KETIKA lembayung subuh tersingkap sedikit demi sedikit, Nadhira dan Naufal sudah keluar dari rumah. Mereka berdua sama-sama menunggang basikal menuju ke simpang kampung untuk ke jalan besar.
"Adik, kayuh cepat sikit. Nanti terlepas bas pulak," tegur Nadhira apabila Naufal tertinggal agak jauh.
Jika Naufal tertinggal bas, terpaksa dia menemani adiknya itu menunggu teksi. Untuk menunggu bas seterusnya, maka lambatlah Naufal sampai ke sekolah.
Naufal mengayuh basikalnya malas-malas, membuatkan Nadhira memperlahankan kayuhannya. "Adik..."
Demi tidak mahu mendengar Nadhira berleter, Naufal mengayuh basikal laju-laju sehingga memintas kakaknya itu. Mukanya selamba sahaja. Terpaksa Nadhira mengejar Naufal agar mereka beriringan.
Sampai di bangsal di simpang jalan besar, mereka memarkir basikal masing-masing.
"Adik, harini kaklong bagi adik empat ringgit." Nadhira menghulurkan wang saku untuk Naufal. "Bekal yang kaklong masukkan dalam beg adik tu pun banyak. Jangan tak makan tau. Kalau adik lapar balik sekolah, adik makanlah roti dulu. ada kat dapur."
"Tak payah bagi duit banyak-banyak. Bagi macam biasa je. Tiga ringgit dah cukup." Naufal hanya mengambil tiga keping sahaja. Lantas diseluk masuk ke dalam poket seluar.
"Jangan macam tu, Ambil jelah, dik."
Naufal menggeleng.
"Ambillah, dik..."
"Tak payah!" tegas nada suara Naufal.
"Nanti adik..."
Naufal terus berjalan tanpa mempedulikan Nadhira.
Terpinga-pinga Nadhira seketika sebelum mengejar adiknya itu. "Naufal!" Dia cuba menahan Naufal daripada berlalu begitu saja.
Naufal membatukan diri.
Nadhira menghulurkan tangan untuk bersalaman. Sesudah Naufal mencium tangannya, dia menunduk sedikit untuk mencium pipi adiknya itu. Cepat-cepat Naufal mengelak. Nadhira rasa terkesan.
"Adik dah besarlah, kaklong. Malu kawan-kawan adik nampak."
Naufal memandang sekeliling. Ramai rakan sekolah Naufal ada di situ. "Biarlah. Adik kan adik kaklong."
"Adik kata tak nak, tak naklah!"
Hati Nadhira semakin terhiris. Sejak ahkir-akhir ini, Naufal seakan menjauhkan diri daripadanya. Kalau dulu, Naufal tidak kesah dicium dipeluk. Salahkah dia menunjukkan kasih sebagai kakak?
Naufal terus melintas jalan bersama kawan-kawannya. Nadhira sekadar melihat dari jauh. Perjalanan mereka bertentangan. Sekolah Naufal di Teluk Intan. Manakala dia pula bekerja di Sitiawan.
Tidak lama kemudian, bas untuk ke Teluk Intan tiba. Dia memandang Naufal dari jauh. Sehingga bas berlalu, Naufal langsung tidak menoleh. Apatah lagi melambainya. Dadanya terasa sebak.
PETANG itu pelanggan agak kurang di restoran. Walaupun sudah tidak ada kerja yang perlu dibuat, Nadhira tetap mencari sesuatu untuk dilakukan. Dia tidak mahu Halim mengata dia curi tulang. Jadi, meja yang sudah bersih pun dilap lagi.
"Nad..."
Panggilan itu membuatkan Nadhira tersentak. Lantas dia menoleh. Sahak sedang melambainya. Dia mendekati.
"Tak ada orang ni, kau duduk berehatlah sekejap. Ni tak. Asyik nak buat kerja je," omel Sahak setelah Nadhira menjengah ke ruang membuat air.
"Rasa tak best bila duduk tak buat kerja," balas Nadhira sambil tertoleh-toleh ke arah kaunter bayaran. Halim sedang duduk membaca akhbar.
"Pelanggan tak ramai. Tak ada apa nak buat dah. Apa salahnya duduk sekejap?"
Nadhira mengibas tuala kecil yang dipengangnya. Dia tidak mahu memberi komen pada kata-kata Sahak. Biarlah dia buat kerja selagi terdaya. Asalkan gajinya tidak dipotong.
Fikirnya, pasti Halim seorang yang kedekut. Atau mungkin juga tamak. Waktu siang, hanya dia seorang sahaja pelayan di situ. Pada waktu malam barulah ada dua orang pelayan. Tukang bancuh air pula cuma Sahak dari pagi hingga ke malam. Cuma pada waktu malam ada seorang pekerja yang membantu lelaki itu.
Tukang masak pula tiga orang. Pada waktu siang atau malam tetap tiga orang. Hanya bergilir saja. Tukang cuci pinggan pula diupah pekerja sambilan. Biasanya, Halim mengambil pekerja Indonesia.
"Hah, Nad!"
Tersentak Nadhira apabila bahunya ditepuk Sahak. "Abang ni... terkejut Nad," rungutnya. Dijeling lelaki yang sudah mempunyai dua orang anak itu.
"Kau ni kuat berangan. Selalu abang nampak kau termenung. Kau ingat pakwe ke?" usik Sahak lagi.
"Merepek! Tak ada masa Nad nak termenung." Nadhira berpura-pura marah.
"Tak payahlah kau nak termenung ingatkan pakwe kau tu. Esok result SPM keluar. Kalau tak lulus, kahwin je. Senang cerita!"
Kata-kata Sahak itu langsung tidak membangkitkan rasa marah. Sebaliknya, Nadhira tergamam. Terbeliak matanya memandang Sahak dengan riak terkejut.
"Apa, abang sahak? result SPM keluar esok?" Melihat Sahak yang teragak-agak mengangguk, membuatkan Nadhira hampir hendak menjerit.
"YA ALLAH... Nad lupa, abang Sahak. Nasib baik abang ingatkan Nad. Err... Nad nak minta cutilah esok." Riaknya sedikit berubah. Daripada ceria bertukar menjadi layu.
"Abang Halim bagi Nad cuti ke, Bang Sahak?"
"Apa pulak tak boleh? Ambil result exam lebih penting. Tu masa depan kau. Bukan kerja kat sini sampai tua bangka." Sahak menasihati bagaikan abang lagaknya. Dia pula yang terlebih emosi.
Bagi Nadhira, apa jua keputusan SPMnya, sudah tidak bermakna lagi. Dia tetap tidak dapat melanjutkan pelajaran di mana-mana universiti. Tetapi hatinya teruja hendak tahu keputusannya setelah berhempas pulas belajar, diiringi pula doa arwah ibu dan abahnya. Hatinya benar-benar bergelojak.
"Eh, pergilah jumpa Halim tu. Nanti kau lupa pulak nak cakap kat dia." gesa Sahak, membuatkan Nadhira tersentak.
"Tak apa ke, bang?" Nadhira masih ragu-ragu.
"Pergi ajelah."
Lambat-lambat Nadhira mengatur langkah mendekati kaunter bayaran. Di hadapan Halim, dia kaku berdiri umpama patung. Hatinya berkira-kira menuturkan ayat yang sesuai.
Halim melepaskan pengangan akhbar di tangannya. "Apa kau nak?"
"Err... err..." Kelu dan gabra.
"Apa?" Halim menjongketkan keningnya.
"Err.. saya nak... err.. cuti esok." Nadhira tertoleh-toleh ke arah Sahak, bagaikan dapat kuasa daripada lelaki itu.
"Esok nak cuti baru nak cakap hari ini? Kenapa tak tunggu bulan depan?"
"Saya lupa." Nadhira tergagap-gagap. "Saya nak ambil result SPM."
"Lupa, lupa. Alasan!" Halim mencapai semula surat khabar tadi. "Tak payahlah pergi. Bukan bagus pun result kau. Masa sekolah dulu, mesti kau belajar main-main."
Nadhira bagaikan tiada mulut hendak membela diri. Halim majikannya. Dia mesti hormat keputusan lelaki itu. Tak apalah. Dia boleh mengambil keputusan SPMnya kemudian hari.
Apabila terpandang beberapa orang pelanggan melangkah masuk ke dalam restoran, dia terus menyambutnya. Sambil beredar, dia perasan muka tidak puas hati Sahak. Hendak buat macam mana. Halim bos. Dia cuma kuli saja di restoran itu.
Sesudah mengambil pesanan, Nadhira kembali ke tempat Sahak untuk menyerahkan pesanan pelanggan.
"Kau diam je bila Halim tak bagi kau cuti?" Sahak mendengus.
"Esok-esok, saya boleh pergi ambil result saya tu. Tak apa." Nadhira cuba memujuk hati sendiri sebenarnya.
"Suka hati kaulah, Nad." Sahak seolah-olah malas hendak bercakap lagi.
Nadhira menoleh ke arah Halim sebelum bersuara perlahan. "Kalau Abang Halim tak bagi saya cuti, saya nak cakap apa lagi? Maknanya, memang tak ada rezeki sayalah nak ambil result esok."
Sahak tidak membalas. Tekun dia membancuh minuman yang dipesan pelanggan tanpa mempedulikan Nadhira.
Nadhira tidak jadi hendak bersuara lagi apabila melihat ada pelanggan yang masuk. Baru beberapa langkah mendekati, dia pegun sejenak. Dadanya berdebar-debar. Hampir terlepas pen dan buku yang sedang dipegang. Direnung seorang demi seorang pelanggan yang sedang duduk di sebuah meja. tetapi fokusnya lebih tertumpu pada seseorang.
Gelak tawa mereka menyedarkannya tiba-tiba. Perlahan-lahan dia mengatur langkah semula. Namun, pandangannya dari tadi tidak beralih daripada menatap seraut wajah itu.
Kala dia sudah berdiri di sisi meja pelanggan itu, keempat-empat orang pelanggan lelaki itu terdiam, bagaikan terpandang raksasa.
"Nad?" mata Ridwan terbeliak. "Kau kerja kat sini, Nad? Aku tak tahu pun."
Nadhira terbata-bata apabila semua mata terpaku ke arahnya. Dia perasan bagaimana riak terkejut Faiz yang baru membuka cermin mata hitamnya. Semakin tampan lelaki itu. Dan nampak lebih matang.
"Kau sihat, Nad?" Wafi pula bertanya. Sejak habis sekolah, masing-masing membawa haluan sendiri.
"Err... nak makan apa?" Nadhira berlagak seperti tidak kenal rakan-rakannya itu.
"Dah lama ke kau kerja kat sini, Nad?" Ridwan masih ingin tahu pasal Nadhira.
"Maaf... saya tengah kerja sekarang ni." Nadhira sedaya upaya mengawal debaran di dada. memang tiada siapa yang tahu dia bekerja di situ. Dia tidak pernah sebut nama restoran tempat dia bekerja kepada sesiapa pun.
"Dia tengah kerjalah, Wan. Nanti-nantilah kalau nak berborak pun." Farid membela Nadhira.
"Kerja sebagai pelayan je pun," cebik Faiz.
Kata-kata Faiz kedengaran begitu sinis pada pendengaran Nadhira. Sakit telinganya. Sakit hatinya. Dia menyabarkan diri. Ridwan, Wafi dan Farid tiada ketika insiden dia menengking Faiz di hadapan rumah Samsul. Pasti mereka tidak tahu apa yang terjadi di antara dia dan Faiz. Barangkali tiada sesiapa yang memberitahu.
"Nak makan apa?" ulangnya dengan nada tegas.
Setelah semua pesanan diambil, Nadhira berlalu ke dapur. Di situ dia cuba menenangkan diri. Dia perasan pandangan Faiz yang penuh jelik menatapnya. Dengar khabar, lelaki itu sudah berhijrah ke Kuala Lumpur dan bekerja di sana. Keputusan SPM yang akan keluar esok menyebabkan kawan-kawannya termasuk Faiz pulang ke kampung semula.
Sudah lama dia tidak menelefon Balqis. Telefon rumahnya sudah dipotong bagi mengurangkan bajet pembayaran bil. Mungkin nanti Balqis akan datang ke rumahnya. Atau mungkin sahabatnya itu menunggunya di sekolah. Tapi masalahnya, dia tidak dibenarkan mengambil cuti esok. Tidak dapatlah dia hendak bertemu rakan-rakannya. Dia melepaskan keluhan panjang.
"Nad, air dah siap!"
Nadhira tersentak mendengar Sahak memanggil namanya. Dia menoleh.
"Haha.... berangan. Nampak pakwe hensem datang terus mengelamun," usik Sahak sambil tersengih-sengih.
"Hensem?" Nadhira mencebik. "Hensem lagi abang Sahak." Dia membalas usikan Sahak.
"Abang hensem tapi dah berpunya." Sahak ketawa. "Yang kat depan tu hensem, bujang lagi." Dia tidak puas-puas hendak menyakat Nadhira tanpa mengetahui hujung pangkal cerita.
Nadhira menggeleng. Hensem pun nak buat apa kalau perangai sama macam tapir? tahu menghina orang saja. Hatinya menggerutu. Dia mengangkat dulang mambawa empat gelas air ke meja Faiz dan kawan-kawannya. Dia masih berwatak serius. Satu demi satu gelas diletakkan di atas meja.
"Nad, esok lepas ambil result kita keluar makan sama-sama nak? Ajaklah yang lain-lain. Dah lama tak jumpa, rindu pulak nak bergurau macam dulu," cadang wafi sambil berharap Nadhira dapat turut serta.
"Betul tu. Aku sokong. Best jugak berkumpul ramai-ramai." Ridwan benar-benar teruja. "Tak sabar nak tahu siapa best student sekolah kita. Aku rasa macam aku je best student tu."
"Pirah!" wafi memperlekehkan Ridwan. "Best student konon. Fizik tak pernah lulus."
"Eh, cantik sikit tak pernah lulus. Aku dapat C tau." Ridwan mendabik dada, mengundang cebikan Farid, Wafi dan Faiz.
Nadhira malas hendak melayan mereka. Dia terus berlalu dari situ.
"Eh, Nad. Nantilah dulu!" Halang Wafi.
Nadhira tidak mempedulikan. Nak makan-makan lepas ambil keputusan SPM? Jangan harap! Cuti pun tak dapat, ada hati nak jumpa kawan-kawan. lagi pula hendak menatap muka Faiz. Memang dia tidak rela.
Dia melayan pelanggan lain yang ada di dalam restoran itu. Melalui ekor mata, dia perasan Faiz memandangnya. Pasti Faiz pandang aku sambil mengutuk di dalam hati.
Terdengar loceng di bahagian dapur berdenting. Pesanan untuk meja kawan-kawannya sudah siap. Dengan menyelambakan muka, dia menghampiri meja itu sekali lagi sambil membawa dua buah pinggan nasi goreng USA, sepinggan Char kuetiau dan sepinggan nasi goreng paprik di atas dulang.
"Nad, esok jadi tau." Sekali lagi Wafi mengingatkan Nadhira.
Nadhira hanya diam.
"Wah, nampak sedap." Faiz melihat nasi goreng USAnya. "Apa kata kita makan ramai-ramai kat sini esok? Boleh Nad layan kita semua macam ni. Dia memang sesuai jadi pelayan." Ada nada sinis di situ.
Hati Nadhira terasa panas. Dia tahu Faiz memerlinya. "Apa pulak nak suruh Nad layan? Lagipun kat sini jauh. Kita makan kat Teluk Intanlah." Wafi masih lurus, tidak menyangka niat Faiz.
Faiz tersenyum. "Tak kisahlah makan kat mana pun. Tapi si Nad ni kenalah layan kita. Cara dia ambil order, hantar air, letak pinggan atas meja, lap meja... memang pelayan terbaiklah. Sesuai. Sesuai betul kau jadi pelayan, Nad."
Tangan Nadhira sudah terasa menggeletar mendengar kata-kata Faiz. Kurang ajar! Di dalam hati dia cuba menyabarkan diri. Pedulilah apa pun Faiz nak kata. Bukan mati pun kalau dikeji.
Ridwan ketawa. "Kau ni, Iz... betul-betul nak Nad melayan kau nampaknya."
Wafi dan Farid turut ketawa.
Nadhira tahu, mereka sudah tersilap menafsir maksud Faiz. Dipandang wajah Faiz yang terserlah riak angkuh. Geram di hati cuba dilenyapkan.
"Dah memang dia sesuai jadi pelayan. Apa guna ada kawan kalau dia tak boleh layan kita? Kerja pelayan mestilah melayan. Betul tak?" Faiz masih tidak puas-puas mencakar hati Nadhira.
Tangan Nadhira yang masih menggeletar spontan mencapai air jus tembikai Faiz lalu dituang ke kepala lelaki itu. Dia sudah tidak sabar dengan keceloporan mulut Faiz. Tidak cukup dengan itu, nasi goreng USA di hadapan Faiz ditekapkan ke muka lelaki itu. Ditonyoh-tonyoh dengan geram. Rasakan kau! Sedap sangat bercakap, kan? Kena tonyoh dengan nasi goreng pun sedap juga. Rasakan! Hatinya berasa puas dapat buat begitu.
Ridwan, Wafi dan Farid terlopong. Bukan mereka bertiga sahaja, semua yang ada di dalam restoran itu turut tergamam melihat kepala Faiz sudah lencun dan dipenuhi nasi.
"Kurang ajar!" Faiz bingkas berdiri sambil mengelap mukanya, mengenepikan nasi yang menutup mata.
"Siapa yang kurang ajar? Aku ke kau?" Nadhira membalas berani. Dagunya ditinggikan menghadap Faiz.
"Kau jangan sampai aku tumbuk muka kau!" Faiz kian berang.
Nadhira mengangkat penumbuknya tinggi-tinggi di hadapan muka Faiz. "Sebelum kau tumbuk muka aku, aku terajang kau cukup-cukup! Jangan ingat aku orang susah, suka hati kau nak mengeji aku. Aku nak jadi pelayan ke, apa ke... ada aku minta duit kau? Ada?"
"Eh, relaks. Jangan gaduh-gaduh." Wafi baru berani bersuara daripada gamamnya. Dia sangat terkejut dengan sikap Nadhira. Selama ni, Nadhira lemah lembut dan ceria. Tidak sangka gadis itu ganas semacam. Ditarik Faiz agar menjarakkan diri daripada Nadhira.
Faiz meronta minta dilepaskan. Dia mendengus kuat. "Mulut perempuan ni macam puaka!" Ditunding ke arah Nadhira bagai hendak menumbuk.
"Sudah, Sudahlah... apa hal jadi macam ni?" Ridwan pelik. Bukankah dulu Faiz sayang gila pada Nadhira? Nadhira pula cinta sejati Faiz? Dia keliru.
"Sebelum kau kutuk mulut aku, kutuk dulu perangai munafik kau tu, Faiz! Kau anggap aku apa selama ni? Kau hina aku sesuka hati. Kau hidup kat dunia ni cuma nak menghina orang saja ke? Bagus sangat ke kau tu?"
"Nad!" Sergah Halim.
Nadhira terkaku, tiada kekuatan untuk menoleh. Ketika ini barulah dia tersedar bahawa dia masih di tempat kerjanya. Liur terasa pahit untuk ditelan.
"Kau ni tak sudah-sudah cari pasal dalam restoran aku! Minggu lepas dengan orang lain. Hari ni gaduh dengan orang lain pulak. Ada je benda jahat yang kau buat. Kau ni makin nak melingkupkan bisnes aku nampaknya!" Marah Halim.
Nadhira mahu membela diri. "Tapi bukan saya...."
"Aku tak nak dengar! Aku nak, kau berambus! Jangan datang kat restoran aku lagi! Berambus!"
"Eh, bang... err.. ni salah faham je, bang. Jangan halau dia." Ridwan mencelah.
"Aku tak ada pekerja macam kau yang tak reti hormat pelanggan aku. Berambus!" Halim menjegilkan mata tepat ke mata Nadhira sambil menuding ke arah pintu restoran.
Nadhira merentap tangannya kasar. "Aku hanya hormat pada orang yang tak menghina orang lain!" Serentak itu, dia berlalu dari situ. Sempat dia menjeling Faiz dengan tajam. Faiz memang patut diajar! Biarlah dia hilang pekerjaan itu asalkan hatinya puas.
Share this novel