bab 16

Romance Series 9311

PAGI-PAGI lagi Nadhira sudah bangun membantu Mak Wan menyediakan sarapan. Nasi lemak sambal sotong. Ada rendang ayam pula tu. Lengkap dengan telur rebus, hirisan timun, kacang goreng dan ikan bilis. Bau nasi lemaknya memang harum.
Selesai kerja di dapur, dia menawarkan diri untukmembasuh pakaian.
"Tak apa, Nad. Mak Wan boleh basuh baju-baju tu semua. Nad pergilah bersiap. Nanti pukul 9.00 Tahir datang nak ambil Nad dengan Naufal," kata Mak Wan.
Nadhira memandang jam dinding di dapur itu. Sudah pukul 8.15 pagi.
"Lepas bersiap, Nad dengan Naufal makan dulu. Mak Wan dengan Datin makan lambat sikit."
Melihat Mak Wan berlalu dari situ, Nadhira turut naik ke tingkat atas. Dia terus masuk ke dalam bilik Naufal.
Naufal yang sedang menyarungkan seluar bukan main terperanjat lagi. "Woi, Kak Long! Apa masuk bilik orang ni?" Kelam -kabut dia berlari berselindung di sebalik pintu kabinet yang terbuka. "Adiknak pakai seluarlah!" marahnya pula.
Terkekeh-kekeh Nadhira ketawa. Naufal sudah tahu malu. Dia berpaling memandang dinding. "Hah, cepat pakai! Kak long tak pandang pun," Dia terseyum-senyum
"Apalah kak long ni. Masuk bilik orang ketuklah pintu dulu, rungut Naufal pula."
"Alah...dengan kaklong pun nak malu." Sengaja Nadhira mengusik sambil menahan ketawa daripada terhambur.
"Mestilah malu. Adik ni dah besar."
"Kalau adik tahu adik dah besar, mestilah adik tahu nak menilai mana yang baik, mana yang buruk, kan?"
Naufal keluar setelah siap berpakaian. "Ya, Tahu..." balasannya malas-malas. Nadhira asyik menasihatinya sahaja. Dia menyikat rambut di hadapan cermin meja solek.
"Baguslah..." Nadhira berpaling memandang adiknya itu. Dia menghampiri. "Kaklong taklah risau sangat bila adik dah sekolat kat sini nanti. Sini bandar, dik. Bukan macam kat kampung kita. Adik kena pandai pilih kawan. Kawan yang nak memusnahkan ramai. Yang nak menjahanamkan pun ramai. "
"Jom makan, kaklong. Adik laparlah." Naufal sudah menuju ke pintu.
Wajah Nadhira monyok. "Adik ni... kaklong cakap dengan dia, dia buat tak tahu pulak. Macam tak dengar langsung."
Naufal tersengih-sengih. "Adik dengarlah. Kaklong ni tak habis-habis bagi nasihat. Jangan risaulah... pandailah adik jaga diri adik."
"Dahlah, malas nak cakap dengan adik lagi." Nadhira mendahului Naufal keluar dari bilik itu. "Kaklong nak bersiap. Pukul 9.00 nanti Abang Tahir datang ambil kita. Adik tunggu kaklong kat bawah kejap."
Sengihan Naufal makin meleret kerana Nadhira tidak lagi membebel. Dia terus turun ke tingkat bawah.
Nadhira tidak berkecil hati dengan tingkah Naufal itu. Dia sedar, kadang-kadang nasihat yang sama asyik diulang-ulang. Tapi nak buat macam mana. Sifat seorang kakak yang ada padanya terlalu tebal.
Dia bersiap serba ringkas. Dia hanya menyarung baju kurung warna ungu berbunga biru. Tudung warna birupolos disarung, melengkapkan gaya yang amat sederhana. Sesudah itu, dia turun ke ruang makan. Dilihat Naufal sudah menanti di situ. Nampak sangat kelaparan. Kasihan adiknya itu.
Sebaik sahaja nampak bayang Nadhira, Naufal lekas-lekas menyenduk nasi lemak ke dalam pinggannya.
"Adik... kena tunggu Datin dengan Mak Idalah! " Nadhira membulatkan mata.
Serta-merta tingkah Naufal yang sedang mencapai seketul ayam rendang terhenti.
"Kaklong dah pesan, kita tak boleh buat apa-apa tanpa minta izin Datin atau Mak Ida. Nak makan pun tunggu Datin dengan Mak Ida. Macam mana kaklong tak bising kalau perangai adik macam ni."
"Tapi adik dah lapar sangat ni." Naufal beriak sedih.
Nadhira tidak jadi melanjutkan gurauan. Wajah Naufal memang wajah minta sedekah 20 sen. Hendak tergelak dia dibuatnya.
"Tahu pun takut. Baru gertak sikit dah menggelabah. Makanlah. Mak Ida dengan Datin makan lambat sikit. Mak Ida suruh kita makan dulu."
Tidak menunggu lama, Naufal lantas mencapai paha yang mahu diambilnya tadi. Berselera betul dia makan. Nadhira tersenyum. Dia turut menikmati nasi lemak yang sejak di dapur lagi menggodanya. Teringat nasi lemak arwah ibunya. Rasa rindu mencengkam. Namun, cepat-cepat dia menghalau perasaan itu. Dia tidak mahu bersedih.
"Nanti daftar kat sekolah baru tu, adik minta masuk dalam kelas yang paling pandai tau."
Naufal memandang Nadhira sekilas. "Tak payah minta. Adik confirm dapat masuk kelas pandai punya."
Nadhira mencebik. "Berlagaknya dia."
Naufal ketawa.
Suasana di dalam rumah itu sangat sunyi. Rasa janggal hanya berdua makan di situ. Seolah-olah mereka pula tuan rumah. Nadhira cepat-cepat menyudahkan sarapan. Jam sudah pukul 9.00 pagi.
"Cepat sikit,dik. Kejap lagi Abang Tahir datang." Nadhira membasuh tangan. Sesudah Naufal menghabiskan sarapan, pantas dia mengambil pinggan dan cawan untuk dibasuh di dapur. Baru saja dia hendak bangun, terdengar bunyi hon kereta di halaman rumah.
"Tu mesti Abang Tahir dah sampai. Adik pergi dulu. Kaklong nak basuh pinggan ni sekejap." arahnya sambil bergegas ke dapur.

"ABANG TAHIR bawa Naufal dengan Nad pergi Alamanda okey?" tanya Tahir setelah kereta yang dipandunya keluar dari kawasan SK Putrajaya Presint 3.
"Err... tak payahlah, Abang Tahir. Tak ada apa nak beli. Semua barang Nad dah ada. Dah lengkap dah semuanya. Tak payahlah beli apa-apa" sambut Nadhira yang duduk di kerusi belakang.
"Beli barang sekolah Naufallah. Nad pun mesti nak beli apa-apa," pujuk Tahir
Nadhira berkira-kira. Kerja pun belum, dah nak beli macam-macam. Barang sekolah Naufal semuanya dah ada. Tak semua, tapi cukuplah bersederhana. Nanti bila sudah dapat gaji pertama, dia akan beli apa yang Naufal perlukan. "Tak apalah, Abang Tahir. lain kali aje," tolaknya setelah berfikir secara waras.
"Adik tak ada kasut sukanlah, kaklong. Kasut adik tu adik tinggal kat kampung. Dah buruk sangat," celah Naufal yang duduk di sebelah Tahir.
"Alah... takkan baru masuk sekolah terus nak bersukan. Nanti kalau ada sukan baru kita beli ya,?" pujuk Nadhira. Duit yang ada memang cukup untuk beli sepasang kasut untuk Naufal, tapi dia merasakan itu bukan keutamaan.
Naufal memuncung seakan merajuk. "Kaklong ni macam tak tahu adik suka main bola."
"Jom, jom... kita pergi beli. Nak beli kasut apa, Naufal? Kasut Adidas? Nike? Kasut tumit?" Tahir memujuk dengan jenaka.
"Betul ke, bang?" cerah wajah Naufal.
"Apa ysng betul? Naufal nak kasut tumit?" Tahir buat-buat tidak faham.
Naufal melepaskan ketawa yang kuat.
Tahir senang hati. "Jom kita pergi Alamanda!"
Nadhira cepat-cepat merapatkan diri di celah kerusi hadapan. "Tapi..."
"Datin yang nak Abang Tahir belikan barang-barang Naufal dengan Nad. Jangan risau."
Nadhira berkerut mendengar kata-kata Tahir. "Abang Tahir yang kena belikan? hisy... tak naklah."
"Bukan pakai duit abang. Tapi pakai kad kredit yang datin bagi pada abang." nafi Tahir sambil tersenyum.
"Oh... tapi nanti tolak gaji Nad, kan?"
"Taklah. Ni memang ada peruntukan untuk Nad dengan Naufal. Jangan risaulah. Datin tu memang baik orangnya. Kadang-kadang anak isteri abang pun dia belikan apa-apa. Ada saja yang dia bagi."
Baiknya datin. Syukurlah ada orang kaya seperti Datin Ros. Tidak pernah kedekut dan suka buat kebajikan. Nadhira melafazkan syukur di dalam hati.
"Abang Tahir dah ada anak? Berapa orang?" tanya Naufal.
"Baru dua orang. Sorang darjah dua, sorang lagi empat tahun. Dua-dua lelaki." Tahir tersenyum mengingati anak-anaknya yang nakal tapi menghiburkan itu.
"Abang Tahir duduk kat mana? Jauh ke?" Nadhira pula bertanya.
"Puchong."
"Rumah Datin kat mana?"
"Kat Putrajaya."
"Oh... jauh tak, bang? " Naufal juga ingin tahu.
"Tak jauh sangatlah. Naufal nak kasut apa tadi? kasut tumit tinggi ya?"
Naufal galak ketawa semula. "Orang lelaki mana boleh pakai kasut tinggi, bang. Abang belikan untuk kaklong lah."
"Kaklong tak naklah." Nadhira mencebik. Tak reti dia hendak memakai kasut tinggi-tinggi.
Naufal ketawa sambil menjeling Nadhira. Terbayang rupa kaklongnya jalan terkedek-kedek. Mesti buruk. Dia ketawa geli hati.
Nadhira rasa tersindir. Dia tahu Naufal mahu mengusiknya lagi. "Hah... ketawa. Ketawa puas-puas. Esok dah nak sekolah. Kalau sekolah main-main, result UPSR teruk, boleh jadi tukang kebun kat rumah Datin."
"Tak apalah. Boleh temankan kaklong." Naufal mengusik lagi sambil tersenyum.
Nadhira bersandar, malas hendak melayan Naufal yang suka sangat menyakat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience