ERIYA memandang Izzwan. Izzwan mengangkat bahu dan mencebik. Kemudian, kedua-duanya menggeleng. Terlepas keluhan panjang. Sudahnya, mereka membuat kerja masing-masing di meja bulat kawasan istirahat untuk pelajar itu. Tugasan untuk kertas kerja berkumpulan, dibiarkan ke tepi.
Nadhira yang bagai tersedar daripada leka, kembali membaca buku di hadapannya. Itupun sekadar menyelak-nyelak. Sedangkan mindanya berutar ligat, memikirkan apa yang terjadi malam semalam. Tentang amanah arwah Datin Ros.
Sungguh... dia tidak dapat tidur semalaman. Pagi tadi dia datang ke kelas pun dalam keadaan mamai. Di dalam kelas, dia rasa macam manusia tiada jiwa. Sukarnya hendak terima amanah itu. Walaupun dia cintakan lelaki itu dalam diam, tetapi berkahwin dengan Danish buat masa sekarang adalah perkara paling gila yang dirasakannya!
Apa cara yang dia boleh buat agar perkahwinan itu tidak berlangsung? Mungkin lari dari rumah. Atau pura-pura jadi gila. Mungaku lesbian mungkin boleh juga. Dia tidak peduli! Dia sanggup buat apa sahaja asalkan tidak berkahwin buat masa ini. Dia tahu Danish tidak mencintainya. Jadi, untuk apa kalau mereka berkahwin?
"Woi, woi... kot ya pun, janganlah ramas buku tu sampai nak koyak!" tegur Izzwan dengan renungan tajam. Selamba sahaja Nadhira merenyukkan bukunya.
Terkejut Nadhira dibuatnya. Serta-merta dia menarik tangannya dan menyembunyikannya di bawah meja, bimbang ada lagi yang bakal dirosakkannya.
"Kau ni kenapa, Nad? Dari dalam kelas tadi asyik termenung je. Kau sedih lagi ke? Teringatkan arwah?" tanya Eriya dengan lembut. Risau dia melihat perubahan Nadhira yang mendadak.
"Err..." Nadhira tidak akan sesekali bercerita tentang Danish. Kawan-kawannya tidak boleh tahu tentang amanah arwah Datin Ros itu.
"Sabarlah, Nad. Nak buat macam mana? Dah ajal dia. Kita yang hidup ni kena teruskan kehidupan macam biasa. Kalau kau asyik termenung, tak jadi apa-apa. Makin memudaratkan kau pulak nanti." Panjang nasihat Eriya.
"Aku kalau kau nak termenung ke, nak terjun ke, nak hempas kepala kat dinding ke... buatlah. Suka hati kau! Tapi sebelum tu, kau buat dulu assignment grup kita dulu," celah Izzwan dengan 'semburan berbisa'.
Cepat-cepat Eriya menyiku lengan Izzwan.
Nadhira diterpa rasa bersalah. Lupa yang mereka berkumpul di situ untuk membincangkan tugasan grup. "Sorry, sorry... aku tahu aku salah. Kadang-kadang aku tak boleh nak kawal diri. Sorry sangat-sangat ya?"
Izzwan membetulkan duduknya. "Nasib baik kau cepat sedar diri daripada hilang ingatan, Nad. Kalau tak, aku sembur lagi pedas dari tadi."
Nadhira menepuk bahu Izzwan kuat-kuat, membuatkan lelaki itu mengaduh sakit. "Jahatnya kau kata aku hilang ingatan! Aku waras lagi okey?"
"Habis, aku tengok kau macam pesakit hospital bahagia." Izzwan menggosok-gosok bahunya yang terasa pedih.
Eriya ketawa.
"Jahatnya!" Nadhira hendak memukul bahu Izzwan lagi, namun lelaki itu sudah bangun menyelamatkan diri.
KELAS hari ini tamat jam 6.00 petang. Lebih lambat daripada hari-hari lain. Di tempat biasa, dia tercari-cari kereta Tahir. Tiada. Yang ada cuma... Ya ALLAH, apa Danish buat kat sini? Mimpi apa dia datang jemput aku? Buang tabiat ke? Dengan BMW X6 warna merah, nanti apa orang cakap kalau dia orang nampak aku naik kereta tu?
Dia terfikir hendak balik sendiri. Daripada balik dengan Danish, dia rela menapak pulang ke rumah. Dia mengundur perlahan-lahan. Jangan sampai Danish perasan. Baru beberapa langkah, iphonenya berbunyi. Kelam-kabut dia menjawab panggilan entah daripada sapa.
"Cepat masuk dalam kereta!"
Nadhira ternganga. Itu suara Danish! Aduh... macam mana Danish boleh tahu nombor telefon aku ni? Dia rasa macam hendak menangis. Nak tak nak, dia terpaksa masuk ke dalam perut kereta dalam keadaan tergesa-gesa. Harap-harap tiada sesiapa yang nampak. Mulutnya muncung.
Sebaik sahaja Nadhira menutup pintu, Danish menekan minyak. Laju betul. Nadhira senyap tidak berkutik. Hendak membetulkan kaki yang dirasakan sedikit terkangkang pun tidak berani. Ini pertama kali dia menaiki kereta bersama Danish.
"Aku pelik betullah. Macam manalah arwah mummy boleh terfikir nak kahwinkan aku dengan manusia macam kau ni. Tak ada orang lain ke?"
Dia dah mula! Kejap lagi bertubi-tubilah dia mengutuk aku. Nadhira mengerling Danish sekilas.
"Tapi aku hormat amanah arwah mummy. Sebab aku sayangkan dia. Terlalu sayang. Jadi, aku terpaksa terima kau!"
"Nad pun terpaksa jugak." Nadhira meniru sebutan 'terpaksa' Danish tadi. Dia tidak mahu nampak lemah dan terhegeh-hegeh di hadapan lelaki itu.
"Hei, hei... kuatnya 'menyalak'. Oh... aku lupa nak beritahu peraturan kalau orang naik kereta aku. Dalam kereta aku ni, hanya aku saja yang boleh bersuara. Faham?"
Terangkat kening Nadhira. "mana? Mana? Tak nampak pun ada tulis kat mana-mana peraturan tu. Lain kali abang tampallah peraturan tu kat cermin ke, kat dashboard ke... senanglah Nad nak baca."
"Eh, eh, eh... tak faham bahasa manusia rupa-rupanya. Orang suruh diam, diam je lah. Banyak bunyi pulak!"
Nadhira menoleh ke kiri. Tengok pokok-pokok lagi bagus! Dia menjeruk rasa. Danish suka bercakap kasar dengannya. Suka panggil 'kau aku'. Macam ni nak jadi suami isteri?
Dalam pada hati merungut-rungut, dia berasa selesa di dalam kereta Danish. Luas. Wangi pula tu. Nyaman sangat rasanya. Duduk di dalam kereta begitu, tidak terasa di luar sana cuacanya sangat terik. Dia bersandar dengan selesa.
"Ewah, ewah... sedapnya kau duduk dalam kereta aku! Bukan main lagi. Siap bersandar. Aku ambil kau ni sebab ada hal nak bincang!" Danish tidak senang hati melihat Nadhira bersandar begitu. Sakit hatinya.
Hai... bersandar pun kena marah? Nadhira tidak peduli pada kata-kata Danish itu. Ikutkan hati hendak sahaja dia berloyar buruk lagi, tetapi tidak dibenarkan bersuara pula. Kalau tak, mesti seronok dapat mengenakan lelaki itu semula.
"Aku nak kau jangan cerita pada sesiapa pun yang kita akan kahwin. Dah kahwin pun, aku tak nak ada sesiapa pun yang tahu. Ini rahsia. Yang tahu cuma Mak Ida, Abang Tahir dan Naufal. kalau kau beritahu orang lain, siap kau!"
Nadhira menjeling Danish. Nak ugut-ugut pulak. Nad pun tak ingin nak canang kat semua orang yang Nad akan kahwin dengan orang macam Abang Nish yang entah apa-apa ni. Suka marah orang tak pasal-pasal. Harap muka je handsome. Perangai... nauzubillah! Tapi yang peliknya macam manalah Nad boleh cintakan abang? Alah... suka dalam diam je. Bukan suka terang-terangan. kalau perangai dia bagus dengan aku, hari ni jugak aku paksa dia kahwin dengan aku. Dia tergelak besar di dalam hati. Hahahahaha...
"Tu mengutuk aku dalam hatilah tu! Ingat aku tak tahu?"Mencuka muka Danish. Membara hatinya melihat Nadhira endah tidak endah. Malah, seolah-olah sedang tersenyum sinis.
Dah Abang Nish tak bagi Nad cakap, Nad mengutuklah abang dalam hati. Padan muka!
"Kita nikah hari Ahad ni."
Tersentak Nadhira mendengar ayat Danish kali ini. "Hah?! Ahad ni?" Dia menghitung hari dengan jari. "Lagi tiga hari. Abang dah gila ke apa? Nad tak setuju!"
"Ada aku tanya pendapat kau? Ada aku benarkan kau bersuara?" Danish menyoal sinis.
Eeii... meluatnya cakap dengan orang sewel macam dia ni! Kenapalah manusia macam dia ni wujud dalam dunia? Nadhira membentak dengan menghentak kakinya sekuat hati.
"Melawan! Melawan" provok Danish. Dijeling Nadhira dengan perasaan geram sebelum fokus pada jalan raya semula. Tidak sabar dia hendak sampai ke rumah. Tidak sanggup dia hendak berdua-duaan dengan Nadhira lama-lama.
"Sabtu dan Ahad ni kau pergi kursus kahwin. Aku dah daftarkan nama kau. Permohonan untuk dapatkan wali hakim pun aku dah uruskan. Dah tak ada masalah. Kau tak payah fikir apa-apa lagi, cuma kau kena sign je. Malam hari ahad lepas kau dapat sijil, kita nikah! Jangan nak membantah."
Nadhira rasa seperti hendak menangis dipaksa begitu. Dikulum rasa sebak yang membelasah dada. Abang Danish tak cintakan aku. Entah apa yang akan jadi kalau kita kahwin jugak. Mesti aku sorang saja yang terhegeh-hegeh nak berbaik dengan dia. Mesti rumah tangga kita tak bahagia. Hatinya dibelai pilu.
Suasana menjadi senyap. Sejak awal lagi Danish memang tidak memasang radio. Tak ada mood dia hendak mendengar lagu. Lama keadaan sunyi itu membelenggu mereka.
"Setiap malam aku mimpikan arwah mummy. Aku nampak wajah dia penuh mengharap. Sebab tu aku nak kahwin dengan kau cepat-cepat. Mudah-mudahan rohnya tenang". Suara sayu Danish memecah kebisuan.
Nadhira menoleh memandang Danish. Dia nampak yang Danish tidak berbohong. Mengenangkan arwah Datin Ros yang sangat baik padanya itu, hatinya tersentuh. Jika benar amanah arwah mahu dia berkahwin dengan Danish, biarlah dia merelekan hati. Apa akan terjadi selepas dia menjadi isteri Danish nanti, pasti ALLAH sahaja Yang Maha Mengetahui.
Share this novel