Bab 40

Romance Series 11471

DIAM tak diam, sudah habis cuti semesta. Keputusan peperiksaan yang diperoleh sangat membanggakan. Esok, Nadhira akan mendaftar untuk semesta yang kedua pula. Cuti dihabiskan di rumah dengan membaca novel. 12 buah novel yang dibeli berjaya dikhatamkan.
Sempat juga dia pulang ke kampung untuk menziarahi kubur arwah abah, ibu dan adik-adiknya bersama Tahir. Sekadar menziarah dan terus pulang ke Putrajaya semula.
Dia menapak ke ruang taman. Sempat dia ke sangkar Motor. Dilihat kucingnya itu sedang leka 'membersihkan' diri. "Motor..." panggilnya mesra.
Motor mengiau. Terhenti perlakuannya sebelum bangun mendekati Nadhira. Macam tahu-tahu sahaja orang memanggilnya.
Nadhira dengan riak rindu mencium dahi Motor. "Jom kita... err..." Dia terfikir-fikir mahu buat apa dengan kucing itu. "Kita main lompat-lompat nak?"
"Apa pulak orang perempuan main lompat-lompat ni? Tak elok"
Nadhira menoleh, tersenyum melihat Mak Ida menghampiri. Wanita itu kelihatan berpeluh-peluh. Barangkali baru lepas membersihkan halaman taman itu.
"Nad ni suka sangat cium kucing. Nanti kena asma baru tahu." Mak Ida menggosok-gosok kepala Motor.
"Nad tahu. Tapi kalau dah pegang Motor, mesti nak cium dia. Tak apa... tiap-tiap hari Nad mandikan dia. Mandi buih, Mak Ida. Siap gosok gigi lagi."
Tergelak Mak Ida dibuatnya. "Jom kita duduk tepi kolam. Ada hal Mak Ida nak cakap."
Nadhira merenung kolam renang yang terletak tidak jauh dari situ. Ada kenangan duka terimbas. Di situlah arwah Datin Ros hampir lemas. Lama dia tidak ke kolam itu. Lambat-lambat dia mengekori langkah Mak Ida. Dalam hatinya tertanya-tanya apa yang Mak Ida hendak bualkan.
Mereka duduk di kerusi bawah payung. Cuaca petang itu agak panas.
"Ada apa, Mak Ida? Macam penting je." Nadhira terlebih dahulu bertanya. Rasa ingin tahu mendesaknya.
"Tadi... anak buah Mak Ida yang kat Terengganu tu telefon. Lagi seminggu dia nak bersalin anak keempat. Mak Ida ni tak sampai hati nak biarkan dia berpantang sendiri. Anak dia semua kecil-kecil lagi. Kesian pulak dia kena uruskan semua hal sendiri. Suami dia baru meninggal lima bulan lepas. Jadi, Mak Ida ingat nak minta cuti dari Nish."
Dada Nadhira sudah berdebar-debar. Habis aku!
"Bukan lama sangat, tiga bulan je. Sampai dia habis pantang," sambung Mak Ida lagi.
"Tapi... nanti kat rumah ni tinggal Nad dengan Abang Nish jelah?"
Mak Ida mengangguk.
Nadhira rasa hendak pitam kala itu juga.
"Apa salahnya tinggal berdua? Nad dengan Nish kan suami isteri," duga Mak Ida. Dia tahu hubungan Danish dengan Nadhira tidak seperti suami isteri. Dia juga tahu kedua-dua mereka tidur di bilik berasingan. Seolah-olah mereka tidak pernah bernikah. Hendak menegur, dia tiada kuasa.
Suami isteri? Nadhira mencebik di dalam hati. Suami isteri hanya pada status sahaja.
"Err..." Mak Ida teragak-agak hendak bersuara lagi. "Err... minta maaflah kalau Mak Ida cakap ni. Nad jangan ambil hati, ya? Mak Ida anggap Nad macam anak Mak Ida sendiri. Jadi, Mak Ida rasa Mak Ida patut cakap jugak." Dipandang wajah Nadhira dengan riak serba salah.
"Cakaplah, Mak Ida." Di dalam hati, terasa dadanya bagai ditumbuk-tumbuk. Entah apa yang Mak Ida hendak bicarakan.
Walaupun teragak-agak, Mak Ida bersuara juga. "Sepanjang Nad kahwin dengan Nish, Mak Ida tak pernah tengok Nad layan Nish. Maksud Mak Ida, sebagai isteri Nad wajib jalankan tanggungjawab. Nad tahu kan apa tanggungjawab isteri?"
Nadhira hendak menyuarakan betapa Danish tidak mahu mengakui dirinya sebagai isteri. Tetapi dipendamkan sahaja niat itu. Dia tidak mahu kisah rumah tangganya dijaja pada orang lain. Kalau Danish tahu, habis dia dihamun nanti. Tubuh Motor diusap-usap.
"Mak Ida faham... Nad kahwin dengan Nish bukan atas dasar cinta. Tapi Nad... cinta dan tanggungjawab adalah dua perkara yang membeza. Tak cinta bukan bermakna boleh mengabaikan tanggungjawab. Cinta cuma hak manusia. Sedangkan tanggungjawab itu hak ALLAH. Di akhirat, ALLAH akan mempersoalkan tanggungjawab kita, bukan soal cinta yang ditanya."
Tutur Mak Ida selembut bayu, tetapi mampu menampar hati Nadhira. Nadhira tertunduk mengenangkan diri yang alpa. Dia rasa sangat berdosa. Dia memang hendak menjalankan tugas sebagai isteri, tetapi Danish yang menolak. Apalah dayanya. Ya ALLAH... matanya bergenang. Sudah lama dia dulumur dosa kerana tidak pernah menjalankan tanggungjawab sebagai isteri. Astaghfirullahalazim...
"Mak Ida minta maaf. Mak Ida sekadar menegur untuk kebaikan Nad." Mak Ida memegang tangan Nadhira. Dia mahu gadis itu tahu betapa dia sangat disayangi.
Nadhira masih tidak berdaya mengangkat muka. Bagaimana dia hendak menjalankan tanggungjawab kalau Danish tidak mahu mengakui sebagai suaminya? Hatinya menangis hiba.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience