Bab 7

Romance Series 9311

BERGEGAS Nadhira membuka pintu apabila mendengar seseorang melaung namanya. Terkejut dia melihat tubuh yang sedang tercatuk di halaman rumah "Eh, Bal... masuklah."
"Tak apalah. Kita berbual kat sini je." Balqis duduk di tangga.
Nadhira melangkah turun, lalu mengambil tempat di sebelah Balqis. "Kau dari mana? Naik motor bawa barang semua tu?" Dia memandang motosikal Balqis yang diparkir di bawah pokok depan rumah. Penuh bakul motosikal itu dengan seplastik barang.
Balqis memegang tangan Nadhira sambil memandang sayu wajah sahabatnya itu. "Nad..." Sebuah keluhan panjang dilepaskan.
Timbul rasa hairan di hati Nadhira. "Kenapa ni? kau ada masalah ke?"
Balqis terdiam sebentar.
"Cakaplah, Bal.... Kau ada masalah ke? Beritahulah aku. Mana tahu aku boleh tolong kau"
"Nad..." Maizatul menggeleng-geleng. "Aku tak...."
"Kak long..." Kedengaran suara Naufal dari dalam rumah. "Kak long!"
Nadhira berpaling. "Kak long, adik nak pergi rumah Wan kejap."
"Pergilah. Sebelum maghrib balik tau."
Naufal menuruni tangga sebelum mencapai basikalnya di bawah rumah.
"Adik nak buat apa pergi rumah Wan?" tanya Nadhira.
"Nak main bola."
Nadhira mengangguk. Diperhatikan Naufal mengayuh basikal hingga hilang daripada pandangan. "Alhamdulillah... dia dah tak sedih lagi. Kalau tak, aku risau tengok keadaan dia, Bal. Asyik termenung saja. Diam-diam dia menangis," adunya sayu.
"Aku yakin, dia takkan terbawa-bawa perasaan sedih tu. Dia tu lelaki. Biasanya, budak lelaki ni keras hati sikit."
Nadhira menghela nafas panjang. "Mujurlah dia lelaki. Kalau perempuan, mesti lagi lama dia nak 'bangun' semula. Tapi dia tu walaupun lelaki, manja betul dengan arwah ibu aku. Kadang-kadang tidur pun nak dengan arwah. Dahlah hari tu dia demam sampai beberapa hari. Tu yang buat aku risau. Tapi bila hari ni dia dah nak keluar rumah, barulah lega hati aku, Bal."
Balqis menepuk-nepuk perlahan paha Nadhira. "Kau rasa, kau mampu tak nak hidup berdua dengan Naufal? Sekarang ni, besar tanggungjawab kau."
Jauh pandangan Nadhira lemparkan setelah mendengar kata-kata Balqis itu. Dia sedar hakikat itu. "Insya-ALLAH, Bal... aku akan cuba pikul tanggungjawab ni walau terasa berat." Ada nada sayu kedengaran. Dadanya sarat dengan rasa sebak. "Lagipun, kau kan ada? Ada rasa kuat bila ada sahabat macam kau."
Kata-kata itu membuatkan Balqis berasa pilu. Dia menunduk memandang tanah.
Nadhira berasa terkesan dengan reaksi Balqis itu. "Bal... aku tak minta kau tolong apa-apa pun. Aku takkan menyusahkan kau. Asalkan kau ada, tu dah cukup bagi aku."
Bergenangan air mata Balqis mendengar kata-kata Nadhira. Hatinya mula berasa berat. Itulah yang ingin dikatakan kepada Nadhira sebelum perbualan mereka terbantut dengan kehadiran Naufal.
Nadhira berasa tidak sedap hati. "Bal, kenapa ni? kau macam tak gembira je. Kenapa ni, Bal? Cakaplah..."
Balqis menarik nafas dalam-dalam. "Sebab itulah aku datang jumpa kau hari ni. Sebenarnya, esok aku nak ke KL... Mak cik aku suruh aku kerja kat kedai bunga dia."
Tergamam Nadhira. Seketika kemudian, dia tersenyum. "Alhamdulillah. Gembiranya aku dengar kau dapat kerja. Bestnya kerja kat kedai bunga. kat KL pulak tu." Dia terpaksa membohongi diri sendiri. Padahal di dalam hati, dia tidak rela Balqis pergi jauh dari sisinya.
Balqis menggigit bibir. Kurang yakin dengan kata-kata Nadhira. "Kau tak kisah ke? Aku duduk kat KL sampai aku dapat offer sambung belajar tau."
Nadhira ketawa. Sedangkan hatinya sebenarnya mahu memeluk Balqis dan menangis di bahu sahabatnya itu. "Itu peluang keemasan untuk kau, Bal. Kenapa pulak aku nak sedih? Kau pergilah kerja dengan mak cik kau tu. Banyak pengalaman boleh kau dapat nanti."
"Tapi aku sedih nak tinggalkan kau." Balqis mempamerkan riak duka.
"kau jangan risaukan aku. Aku tak ada apa-apalah, Bal. Aku boleh call kau nanti. Kau pun jangan lupa call aku. Bila kau dah dapat kerja kat sana, sesekali mesti kau balik sini, kan? Kita boleh jumpa lagi. Dah, dah... jangan sedih-sedih. Aku okey,Bal. Aku sokong kau pergi KL. Kau untung, belum apa-apa mak cik kau dah suruh kau kerja dengan dia. Aku ni nanti kena cari kerja sendiri. Entah ada entah tak."
"Aku ingat nak cari kerja sama-sama dengan kau."
"Dah rezeki kau dapat kerja kat KL. Pasal aku, kau tak payahlah risau. Ramai lagi kawan-kawan kita kat kampung ni. Ridwan, Akram, Irdina, Izzah, Iqmal, Wafi..."
"Faiz," sahut Balqis dengan riak mengusik.
Nadhira sengaja ketawa buat-buat, sekadar mahu membuatkan Balqis berasa lega. Balqis tidak tahu apa-apa pasal Faiz yang sudah lama tidak menghiraukannya.
"Sebelum aku pergi KL esok, aku nak pesan kat Faiz. Nak suruh dia jaga kau baik-baik sepanjang aku tak ada kat kampung ni. Kalau dia nakal, kau bagi tahu aku. Biar aku piat-piat telinga dia." Balqis menunjukkan aksi memulas telinga faiz.
Nadhira pura-pura tergelak. "Tak payahlah cakap kat Faiz macam tu. Nanti apa pulak dia kata. Silap-silap, dia yang piat telinga kau." Dia melarang secara bergurau.
Balqis tersenyum dalam duka. sayu hatinya melihat perubahan Nadhira sekarang. Nadhira sebenarnya seorang gadis yang ceria, suka berceloteh, keanak-anakan, happy go lucky. Kalau bercerita mesti meleret-leret, menghiburkan... Tetapi sekarang semua sifat itu bagaikan dikikis dari diri gadis itu. Nadhira lebih banyak diam. Harap-harap ini hanya seketika dan Nadhira kembali ceria.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience