Bab 34

Romance Series 11141

BANGLO tiga tingkat itu benar-benar sunyi. Sudah seminggu Datin Ros menghadap ILAHI. Semalam, Naufal kembali ke asrama. Danish barangkali ke pejabat memandangkan kereta BMW X6 lelaki itu tiada di garaj.
Mak Ida pula tidak keluar dari bilik setelah selesai membuat sarapan. Menjamah sedikit makanan pun tidak. Nasi goreng di atas meja makan langsung tidak berusik. Wanita tua itu benar-benar terkesan sejak arwah Datin Ros tiada.
Kelmarin, peguam arwah Datin Ros datang ke rumah. Wasiat arwah dibacakan di hadapan Danish, Mak Ida, Naufal dan dia. Tergamam dia kala mendengar salah satu wasiat itu. Arwah Datin Ros memberi seribu ringgit setiap bulan untuk perbelanjaannya dan Naufal!
Danish merenungnya dengan pandangan tidak puas hati. Apa daya dia hendak menolak? Itu wasiat. Tidak boleh dibantah sama sekali. Yang penting, dia sangat bersyukur pada ALLAH atas rezeki yang diberi melalui arwah Datin Ros.
Dia tercari-cari Motor yang tidak dihiraukan sejak akhir-akhir ini. Mujur Motor pandai berdikari. Kalau tidak, sudah mati kelaparan kucing itu. Motor sedang tidur di dalam 'rumahnya'. Hmm... bersih. Mungkin Naufal yang menguruskan tempat tinggal Motor sebelum kembali ke asrama.
"Sayang... tengah tidur ke?" Dia mencapai kucing kesayangannya itu. Terbuka sedikit mata Motor sebelum kembali memejamkannya semula.
"Amboi, sombongnya! Sorrylah, Motor. Kak long terlupa nak bermesra-mesra dengan Motor. Motor marahkan kak long ya?" Tubuh Motor diusap penuh kasih.
Motor buat tidak tahu saja. Dia masih memejamkan mata. Merajuklah tu!
"Sorry tau. Lepas ni kak long janji. Setiap hari kak long akan jumpa Motor dulu. Lepas tu kita main sama-sama. Kita main kejar-kejar nak?"
Motor membuka matanya, membuatkan Nadhira senyum. Dicium kucing itu berkali-kali. "Pandailah Motor ni! Faham je yang kak long cakap. Kak long nak pergi kelas kejap lagi. petang nanti kita jumpa ya? Motor tunggu kak long tau. Petang nanti kak long mandikan Motor. Biar Motor wangi. Lepas tu kak long nak cium Motor banyak-banyak. Eeii... geramnya!"
"Lepas kau mandikan dia, kau menyusukan dia pulak. Itu barulah kasih sayang yang sejati!"
Nadhira menoleh. Eh, bukan ke dia dah pergi kerja? Macam mana dia boleh ada lagi kat sini?
Danish merenung Motor. Makin gemuk kucing itu sejak tinggal di rumah ini. Timbul rasa geram pula. Dia pun sukakan kucing. Tapi apabila tahu kucing itu kucing belaan Nadhira, tak ingin dia hendak menyentuhnya.
"Malang kau dapat tuan macam Nad ni, kucing. Dah bertahun-tahun baru dia terfikir nak mandikan kau!"
Nadhira mengetap bibir. Danish ni, tidak habis-habis hendak cari pasal dengannya. "Nama dia motor, bukan kucing."
"Oh... ya, aku lupa pulak. Biasanya bunyi motor 'vroom'. Tapi Motor yang ni bunyi 'miau'. Pelik betul. Macam tuan dia." Danish berpeluk tubuh sambil menyengih penuh sindiran.
"Biarlah. Nad nak bagi dia nama keropok Mony ke, minyak cap kapak ke, kuali ke, pen merah ke... janji dia ada nama."
"Kau rasa... ada aku kisah?"
Nadhira memasukkan Motor ke dalam sangkarnya semula. Kalau melayan Danish, boleh sakit jiwa. Tapi entah kenapa, dalam hatinya masih cintakan lelaki itu. Cinta memang benda yang pelik.
"Abang Tahir dah tunggu tu. Kau ingat kau tu anak raja? Nak Abang Tahir pimpin kau masuk dalam kereta ke?"
Apa yang Danish merapu meraban ni? Beritahu jelah yang Tahir dah sampai. Tak perlulah cakap yang bukan-bukan. Orang tak ada mood nak layanlah. Dia segera berlalu dari situ.
"Malam ni pukul 9.00 aku nak jumpa kau kat rumah. Kalau kau tak ada, siap kau!" Pesan Danish.
Nak jumpa? Nak jumpa buat apa. Kan dah jumpa dah ni. Nadhira hendak bertanya lanjut, tetapi Tahir sudah menunggunya. Tunggu ajelah malam ni.

NADHIRA, Eriya dan Izzwan beriringan menuju ke perpustakaan. Kuliah Prof. Amin habis awal hari ini. Hendak menunggu kelas seterusnya lambat lagi. Lebih kurang satu jam. Ke perpustakaanlah tempat yang dirasakan sesuai untuk dituju ketika ini.
"Izz, nanti aku pinjam nota-nota kau boleh? Aku nak salin Nota kelas yang aku tak datang. Dah banyak sangat yang aku tertinggal. Kau tolong ajar aku sekali tau?" pinta Nadhira sambil memandang wajah Izzwan di sebelahnya.
"Nak pinjam nota aku? Baik tak payah. Kau bukan faham tulisan cakar beruang aku ni. Kau pinjam nota Eriya lagi bagus. Kalau dalam kelas, dia punya tekun tahap paku. Terpacak tak berkelip mata."
Eriya dan Nadhira ketawa. Memang mereka faham tipikal Eriya. Apabila di dalam kelas, baling batu kat kepala Eriya pun agaknya takkan mengganggu konsentrasi gadis itu.
"Aku takut nak pinjam nota dia. Kemas gila! Dah macam nak frame kat dinding. Aku ni kadang-kadang comot. Nanti aku terkotorkan nota dia," balas Nadhira setelah ketawanya reda.
"Eeii... mengada-ngadalah! Nak pinjam, pinjam je lah. Aku tak kisah." Eriya sempat mencuit bahu Nadhira dengan manja.
"Oh ya... takziah ya, Nad... pasal arwah mummy kau. kita orang tak dapat nak ziarah. Tak tahu jalan rumah kau." Eriya berwajah sayu.
Wajah Nadhira berubah sayu. "Tak apalah. Yang penting doa kau orang berdua. Dan kawan seperti kau oranglah yang buat aku bersemangat. Selalu ambil berat pasal aku." Dia memang kalau boleh tidak mahu Izzwan dan Eriya tahu di mana dia tinggal. Biarlah statusnya sebagai anak angkat seorang Datin dan tinggal di rumah banglo dua tingkat tiada sesiapa yang tahu. Sehingga kini mereka berdua juga tidak tahu bahawa Tahir bukan abangnya, tetapi pemandu. Lagipun memang dia menganggap Tahir itu macam abangnya.
"Kita orang harap kau tabah dengan dugaan ni," ucap Eriya lagi, entah kali ke berapa. Dalam SMS pun asyik beri ucapan yang sama.
"Insya-ALLAH..." Sebak hati Nadhira ketika ini. Dia rindukan mummy angkatnya itu.
"Janganlah sedih you all. Mak tak sukalah 'emo' macam ni. Hati mak ni mudah tersentuh." Izzwan buat perangai lembutnya.
Nadhira menggeleng sambil tersenyum. Izzwan, Izzwan... Tak sabar dia hendak tengok lelaki itu menjadi 'keras'.

NADHIRA terpinga-pinga. Ingatkan Danish hendak jumpa dia seorang sahaj. Rupa-rupanya Mak Ida dan Tahir sekali. Duduk berkumpul di ruang tamu begitu menimbulkan rasa gelisah. Jangan-jangan Danish mahu memberhentikan Mak Ida, memandangkan Datin Ros sudah tiada. Aku pula dihalau keluar. Ah, parah!
"Mak Ida... cakaplah." Danish bersuara lemah.
Mak Ida kelihatan tidak betah. Entah apa yang dirimaskannya. Sekejap memandang Danish, sekejap memandang Nadhira. Nadhira memandang Tahir. Lelaki itu tenang sahaja.
Akhirnya, Mak Ida berdeham dua tiga kali, bersedia untuk membuka mulut. "Apa yang bakal Mak Ida katakan nanti, harap semua dapat menerimanya dengan hati terbuka. Demi ALLAH... Mak Ida tak berbohong. Nish jadi saksi."
Nadhira tidak dapat menangkap 'akar' bicara Mak Ida. Sepenuh perhatian ditumpukan ke wajah wanita itu dengan dada berdebar-debar.
"Sebelum tu Mak Ida nak tanya Nad. Nad dah berpunya ke? Maksud Mak Ida, Nad dah ada kekasih ke?"
Kenapa Mak Ida tanya soalan itu? Pelik bunyinya. Tiba-tiba bertanya begitu. Nadhira diam. Dia semakin resah apabila Danish merenungnya dengan pandangan yang macam hendak tembus ke otak. Perlu ke Mak Ida bertanya soalan itu kepadanya di hadapan Danish dan Tahir? Kenapa tak tanya ketika mereka duduk berdua?
"Jawab soalan Mak Ida, Nad." Mak Ida merenung Nadhira penuh sayu.
Nadhira serba tidak kena. Nak jujur atau berdalih? Kalau jujur, mesti Danish gelak. Gelak yang terbahak-bahak. Pasti dia diejek sebagai perempuan tak laku. Atau hendak mengaku yang selama ini dia ada hati pada Danish? Rasa-rasanya bukan Danish sahaj yang gelak. Tahir dan Mak Ida pun tergelak sama. Dan dia akan digelar perempuan syok sendiri. Ah, dia tidak akan mengaku yang dia cintakan Danish. Tak mungkin!
Tetapi kalau dia berbohong, siapa yang harus dijadikan kekasihnya? Izzwan? Lelaki lembut tu ada perasaan pada perempuan ke? Habis tu siapa? Faiz? Oh, tidak sesekali!
"Nad..." seru Mak Ida, gelisah. Dia menoleh pada Danish yang berwajah serius itu sebelum kembali menatap wajah Nadhira.
"Err... tak ada, Mak Ida." Akhirnya, Nadhira memutuskan untuk berterus terang sahaja. Biarlah kalau dikutuk Danish sekalipun. Dia sudah bersedia. Tapi yang peliknya kenapa perbualan mereka dirasakan sangat formal? Seperti perbentangan laporan ekonomi.
"Betul Nad tak ada kekasih lagi?"
Nadhira menggeleng.
"Mak Ida tanya ni bukan apa. Cuma nak tahu. semuanya sebab amanah arwah Datin . Arwah Datin sempat beritahu Mak Ida sebelum meninggal. Dia mahu Nad berkahwin secepat mungkin."
Nadhira yang duduk bersandar tertegak badannya. Matanya membulat memandang Mak Ida, kemudian memandang Tahir. Tahir juga kelihatan sangat terkejut. Apabila dia menoleh ke arah Danish, lelaki itu tetap berwajah serius. Muka orang tiada perasaan. Dia memandang Mak Ida semula.
"Nad masih belajar lagi. Baru 19 tahun. Takkan dah nak kahwin. Merepek betullah. Masak pun tak reti. Nad ni kan macam budak-budak. Kalau kahwin macam main pondok-pondok, Nad nak. Yang tu best." Nadhira paksa dirinya ketawa, kononnya berasa lucu. Sebenarnya dia mahu menyorokkan rasa resah. Dirasakan semua orang terlalu serius. Tiba-tiba bicara tentang kahwin.
Sedangkan yang lain-lain langsung tidak mempamerkan senyum. Semuanya masih berwajah serius. Dia berhenti ketawa perlahan-lahan.
"Nad tak nak kahwin lagi. Nad tak nak berhenti belajar, Mak Ida." Suaranya kedengaran agak merayu.
"Tapi amanah arwah, Nad." Mak Ida sebenarnnya tidak sampai hati hendak memberitahu. Dia tahu Nadhira bercita-cita besar.
Nadhira memandang Tahir, mengharapkan lelaki itu membelanya. Namun, Tahir hanya tunduk. Seolah-olah pasrah pada takdir. Terlepas keluhan berat dari bibirnya. Berkahwin pada usia muda? Ya ALLAH... dia tidak bersedia langsung!
"Nad tahu kan arwah Datin sayang sangat pada Nad? Mungkin inilah yang terbaik untuk Nad. Insya-ALLAH... ada hikmahnya." Mak Ida cuba memujuk. Dia tahu Nadhira berhati lembut.
"Masalahnya, Nad tak ada calon. Nak kahwin apanya?" Nadhira terasa hendak ketawa. "Mak Ida ada cadangan? Artis ke, VIP ke... Mak Ida cari orang yang glamor-glamor je tau. Bolehlah Nad masuk dalam surat khabar, majalah..." sempat lagi dia berloyar buruk untuk meredakan resah hati. Makin serius keadaan di situ, makin tertekan perasaannya.
Mak Ida tersenyum. "Mak Ida tanya Nad dah ada kekasih tu bukan apa. Kalau dah ada, Mak Ida harap Nad lupakan dia."
Nadhira terlopong. "Laa... pulak?"
Mak Ida kembali menyambung. "Sebab arwah Datin amanahkan Nad berkahwin dengan..."
Suasana jadi sepi sesepi sepinya. Masing-masing tidak berkutik. Nadhira tertelan liur menunggu.
"Dengan Danish." Akhirnya Mak Ida khabarkan jua amanah arwah Datin Ros.
Spontan mata Nadhira memanah ke arah Danish. Danish yang berwajah serius itu memandang ke arah lain dengan riak bosan.
Kahwin dengan Danish? Astaghfirullahalazim!
Dia memandang Mak Ida, mengharapkan ini semua permainan ketika mengisi masa lapang. Melihat Mak Ida terangguk-angguk, dia rasa mahu koma lima tahun!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience