimasukkan ke dalam syurga. Okey?" lembut Nadhira bersuara.
Naufal akur kebenaran kata-kata Nadhira. Cuma buat masa sekarang, dia masih belum mampu mengawal emosi yang bergelora di hati. Dia baru darjah 5. Masih perlukan seorang ibu dan abah.
"Kak long janji... kak long takkan tinggalkan adik. Kak long akan jaga adik sampai adik besar dan masuk U. Kalau adik dah berumah tangga pun, kak long takkan tinggalkan adik." Nadhira tidak sanggup kehilangan adiknya itu pula. Andai itu yang berlak, pasti dia akan 'rebah'.
Dia merenggangkan pelukan Naufal. Air mata di pipi adiknya itu diseka penuh kasih.
Naufal hanya diam. Dia merenung wajah kakaknya dengan sayu.
"Kak long nak adik janji. Adik jangan menangis macam ni lagi. Kak long nak adik kak long ni bersemangat macam dulu. Walau apa pun yang kita kena hadapi lepas ni, kita kena kuat. orang lelaki tak boleh nampak lemah. Tak boleh menangis."
Lambat-lambat Naufal mengangguk.
Nadhira melebarkan senyuman. Wajah Naufal ditatap penuh kasih. Wajah itulah yang membuatkan dia mahu 'bangkit'. "Kak long dah siap masak. Jom kita makan."
"Adik kenyanglah, kak long." lemah suara Naufal.
Nadhira menggeleng. "Adik kak long yang kuat takkan macam ni. Lemah. Tak semangat. Jom kita makan. Adik sayang kak long tak?"
"Sayang..."
"Kalau sayang, adik kena makan. Kalau tak makan, nanti adik sakit. Tu maknanya adik tak sayang Kak long."
Akhirnya Naufal mengangguk, membuatkan Nadhira tersenyum. "Jom kita makan,"
Ketika mereka baru sahaja keluar dari bilik itu, telefon berdering.
"Adik tunggu kak long kat meja makan. Kak long nak jawab telefon dulu." Nadhira teruja hendak menjawab panggilan itu. Mesti Faiz yang menghubunginya.
"Helo..."
"Helo. Saya mahu cakap sama Beng. Dia ada ka?"
Nadhira mengerutkan dahinya. Suara loghat Cina itu membuatkan dia melepaskan nafas panjang. "Minta maaf, ini bukan rumah Beng. Salah nombor."
"Ya ka? Sorry, sorry..." Talian diputuskan.
Nadhira meletakkan gagang dengan perasaan yang berbaur. Sangkanya tadi, Faiz yang menghubunginya. Sudah beberapa kali dia menghubungi telefon bimbit lelaki itu. Namun, langsung tidak berjawab. Tiba-tiba dia terfikir hendak menghubungi telefon rumah Faiz. Lantas dia mendail tanpa membuang masa. Tidak lama, panggilan berjawab. Salam segera diberi.
"Waalaikumusalam..."
"Helo, Iz. Ni, Nad. Iz apa khabar?" Nadhira tidak berlengah. Dia cam sangat suara Faiz.
"Oh... Nad. Err... Iz si... sihat."
"Dah banyak kali Nad call handphone Iz. Tapi Iz tak pernah jawab."
"Oh... err... handphone Iz... handphone Iz rosak." Masih seperti tadi, Faiz tergagap-gagap.
"Handphone Iz rosak? Tapi berdering macam biasa je." Nadhira berasa pelik. Kalau rosak, kenapa sudah berhari-hari tidak dibetulkan? Malah, ada deringan yang kedengaran.
"Haah.. rosak. Err.. memang handphone tu berbunyi. Tapi.. err.. Iz tak boleh nak jawab call."
Nadhira dapat rasa Faiz sedang mencipta alasan. "Oh... rosak. Kenapa Iz tak call Nad balik?"
"Iz... err,," Faiz berdeham seketika.
Ketika ini hati Nadhira bagaikan hendak luruh. Faiz yang sedang berbual dengannya bukan Faiz yang dulu. Sudah tidak mesra. Namun, dia cuba menafikan apa yang mencalarkan hatinya itu. Tidak mungkin Faiz begitu. Faiz pengarang jantungnya. Buah hatinya.
"Sorry, Nad. Iz tak sempat nak call Nad balik."
"Tak apalah. Nad risau sebab dah lama tak dengar khabar berita Iz. Tapi bila dah dapat dengar suara Iz, lega hati Nad. Iz dah..."
"Nad, Iz tak boleh nak cakap lama-lama ni. Iz nak keluar. Iz dah janji dengan papa. Ada hal nak buat. Okey, bye...."
Terpinga-pinga Nadhira apabila talian sudah diputuskan. Tidak sempat dia hendak berkata apa-apa kepada Faiz. Jauh di sudut hati, terdetik rasa terkilan. Berbeza benar Faiz sekarang dengan Faiz yang dulu. Faiz sudah berubah. Dia dapat merasakannya. Hati yang terhiris mula menangis. Sampai hati Faiz....
SESUDAH menghempas gagang, Faiz kembali duduk di sofa menghadap televisyen. Dia melepaskan nafas keras. Bosan! Mood hendak bersenang-lenang menonton sudah lemau dek panggilan telefon daripada Nadhira tadi.
Kacau betul! Malas nak layan orang miskin ni. Nanti ada saja yang aku kena tolong dia. Banyak kerenah. Tak pasal-pasal aku pun miskin sama. Lantaklah apa nak jadi pun. Aku tak nak menyusahkan diri. Nak buat apa? Buat pening kepala saja.
Faiz mencapai telefon bimbitnya. Nombor telefon Iqmal didail. "Kat mana?" soalnya kala talian berjawab.
"Kat rumahlah. kat mana lagi..."
"Kejap lagi aku datang rumah kau."
"Okey jugak. Boleh main PS2 dengan aku. Main sorang-sorang tak syoklah. Tak fight." Iqmal teruja mencadangkan.
"Cantiklah tu. Aku pun bosan duduk rumah. Nanti ada je yang menelefon. Malas aku nak layan," rengus Faiz.
Iqmal terasa semacam kata-kata Faiz itu. Seperti ada yang perlu dijelaskan. "Apasal beb?"
"Ah.. malaslah aku nak cakap. Aku tak suka orang menyusahkan aku. Kalau dah bnayak kali call aku ak angkat, takkan tak faham-faham?" Faiz mengeluh.
Iqmal dapat tangkap apa yang Faiz maksudkan. Tentu pasal Nadhira. Hatinya terkilan. "Tak baik kau cakap macam tu, Iz. Hari ini hari dia, mana tahu esok-esok hari kau pulak. Kita ni hidup bukan sentiasa di atas."
"Dah, dah...tak payahlah kau nak ceramah dengan aku. Aku ni bukan jenis yang suka menyusahkan orang. So, jangan nak menyusahkan hidup aku. Kau tunggu. Kejap lagi aku datang rumah kau." tanpa menunggu balasan Iqmal, Faiz terus mematikan talian.
Share this novel