Bab 37

Romance Series 11141

SEKALI lafaz sahaja, Nadhira kini sah bergelar isteri Danish. Ruang tamu banglo itu menjadi saksi. Hanya ada Mak Ida, Naufal, Tahir dan isterinya, Haryati serta dua orang anaknya, empat orang pegawai jabatan agama dan jurunikah.
Nadhira duduk bersimpuh di satu sudut sambil menunduk hiba. Air mata yang gugur perlahan di pipi diseka. Mak Ida yang duduk di sebelah menepuk lembut bahu Nadhira, menyabarkannya. Dia faham perasaan gadis itu yang terpaksa dalam rela.
Majlis yang terlalu ringkas itu berakhir jua. Setelah tetamu pulang, Nadhira membantu Mak Ida di dapur. Pinggan mangkuk yang kotor dibasuh. Sambil membasuh, dia teringat wajah Naufal yang mencuka. Selesai akad, adiknya itu terus masuk ke dalam bilik, seperti memberontak. Terlepas keluhan berat. Selepas ini, dia akan cuba memujuk Naufal. Dia tahu Naufal sayangkannya dan takkan merajuk berlama-lama.
Sesudah membasuh, dia mengemas pula. Sengaja dia menyibukkan diri, tidak mahu berfikir tentang diri yang kini sudah bertukar status.
"Pergilah berehat, Nad. Mak Ida boleh siapkan semua ni. Bukannya banyak sangat," tegur Mak Ida yang sedang menyapu sampah di dapur. Dilihat Nadhira sibuk mengelap pinggan mangkuk untuk disimpan ke dalam kabinet.
Nadhira hanya diam. Kata-kata Mak Ida tidak masuk langsung di otaknya. Fikirannya menerawang, teringat bagaimana reaksi Danish yang serius sepanjang malam ini. Ketika Danish menyarungkan cincin ke jari manisnya, dia dapat rasa sentuhan lelaki itu yang hanya ala kadar. Menyentuh acuh tak acuh. Semasa mereka bersalaman selepas itu, Danish cepat-cepat menarik tangannya. Sedihnya diperlakukan begitu. Setitis air matanya mengalir ke pipi.
Mak Ida perasan. Lekas-lekas dia menghampiri. Dipegang kedua-dua bahu gadis itu. "Ya ALLAH... Nad, jangan macam ni. Mak Ida tengok Nad asyik menangis. Nad... ni jodoh Nad. Jangan sesekali menyesal. Insya-ALLAH... Nad akan bahagia dengan dia. Mak Ida doakan untuk Nad setiap hari. Ya?" Direnung wajah gadis itu penuh kasih.
Makin berjuraian air mata Nadhira. Dipeluk tubuh Mak Ida dengan erat. Bahagiakah perkawinannnya dengan Danish? Mustahil! Danish tak cintakannya. Hanya dia yang bertepuk sebelah tangan.
Mak Ida mengusap-usap belakang Nadhira, memujuk agar gadis itu bertenang. Dia sebenarnya turut sedih. Danish sangat ego. Siap berpesan supaya merahsiakan perkahwinan itu. Pada Tahir, Haryati dan Naufal pun dipesan begitu. Mereka terpaksa akur atas dasar hormat. Danish majikan mereka.
"Nad takkan bahagia, Mak Ida. Tak mungkin. Abang Danish sejak awal lagi tak suka pada Nad." Nadhira teresak.
"Jangan cakap macam tu. Jangan cakap Nad takkan bahagia. Apa yang kita cakap tu satu doa. Mak Ida tak nak Nad susah hati. Mak Ida nak tengok Nad gembira, bahagia..."
Nadhira diam. Mak Ida tidak rasa apa yang sedang dialaminya. Dia yang perlu berdepan dengan Danish setiap hari.
"Sudah, jangan nangis lagi." Mak Ida menyeka pipi Nadhira yang basah dengan air mata. "Orang yang banyak menangis, makin banyak mengalah. Nad kena kuat. Tunjukkan pada Nish yang dia tak rugi beristerikan gadis secomel Nad," pujuknya lagi.
Suara Mak Ida benar-benar menyamankan hati. Nadhira terpujuk biarkan dia tidak merancang buat masa ini. Dia hanya mahu teruskan hidup sebagai pelajar yang cemerlang dan kemudian menjawat pekerjaan yang baik. Itu sahaja.
"Nad, pergilah berehat. Kerja-kerja ni Mak Ida boleh buat. Memang kerja Mak Ida pun. Nad sekarang dah jadi 'mem' besar," usik Mak Ida lalu tersenyum.
"Mak Ida..." Nadhira mula memuncung bibir, pura-pura marah wanita itu memanggilnya begitu.
Mak Ida mencuit hidung Nadhira sambil ketawa. "Dah, pergi naik. Kalau tak, Mak Ida panggil Nad 'mem' besar."
"Pandai Mak Ida mengugut ya?"
Mak Ida ketawa sambil mencapai kain pengelap dari tangan Nadhira.
Nak tak nak, Nadhira turutkan jua. Baju kurung warna putih yang menjadi persalinan majlis nikah tadi sudah kebasahan sedikit ketika membasuh pinggan mangkuk tadi. Dia hendak menukar pakaian yang layak jadi baju ke kuliah itu.
Dia yang beli baju itu sendiri. Kalau ikutkan hati, dia hendak pakai baju kurung kain kapas corak polka dot. Biar semua orang terkejut unta! Mengenangkan Danish sudah memberi duit dan menyuruhnya membeli sendiri baju kurung warna putih, diturutkan sahaja.
Hanya beberapa langkah hendak sampai ke pintu bilik, dia terkeju apabila tangannya ditarik Danish yang muncul entah dari mana. Lalu dia diheret mendaki tangga ke tingkat atas.
"Eh, eh... apa ni?" Danish dah gila ke? Gelojoh sangat sampai tak menyempat-nyempat. Dia kan tak cintakan aku? Takkan tak cinta tetapi bernafsu jugak? Dipukul-pukul tangan Danish agar melepaskannya. "Lepaskan! "Lepaskanlah!"
Wajah Danish tegang tanpa mempedulikan rentapan Nadhira. Tangannya makin kejap memegang lengan gadis itu. Ditarik Nadhira sampai ke biliknya.
Setelah mereka masuk ke dalam bilik, Danish segera mengunci pintu. Sesudah itu, dia memandang tajam ke arah wajah Nadhira.
Nadhira tak tentu arah. Dia berundur setelah Danish melepaskan tangannya. "Abang jangan nak buat apa-apa. Konon kata terpaksa kahwin dengan Nad. Ni apasal abang gelojoh pulak ni? Nad tak benarkan abang buat apa-apa kat Nad!"
Danish tertawa sinis. "Apa benda kau melalut ni? Kau ingat aku 'berselera' tengok kau?"
"Habis tu, yang abang tarik Nad masuk bilik apa kejadahnya? Kalau abang buat apa-apa, Nad menjerit." Walaupun Nadhira cintakan Danish, dia tidak mahu menyerahkan kepada orang yang tidak cintakan dia.
"Jeritlah... nanti Mak Ida ingat kau ghairah sangat." Danish menjeling geram. Perasan betul! Dia duduk di birai katil.
Mata Nadhira terbeliak. Ah, sudah... dia duduk kat katil pulak! Direnung Danish semacam. Dengan baju tanpa lengan dan seluar boxer paras lutut, ingat seksi ke?
"Duduk situ!" arah Danish tegas sambil menunjukkan ke arah sofa di hadapan katil.
Nadhira teragak-agak. Apa dia nak buat ni? Ya ALLAH... berikanlah aku kekuatan. Dalam pada berjaga-jaga, dia duduk juga di sofa itu. Sempat dia melilau melihat suasana bilik Danish yang sangat luas itu. Dua kali ganda besar dari biliknya. Cantik pula tu. Tema moden warna merah putih. Patutlah tak bagi orang lain masuk bilik dia. Takut orang curi idea tema bilik dia gamaknya.
"Kau ni jakun ke? Tak pernah tengok bilik orang. Mata macam nak terjojol tengok bilik aku. Ni bilik akulah. Bukan bilik kau!"
Nadhira memandang Danish semula. Eleh... ingat Nad hairan sangat dengan bilik abang ni? Dia mencebik dalam hati.
"Kau dengar tak apa aku nak cakap ni? Dengar betul-betul. Dahlah kau tu tak ada telinga! Aku cakap lain. lain pulak yang kau buat!" Danish duduk bersila pula. Wajahnya tetap serius.
Jelingan tajam Nadhira kerlingan pada Danish. Dia duduk dengan lebih relaks sambil berpeluk tubuh, bereaksi bosan.
"Macam yang aku cakap sebelum ni, kau tak boleh beritahu siapa-siapa pun yang kau dah kahwin dengan aku! Faham?"
Mahu sahaja Nadhira meletakkan tangan di bahu dan mata memandang ke atas. Asyik ulang benda yang sama je. Bosan! Dia menjeling.
"Eeii... aku korek jugak mata kau tu! Menjeling tak sudah-sudah!"
"Mana ada Nad jeling. Mata Nad ni rasa macam nak pandang atas je. Lepas tu tangan macam nak letak kat bahu."
"Hah?!" Danish bingung.
Tergeleng-geleng Nadhira sesudah itu. "Tak, tak.."
"Ingat ya? Ingat dalam kepala otak tu. Kita tak boleh bagitahu sesiapa yang kita dah kahwin. Siapa yang bagi tahu, dia akan..." Apa ya? Danish berfikir seketika. "Dia akan dipanah petir."
"Panah petir?" Berkerut dahi Nadhira.
"Ya. Aku sumpah... sesiapa yang bocorkan rahsia kita dah kahwin, dia akan dipanah petir. Faham? Kau tu bukan senang nak faham orang cakap apa. Lembab!"
Menyelinap rasa pilu di hati Nadhira. Namun, dikeraskan hatinya agar tidak tunjuk rasa sedihnya itu. "Ya, Nad tahu. Abang Nish nak bagitahu Nad supaya jangan mengaku yang Nad ni bini abang. Abang buat hal abang. Nad buat hal Nad. Tak ada sesiapa boleh masuk campur hal masing-masing. Tak payahlah nak cakap banyak kali, Nad boleh faham." Entah kenapa, ada sebak di dada ketika melafazkan kata-kata itu. Dia menahan rasa. Kerongkong terasa ketat untuk bersuara lagi. Matanya mula panas.
Danish melepaskan nafas panjang, terkesan nada suara Nadhira yang sedikit merendah. "Kita bernikah hanya kerana amanah arwah mummy. Kalau kau rasa terpaksa, aku lagi rasa seribu kali terpaksa." Dia melepaskan nafas lemah sekali lagi. "Entah kenapalah arwah mummy nak aku kahwin jugak dengan kau. Dahlah kau tu..." Dia tidak jadi hendak meneruskan ayatnya. Dia tidak mahu hal ini bocor. Tak ada guna memanjangkan cerita. Kisah silam itu sudah berlaku. Masalahnya, dia pula yang kena berdepan dengan 'kisah silam' itu.
Nadhira bangun dan mendepani Danish secara berani. "Kenapa dengan Nad?" Selama ini dia belum pernah mendengar Danish menghinanya sebagaimana Faiz pernah buat padanya dulu. Andai Danish turut mahu mengejinya seperti Faiz, akan dikuburkan cinta dalam hatinya untuk lelaki itu.
Danish turun dari katil lalu menjauhi Nadhira dengan muka berang. "Tak ada apa-apalah. Eeii... sibuk betul!"
Nadhira menahan rasa. Entah kenapa dia tidak sanggup andai Danish menghinanya. Kala mata dikerlipkan, terasa air jernih mengalir lesu di pipi. Cepat-cepat dia membelakangkan Danish. Disekanya hingga kering.
Saat sedih begini, terbayang arwah ibunya yang amat dirindui. Ingin benar dia hendak mengadu pada arwah Hafizan. Apalah dayanya. Dia terpaksa memendam segala rasa di dalam hati. Dia menangis dan terus menangis... hingga tertidur bersama air mata.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience