Bab 23

Romance Series 9311

"KAKLONG... cepatlah!" Naufal bercekak pinggang di muka pintu setelah merempuh masuk ke dalam bilik Nadhira.
Nadhira yang sedang enak berbaring di atas spontan duduk terlunjur dengan riak terkejut. "Adik ni memang tau. Buat orang terkejut aje! Tak reti nak ketuk pintu dulu ke?" Mujur dia sekadar berbaring.
"AMboi, amboi... Sedapnya baring. Tak ingat maghrib ke? Penat adik tunggu dalam bilik. Cepatlah! Terhegeh-hegeh pulak dia."
Nadhira menepuk dahi, lupa mahu memberitahu. Dengan muka tersipu-sipu, dia tersengih. "Kaklong cutilah, dik. Adik sembahyang sorang-sorang ya?"
"Eh, awalnya!"
Wajah Nadhira memerah menahan malu. Naufal memang sudah terbiasa dengan jadual waktu 'cutinya'. Walaupun Naufal lelaki dan meningkat remaja, dia terpaksa memberitahu rahsia pentingnya itu kerana mereka berjemaah solat maghrib dan isyak setiap hari. Juga kerana dia mengajar Naufal mengaji.
Melihat riak wajah kakaknya itu, Naufal mengerti. "Lain kali cakap awal-awal. Adik tunggu lama kat dalam bilik. Dia boleh layan emosi kat sini pulak." Dia merungut-rungut sebelum keluar dari bilik Nadhira.
Nadhira sekadar tersengih. Memang patut dia dibebel, leka sangat. Jam sudah pukul 7.45 malam. Daripada dia berbaring macam orang tak ada tulang, lebih baik dia menyiapkan hidangan untuk makan malam. Dapat juga meringankan kerja Mak Ida. Sejak sudah menjadi anak angkat Datin Ros, dia tetap membantu membuat kerja rumah seperti biasa. Sudah berkali-kali ditegah, dia masih mahu menolong wanita tua itu.
Setelah menyarungkan tudung, dia keluar dari bilik. Baru beberapa langkah, dia terpandang sudut yang sangat digemari. Dia menghampiri sudut itu. Tersenyum dia melihat gambar yang tergantung di bingkai berukir. Gambar Danish sekeluarga. Entah kenapa setiap hari dia 'wajib' ke sudut itu. Dia suka melihat senyuman Danish. Melihat senyuman itu bagaikan mendapat satu kegembiraan. Tapi kalau melihat Danish secara 'live', tak gembira langsung. Muka sepanjang masa serius. Nak tengok dia senyum? Kirim salam sahajalah.
Ketika sedang ralit merenung gambar itu, terkejut dia apabila terpandang Danish sedang menuruni tangga dari tingkat tiga. Kelam-kabut dia meluju ke tangga. Kerana terlalu meluru, langkahnya sumbang. Natijahnya, dia tersembam di depan tangga.
Danish yang baru menjejakkan kaki di tingkat dua itu tercengang-cengang melihat Nadhira meniarap di depan tangga. Dipandang gadis itu yang sedang terseringai. Macam menahan sakit.
Cepat-cepat Nadhira bangun walau dada terasa senak kerana terhentak ke lantai. Melihat wajah Danish yang masih tercengang, dia tersengih, berpura-pura tidak sakit. Padahal sakitnya sampai rasa hendak menangis. Ditambah pula dengan perasaan malu. "Err... Nad saja-saja je baring kat sini." Dia ketawa buat-buat.
Berkerut-kerut dahi Danish kurang faham. Dalam hatinya terdetik rasa pelik. 'Masuk air' agaknya minah ni.
Tanpa berkata apa-apa, Nadhira menuruni tangga. Mukanya terasa panas. Ya ALLAH... macam mana aku boleh jatuh pulak? Memalukan betul!
Dia terus ke dapur, memanaskan lauk-pauk sebelum menghidangkannya. Sambil membuat kerja pun, fikirannya masih mengingati detik-detik yang memalukan tadi. Betapa malunya dia. Kalau boleh dia hendak putar semula masa. Malu! Malu! Malu!
Dia mematikan api sebaik sahaja kari ayam menggelegak. Lauk itu dimasukkan ke dalam mangkuk sederhana besar sebelum dibawa ke meja makan. Kala dia berpaling, terkejut dia melihat Danish berada di ruang itu. Mujur tidak terlepas mangkuk yang sedang dipegang. Di dalam hati dia beristighfar. Dia tidak sedar langsung Danish masuk ke dalam dapur.
Danish membuka pintu peti sejuk. Jus oren dituang ke dalam gelas.
Nadhira terpaku. Di pandang Danish memakai jersi bola warna merah bernombor 3 dan seluar track suit paras lutut warna putih. Nak main futsallah tu! Dia kembali meneruskan kerja tanpa memperdulikan lelaki itu.
Danish meneguk sedikit demi sedikit minumannya sambil bersandar di tepi peti sejuk. Ekor matanya menghala ke arah Nadhira yang ke huluu ke hilir membuat kerja. Kehadirannya bagaikan tidak wujud langsung. Sejak akhir-akhir ini, dia selalu memerhatikan tingkah gadis itu. Sejak sudah jadi anak angkatt mummynya, Nadhira masih seperti orang gaji. Tidak pernah berubah. Dia mula berasa bahawa Nadhira seorang yang ikhlas.
Tingkah-laku Nadhira serba-serbi jadi tidak kena. Sampaikan hendak meletak sudu di mangkuk kari ayam terletak sudip. Dia perasan mata Danish sedang memandangnya walau hanya dengan jelingan. Nak pergii main futsal, pergilah! Minum lambat-lambat kenapa? Rimaslah Abang Nish ada kat sini. Nak buat kerja pun tak senang.
Sudah siap menghidang, dia menuju ke singki pula untuk membasuh pinggan mangkuk kotor. Ketika melalui hadapan Danish, dia tidak menoleh. Dia tunduk berjalan dengan sopan. Menggelabah rasanya apabila diri diperhatikan. Sedang ralit mambasuh pinggan mangkuk, dia perasan Danish berdiri di sebelahnya sebelum meletakkan gelas yangg digunakan tadi di tepi singki. Spontan dia menoleh walau sudah mengeraskan hati tidak mahu memandang lelaki itu. Riak berlagak terpancar di situ.
"Bila kau daftar masuk U?"
Nadhira mengedip-ngedipkan mata kurang percaya. Betul ke Danish yang bertanya? Betul ke dia tanya aku?
"Mata ada ketumbit ke? terkedip-kedip mata kau ni aku tengok." Wajah Danish masih selamba.
"Err... tak,tak. Mana ada mata Nad berkelip-kelip. Banyak minum air agaknya." Entah apa yang dilalutkan, Nadhira tidak tahu. Dia menunduk memandang pinggan yang dipegang. Seram betul berdua-duaan begitu dengan Danish. Dia jadi kalut.
"Bila kau daftar?"
"Oh..." Nadhira tersedar yang dia tidak menjawab soalan lelaki itu tadi. "Err... minggu depan."
Danish mengangguk. "Baguslah. Ada cita-cita jugak kau kan? Dah habis belajar nanti bolehlah kau jadi pegawai eksekutif pembantu rumah." Dia sengaja ketawa.
Dahi Nadhira berkerut. Ada ke jawatan macam tu? Macam tak best je.
"Anyway... aku minta maaf sebab salah sangka hari tu. Aku dah tersalah sangka kat kau dengan adik kau. Sorry..."
Nadhira mendongak memandang Danish. Makin berkerut dahinya. Telinganya tersalah dengar ke?
"Tu... basuh gelas tu. Jangan lupa. Pembantu rumah yang bagus kena buat kerja dengan gigih!" Danish menujukkan gelas yang digunakan tadi dengan memuncungkan mulutnya.
"Jari ada kenapa tunjuk dengan mulut? Mulut bukan digunakan untuk menunjuk," tegur Nadhira.
"Apa pulak tak boleh? Ada orang tunjuk dengan lutut. Lagi dahsyat." Danish terus berlalu dari situ.
Makin tercengang Nadhira dibuatnya, hingga terlopong. Lawak Danish macam orang baru keluar dari gua. Sudahlah buruk rupa tunjuk sesuatu dengan mulut! Lebih buruk lagi baru sekarang nak minta maaf dengannya.
Apa yang nyata, Danish masih anggap dia sebagai orang gaji... bukan adik angkat. Hmm... biarlah. Dan dia pun tidak menganggap Danish sebagai abang angkat. Tetapi sebagai... pujaan hati! Dia tersenyum.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience