MELILAU Nadhira mencari kelibat Faiz. Dia sudah berjanji dengan jejaka itu untuk bertemu sebelum peperiksaan kertas terakhir berlangsung. Tapi, batang hidung Faiz langsung tidak kelihatan. Peperiksaan akan bermula dalam masa 15 minit lagi.
"Mana dia ni?" Dia tertanya-tanya. Resah riak wajahnya sambil tertinjau-tinjau.
"Cari buah hati ke?"
Nadhira menoleh. Dia melepaskan nafas panjang. Sibuk ajelah dia ni. Macam tahu-tahu saja aku cari seseorang.
"Kalau tak nampak wajah buah hati, tak boleh nak jawab exam ke? Susah hatilah tu," usik Balqis lagi sambil tersengih-sengih.
Malas Nadhira hendak melayan. Dia berdiri sambil berpeluk tubuh. Di bawah pokok yang agak rendang di tepi dewan peperiksaan itu mereka menanti.
Balqis menunding jari ke wajah Nadhira. "Tengok... muka pun macam tak ada semangat." Dia mengambil tempat di sisi sahabatnya itu. "Nad...tak payahlah kau nak nafikan lagi yang kau dan Faiz tu dah suka sama suka. Dah jatuh..."
"Jatuh apa?" Pantas Nadhira memintas. "Hah.. jangan nak merepek. Kau ni, aku cubit baru tahu." Dia tetap bertahan, tidak mahu rahsia hatinya diketahui. Sedangkan wajahnya sudah kemerah-merahan.
"Aku nak cakap, jatuh tanggalah."
"Tak ada maknanya jatuh tangga. Tak ada kena-mengena."
"Masamnya muka dia. Masam-masam pun, tapi tetap comel jugak. Peliklah."
Dengar sahaja suara itu, pantas Nadhira menoleh. Wajah tampan Faiz terpampang di hadapannya. Ramai yang kata, wajah Faiz seiras Naim Daniel. Betapa rindunya dia hendak menatap wajah ini. Benar... sudah lama dia jatuh cinta pada jejaka itu, tapi dia malu hendak mengaku. Apatah lagi mereka masih di alam persekolahan.
Balqis perlahan-lahan menjarakkan diri sambil tersengih, memberikan peluang kepada Faiz dan Nadhira berbual secara privasi. Dia tidak mahu kacau daun.
"Amboi, amboi, amboi.... romantiknya. Macam tengah tengok cerita Hindustan," sakat Balqis yang menyaksikan aksi Faiz memperbetulkan kedudukan beg sandang di berlakang Nadhira.
Merah muka Nadhira. Dia menunjuk penumbuk pada Balqis. Menyembunyikan rasa malu sebenarnya. Balqis mengekek ketawa. Faiz pula tersenyum simpul.
SETELAH satu jam 15 minit berhempas pulas memerah otak menjawab kesemua soalan, semua pelajar yang menduduki kertas Biologi keluar dari dewan peperiksaan.
Nadhira menunggu di luar dewan. Dia mahu bertemu Faiz sebelum pulang,
"Merdeka! Merdeka!"
Kedengaran sekumpulan pelajar melaungkannya berkali-kali. Ada juga yang ketawa berdekah-dekah.
Tersenyum Nadhira memandang rakan-rakannya yang kelihatan seronok. Bukan main gembira lagi. Macam baru keluar dari kem tentera.
"Nad..." Balqis menghampiri sambil memasukkan alat tulis ke dalam beg sandangnya.
"Hah, Bal.... macam mana soalan tadi? Semua yang kita target keluar, kan?" Nadhira melebarkan senyuman.
Balqis memuncung. "Aku bengang betullah"
Berkerut dahi Nadhira. Takkan Balqis tidak boleh jawab soalan-soalan tadi?
"Betul-betul aku bengang. Soalan tadi semuanya..... kacang!" Di hujung ayat, barulah Balqis tersenyuman.
Nadhira mencemik. Suspen sungguhlah Balqis ni! Ingatkan kenapalah tadi.
Tidak lama kemudian, rakan-rakan sekelas yang lain menghampiri mereka berdua bersama Faiz. Masing-masing masih berkongsi cerita tentang peperiksaan tadi.
Sempat Nadhira bertanya kepada faiz yang berdiri di sebelahnya. "Okey tak exam tadi?"
"Sangat-sangat okey." Faiz sempat mengeyitkan mata kanannya.
Nadhira terkedu. Kenyitan Faiz itu mendebarkan jiwa.
"Eh, jomlah kita lepak dulu kat Belanga." Wafi memaksudkan restoran yang terletak lebih kurang 100 meter dari sekolah mereka.
"Jom, jom..." Ridwan teruja hendak menyertai. Dia mengajak yang lain-lain.
"Aku okey aje, Bila lagi kita nak lepak sama-sama? Lepas ni, masing-masing bawa haluan sendiri. Dah susah nak jumpa." Akram menokok.
"Alah... Nanti masa ambil result kita boleh jumpa lagi," bantah Izzah.
Irdina mengangguk setuju. Mereka berdua dan beberapa teman lain ada agenda selepas ini.
"Nak pergi shopping la tu. Macamlah aku tak tahu," selar Wafi.
"Mestilah!" balas mereka serentak sambil ketawa.
"Macam nilah... siapa yang tak ada hal, ikut kita orang makan kat belanga. Siapa yang tak nak, tak ada paksaan," putus Wafi.
"Aku setuju!" Sambut Akram. Bukan main seronok lagi dia apabila ramai yang turut bersetuju.
Baru sahaja mereka melepasi pagar sekolah, kedengaran suara seseorang melaung dengan kuat.
"Nadhira! Nadhira!" Suara itu makin lama makin kuat.
Nadhira menoleh ke belakang. Cikgu Rahman. Yang lain-lain turut terhenti berlangkah.
"Nadhira, tunggu!" Termengah-mengah cikgu Rahman berlaki anak mengejar pelajarnya itu.
"Cikgu nak join kita orang makan ke?" tanya Ridwan, selamba.
"Tak, tak... saya nak cakap dengan Nadhira." Lantas cikgu Rahman memandang gadis itu. Lidahnya kelu seketika.
"Ada apa, cikgu?" Nadhira pelik melihat riak cikgunya itu. Riak wajah serba salah.
Cikgu Rahman masih tidak boleh bersuara.
"Err...Nadhira, awak ikut cikgu."
"Kenapa?" Nadhira mengerutkan dahinya.
"Keluarga awak accident. Saya baru dapat panggilan daripada jiran awak." Akhirnya, Cikgu Rahman memberitahu. Tidak mampu disimpan lama-lama.
Kata-kata cikgu Rahman itu membius diri Nadhira. Dia bagaikan tidak mampu bergerak. Kakinya berasa lemah untuk berdiri. "YA ALLAH..." Matanya mula bergenangan.
Yang lain-lain turut tergamam.
"Betul ke, cikgu? Accident kat mana? Sekarang keluarga Nad kat hospital mana?" Wafi berdiri di sebelah Faiz dan Nadhira.
"Cikgu tak tahu mereka accident kat mana. Tapi semua mayat dalam perjalanan ke rumah Nadhira."
'Mayat?!' Mereka semua bagaikan terdengar bunyi guruh apabila mendengar kata-kata cikgu Rahman itu.
Apatah lagi Nadhira. Terasa pandanganya berpinar-pinar. YA ALLAH.... betul ke cerita yang cikgu Rahman samaikan ni? Mayat? Semua mayat? Siapa semua tu? Siapa?
Matanya sudah bergenang panas. Pandangannya yang berpinar-pinar itu kini kelam dek air mata. Tubunya terasa ringan. Bagaikan melayang-layang. Dia akhirnya rebah ke bumi.
Share this novel