DANISH mendengus keras. Bencinya dia pada Nadhira dan Naufal. Patutlah sejak dari awal lagi dia 'tak boleh blah' dengan dua beradik itu. Baru saja dia hendak berbaik, sudah terbongkar segala rahsia malam tadi. Dia sudah dengar semuanya! Pandai betul Datin Ros menyimpan rahsia.
Diperhatikan Nadhira yang sedang menggunakan hampagas untuk membersihkan ruang tingkat dua itu. Bunyi bising hampagas itu menambah sakit hatinya. Pura-pura baik konon! Dah jadi anak angkat pun nak tunjuk baik macam orang gaji lagi. Ni mesti sebab nak berlakon depan Datin Ros. Tak guna!
Nadhira yang memakai baju-T dan seluar track suit itu diperhatikan sehinggalah gadis itu siap membersihkan ruang dan mematikan hampagas. Suasana jadi senyap daripada bunyi bising. Dia tidak menunggu, terus menyergah.
"Apa motif kau datang ke sini sebenarnya hah?"
Nadhira terkejut dengan kemunculan Danish yang tiba-tiba itu. Seketika dia tercengang-cengang.
"Apa motif kau datang ke sini sebenarnya? Cakap!" ulang Danish dengan nada keras walau perlahan. Dia tidak mahu Datin Ros, Mak Ida mahupun Naufal mendengar perbualan ini.
"Err... motif apa?" Nadhira masih tercengang. Dia kabur kerana disergah tiba-tiba.
"Aku tanya... apa tujuan kau datang ke sinilah!" tengking Danish.
Nadhira bingung. Apa jawapan untuk soalan Danish itu? Perlukah dia menceritakan bagaimana dia menemui Tahir di sebuah kedai makan terlebih dahulu? Atau katakan saja dia memang bercita-cita mahu menjadi orang gaji supaya Danish tidak banyak soal?
"Cakaplah! Apasal kau terpinga-pinga? Apasal muka kau blur? Hah?! Sebab kau memang ada niat jahat kan?"
Nadhira mencampak ke tepi batang hampagas yang sedang dipegang. "Ulang balik ayat Abang Nish tu. Bunyinya sedap sangat. Ulang balik. Tak puaslah Nad dengar. Macam merdu semacam."
"Kau ni tak ada telinga ke? Patutla asyik pakai tudung walaupun dalam rumah. Tak ada telinga rupa-rupanya. Berapa kali aku nak ulang? Aku tahu, kau datang ke sini ada sebab." Danis makin dekat dengan Nadhira. Jarak mereka hanya dua jengkal Tidak teragak-agak dia menunjukkan riak benci.
Nadhira mengawal emosi. Api kalau lawan dengan api, hangus dan hangitlah jawabnya. Jadi, dia kena jadi air. Air yang memadamkan api, yang dapat menyejykkan hati. Relaks, relaks... Abang Danis ni suka berdebat agaknya hobi dia. "Memanglah ada sebab kenapa Nad datang ke mari. Nad datang dari jauh tau, bang. Dari Teluk Intan. Haa... jauh,kan? Dari jauh Nad datang ingat senang ke? Susah tau, bang." Terangguk-angguk dia. Bersungguh benar bercerita.
"Cuba abang bayangkan." Nadhira menyambung lagi. "Cuba abang bayangkan cepat. Bayangkan betul-betul. Dari ceruk kampung nak datang ke mari memerlukan keazaman dan tekad yang teguh." Penumbuk digenggam ke udara. "Setelah merempuh bermacam-macam halangan yang berduri, yang tak berduri... akhirnya Nad sampai ke rumah ni. Itupun selepas empat bulan berlayar."
Danish mencekak pinggang. "Apa yang kau merepek sampai ke laut ni?" Mukanya berkerut. "Aku cakap lain, kau pergi terjun loji kenapa? Eh, eh... budak ni. Aku seligi karang, bersepai otak kat lantai."
"Laa... orang cerita betul-betul, tak nak dengar pulak. Cubalah bayangkan sekejap. Okey, kita mulakan sekali lagi."
Danish menepis tangan Nadhira yang terawang-awang kala bercerita. "Dengar sini..." Ditekan dahi Nadhira dengan jari telunjuknya. "Kalau kau melampau, siap kau aku kerjakan. Jangan ingat aku bodoh, tak tahu apa yang terlintas dalam hati kau tu. Ingat! Aku akan sentiasa perhatikan kau." Ditolak dahi Nadhira sesudah itu. Dengan jelingan 'maut', dia meninggalkan Nadhira.
Nadhira memuncung sambil terpinga-pinga. Apa Abang Danish ni? Sudahlah tiba-tiba datang menyergah. Lepas tu cakap benda yang aku tak faham langsung. Dia nak cakap apa sebenarnya tadi? Dia tergaru-garu kepalanya.
Share this novel