TIDAK tertahan sebak yang menggelombang di dada Nadhira. Dipandang wajah Naufal yang menyegih. Dia tahu, adiknya itu sedang menyembunyikan rasa sedih.
"Semua barang adik dah ambil?" Nadhira berbasa-basi. Nada suaranya bergetar.
"Dah keluarkan semua barang dalam kereta kan, Abang Tahir?" Naufal tidak memandang kakaknya. Dia sudah nampak tanda-tanda 'hujan' akan turun. Hatinya pun bukanlah boleh dikeraskan kalau berhadapan dengan situasi begini. 12 tahun tidak pernah berpisah dengan Nadhira. Apatah lagi setahun kebelakangan ini mereka berdua melalui dugaan yang jerih sebagai anak yatim piatu.
"Semua barang abang dah keluarkan tadi. Tapi rasanya ada satu benda yang Naufal kena bawa." Tahir tersenyum, hendak menyakat.
Dahi Naufal berkerut sampai terangkat kening.
"Tu... kaklong Naufal tak nak bawa ke? Abang tengok berita pagi tadi punya ramalan cuaca, MRSM Kuala Kubu Baru ni kejap lagi hujan lebat."
Seraya itu juga Nadhira menepuk bahu Tahir kuat. "Jahatnya Abang Tahir ni!" Tidak semena-mena air mata yang dikawal tadi berderai ke pipi.
Tahir tergelak. "Tengok, dah hujan dah. Cepat buka payung tu, Naufal." Dia menuding payung yang dipegang Naufal.
"Abang!" Sambil menyeka air mata, Nadhira memukul bahu Tahir lagi. Dia ketawa dalam berhiba. Abang Tahir ni potong stim betullah. Orang baru nak 'touching'. Dia merungut di dalam hati.
"Kaklong, janganlah nangis. Aduh..." Naufal memandang ke arah lain. Matanya sudah berasa panas ketika ini. "Nanti cuti sekolah, adik baliklah."
Nadhira terus memeluk Naufal. Air matanya berjuraian lagi. Dia pasti merindui adiknya itu. "Jangan nakal-nakal kat sekolah. Ada masa, call kaklong."
"Ramalan cuaca tu tak silaplah. Hujan makin lebat ni. Kalau pakai payung pun tak guna. Payung tu pun boleh patah." Tahir masih hendak menyakat, tidak suka melihat dua beradik itu bersedih.
Nadhira dan Naufal ketawa mendengar lawak Tahir. Nadhira melepaskan pelukan. Memang tak boleh nak serius sikit kalau dengan Tahir. Nak suruh orang tergelak saja. Dia memandang jam tangan. Sudah hampir pukul 12.00 tengah hari. Waktu pendaftaran dan penyelesaian urusan yang berkaitan hampir tamat. Sekejap lagi semua pelawat diminta beredar dari kawasan sekolah itu.
"Jomlah, Nad... abang takut kat sini banjir. Masa pun dah time." Tahir masih dengan lawaknya, tidak kira sama ada orang tengah syahdu atau beremosi.
"Bye, adik... jangan nakal-nakal tau. Buat baik dengan semua orang," pesan Nadhira.
Naufal menyalami Nadhira.
"Dengar cakap cikgu. Kalau ada masalah, call kaklong cepat-cepat. Dah duduk asrama kena rajin. Basuh baju tu bersih-bersih..."
"Ya, ya... adik ingat. Dari kat rumah, lepas tu dalam kereta, sampailah kat sini... asyik cakap benda sama aje. Aduh, kaklong ni..."
Tahir menghamburkan tawa melihat muka Naufal yang kelat. "Nad ni macam nak duduk asrama dengan Naufal sekali."
Nadhira hanya tersenyum mendengar kata-kata Tahir.
"Kaklong jaga Motor baik-baik tau. Kirim salam kat dia." Naufal pula berpesan.
"Adik ni, dengan kucing pun kirim salam. Dengan mummy dengan Mak Ida tak nak kirim salam sekali?"
Naufal tersengih. "Kan adik dah salam mummy dengan Mak Ida sebelum ke mari. Dengan Motor je adik tak sempat jumpa pagi tadi. Entah ke mana dia merayau."
"Okeylah, adik. Kaklong balik dulu." Nadhira memeluk Naufal sekali lagi.
Belum pun keluar dari pagar sekolah itu, hatinya sudah merindui adik kesayangannya. Selepas ini, dia tiada teman hendak bergurau, main kejar-kejar, usik-mengusik dan ketawa bersama. Mesti hidupnya sunyi. Hatinya menangis.
Share this novel