Bab 5

Romance Series 9311

SEDANG Nadhira dan Balqis berbual-bual, terdengar suara orang memberi salam. Nadhira bingkas bangun dan menjengah di tingkap.
"Waalaikumusalam," jawab Nadhira perlahan. Dalam masa yang sama, fikirannya ligat berfikir setelah melihat tetamu yang berdiri di luar rumah.
Mak Ida tersenyum. "Nad macam mana? Dah makan?"
Nadhira mengangguk-angguk. "Dah, mak Ida." Dia mengiakan sahaja walau sebenarnya tekaknya tidak lalu hendak makan. Dibukakan pintu untuk tetamunya itu. "Jemput masuk, Mak Ida."
Mak Ida dan sepasang suami isteri yang tidak Nadhira kenal melangkah masuk.
Balqis yang sedang menonton televisyen berdiri dan bersalaman dengan tetamu yang hadir.
"Kamu pun ada, Bal?" Mak Ida berbasa-basi.
"Saja temankan Nad, Mak Ida." Balqis tersenyum.
"Duduklah..." Nadhira mempelawa. "Saya nak ke dapur sekejap. Nak buat air."
"Eh, tak payah susah-susah. Mak Ida dah minum kat rumah tadi." Cepat-cepat Mak Ida menghalang
Nadhira lambat-lambat menghampiri kerusi kusyen sebelum duduk di sebelah Balqis. Tiba-tiba sahaja hatinya berasa tidak sedap. Ada debaran yang mengombak di dada.
"Mana Naufal? Tak nampak pun dia." Mak Ida bertanya lagi.
"Dia tidur dalam bilik." Makin berdebar dada Nadhira apabila Mak Ida bertanya tentang adiknya itu.
"Tak sangka semua arwah pergi dalam keadaan mengejut begini. Kesian kamu, Nad. Sabarlah ya?" tutur Mak Ida lagi.
Nadhira tunduk. Ya... siapa yang sangka? Ajal yang menjemput tiada siapa yang tahu.
"Maaflah kalau Mak Ida menggangu." Mak Ida kelihatan teragak-agak. "Ni Mak Ida kenalkan, Encik Ghazali dan Puan Munirah. Mereka berdua ni bukan orang lain. Kenalan Mak Ida jugak."
Nadhira hilang kata-kata. Dipandang Ghazali dan Munirah yang tersenyum. Tangan Balqis dipegang erat bagai meminta sedikit kekuatan.
"Sebenarnya, Mak Ida datang ni atas permintaan Encik Ghazali. Encik Ghazali ni ada hajatnya."
Ghazali meleretkan senyuman lebih lebar. "Saya dengan isteri saya ni dah lama berkahwin. Dah hampir sepuluh tahun, tapi masih belum ada rezeki lagi. Saya dapat berita ada anak yatim piatu kat kampung ni. Jadi, saya berhajat nak ambil Naufal jadi anak angkat." Dia terus ke titik perbualan.
Makin erat genggaman Nadhira di tangan Balqis. Dia tidak sanggup mendengar kata-kata Ghazali yang seterusnya.
"Kamu mesti nak sambung belajar ke universiti bila dapat keputusan SPM. Tapi Naufal siapa pulak yang nak jaga? Mak Ida rasa, tak salah kalau kamu serahkan Naufal untuk dijaga Encik Ghazali ni, Nad. Demi kebaikan adik kamu jugak." Mak Ida faham apa yang dialami Nadhira.
Dia sekadar mahu meringankan bebanan gadis itu. Nadhira tidak mempunyai saudara di kampung ini. Semuanya duduk jauh. Sama-sama susah pula. Pada siapa gadis itu hendak bergantung? Dia sendiri pun ramai anak. Suaminya pula cuma mengambil upah di ladang kelapa sawit.
Benar seperti apa yang dijangkakan Nadhira. Pasangan suami isteri itu mahu merampas Naufal daripadanya. Gelora di dada mengggelombang perasaan sebak.
"Nad jangan risau. Bila-bila masa Nad boleh datang jenguk Naufal. Rumah kakak tak jauh. kat Sabak Bernam aje." Munirah pula bersuara dengan nada teruja. "Kakak akan layan Naufal macam anak sendiri. Insha-ALLAH.... Nad jangan risau ya?" pujuknya.
Spontan Nadhira berdiri. Wajah Mak Ida dipandang tajam. Dadanya berombak. "Siapa yang beri keizinan nak ambil Naufal jadi anak angkat?"
Mak Ida beriak serba salah
"Siapa?!" tengking Nadhira berani.
"Err..." Mak Ida terkedu seketika. "Niat Encik Ghazali ni baik, Nad. Mak Ida pun tak sampai hati tengok Nad susah. Kalau boleh, Mak Ida nak kurangkan bebanan Nad."
"Saya tak rasa terbeban pun nak jaga Naufal sorang-sorang, Mak Ida. Saya takkan benarkan sesiapa pun ambil Naufal daripada saya! Jangan sesekali nak pisahkan saya dengan adik saya. Arwah ibu dah pesan, saya mesti jaga adik saya walau apa pun yang terjadi!"
Mak Ida menghela nafas panjang sambil memandang Ghazali dan Munirah yang sudah tidak senang duduk mendengar kata -kata Nadhira. Dipandang wajah Nadhira pula dengan riak susah hati. "Mak Ida cuma nak membantu. Mak Ida kesian tengok Nad. Naufal tu sekolah lagi. Nad mesti nak sambung belajar kat universiti. Jadi, siapa nak menyara hidup Nad dan Naufal?"
"Betul cakap Mak Ida tu, " celah Ghazali. "Saya bukan nak pisahkan Nad dengan Naufal. Nad boleh jumpa Naufal bila-bila masa yang Nad nak."
Bergenangan mata Nadhira yang sudah terasa panas. Kata-kata Ghazali mencalarkan hatinya. Kalau Naufal sudah dibawa ke Sabak Bernam, bukankah itu bermakna dia sukar untuk bertemu dengan Naufal? Bukankah itu bermakna dia dan Naufal telah berpisah? Dia tidak sanggup hidup tanpa Naufal di depan matanya.
"Nad, niat Encik Ghazali ni..."
"Saya tak izinkan!" Nada suaranya sedikit meninggi. Dadanya semakin berombak. "Mak Ida, abang dan kakak.... saya masih ada kudrat nak jaga Naufal. Rezeki di tangan ALLAH. Apa pun yang terjadi, saya takkan biarkan Naufal dijaga orang lain. Saya masih lagi mampu nak sara hidup kami dua beradik!" Nadhira bangun dan terus ke dapur. Air matanya mengalirkan deras. Dia sudah kehilangan abah, ibu dan dua orang adik. Dia tidak sanggup kehilangan lagi. Naufallah satu-satunya darah daging yang dia ada. Jadi, jangan harap nak merampas Naufal daripadanya.
Balqis tidak menunggu lama. Dia mengekori Nadhira ke dapur tanpa mempedulikan tetamu rumah itu. Sahabatnya itu harus dipujuk dan ditenteramkan. Nadhira masih lagi dalam kesedihan.
mak Ida melepaskan pandangan jauh bersama helaan nafas yang berat. Begitu juga Ghazali dan Munirah. Masing-masing berwajah hampa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience