"SAYA rasa macam nak berehat kat swimming pool, Kak Ida." Datin Ros yang baru selesai membaca al-Quran membuka telekung.
Mak Ida membantu Datin Ros melipat telekung tersebut dan menyimpannya semula. Al-Quran pula diletakkan semula di atas rak. Dia turut membuka telekungnya untuk disimpan. Ruang solat Datin Ros itu dikemas ala kadar. "Kak Ida rasa kat luar macam mendung, Datin." Mak Ida mengintai dari tingkap bilik itu.
"Baru mendung, belum hujan lagi."
Mak Ida tersenyum. Memang bersemangat Datin Ros nak minum petang di tepi kolam renang. "Nanti Kak Ida minta tolong Nad siapkan mi bandung ke sana. Airnya Datin nak minum apa?"
"Apa-apa sajalah, kak." Datin Ros menyorong kerusi rodanya, mahu keluar dari bilik itu.
"Kalau macam tu, Kak Ida buatkan Datin jus epal." Mak Ida membantu menyorongkan kerusi roda Datin Ros. Di luar bilik itu dia melaungkan nama Nadhira.
"Ya, Mak Ida!" Nadhira sedang menelaah buku di sudut yang paling dia gemar, sudut bingkai-bingkai gambar Danish sekeluarga. Dia pun pelik boleh suka duduk di situ menatap senyuman Danish di dalam gambar. Sedangkan realitinya, dia rasa macam hendak cekik leher lelaki itu kuat-kuat.
"Tolong Mak Ida sediakan hidangan petang. Bawa kat swimming pool ya? Buatkan jus epal untuk Datin sekali."
"Okey, Mak Ida... Nanti Nad buat." Nadhira bergegas turun ke dapur. Dia nampak Mak Ida sedang menyorong Datin Ros keluar dari rumah.
Sesudah menyediakan semuanya, dibawa hidangan itu ke tepi kolam renang.
"Jemput makan, mummy. Nampak sedap mi bandung yang Mak Ida masak ni. Mak Ida kalau masak apa pun semuanya nampak sedap." Nadhira mengaturkan hidangan di atas meja sambil memandang Mak Ida sekilas.
"kamu ni, Nad... asyik memuji Mak Ida je." Mak Ida tersipu-sipu. Dia menyendokkan mi ke dalam mangkuk sebelum menuangkan kuahnya. Disuakan kepada Datin Ros.
"Naufal ada call, Nad? Mummy rindulah kat dia." Datin Ros menyambut mangkuk itu.
"Hujung minggu lepas dia ada call tanya khabar. Tapi sekejap je dia telefon. Dia kata duit syiling dah habis. Tak boleh nak cakap lama," kata Nadhira. "Mummy, Nad masuk ke dalam sekejap ya? Nad nak ambil jus mummy. Nad buat khas untuk mummy. Baik punya..." Dia menunjukkan ibu jarinya sambil meniru aksi Dafi.
Datin Ros ketawa. "Ada-ada saja kamu ni, Nad."
Sebelum Nadhira berlalu, dia sempat memaut tubuh Datin Ros penuh kasih. Datin Ros membalas sambil mengucup pipi Nadhira. Kelibat Nadhira menghilang ke dalam rumah.
"Saya sayangkan dia, Kak Ida. Dah macam anak sendiri pulak rasanya."
Mak Ida tersenyum."Dia memang sangat baik. Sesiapa pun tengok dia, akan rasa sayang kat dia."
Serta-merta Datin Ros terbayangkan Danish. Dia dapat rasa ada sinaran benci dalam mata anaknya itu terhadap Nadhira. Entah-entah, Danish membuli Nadhira agaknya. Tapi tidak pernah pula Nadhira mengadu. Atau Nadhira memendam sendirian dan berlagak gembira setiap hari. Kusut fikirannya memikirkan tentang Danish, tidak tahu apa yang menyebabkan wajah Danish tidak pernah ceria setiap kali berhadapan dengan Nadhira.
"Datin, orang TNB datang tu." Mak Ida memanjangkan leher memantau. "kak Ida pergi tengok sekejap, ya. Nak check meter agaknya." Dia terus menuju ke pintu pagar.
Datin Ros tidak mendengar kata-kata Mak Ida. Fikirannya masih fokus pada Danish dan Nadhira, mencari akal bagaimana hendak mendamaikan kedua-dua mereka.
Dia ingin lebih dekat dengan kolam itu. Biar fikirannya setenang air kolam. Dengan tangan kanan memegang mangkuk, tangan kirinya pula terkial-kial membuka kunci roda agar dapat bergerak ke hadapan sedikit.
Dalam pada terkial-kial itu, kerusi rodanya bergerak perlahan-lahan. Saat itu dia kelam-kabut mahu mengunci rodanya semula. Belum sempat dia berbuat apa-apa, kerusi rodanya meluncur laju dan menjerumuskannya ke dalam kolam renang. Tidak sempat dia hendak menjerit, tubuhnya sudah tenggelam dalam air bersama-sama kerusi roda. Tercungap-cungap dia cuba timbul semula ke permukaan.
Mak Ida yang terdengar bunyi debusan air pantas menoleh. Alangkah terkejutnya dia melihat Datin Ros sudah tiada. Lintang-pukang dia berlari ke kolam renang. Bagai hendak pecah jantungnya melihat Datin Ros terkapai-kapai di dalam air.
"Ya ALLAH... Nad! Cepat, Nad. Tolong!" Jeritnya bagaikan kena histeria. "Nad! Cepatlah, Nad!" Tubuhnya menggigil. Air mata mula bergenang. Panik dan menggelabah bercampur baur.
Nadhira yang baru keluar sambil menatang dulang air, terus menerpa. Kala melihat Datin Ros terkapai dan tercungap-cungap, tercampak dulang yang ditatang. Spontan dia terjun ke dalam kolam. Datin Ros mesti diselamatkan walau apa jua yang terjadi.
Dia memaut leher Datin Ros. Dengan kudrat yang ada, dia menarik wanita itu hingga ke tebing kolam. Termengah-mengah dia mengangkat tubuh mummy angkatnya itu sambil dibantu Mak Ida.
"Mummy..." Nadhira menggoncang-goncang tubuh Datin Ros. Dia menekan dada wanita itu. Air yang ditelan keluar sedikit dari hujung bibir Datin Ros. Namun, Datin Ros masih tidak memberi respons.
"Macam mana ni, Mak Ida?" Nadhira sudah teresak-esak. "Mummy... bangun, mummy. Ya ALLAH... bantulah kami. Mummy!" Dia menekanlagi dada Datin Ros. Masih tiada respons. Sudahnya, dia tersembam ke dada Datin Ros, menangis semahunya.
Mak Ida beristighfar berkali-kali. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan. "Danish!" Dia teringat jejaka itu. "Mak IDa nak telefon Danish."
"Telefon ambulans, Mak Ida!"
Mak Ida mengangguk. Dia segera masuk ke dalam rumah.
Nadhira menatap wajah Datin Ros semula. "Mummy... bangunlah, mummy..." Air matanya mengalir deras ke pipi.
Share this novel