BUAT julung-julung kali pada malam itu, Nadhira makan semeja dengan Danish. Jika tidak, hanya dengan Datin Ros, Mak Ida dan Naufal. Ada rasa kekokyang mengikat diri. Sudahlah petang tadi dia melanggar Danish. Aduh... sengaja cari masalah!
Renungan lelaki itu ke arahnya tajam. Macam ada pisau!. Boleh terbelah tubuhnya kalau lama-lama direnung begitu. Tertelan liur dia dibuatnya. Sedaya upaya dia cuba berlagak seperti biasa. Kerana terlalu menggelabah, tidak sedar dia makan nasi tanpa mengunyah. Ditelan terus sebutir-butir.
Naufal yang perasan kelakuan kakaknya, menyenggol lengan Nadhira. Mukanya berkerut pelik. Nadhira yang terkantoi dengan Naufal, cepat-cepat meneguk minumannya sambil menyorokkan wajah gelabah.
"Dah lama mummy tak makan dengan Nish." Datin Ros memecah kesunyian dengan wajah ceria. Malah, dia kelihatan lebih bersemangat menikmati makan malam.
"Nish suapkan mummy, nak tak?" Danish mahu mengambil hati.
"Tak perlu susah-susah, sayang. Dapat makan malam dengan Nish pun dah rasa bahagia." Jelas kelihatan wajah Datin Ros sentiasa senyum.
Nadhira memerhati tindak-tanduk Danish. Baiknya hati lelaki itu. Nampak ikhlas sangat melayan Datin Ros. Lauk yang diletakkan di tepi pinggan Datin Ros teratur susunannya. Malah, siap memotong ketulan lauk ayam menjadi potongan kecil.
"Mak Ida gembira sangat tengok Datin berselera." Tiba-tiba Mak Ida mencelah.
Danish meletakkan sudu dan garpunya. "Sejak akhir-akhir ni memang Nish sibuk sangat. Nish minta maaf, mummy. Dapat balik rumah pun sekejap-sekejap je. Sorry..." Ada nada sayu pada suara itu.
"Tak apa, sayang. Mummy faham. Nish banyak kerja nak kena buat. Nak kena uruskan restoran-restoran kita, gim, dewan futsal..." Datin Ros terdiam seketika. "Nish penat ke? Nak mummy gajikan orang untuk buat kerja-kerja Nish ke?"
Nadhira yang mendengar terasa macam matanya hendak jatuh melompat-lompat. Patutlah Datin Ros kaya-raya. Rumah besar. Macam-macam bisnes dia ada rupa-rupanya.
"Eh... tak, mummy. Nish okey, tak ada masalah." Danish menolake cadangan itu.
"No, sweetheart. Mummy dah lama fikir tentang ni. Memang Nish berkaliber menguruskan semuanya. Tapi mummy nak Nish ada ruang untuk diri sendiri. Mummy akan ambil pembantu untuk tolong anak mummy ni," putus Datin Ros.
Nish tidak membantah walau rasa tidak perlu ada pembantu. Staf-staf yang dia ad semuanya bagus menjalankan tanggungjawab. "Bagus jugak cadangan Datin tu." Mak Ida tersenyum meleret. "Mak Ida gembira bila tengok Nish ada kat rumah. Muka Datin ceria bila Nish ada."
Nadhira yang sedang mengunyah nasi sempat memandang wajah Danish sekilas. Untungnya jadi anak tunggal. Diberi sepenuh kasih sayang.
"Esok, keluarkan arahan untuk cari ketua pengurus. Atau Nish nak naikkan salah seorang pengurus yang ada sekarang ni? Yang Nish rasa sangat berwibawa dan boleh diberi sepenuh kepercayaan? Cara tu mummy rasa lebih efektif. Dah tentu orang tu faham perjalanan syarikat dan tahu menguruskannya."
Danish memandang Datin Ros seketika sebelum menyuap sesudu nasi. "Nanti Nish fikirkan. Mummy dah ada calon ke?"
"Semua staf Nish bagus-bagus. Nish pilihlah staf yang sesuai. Irfan tu pun bagus jugak. Dia komited," cadang Datin Ros. Kasihan Nish. Sejak arwah suaminya meninggal, Danish yang bertungkus-lumus menguruskan semuanya. Padahal ketika itu. Danish baru sahaja tamat kursus ijazahnya.
Nadhira langsung tidak menyampuk, hanya mendengar dan memerhati. Bicara orang kaya bukannya mudah difahami orang kampung macam dia. Bincang pasal bisnes pula. Lagilah dia tidak tahu-menahu. Hai... alangkah seronoknya jadi Danish. Dia mula berangan-angan Mat Jenin.
SETELAH mengemas meja, Nadhira membasuh pinggan mangkuk kotor dan kemudian mengemas dapur, dia menghidangkan kopi O panas untuk Datin Ros, Danish dan Mak Ida.
Sesampai di ruang tamu, kelihatan Mak Ida sedang memicit-micit tangan Datin Ros sambil duduk menghadap televisyen di sofa. Danish tiada di situ. Barangkali sudah ke biliknya di tingkat tiga. Tingkat itu tingkat larangan. Sesiapa sahaja tidak dibenarkan ke situ kecuali Mak Ida.
Sebab apa tidak dibenarkan, Mak Ida tidak memberitahunya pula. Ada berlian berjuta-juta biji kot. Entah-entah bilik Danish macam kandang kambing. Bersepah-sepah dan busuk. Tak pun, sebab Danish ada tampal poster artis pujaannnya. Wah... pandai-pandai je dia buat persepsi. Dia tertawa di dalam hati.
Setelah menuangkan kopi O untuk Datin Ros dam Mak Ida, dia bercadang mahu ke bilik Naufal dan membantu adiknya itu mengulangkaji pelajaran. UPSR tinggal dua bulan sahaja lagi.
"Datin... Nad naik atas dulu ya? Nak tolong Naufal buat kerja sekolah," pinta Nadhira.
"Nad, tolong hantarkan air kopi untuk Danish. Dia kat kerusi taman."
Tatkala mendengar perintah Datin Ros itu, Nadhira rasa hendak tercekik. Dia kena hantar air kopi O untuk Danish? Alamak... ada rasa yang 'menggaru' di hati. Tapi nak mengelak, macam mana? Ini perintah Datin Ros. Nak tak nak terpaksa juga dia menghadap lelaki itu.
Sepanjang jalan ke taman, dadanya berdebar-debar bagai nak gila. Selama dia duduk di rumah Datin Ros, tidak pernah dia melihat Danish tersenyum padanya. Nak tersenyum apanya kalau nak jumpa pun payah. Jumpa pun sekadar terserempak sahaja. Nak berbual? Jangan haraplah. Petang tadi lepas kena rempuh barulah Danish hendak 'berborak' dengannya.
Dia sudah nampak kelibat Danish sedang bersandar tenang di kerusi batu berdepan kolam renang. Sempat dia mengambil nafas panjang untuk menenangkan diri. Risau betul kalau kena 'sembur' macam petang tadi. Danish tu sesekali bila bercakap, pedih juga telinga yang mendengar.
Kala dia meletakkan secawan kopi O di meja di hadapan Danish, lelaki itu tersentak kerana terkejut. Cepat-cepat dia bersuara, takut kena 'sembur' lagi. Setelah menarik nafas dalam-dalam, dia melafazkannnya sekali gus tanpa berhenti.
"Datin suruh Nad hantar air kopi ni untuk Abang Nish kat sini. Abang jangan marah Nad. Nad ikut arahan je. Tapi kalau Abang Nish nak marah jugak, Nad tak kisah. Kalau abang tak nak minum, Nad boleh minumkan. Tapi memang Datin yang suruh. Nad tak tipu."
Danish mendongak memandang Nadhira dengan dahi berkerut. "Apa benda yang kau cakap ni?"
Nadhira tertelan liur. Laju sangat ke aku bercakap tadi? "Err...Datin suruh saya hantar air kopi ni."
"Yang kau cakap panjang-panjang tadi tu cakap benda tadilah?" Danish tersengih menyindir, membuatkan hati Nadhira terbakar. Tapi dia masih tenang.
"Nad minta maaf pasal petang tadi. Serius. Nad memang tak sengaja. Tak tahu langsung Abang Nad nak masuk dalam rumah. Yang Nad pulak berlari ke luar dari rumah. Tu yang bertembung tu. Accident berlanggor kata orang Perok. Maafkan Nad ya?" Nadhira ambil kesempatan itu untuk minta maaf. Rasa bersalah masih berbelit di hati.
"Tak sudah-sudah nak minta maaf," sindir Danish, lalu menghirup seteguk kopi O.
Eh, eh...orang minta maaf, dia cakap macam tu pulak? Eeii... berlagak betul!
Malas hendak layan orang yang hidung tinggi, dia berlalu dari situ. Baru beberapa langkah, dia berpaling semula memandang belakang tubuh Danish yang enak bersandar. Eeii... geramnya aku dengan dia ni! Muka handsome, baik budi dengan mak sendiri... tapi ada perangai anak orang kaya yang berlagak.
Terdorong oleh rasa geram, dia menjelirkan lidah mengejek Danish.
"Wek, wekk, wekkk..." ejeknya perlahan.
Masih belum puas hati, dia meletakkan kedua-dua ibu jari ke pipi kiri dan kanan sambil menggoyang-goyangkan tangan.
"Wek, wekk, wekkk..." ejeknya lagi. Biarkan! Bukan Danish nampak pun apa yang dia buat. Yang penting dia puas hati.
"Pergi kedai beli terompah, muka berlagak orang menyampah. Wek, wekk, wekkk..." kerana geram, sampai berpantun-pantun pula dia. Aksinya masih sama. Kali ini, makin berligat gelekan punggungnya. Puas betul hatinya dapat buat begitu pada Danish walaupun hanya di belakang lelaki itu.
"Wek, wekk..." Belum sempat dia menghabiskan ejekan, tiba-tiba Danish berpaing ke arahnya. Pucat wajahnya mendapat renungan danish yang sangat menggerunkan itu.
Perlahan-lahan dia menurunkan tangan dan berdiri tegak semula. Dia berpaling membelakangkan Danish lambat-lambat. Terpejam-pejam matanya, takut dijerkah Danish. Sambil berdoa Danish tidak memanggilnya, dia melangkah. Lagi beberapa langkah sampai ke pintu, cepat-cepat dia berlari macam lipas kudung masuk ke dalam rumah tanpa menoleh sehingga tiba di dalam bilik.
Pintu bilik segera dikunci. Fuh, lega... nasib baik tak jadi apa-apa. Seketika, dia mengekek mentertawakan diri sendiri. Cari pasal lagi buat apa? Padan muka!
Share this novel