Bab 28

Romance Series 9311

DADA Nadhira berdebar. Hari ini hari pertama dia menghadiri kuliah. Dia sampai awal di dewan itu. sengaja dia menyuruh Tahir menghantarnya lebih awal daripada waktu kuliah dijadualkan.
Sambil menunggu pensyarah datang, dia membaca buku teks History and Culture 1 yang baru dibeli semasa mendaftar minggu lepas.
Seorang demi seorang pelajar masuk ke dalam kelas, sehinggalah seorang jejaka mengambil tempat duduk di sebelahnya. Dia mengukir senyuman perkenalan.
"Izz." Jejaka itu membalas senyuman sambil memperkenalkan diri.
"Nama aku Izzwan. Kau orang mana?" Cara percakapannya berlenggang-lenggok.
"Teluk Intan. Tapi dah duduk kat sini dengan mak angkat." Nadhira bercerita serba ringkas. Tidak mahu orang lain tahu dia anak angkat kepada seorang Datin.
"Mana mak angkat kau? Tak nampak pun. Kau kata dia duduk kat sini."
Nadhira terdiam seketika sebelum seyumannya meleret. Loyar buruk juga si Izzwan ni.
"Anyway... selamat berkenalan." Izzwan meghulurkan salam, namun dibiarkan Nadhira sambil mengharapkan pengertian.
Izzwan mendekatkan diri dan berbisik. "Err... aku perempuan sebenarnya. Sebab tu aku lembut. Jangan beritahu sesiapa tau?"
Mata Nadhira membuntang! Perempuan? Tapi kenapa nama dan pakaian Izzwan macam lelaki?
Izzwan mengangguk tanda mengiakan kata-katanya bersama senyuman. Salam masih dihulurkan. Dalam pada Nadhira terfikir-fikir betapa ada manusia yang sanggup menukar perwatakan sebenar, dia menyambut tangan Izzwan. Terasa kasar. Pantas dia menarik tangannya semula.
"Sorry. Aku memang lelaki." Izzwan lantas ketawa.
Apa lagi, Nadhira terus menampar belakang badan Izzwan dengan kuat. "Ambil kau!"
"Aduhhh... bisanya tangan kau!" Menyeringai Izzwan menahan pedih sambil cuba menggosok belakang badannya.
"Sedap kan? Boleh minta lagi kalau nak."
"Alah, kau ni... gurau pun tak boleh." Izzwan memuncung.
"Gurau benda lain tak apa. Tapi bab tadi memang taklah!" Nadhira menunjukkan ibu jari, mengejek Izzwan. Dia menoleh ke kiri apabila seorang gadis duduk di sebelehnya. gadis itu cantik dengan rambut lurus hampir ke pinggang persis model iklan syampu.
"Kita rakan sekelas, kan?" sapa gadis itu.
Nadhira menghulurkan salam. "Nad?"
"Eriya." Salam berjabat mesra.
"Nak salam jugak!" Izzwan menghulurkan tangan, menyeberangi Nadhira dengan muka selamba.
"Gatal!" Nadhira menampar bahu Izzwan.
Eriya tertawa melihat riak Izzwan yang menyeringai. Nadhira turut ketawa. Dia sengaja mahu mengajar Izzwan agar tidak bersalaman dengan perempuan sewenang-wenangnya biarpun dia perwatakan seperti perempuan.
Kelas yang tadi agak bising, serta-merta senyap. Seorang pensyarah wanita masuk.
"Kelas dah nak mula." Nadhira meletakkan jari telunjuknya ke bibir, isyarat diam. Dalam hati, dia ketawa dengan telatah Izzwan. Tak sangka dia boleh kenal dengan lelaki begitu. Juga si cantik manis Eriya. Dia sudah ada kawan sekarang! Senyumannya melebar.

KULIAH untuk hari ni sudah tamat. Nadhira tidak berhasrat hendak ke mana-mana. Tahir sudah dihubungi untuk mengambilnya sebagaimana yang dipesan Datin Ros. Semalam, Datin Ros menghadiahkannya Iphone sebagai ucapan tahniah kerana dia dapat melanjutkan pelajaran di universiti. Juga sebuah komputer riba. Terharu dia menerima pemberian itu. Apatah lagi, sudah bermacam-macam yang Datin Ros berikan padanya.
"Jom kita pergi kafe. Aku laparlah." Izzwan bersuara kala tiba di simpang jalan hendak menuju ke kafeteria.
"Tengah hari tadi kan dah makan. Lapar lagi?"
"Itu tengah hari tadi. Sekarang dah pukul 4.00 petang. Ah, tak kira! Kau kena temankan aku makan jugak." Izzwan menarik lengan Nadhira, beriak manja. Kalah perempuan!
Nak tak nak, terpaksa Nadhira mengekori jejaka itu. Lagipun Tahir masih belum sampai. Manakal Eriya sudah pulang ke kolej kediamannya. Ada janji dengan kawan.
Mereka mengambil tempat di satu sudut. Izzwan terus membeli makanan dan minuman. Tidak lama kemudian, dia muncul sambil menatang dulang.Dua gelas minuman dan dua pinggan nasi goreng kampung.
Mulut Nadhira terlopong. "Kau order untuk siapa ni?"
"Untuk kaulah..." Izzwan duduk. Disorong pinggan dan gelas untuk Nadhira. "Jom makan. Aku belanja."
"Aku kenyang lagi." Nadhira merenung nasi goreng yang bertelur goreng mata lembu dan lauk daging masak merah itu dengan rasa kasihan. Perutnya masih kenyang.
"Kau tu kurus sangat. Makan banyak sikit. Mari sini aku suapkan." Izzwan terus menyuakan sesudu nasi ke mulut Nadhira.
Nadhira ketawa. "Kau jangan nak mengada-ngada ek? Nanti orang ingat aku makwe kau." Dia melilau ke sekeliling kafe. Izzwan ni peramah sangat. Baru hari ni kenal. dah macam kenal sejak kecil.
Izzwan tersenyum. "Tak ada maknanya. Orang mesti ingat kita ni BFF. Kita kan sama jantina." Dia menyuapkan nasi tadi ke mulutnya sendiri.
Makin meledak ketawa Nadhira. "Perasan! Kalau dah jantan, jangan jugaklah," komennya sambil mencapai sudu dan garpu. Dia tidak mahu mengecewakan lelaki itu.
Ketawa Izzwan meletus. Dia menggeleng. Mulutnya sibuk mengunyah nasi. Berselera betul dia.
Nadhira menyuap perlahan-lahan. Terlepas nafas yang panjang. Tak ada hujan, tak ada ribut... tak pasal-pasal dia kena berkawan rapat dengan Izzwan. Nasib baik Izzwan okey. Cuma mungkin Izzwan masih keliru dengan identiti diri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience