BERGENANGAN air mata Nadhira. Dia rasa bersyukur kerana Datin Ros sudah tersedar semula dan sudah keluar dari wad ICU. Dia yang baru tiba di wad VIP bersama Tahir, perlahan-lahan menghampiri Datin Ros. Air mata yang gugur, dikesat cepat-cepat. Dia tidak mahu mummy angkatnya itu melihat muka sedihnya.
"Mari sini, Nad. Datin memang tunggu Nad sampai. Datin nak berbual dengan Nad." Mak Ida tergesa-gesa bangun, memberi tempat duduk kepada gadis itu.
Nadhira duduk di sisi Datin Ros perlahan-lahan. Wajah wanita itu yang sebelum ini ceria kini kelihatan pucat dan tidak bermaya. Malah, turut menggunakan alat bantuan pernafasan ventilator. Jiwanya dipukul pilu melihat keadaan Datin Ros. Tangan wanita itu dicapai dan digenggam penuh kasih.
Datin Ros tersenyum memandang wajah Nadhira yang menenangkan itu. Dia cuba membuka alat bantuan pernafasannya itu sebelum dibantu Nadhira.
"Syukur alhamdulillah mummy dah sedar semula, dapat tengok Nad lagi." Suara Datin Ros amat perlahan.
Senyuman Nadhira melirik, sedangkan matanya kembali bergenang. Pandangannya kabur. Kala matanya berkelip, gugur air jernih ke pipi. Sebak di dada bergumpal-gumpal.
"Jangan menangis, sayang..." Datin Ros mengesat air mata di pipi Nadhira.
Makin tersentuh hati Nadhira. Dia pernah merasa kehilangan ibu. Dia tidak mahu kehilangan mummy pula. Dia belum puas menumpang kasih seorang ibu.
"Macam mana pelajaran Nad? Tadi Nad ada kelas ya?"
Nadhira menyeka pipinya sebelum mengangguk, tidak mahu hanyut dengan emosi.
"Nad belajar sungguh-sungguh ya? Belajar sampai dapat diploma. Habis diploma, sambung degree pulak. Naufal pun macam tu jugak. Mummy nak anak-anak mummy berjaya di dunia dan akhirat." Walau agak tercungap-cungap, Datin Ros tetap mahu bersuara. Lemah dan perlahan.
"Insya-ALLAH, mummy..." Tangan Datin Ros dicium penuh kasih.
"Naufal tak balik?"
Nadhira menoleh memandang Tahir yang bersandar di dinding, mengharapkan pertolongan lelaki itu. Melihat Tahir mengangguk, dia menoleh ke arah Datin Ros semula. "Insya-ALLAH, Nad ambil dia kat Kuala Kubu petang ni."
Nafas Datin Ros kedengaran sangat lemah. Nadhira mahu memakaikan semula alat bantuan pernafasan pada Datin Ros, tetapi wanita itu menolak.
"Nad, mummy nak Nad janji sesuatu dengan mummy." Suara Datin Ros makin lemah.
Cepat-cepat Nadhira mengangguk. Air matanya mengalir semula.
"Janji pada mummy, Nad dan Naufal takkan tinggalkan rumah mummy walau apa pun yang terjadi."
Nadhira mengangguk lagi. Sebak hatinya. "Mummy, jangan cakap macam tu. Mummy akan sihat semula. Percayalah, mummy. Nad janji, Nad akan jaga mummy betul-betul. Nad takkan biarkan mummy jatuh lagi. Nad tak nak mummy sakit. Nad tak sanggup tengok mummy sedih." Matanya bagaikan hujan ketika ini. Cara Datin Ros bercakap seolah-olah permintaan terakhir, sehingga tidak sanggup dia hendak mendengar.
Mak Ida turut teresak. Dia berpaling ke arah lain.
"Insya-ALLAH, Nad. Tapi mummy nak Nad berjanji pada mummy. Janji dengan mummy yang tempat Nad cuma di rumah mummy. Nad dan Naufal anak mummy. Selama-lamanya anak mummy. Mummy sayang kamu berdua."
Nadhira merebahkan kepala di bahu Datin Ros. Di situ dia menangis semahunya. Dia tidak sanggup mendengar lagi. Dia tidak sanggup. Jangan lafazkannya lagi, mummy. Pedih hati Nad mendengarnya. Nad masih mahu menumpang kasih mummy.
Datin Ros mengusap-usap kepala Nadhira penuh kasih.
DI RUANG menunggu, Nadhira duduk di sebuah sofa menanti Tahir yang ke surau untuk sembahyang asar. Kemudian, mereka akan ke Kuala Kubu Baru untuk mengambil Naufal. Sambil-sambil itu dia membaca sebuah majalah kesihatan. Namun sebenarnya, fikirannya asyik terkenangkan kata-kata Datin Ros.
Itukah kata-kata seorang yang akan pergi buat selama-lamanya? Dia cuba menidakkan. Mungkin itu sekadar pesanan sahaja. Insya-ALLAH... Datin Ros akan sembuh. Doktar kata, Datin Ros hampir lemas ketika terjatuh ke dalam kolam renang. Akibatnya, paru-paru wanita itu dimasuki air. Sebab itulah dia diberi bantuan pernafasan dengan menggunakan alat ventilator dan dirawat di unit rawatan rapi. Keadaan kesihatannya diburukkan lagi dengan masalah asma yang dialaminya.
Mata yang bergenang disekanya. Majalah yang sedang dipegang dibacanya walaupun satu patah perkataan pun tidak masuk ke otaknya.
"Perlu ke kau menangis?"
Nadhira pantas menoleh ke arah lelaki yang baru sahaja duduk di sebelahnya.
"Tu air mata ke... Eye Mo?" soal Danish sinis.
Malas Nadhira hendak melayan Danish yang macam orang sawan. Tiba-tiba datang hendak menyindirnya. Dia hanya diam, tak kuasa hendak berloyar buruk atau membalas balik sindiran Danish.
"Oh... lupa pulak. Kat sebalah aku ni manusia tak ada telinga." Danish yang sedang mengunyah gula-gula getah bersandar selesa. Sejak Datin Ros terlantar di hospital, dia meminta Suhairi iaitu pembantu Danish untuk menguruskan kerja-kerjanya. Dia tidak mahu fikirkan soal kerja ketika ini selain mummynya.
"Disebabkan kau manusia tak ada telinga, bolehlah aku mengutuk kau. Kau mesti suka kan mummy terlantar kat hospital?"
Air mata Nadhira menitis mendengar kata-kata itu. Berat tuduhan Danish terhadapnya. Kalaupun dia jahat, tidak tergamak dia hendak menganiaya orang yang telah meneduhkannya dengan kasih sayang.
"Eeii... banyaknya Eye Mo kau. Mesti beli masa ada promosi beli satu percuma satu." Puas hati Danish dapat membuatkan Nadhira menangis. Dia mahu menyindir puas-puas.
Baru sahaj Nadhira hendak bangun, Danish menghalangnya. Dia nampak di wajah lelaki itu ada riak duka. Malah, kelihatan tidak terurus. "Cukuplah, bang. Nad tak faham kenapa abang macam nak cari pasal dengan Nad."
"Kau punca semuanya jadi macam ni. Kau!"
Nadhira beristighfar. "Ya ALLAH... Nad tak..."
"Memang mummy terjatuh sendiri. Tapi puncanya kau. Kau! Faham?" Potong Danish.
Mata Nadhira berkaca-kaca. Dia tiada kekuatan hendak menoleh ke arah Danish. Berdarah hatinya dibuat lelaki itu. Tolonglah... jangan tuduh dia sekejam itu. Mummy insan yang paling dia sayang.
"Nad..." Tiba-tiba satu suara kedengaran.
Nadhira berpaling ke arah suara itu. Tahir berdiri tidak jauh dari mereka. Dia berpaling memandang Danish. Kelihatan lelaki itu berpaling ke arah lain dengan wajah yang keruh.
Share this novel