BARU dua hari rumah banglo itu tanpa Naufal, Nadhira dicengkam rindu dan sepi. Lain macam betul rasanya apabila adiknya itu tidak berada di sisi. Tiada teman untuk bergurau. Entah macam manalah keadaan Naufal di MRSM.
Di buaian taman itulah dia melayani rindu. Badan Motor yang berbulu halus dibelai-belai, menyuntik emosi yang tenang pada diri.
Walaupun sudah tengah malam, matanya masih enggan tidur. Asyik terbayang Naufal sahaja. Berbaring di atas katil, terasa adiknya itu ada di sebelah. Tiga hari sebelum Naufal mendaftar di MRSM, dia memaksa adiknya itu tidur dengannya. Alasannya, dia takut tidur sendirian walaupun sebelum ini boleh sahaja dia lena sampai ke pagi.
Keluhan lemah terhempas perlahan. Mungkin setelah menyambung pelajaran di universiti esok, sunyinya tidak begitu terasa.
"Rindu kat Naufal tak, Motor?" Tubuh Motor diangkat tinggi-tinggi agar mata mereka bertentang. Motor buat muka selamba. "Cakaplah... rindu, kan?"
Motor mengecilkan mata, terpejam seketika dan masih malas-malas hendak membukanya.
"Eleh... buat muka sepi pulak. Rindulah tu, kan? Kan?" Nadhira memeluk Motor erat-erat. Kemudian, dicium dahikucing itu. Puas hatinya kerana Motor tidak membantah, malah merelakan dirinya dipeluk dan dicium.
Dia mengeluh lagi. Rindu pada Naufal tidak terubat lagi. Apalah yang boleh dia buat agar tak merindui adiknya itu? Nak harapkan Naufal telefon, memang taklah. Naufal sedang menjalani minggu orientasi.
Dia kembali merenung langit yang tidak menampakkan bintang. Bukan dia saja yang sepi, malam pun sunyi juga tanpa bintang dan bulan. Kemudian, dia membelek-belek wajah Motor pulak. Saat dia mengangkat muka untuk memandang ke arah lain, berderau darahnya kala terpandang lembaga berkelubung putih di sebalik dinding tei rumah banglo itu. Jaraknya cuma 20 kaki dari tempat dia duduk.
"Astaghfirullahalazim, astaghfirullahalazim, astaghfirullahalazim..." Pucat sejuk seluruh tubuh dirasakan ketika ini. Degupan jantungnya kencang. Lemah lututnya hendak berdiri dan berlari dari situ. Dia memperbanyakkan istighfar.
Dengan tubuh yang sudah menggigil, dia membaca surah al-Fatihah pula. Dia memejamkan mata sambil berharap apabila dia membukanya semula. Lembaga yang menyeramkan itu hilang daripada pandangan. Perlahan-lahan dia membuka mata. Lembaga itu ada lagi! Dia menggelabah, langsung tiada daya untuk berdiri. Peluh sejuk merenik di seluruh tubuh.
Sekejap-sekejap dia mengucap dua kalimah syahadah. Sesekali dia bertasbih dan bertahmid. Dibaca juga surah empat kul. Lembaga itu masih tidak berganjak, macam langsung tidak berkesan dengan ayat-ayat suci. Malangnya, hendak menjerit pun dia tiada daya. Tercungap-cungap dia hendak bernafas. Air mata sudah berderai.
"Ya ALLAH..." Dia benar-benar ketakutan. Belum pernah dia melihat hantu sebelum ni.
Sedang dia menangis sambil mengharapkan hantu itu lenyap dari situ, tiba-tiba dia nampak dengan jelas angin berhembus mengibar-ngibarkan kelubung putih itu. Dia nampak 'kaki' hantu itu yang memakai selipar!
Air matanya diseka. Perlahan-lahan perasaan takutnya mengendur. Perasaan hairan pula yang timbul. Ada ke hantu pakai selipar? Takut terpijak duri kot. Dia menggaru kepala.
Takutnya terus hilang. Motor dicampakkan ke tepi. Dia bangun dan mendekati lembaga itu lambat-lambat. 'Hantu tu' tidak berganjak walau kini dia sedang berdiri berdepan dengan makhluk itu. Dipandang kaki 'hantu' itu sekali lagi. Benar... Kaki 'hantu' itu sedang memakai selipar. Selipar bertali biru. Kalau tidak silap, itu selipar Jepun berjenama Tat Seng. Itu selipar Mak Ida. Huh!
Spontan tangannya merentap kain yang mengelubungi lembaga itu. Alangkah terkejutnya dia melihat wajah Danish yang terkulat-kulat memandangnya. "Abang?" Matanya buntang.
Danish bagai kehilangan kata. Kelihatan dia menggelabah. "Kau apasal? Tak pernah nampak aku ke?"
"Kenapa Abang Nish buat macam ni? Abang Nish sengaja nak menakut-nakutkan Nad ya?"
Danish merampas kain putih yang dipegang Nadhira. "Kau jangan nak perasan! Aku tengah termenung ni."
Termenung? Nadhira menggeleng. Tak logik betul! "Tak kelakarlah, Abang Nish! Abang buat lawak apa ni? Boleh tak kalau nak buat lawak tu bersungguh sikit. Jangan buat idea busuk macam ni. Abang tu ada bakat tau tak? Sekarang abang dah sia-siakan bakat melawak abang tu. Hisy... sayang betullah!"
"Eleh..." Danish menjeling Nadhira. "Aku tahu... Kau dah terkencing dalam seluar!" Dia bersuara sinis, membuatkan mata Nadhiraterbeliak. "Padan muka kau!"
"Eh, tolong sikit! Tak ada maknanya Nad nak terkencing bagai. Abang... hantu tak pakai selipar Jepunlah, bang. Selipar Mak Ida pulak tu."
Danish memandang kakinya. Patutlah kantoi. Mungkin kain putih yang diselubungnya tidak cukup labuh. Dia yang keluar dari pintu dapur, hanya nampak selipar Jepun itu sahaja yang ada untuk disarung. Kain putih itu pulak agak tebal. Dia tidak nampak bagaimana reaksi Nadhira ketika dimomokkan. Sedar-sedar sahaja Nadhira sudah berada di hadapannya.
"Tak apa, tak apa. Kali ini Nad boleh bertimbang rasa kat abang. Usaha abang tu patut dihargai walaupun tak menjadi. Betul tak? Oleh itu... Nad bagi abang lima bintang!" Nadhira bertepuk tangan dengan wajah gembira. "Tahniah!"
Danish membuat muka kelat. Tak guna! Dia mempersendakan aku pulak. Sengaja nak sakitkan hati akulah tu!
"Eh, tepuklah tangan sekali. Gembira tak? Gembira tak?" Galak Nadhira menyakat Danish.
"Kau tak faham bahasa ke? Kan aku cakap aku termenung kat sini, aku termenunglah!"
Nadhira tergelak sambil menampar bahu Danish. "Inovatifnya abang ni. Termenung dengan kaedah berselubung." Dia menggeleng. "Bagus, bagus... Abang ni memberi inspirasi pada orang lain. Ingat senang ke dalam berselubung nak termenung? Well done, abang. Well done!" Dia ketawa terkekeh-kekeh. Sengaja dia hendak mempermainkan perasaan Danish. Biar lelaki itu sakit hati.
"Yang kau ketawa terlolong-lolong macam pontianak kenapa? Tersampuk ke? Suka hati akulah nak termenung ke tak nak. Menyibuk je!" Danish terus berlalu dari situ dengan wajah yang masam mencuka.
Nadhira tersenyum melihat Danish berlalu. Ada hati dia nak kenakan aku? Kan dah terkena balik. Jembalang konon, tapi pakai selipar Jepun. Kemudiam dia ketawa semula.
TUBUH dihempas ke katil. Danish berbaring menghadap siling. Membara hatinya mengenangkan Nadhira. Punyalah bersusah payah dia memerah idea supaya gadis itu berambus dari rumahnya. Kantoi pula!
Fikirnya, menakut-nakutkan Nadhira adalah idea yang bernas. Lama-kelamaan, Nadhira serik hendak tinggal di situ dan berambus dengan rela hati. Tidaklah ketara dia yang menghalau Nadhira. Maka, Datin Ros pun tidaklah menyalahkan dia. Malangnya, lain pula yang jadi. Dia pula yang menggelabah tadi.
Yang membuatkan dia bertambah sakit hati, Nadhira boleh berloyar buruk dengannya. Boleh pulak mengenakannya semula. Dia ingat aku buat lawak?
Dia terimbau semula perbualan antara mummynya dengan Mak Ida tempoh hari. Kenapalah Datin Ros sanggup mengambil dua beradik itu. Walaupun...
Keluhan berat dilepaskan. Dia pun tidak faham dengan mummynya itu. Bukan main baik lagi dengan dua 'mangkuk' itu Anak sendiri macam sudah tak dipedulikan lagi.
Share this novel