Bab 21

Romance Series 9311

"Adik... kita tak bermimpi, kan?" Nadhira melepaskan nafas panjang. Tanpa membuka terlekung setelah bersolat isyak, dia berbaring di atas katil Naufal. Dada siling ditatap kosong.
"Kalau kaklong nak bermimpi, pergi tidur dalam bilik kaklonglah," rungut Naufal. Dia meletakkan songkok di atas meja solek. Sejadah yang mereka gunakan semasa sembahyang tadi, disangkutkan ke rak tepi almari.
"Kaklong tidur dengan adik malam ni boleh tak?"
"Apa kaklong ni? Tak malu ke tidur dengan orang lelaki? Kaklong tu perempuan. Orang perempuan mana boleh tidur dengan orang lelaki," bebel Naufal.
"Adik tu adik kandung kaklong. Nak malu apa?" bantah Nadhira.
"Tak naklah! Dah... bangun! Adik nak tidur. Esok nak bangun pagi." Naufal duduk di tepi birai katil sambil menolak-nolak kaki Nadhira.
"Alah... kejaplah. Kaklong nak berehat. Adik ni kedekutlah. Kaklong tengah susah hati ni."
"Susah hati kenapa? Pasal Datin?"
Nadhira mengangguk.
Suasana sepi seketika. Masing-masing melayani perasaan sendiri. Terimbas semula apa yang Datin Ros katakan siang tadi.
"Kaklong rasa macam mimpilah, dik. Apa yang berlaku dalam hidup kita ni memang macam dalam mimpi. Kaklong tak sangka langsung kita boleh duduk dalam rumah banglo sebesar ni. Hidup kita dah senang sejak duduk kat rumah ni. Pelajaran adik pun makin bagus. Berbeza masa adik sekolah kat kampung. Dan sekarang, Datin nak kita jadi anak angkat dia pulak. Lagilah kaklong tak percaya." Nadhira memicit-micit kepalanya. Terlepas keluhan yang panjang dari bibir.
"Kaklong ni, patutnya kita bersyukur tau dapat jadi anak angkat Datin. Mungkin sebab dia tengok Naufal ni baik, pandai pulak tu... tu sebab Datin nak kita jadi anak angkat dia." Naufal mengangkat diri sendiri dengan senyuman bangga.
"Tak ada maknanya!" Nadhira mencebik walaupun hatinya mengiakan. Naufal memang budak baik. "Kaklong musykil sebenarnya." Dia melepaskan nafas panjang sekali lagi. Entahlah... sukar untuk menerangkan dengan kata-kata.
"Bersyukurlah!" Naufal sedikit rimas dengan keresahan kakaknya itu.
"Ya, ya... tahu. Memang kaklong bersyukur. Bersyukur sangat-sangat." Nadhira menarik wajah muncung. Bukan dia tidak reti bersyukur, tapi ada sesuatu yang mengusik-usik hatinya. Dia merenung siling tanpa dapat berfikir lagi. "Tapi Abang Danish macam tak sukalah, dik. Kaklong nampak muka dia masam je."
"Adik pun perasan jugak. Kalau dia nampak adik, tak pernah senyum. Dia orang jahat ke, kaklong?"
"Dengan kaklong pun dia macam tu. Mak Ida kata dia baik. Abang Tahir pun cakap macam tu. Tapi kenapa dengan kita dia tak baik pun?"
Naufal berbaring di sebelah Nadhira. "Biarlah dia, kaklong, yang penting sekarang, adik tumpang seronok sebab kaklong dapat sambung belajar kat U. Tercapai cita-cita kaklong."
Naufal menoleh. Dia memandang tepat ke wajah Naufal. Senyuman bahagia terukir.
"Kaklong nak ambil kursus apa?"
Nadhira terdiam. terimbas kembali kenangan bersama Faiz. Mereka pernah berjanji mahu belajar satu kursus, satu universiti. Huh! Faiz pandai berjanji saja. Tak boleh berpisah konon. Memang patutlah orang kata cinta monyet... sebab Faizlah monyetnya! Dia tergelak di dalam hati, sehingga terzahir di bibir.
"Orang tanya, dia gelak-gelak pulak. Ni mesti nak ambil kursus memasak. Nanti kaklong boleh lawan Mak Ida. Lepas tu, bolehlah kaklong berlagak dengan Mak Ida. Okey jugak tu, kaklong." Naufal tersengih-sengih sambil menunjukkan ibu jarinya.
Nadhira mencebik. "Kaklong tak ada bakat memasaklah. Dah belajar banyak kali dengan Mak Ida pun tak sedap jugak. kaklong nak sangat masak sedap macam arwah ibu." Dia merenung kejauhan, kemudian memandang Naufal pula. Rindu terhadap arwah Hafizan tidak pernah susut dari lubuk hatinya.
Naufal turut merenung siling seperti Nadhira. Andai terungkit nama insan yang disayangi, mereka pasti diulit emosi.
Menyedari mood ceria mereka menyusut, Nadhira meniarap. "Kaklong dengar cerita, tapak sekolah adik tu tempat askar Jepun pancung kepala orang. Eeii... seramnya!"
"Mana kaklong tahu? kaklong jangan reka cerita..." Wajah Naufal cuak.
"Ada budak dah kena rasuk. Masa dia kena rasuk, dia makan ayam mentah-mentah."
"Ah, kaklong ni saja nak takut-takutkan orang!" Naufal bangun dan duduk berlunjur.
Nadhira hendak tergelak, namun segera menahannya. Naufal tu penakut. "Abang Tahir yang bagi tahu. Dia dapat tahu dari cikgu sekolah adik. Tapi dia kata hal ni rahsia. Takut nanti ada yang tak berani datang sekolah. Budak yang kena rasuk tu dah maca jembalang. Macam ni. Huarghh...." Dia mengawang-awangkan tangan sambil mata ke atas dan lidah terjelir.
"Kaklong!" jerit Naufal, ngeri melihat Nadhira yang berkelubung dengan telekung membuat aksi begitu.
Nadhira ketawa terbahak-bahak. Seronok dapat melihat wajah Naufal yang ketakutan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience