NADHIRA merenung Naufal yang sedang lena itu. Setiap kali menatap wajah polos itu, hatinya dipalu pilu. Demam Naufal belum kebah lagi. Malah, bertambah panas suhu badannya.
Malam tadi, Naufal meracau-racau memanggil ibu dan abah ketika tidur. Sayu jiwanya melihat Naufal begitu. Rasa rindunya pada Hafizan dan Hisyam makin berlimpah-limpah.
Semalam, dia tidak dapat tidur dengan nyenyak. Entah kenapa kala matanya hendak terlelap, bayangan kemalangan yang menimpa arwah ibu, abah dan adik-adiknya menyentak fikiran. Banyangan itu bagaikan realiti.
Dalam bayangan itu, dia nampak wajah arwah Hafizan, Hisyam, syamel dan Azira yang berdarah-darah. Tangan mereka tergapai-gapai mengharapkan pertolongan agar ada yang dapat membantu mereka keluar daripada kereta yang sudah remuk itu.
Suara mereka yang merintih-rintih menambah pilu di ada. Dia tiada daya berbuat apa-apa. Sedar-sedar, dia sudah terjaga daripada lena dengan linangan air mata yang sentiasa membasahi pipi dan bantalnya.
"Kasihannya mereka," rintih Nadhira. Kemalangan itu amat menyakitkan dan mengerikan. Dia dapat rasa apa yang mereka rasa. Sedih hatinya melihat mereka berlumuran darah. YA ALLAH... Dia menyeka air mata yang sentiasa mengalir. Kedua-dua tangan ditadah untuk berdoa
"Ya Rahman, ya Rahim... ampunkanlah segala dosa ibu bapaku, juga dosa adik-adikku. KAU rahmatilah roh mereka. Jauhkanlah meraka daripada seksaan kubur dan api neraka, YA ALLAH. Hanya pada KAU aku memohon. Hanya KAU yang Maha Menunaikan segala permintaan. Amin ya rabbal alamin."
Sesudah meraup wajah dengan tangan, dia mengusap rambut Naufal yang menutupi dahi. Lalu, dicium dahi adiknya itu penuh kasih. Satu-satunya adik yang dia masih ada kini.
Dia turun dari katil. Naufal dibiarkan tidur sendirian di dalam bilik. Kala keluar dari biliknya itu, terbayang semula tubuh-tubuh yang pernah terkujur di ruang tamu itu. Sebak di dadanya bergulung-gulung. Syahdunya waktu itu sukar diungkap dengan kata-kata.
Tidak mahu larut dalam kesedihan yang entah bila akan berakhir, dia menuju ke dapur. Terasa benar-benar sepi rumah itu. Meja makan dikemas. Lauk yang ada cuma ikan goreng. Dia langsung tidak menyentuh makanan sejak semalam. Seleranya benar-benar lumpuh. Hanya air kosong diteguk.
Naufal juga begitu. Hanya menggeleng apabila menyuakan sesudu nasi. Dipaksa adiknya itu makan juga sebelu menelan Panadol. Itupun hanya sesuap dua. Selepas itu, Naufal sudah menolak. Dia risau demam Naufal tidak kebah-kebah. Dia tidak mahu adiknya itu 'lumpuh' untuk terus hidup.
NADHIRA tidak sangka akan dikunjungi pengetua sekolahnya, Haji Nazudin. Malah, Cikgu Rahman, Cikgu Alia dan rakan-rakan sekelasnya turut mengunjungi rumahnya pada petang itu. Kehadiran mereka membuatkan dia terharu. Apatah lagi kedatangan mereka bersama sepucuk sampul surat besar berisi wang kutipan derma untuknya. Hatinya dipagut sayu memandang sampul itu.
"Nad... ini je yang dapat kita orang tolong kau," Balqis menyentuh tangan Nadhira
"Terima kasih," ucap Nadhira dengan nada sebak. Setitis air matanya mengalir. Cepat-cepat dia menyekanya, malu dilihat kawan-kawan dan cikgu-cikgunya. Sedaya upaya dia mengawal perasaan.
"Mana adik bongsu awak, Nad?" Cikgu Rahman memandang sekeliling ruang tamu rumah Nadhira itu.
"Adik saya tidur, tak berapa sihat"
"Dia sakit ke? Kalau sakit, cikgu boleh hantarkan ke klinik." Haji Nazudin beriak risau.
Lekas-lekas Nadhira menggeleng. "Tak, tak... dia tak sakit. Mungkin kejadian ini terlalu tiba-tiba, dia agak terkejut."
Haji Nazudin terangguk-angguk. "Kalau ada apa-apa, beritahu cikgu, ya?"
Keperihatinan Haji Nazudin membuatkan Nadhira rasa mahu menangis di situ juga. Dia sekadar menganguk. Tapi sebenarnya dia sudah tetapkan di hati, tidak mahu menyusahkan sesiapa. Bukan simpati yang ditagih. Dia tidak mahu 'menebalkan muka' dan kemudian meminta-minta.
"Marilah kita balik." Haji Nazudin bersuara setelah berbual-bual seketika. Dipandang Cikgu Rahman yang mengangguk. "Malam ni ada lagi majlis tahlis di surau. Sesiapa yang tak ada apa-apa hal, datanglah. Kalau Nadhira perlukan pertolongan, bantulah dia."
Semua yang berada di situ mengangguk faham. Masing-masing berdiri apabila Haji Nazudin sudah bingkas dari duduk. Mereka bersalam-salaman.
Nadhira menghantar mereka hingga ke halaman rumah. Kereta Cikgu Rahman, Haji, Nazudin dan Cikgu Alia yang dinaiki kawan-kawannya berlalu satu demi satu. Hanya kereta yang dibawa Akram sahaja yang masih tinggal
Balqis memandang Akram. "Kau balik dululah, Akram. Aku nak temankan Nad."
"Habis, nanti kau nak balik macam mana?" Akram risau.
"Nanti aku telefon mama aku, minta dia datang ambil." Balqis memaut lengan Nadhira erat. "Kawan aku tengah bersedih,. Jadi, aku mestilah ada di sisi dia. Betul tak?"
"Baguslah... Sekurang-kurangnya Nad tak rasa sunyi." Iqmal bersetuju.
"Eh, mana Iz? Kenapa dia tak datang jumpa Nad? Patutnya dia kena ada sekali hari ni." Ridwan tertanya-tanya. Biasanya kalau menyebut nama Nadhira, Faizlah yang akan ke depan dulu.
Semua mata memandang ke arah Ridwan..
Balqis mengangkat bahu. "Mana aku tahu. Dia kan kawan kau orang? Takkan kau orang tak tahu?"
Sebenarnya sejak di awal kedatangan mereka lagi, Nadhira sudah tertanya-tanya. Tidak puas hati, dia menjengah ke tingkap. Risau kalau Faiz datang tetapi tidak dijemput masuk. Sedihnya, bayang Faiz tidak juga kelihatan.
"Aku ada call dia, ajak datang sekali ke sini. Tapi, dia kata ada hal dengan mak dia," kata Iqmal.
"Ada hal?" Ridwan mengerutkan dahinya.
"Hal apa?" Balqis juga seperti tidak berpuas hati dengan kata-kata Iqmal.
Nadhira sudah berasa tidak sedap hati. Ada sesuatu yang membolak-balikkan hatinya agar meragui Faiz. Namun, cepat-cepat dia berbik sangka. "Kalau dia tak ada hal, mesti dia datang. Tak apalah... nanti aku call dia."
Masing-masing terdiam, tidak mahu memanjangkan hal ini kerana tidak mahu hati Nadhira bertambah risau.
Iqmal sedaya upaya menghalang mulutnya daripada terlepas cakap apa yang Faiz katakan padanya. Biarlah hanya dia yang tahu. "Jomlah balik. Akram ni curi-curi pakai kereta bapak dia. Kalau dah kantoi dengan bapak dia, nanti muka dia ni boleh bertukar jadi besen. "
Ridwan dan Balqis sudah ketawa. Nadhira sekadar meleretkan senyum. Wajah Akram kelat.
"Eh, tolong sikit ya? Kereta ni bakal diwarisi pada aku tau." Akram yang duduk di bahagian bonet menepuk-nepuk kereta Persona warna perak itu penuh bangga.
Balqis teruja. "Ya ke, Akram? Lepas ni bolehlah aku tumpang kau selalu. Kau bawa aku jalan-jalan, ya?"
Ridwan dan Iqmal mencebik melihat wajah bangga Akram.
"Boleh, boleh.... tapi kau kena jadi awek akulah, Bal.." provok Akram
"Tak naklah! kau tu buaya darat. Gatal!"
Mereka ketawa. Nadhira walaupun masih bersedih, turut tercuit hati. Kelakar melihat wajah Akram yang makin kelat itu. Umum sudah maklum, Akram suka mengurat perempuan.
"Tak baik kau fitnah aku, Bal. Aku belum pernah mempermainkan perasaan perempuan. Aku ni jenis yang setia tau. Lebih-lebih lagi dengan kau." Akram mempromosi diri. Sampai terangkat-angkat keningnya.
Balqis mencebik mendengar kata-kata Akram. "Setia konon. Adik angkat perempuan tak nak ramai pulak?" sindirnya. Dia tahu sangat Akram selalu dihimpit junior untuk dijadikan abang angkat. Siap berkirim surat.
"Alah... adik angkat je pun. Takkan nak cemburu, Bal. Eh, kau cemburulah," Akram sedikit teruja. "Orang kata kalau cemburu tandanya sayang. Kau sayang aku ya, Bal?"
Mata Balqis terbeliak. Yang lain-lain sudah riuh menyambut kata-kata Akram. Bukan kepalang mereka gembira.
"Hoi, hoi... aku tak ada apa-apa dengan Akramlah!" Balqis menggelabah.
"Tengok... tak nak mengaku." Akram sengaja menggiat.
Merah muka Balqis disakat begitu. Ditolak Akram agar masuk ke dalam kereta. "Dah, dah, dah... pergi balik. Makin lama kat sini, makin banyak kau mengarut." dibukakan pintu untuk lelaki itu.
Akram tergelak-gelak. Dia menurut sahaja walau belum mahu beredar dari situ.
Iqmal dan Ridwan mengekek mentertawakan Akram. Nadhira turut ketawa. Terhibur sedikit hatinya yang masih dihurung duka.
"Okeylah, Nad... kita orang baik dululah. Bal dah halau ni." Iqmal turut membuka pintu kereta sebelah pemandu apabila Akram sudah berada di dalam kereta.
"Aku halau Akram je." Balqis berdiri di sisi Nadhira.
"Kalau Akram dah balik, kitaorang nak balik naik apa?" Ridwan pula membuka pintu sebelum membolos masuk ke dalam kereta.
"Naik marahlah." Balqis menghamburkan ketawa, membuatkan Nadhira tergeleng-geleng.
Perlahan-lahan kereta Akram berlalu meninggalkan pekarangan rumah Nadhira.
Share this novel