Bab 29

Romance Series 9458

BERSEMANGAT Nadhira memasak ayam cacciotare, resepi baru yang dicuba daripada majalah Rasa. Datin Ros suka makan pasta. Memandangkan dia tiada kelas pada petang Khamis itu, dia berpakat dengan Mak Ida. Mak Ida tidak perlu menyediakan hidangan petang. Biar dia seorang sahaja yang bertungkus-lumus di dapur.
Dengan penuh berhati-hati sambil merujuk majalah tersebut, akhirnya pasta yang dimasak menjadi. Tidak sangka dia ada bakat membuat makanan barat. Bau ayam, lada benggala dan tomato puri semerbak satu dapur. Kecur liurnya. Baru sahaja dia hendak mencedok pasta itu masuk ke dalam mangkuk besar, Danish muncul dengan muka masam.
Danish terbersin. Macam dibuat-buat.
"Alhamdulillah..." sambut Nadhira.
"Sibuklah!"
"ALLAH suka tau kalau kita bersin lepas tu cakap 'alhamdulillah'. Ingat senang ke nak bersin? Ada orang sampai nangis-nangis sebab nak bersin tapi dia tak boleh bersin. Lain kali lepas bersin cakap 'alhamdulillah' tau, bang?" Sempat pula Nadhira bertazkirah.
"Eleh... sibuk je." Danish merungut walau dalam hati mengakui kebenaran kata-kata Nadhira itu. "Kau masak apa ni? Sampai terbersin aku cium bau entah apa benda entah."
Nadhira hendak menjawab tetapi tidak tahu bagaimana sebutan yang betul untuk resepi ayam cacciotare. Dia tahu baca sahaja. Buatnya sebutannya tidak seperti yang dia sangka, nanti Danish gelakkannya pula.
"Manusia tanpa telinga," sindir Danish.
"Adalah! Ada dua lagi. Nad bukan apa, bang. Kalau Nad sebut nama masakan ni, nanti abang kata Nad riak pulak. Nad tak naklah macam tu. Nad ni bukannya pandai sangat masak. Tengok ni..." Nadhira menunjukkan majalah Rasa yang dirujuknya tadi. "Masak pun sambil tengok majalah baru reti masak. Tapi tak sangka pulak menjadi. Baunya, ahh... sedap! Rasanya, lagilah sedap. Abang nak rasa tak?"
Danish mencebik. "Tengok pun dah tahu tak sedap. Cakap dengan kau ni boleh buat tekak aku perit. Nak minum airlah." Dia mencapai gelas yang paling hampir dengan peti sejuk. Air soya kotak dituang dan diteguk sekali.
Dalam hati ada rasa geram yang membuku. Dia hendak menyakitkan hati Nadhira, tetapi gadis itu ada sahaja kata-katanya yang buat dia susah hendak marah. Tak apa... dia akan berusaha menyakitkan hati gadis itu.
Nadhira melihat aksi Danish itu dengan ekor mata.
"Minum air kat sini rasa nak muntah. Wekk..." Danish masih mahu menyakiti hati Nadhira. Tapi, Nadhira bukan jenis manusia mudah terasa hati.
"Rasa nak muntah? Mana taknya. Abang minum tak baca 'bismillah'. Lagi satu orang cakap, Kalau kita minum air rasa nak muntah, tu tandanya orang tu sedang menghidap penyakit berbahaya yang boleh membawa maut," Kata Nadhira serius. "Nama penyakit tu penyakit asplamuntahdarahoi kalazur." Dia sendiri rasa hendak ketawa kala menyebut nama penyakit itu. Mulutnya terkemam-kemam menahan ketawa.
Danish merenung tajam muka Nadhira. Dia tahu Nadhira buat lawak, tapi dia tiada hati hendak ketawa.
"Tak kelakar ke?" Nadhira menunjuk muka pelik. Dia sengaja sebenarnya. Nak lawan api kenalah dengan air. Dia masih pegang konsep itu.
Senyuman Danish terukir sinis. Gelas yang dipegang diangkat tinggi-tinggi hingga paras mukanya. Wajah Nadhira ditatapi hingga terangkat sebelah keningnya. Lalu gelas tersebut dilepaskan. Pecah berderai terhempas ke lantai. "Opss... tangan ni licin pulak"
Lantai dapur berkecah dengan kaca gelas dan air soya yang merebak basah.
Nadhira menggeleng. "Abang, abang... kenapalah perangai abang ni tak semenggah?"
"Buat kerja, buat kerja... Lap lantai ni sampai bersih. Apalah nak jadi perempuan sekarang ni. Pemalas betul!" Lalu Danish melangkah mahu berlalu dari situ.
"Berhenti!" jerit Nadhira bagai hendak pecah rumah itu.
Tidak jadi Danish hendak melangkah. "Jangan menjerit boleh tak, pontianak?"
Nadhira tidak menghiraukan kata-kata itu. Cepat-cepat dia menghampiri Danish, lalu tunduk mengutip serpihan kaca yang betul-betul berdekatan dengan kaki Danish. Setelah memastikan tiada lagi kaca yang menghalang laluan Danish barulah dia memandang lelaki itu.
"Okey, jalan!" Nadhira menunjukkan isyarat 'okey'.
Danish bagaikan hendak menangis saat itu juga. Setiap kali dia hendak menyakitkan hati Nadhira , tidak pernah menjadi. Ada sajaha loyar buruk gadis itu. Dan hari ini, Nadhira menyelamatkanya daripada terpijak kaca yang dia sendiri punya angkara. Ironinya...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience