ERAT genggaman Nadhira di tangan Naufal. Sepanjang perjalanan genggaman itu tidak diepaskan. Nadhira memandang Naufal yang sudah terlentok tidur di bahunya. Di dalam hati tidak putus-putus dia berzikir dan berdoa. Mudah-mudahan keputusannya betul.
Dari jauh sudah kelihatan Menara Kuala Lumpur dan Menara KLCC. Dia tergaman. Inilah kali pertama dia menjejakkan kaki ke kota raya ini. Sebelum ini dia hanya menonton di televisyen sahaja.
"Adik, bangun. Kita dah sampai," bisiknya. "Cepat bangun, dik." Dia perasan Tahir menjelingnya melalui cermin pandang belakang. Dia buat-buat tidak perasan akan jelingan Tahir itu.
Naufal yang sudah tersedar, menenyeh-nenyeh matanya. Tersedar yang dia kini berada di Kuala Lumpur, dia mendekati cermin tingkap di kanannya. Ralit dia memandang bangunan yang tinggi mencakar langit itu.
"Dah bangun pun. Jalan jauh-jauh kalau tidur je tak guna." Tahir memandang Naufal dari cermin pandang belakang.
Naufal tidak peduli. Pandangannya bagai terpaku melihat bangunan-bangunan tinggi. Kuala Lumpur sangat mengagumkan berbanding Teluk Intan.
"Jauh lagi ke, Abang Tahir?" tanya Nadhira yang sudah mula rasa lenguh kerana terlalu lama duduk.
"Dari Perak dah sampai KL baru nak tanya? kalau abang bawa sampai Golok macam mana?" perli Tahir lalu ketawa.
Terasa pedih telingan Nadhira diperli begitu. "Kalau abang bawa saya pergi tempat tak senonoh, kerja yang bukan-bukan, yang dilaknat ALLAH, buat benda jenayah... siap abang!" Dia mengingatkan dengan tegas.
Tahir tergelak kuat pula, membuatkan Nadhira gerun. Hatinya berasa tidak sedap. Lain macam je cara Tahir ketawa. Kedengaran macam orang jahat ketawa. Dia dan Naufal berpandangan seketika.
"Abang jangan ingat saya ni budak kampung, saya bodoh. Sebelum saya ikut abang ke mari, saya dah buat report polis!" Nadhira memberi amaran.
Tahir masih ketawa. Tenang dia memandu tanpa memperdulikan amaran Nadhira.
"Bukan polis je, jiran saya, ketua kampung , JKKKK.... semua saya dah bagi tahu yang saya ikut abang." Nadhira menambah cerita pula, biar Tahir gentar. "Kalau dalam masa dua hari saya tak call dia orang, dia orang akan cari abang sampai ke lubang cacing!"
"Cari abang kat lubang cacing buat apa? carilah kat lubang hidung," gurau Tahir. Kemudian dia ketawa.
Nadhira geram. "Orang cakap betul-betul, dia main-main pulak," rungutnya.
Tapi, memang betul dia sudah melaporkan diri di balai polis. Nombor telefon Tahir diberikan kepada pihak polis demi keselamatan diri. Keputusan mengikut Tahir dibuat setelah bermimpi Tahir berdiri di lorong yang terang. Dia tidak nampak jalan lain selain lorong di tempat Tahir berdiri.
Sesudah seminggu, mimpi itu berulang lagi. Setelah berfikir semasak-masaknya dan berbincang dengan Naufal, dia memutuskan untuk menghubungi Tahir. Mungkin sudah rezekinya. Kerja pembantu rumah yang dikatakan lelaki itu masih ada lagi.
Tapi, kini hatinya berasa sangsi pula. Tidak benarkah petunjuk dalam mimpinya berkat istikharah? Dadanya berdebar-debar. Dipegang tangan Naufal lebih erat.
"Kita dah sampai KL. Nad jangan harap dapat lari dari abang. Nad kena dengar cakap abang."
"Kalau apa-apa jadi pada kakak saya, sampai mati saya berdendam dengan abang!" marah Naufal.
Nadhira berasa lega kerana Naufal berani bersuara. Dia menunjukkan ibu jari tanda 'bagus'. Tetapi ugutan Tahir itu benar-benar mengganggu fikirannya. Teringat drama Melayu yang pernah ditonton. Konon-konon hendak bekerja di bandar. Rupa-rupanya dijual pada mak ayam. Oh, tidak! Aku tak nak jadi pelacur!
Hati Nadhira berdebar-debar. Digenggam tangan Naufal dengan erat. Jangtungnya berdegup kencang. Entah apa yang terpaksa dihadapinya selepas ini.
"Kita dah sampai. Jom keluar! Jangan nak tunjuk lagak kat sini. Jangan berani-berani nak larikan diri!" Tahir memberi amaran sebelum membuka pintu kereta.
Nadhira menelan liur. Lambat-lambat dia keluar dari kereta. Naufal juga keluar sama. Kedua-dua mereka terbeliak melihat apa yang terbentang di hadapan mata. Amukan debadan di dada semakin ganas.
Share this novel