SUDAH beberapa kali Datin Ros menguap. Matanya ada kala terlelap juga walau dia cuba menahannya. Jam di dinding hampir pukul 11.00 malam. Cadangnya, dia mahu menunggu Danish pulang daripada bermain futsal. Matanya makin memberat pula minta dipejamkan.
"Kak Ida... oh, kak Ida..." panggilnya.
Mak Ida yang sudah terlelap menghadap televisyen sedikit tersentak. Tidak sedar entah bila dia terlena. Sedar-sedar, televisyen yang menontonnya. Dia memandang Datin Ros. "Ya, Datin..."
"Bawa saya ke bilik. Mengantuk sangatlah. Lambat pula Nish balik malam ni. Tak larat nak tunggu dia." Datin Ros menguap lagi.
"Tadi kan Nish dah pesan... jangan tunggu dia. Kalau Datin nak tidur, Kak Ida kan ada?"
"Saya suka dia temankan saya sebelum tidur. Suka tengok senyuman dia. Sama macam arwah Alias."
Mak Ida bingkas berdiri, lalu membetulkan ikatan kain batiknya yang sedikit longgar sebelum membantu Datin Ros menduduki kerusi rodanya.
"Bukan senyum saja yang sama, sikap pun sama. Baik hati, kuat bekerja, hormat orang tua..." Disorong majikannya itu ke bilik.
Datin Ros tersenyum. Sejuk hatinya mendengar pujian itu. Cuma satu saja... Danish macam susah nak terima Nadhira dan Naufal sebagai adik angkat. Dia tidak pernah tengok anaknya itu berbual mesra bagai adik-beradik dengan kedua-dua anak angkatnya itu.
"Datin nak kak Ida buatkan susu ke?" Melihat Datin Ros menggeleng. Mak Ida terus menyorong masuk ke dalam bilik. Dibantu Datin Ros berbaring di atas katil. Tubuh Datin Ros tidak terlalu berat. Sejak sakit, majikannya itu semakin hari semakin kurus.
"Budak berdua tu dah tidur ke?" soal Datin Ros kala sudah berbaring dengan selesa.
Mak Ida duduk di birai katil. "Dah agaknya. Datin tidurlah. Dah nampak sangat Datin penat." Selimut dibetul-betulkan agar Datin Ros selesa.
"Kesian Nad dan Naufal tu. Anak yatim piatu." Terlepas sebuah helaan nafas yang panjang dari bibir Datin Ros.
Mak Ida mengangguk setuju. Memang kasihan. Apatah lagi apabila mengenangkan Nadhira seorang gadid yang baik dan pandai. Begitu juga dengan Naufal.
"Salah ke saya ambil dia bawa masuk ke dalam rumah ni, Kak Ida?"
"Hisy, apa pulak Datin Ros cakap macam tu? Tak ada salahnya Datin ambil budak berdua tu duduk dalam rumah ni," bantah Mak Ida sampai berkerut dahi.
"Habis tu, kenapa Nish macam tak suka budak berdua tu ada dalam rumah ni?"
Mak Ida terdiam. Dia pun perasan. Sepanjang lebih lima bulan Nadhira dan Naufal tinggal di dalam rumah itu, Danish bagaikan tidak ambil peduli. Tidak mengapalah kalau ketika Nadhira bergelar orang gaji. Masalahnya, sudah menjadi anak angkat Datin Ros pun Danish tetap begitu. Hendak bertanya, dia tidak berani. Dia hanya kuli. Ada Batas-batas penjarakan antara dia dan anak muda itu.
"Dia marahkan saya, kak. Katanya, saya ni ambil Nad dan Naufal tanpa berbincang dengan dia. Dia tak suka ada orang asing dalam rumah ni. Dan dia sebenarnya, rasa bila ambil orang gaji, akan menyusahkan saya, memudaratkan saya. Dia risau kesihatan saya terjejas bila bela dua orang lagi dalam rumah ni."
Alasan itu munasabah juga. Mak Ida memang maklum betapa sayangnya Danish pada Datin Ros. Risau betul dia kalau Naufal buat bising dan mengganggu ketenangan mummynya itu. Budak-budak... Biasalah kalau membuat bising. Nadhira pula suka melayan adiknya bergurau.
"Saya fikir, lepas ambil Nad dan Naufal jadi anak angkat, Nish boleh bertoleransi dengan budak-budak tu." Datin Ros mengeluh panjang.
"Bagilah Nish masa, Datin. Mungkin satu hari nanti dia boleh terima Nad dan Naufal tu sebagai adik angkat dia. Kita berdoa sajalah. Insya-ALLAH..." pujuk Mak Ida secara berhemah.
"Harap-harapnya begitulah. Saya risau kalau dia tahu tentang satu perkara ni."
Dahi Mak Ida berkerut. "Perkara apa?"
"Kak... saya dah tak mampu memendam lagi. Saya harap Kak Ida akan simpan rahsia ni sampai bila-bila. Jangan beritahu pada sesiapa pun. Walaupun pada Danish." Datin Ros bersuara tegas.
Mak Ida mematung diri. Nampaknya, ini benar-benar rahsia besar.
"Ada sebab kenapa saya terima Nad dan Naufal dalam rumah ni, Kak Ida. Memang saya dah rancang semuanya dari awal lagi. Saya yang suruh Tahir cari Nad dan Naufal kat Perak. Nak cari pembantu rumah tu cuma alasan saja supaya dia duduk kat rumah ni. Dan sekarang dah jadi angkat saya." Datin Ros melepaskan nafas panjang, merenung di kejauhan sebelum kembali menyampung. "Sebenarnya, saya ambil Nad dan Naufal sebab..."
Mak Ida mendengar cerita Datin Ros tanpa mahu berkelip, bimbang ada kisah yang tertinggal. Dia terangguk-angguk walaupun ada rasa terkejut pada wajahnya.
Tanpa mereka sedar, Danish sedang berdiri di sebalik pintu bilik Datin Ros. Dia mendengar cerita Datin Ros satu demi satu. Dadanya berombak-ombak kerana terlalu berdebar, bagaikan hendak pecah! Sambil mencuri dengar, genggaman tangan dikepal-kepak rasa geram. Jika sekarang Nadhira berada di hadapannya, sudah lama dia menumbuk gadis itu!
Share this novel