"NISH... jauhnya termenung," tegur Mak Ida yang sedang menatang dulang untuk minuman petang. Dia tersenyum apabila lelaki itu menoleh memandangnya.
Danish melihat Mak Ida meletakkan pengat pisang bersama air teh panas. Sedap dinikmati kala petang begini.
"Kenapa asyik termenung je ni, Nish?" ulang Mak Ida setelah duduk di hadapan Danish.
Danish tertawa kecil. Tidak sangka Mak Ida memerhatikannya. "Tak ada apa-apa. Saja ambil angin kat sini. Dapat tengok macam-macam pokok bunga."
Taman bunga di situ menempatkan sebuah wakaf dan meja untuk bersantai.
Mak Ida meletakkan semangkuk pengat pisang dan secawan teh panas di sisi lelaki itu.
"Terima kasih, Mak Ida. Marilah makan sekali."
"Mak Ida dah kenyang. Makanlah..."
Tidak menunggu, Danish menyuap sesudu pengat itu.
Mad Ida memerhatikan tingkah Danish. Dapat dikesan riak keruh di wajah anak muda itu. "Mak Ida tengok Nish macam susah hati je. Tak dengan buah hati ke?"
Danish tertawa. "Nish tak terfikir nak ada buah hati buat masa sekarang ni, Mak Ida. Pagi sampai petang kat ofis, sibuk fikirkan hal restoran, hal bisnes, macam-macam hal lagi. Hari-hari sibuk."
"Nish..." Mak Ida melepaskan nafas panjang. "Nish pun kena fikirkan masa depan Nish. Umur Nish dah 22 tahun."
"Siapa yang nakkan Nish, Mak Ida? Tak ada siapa yang tahan dengan Nish. Nish ni lebih banyak luangkan masa pada bisnes, pada mummy. Sampai tak ada masa nak layan buah hati. Sudahnya, Nish yang kena tinggal." Danish tergelak mengenangkan hal itu. Sudah tiga orang gadis yang tidak tahan bercinta dengannya. Sumuanya cabut lari.
"Insya-ALLAH...Nish akan jumpa orang yang faham keadaan Nish. Mesti ada perempuan yang suka lelaki yang melebihkan mummy daripada orang lain."
Danish melepaskan nafas panjang yang lemah. "Mummy makin tak kuat, Mak Ida. Nish tak sanggup nak tengok mummy bila asma dia datang."
Mak Ida terdiam. Benar. Dengan keadaan Datin Ros yang lumpuh, menghidap asma pula... siapa yang tidak kasihan dengan nasib Datin Ros.
"Nish tak nak kahwin. Nish nak jaga mummy sampai sihat semula."
"Jangan cakap macam tu, Nish. Menjaga ibu yang sakit memang perkara yang dituntut dalam islam. Wajib. Tapi kahwin tu pula sunah Nabi. Kalau kita berniat tak nak kahwin, berdosa tau. Mak Ida percaya, Walaupun Nish dah kahwin, Nish takkan abaikan mummy," nasihat Mak Ida bagaikan seorang ibu.
"Nish tahu. Tapi Nish takut kalau Nish dah kahwin, Tanggungjawab Nish pada mummy terabai. so, buat masa sekarang Nish tak nak fikir pasal kahwin. Biarlah ALLAH yang tentukan jodoh Nish. Kalau ada, adlah. Kalau tak ada pun, tak apa." Danish kembali menyuap pengat ke mulut.
Mak Ida tersenyum. "Maaflah sebab Mak Ida bertanya yang bukan-bukan. Sekadar bertanya aje."
"Tak ada apalah, Mak Ida." Danish turut tersenyum.
Suasana antara mereka berdua sunyi seketika.
"Mak Ida ajak Datin makan pengat sekali kat sinilah. Seronok duduk kat sini petang-petang begini menghadap taman, menghadap kolam renang..." Mak Ida sudah berdiri, namun dihalang tangan Danish.
"Dia tengah tido tadi, Mak Ida. Biarlah mummy berehat."
Mak Ida duduk semula. Ditemani Danish makan pengat pisang sehingga habis. Danish meneguk minumannya pula.
"Nish nak tambah lagi tak? Biar Mak Ida ambilkan kat dapur."
Baru sahaja Danish hendak membalas, pandangannya terpaku pada dua orang yang sedang bergelak ketawa sambil berkejaran jauh di sudut taman sebelah hujung. Langsung tidak menghiraukan orang sekeliling. Yang perempuan itu ketawa macam hantu. Buruk betul! Dah besar pun nak main kejar-kejar lagi. Buang tebiat agaknya.
"Siapa tu, Mak Ida?"
"Laa... tu kan Nad, orang gaji baru dalam rumah ni. Nish dah jumpa dia, kan?"
"Oh..." Danish menepuk dahi.
Ya, dia sudah jumpa Nadhira lima hari yang lalu pada malam dia pulang dari Shanghai. Dia jarang lekat kat rumah. Kalau ada di rumah pun, memang dia tidak nampak kelibat Nadhira. Atau mungkin dia bersikap tak ambil kisah sebenarnya. Yang penting, dia dapat jumpa Datin Ros sebelum dan selepas bangun tidur. Itu sudah cukup.
"Budah lelaki tu siapa pulak? Tak pernah nampak pun."
"Itu adik Nad. Naufal nama dia."
Danish masih merenung Nadhira mengejar Naufal. Dari satu pokok ke satu pokok mereka mengelilingi. Sampai terjatuh-jatuh. Tapi masih tak puas-puas mengejar dan ketawa. Dah dapat tangkap Naufal, digeleteknya pula. Apa lagi, terjerit-jerit Naufal minta dilepaskan. Apa punya kakaklah! Macam dia tu sebaya dengan adik dia. Danish menggeleng-geleng.
"Mummy tak pernah cakap pun nak ambil orang gaji baru. Tak pernah bincang pun," keluhnya pula.
"Mummy terlupa kot."
Danish diam. Sebenarnya dia rasa kurang selesa apabila tahu ada orang lain dalam rumah itu. Lebih-lebih lagi orang yang dia tidak kenal.
"Mungkin Datin nak Mak Ida lebihkan tumpuan pada Datin. Banyak kerja Mak Ida yang Nad tolong. Dia rajin. Tapi kesian, anak yatim piatu. Tinggal dia dengan Naufal je."
Kalau sudah begitu kata Mak Ida, apa lagi yang Danish boleh buat. Asalkan mummynya gembira dan bebanan kerja Mak Ida berkurangan, dia ikut saja tanpa bantahan. Kala dia memandang semula ke hujung taman, kelibat Nadhira dan Naufal sudah tiada.
"Nish nak tambah lagi? Mak Ida ambilkan kat dapur." Mak Ida mematikan lamunan Danish.
Danish menggeleng-geleng. "Tak apalah, Mak Ida. Dah kenyang." Dia duduk menyandar dengan selesa. Rasa tenang dapat menikmati waktu petang yang nyaman. Lebih-lebih lagi tanpa gelak tawa Nadhira yang macam hantu tadi.
"Nish berehatlah. Mak Ida nak masuk ke dalam rumah."
Mak Ida meletak mangkuk yang diguna Danish tadi ke dalam dulang. Ditingalkan seteko teh panas untuk anak muda itu.
Dia mahu ke bilik Datin Ros, mahu menjenguk mummynya itu. ketika dia baru saja hendak melangkah ke pintu, tubuhnya dirempuh seseorang, membuatkan dia terundur beberapa langkah ke belakang. Nafasnya terasa sesak hingga tertunduk memegang dada. Kala dia mendongak, buntang matanya melihat Nadhira terlopong. Di belakang Nadhira, Naufal turut tergamam.
"Ma... maafkan Nad, Abang Nish. Nad... Nad tak sengaja." Nadhira rasa seperti hendak menangis ketika ini. Dia langsung tidak perasan kehadiran Danish di situ.
"Ingat kat sini tadika ke? Kelas kanak-kanak Ribena?" Danish menunjukkan riak tidak senang sambil mengurut dada.
"Nad tak sengaja," ulang Nadhira dengan rasa bersalah. Memang salah dia sebab tidak berhati-hati. Mukanya memerah. Malunya aku! kenapalah aku boleh terlanggar lelaki ni? Dia menggigit bibir dengan riak wajah takut-takut.
"Ada pertandingan merentas desa ke sampai berlari-lari? Yalah... sukan olimpik kan tak lama lagi. Ke ada rakaman video paranormal kat sini? Nak cari hantu berkeliaran dalam rumah ni? Suara ketawa memang dah macam hantu. Kalau hantu dengan pun semua lari lintang-pukang." Danish masih lagi menyindir.
Baru sahaja Nadhira hendak membuka mulut, Danish terus berlalu dari situ. Dia hanya dapat memandang Danish dengan riak terkilan. Macam manalah dia boleh tidak perasan kewujudan lelaki itu?
"Itulah kaklong. Siapa suruh kaklong lari?" Naufal bersuara.
Nadhira bercekak pinggang. "Eh, adik yang kejar kaklong. Kaklong larilah! Takkan nak diam je. Adik yang salah. kenapa adik kejar kaklong?" Dia mencebik.
"Tadi kaklong kejar adik. Sekarang adik kejar kaklong pulak. Barulah aci!"
"Aci dengan machalah!"
Naufal ketawa. "Lain kali kalau adik kejar, kaklong melompat. Mesti tak langgar orang lagi." Dia mengekek lagi.
"Oh... main-mainkan kaklong ya?"
Naufal mengejek dengan menjelirkan lidah, lalu pantas berlari keluar ke taman.
"Adik!" Nadhira geram, dikejar Naufal semula. Gemuruh kembali gelak tawa mereka berdua.
Share this novel